Bikesrepublic

Tunggangan Pertama: Kawasaki Z900RS 2018

  • Motosikal Kawasaki Z900RS 2018 adalah sebuah motosikal yang diilhamkan dari motosikal Z1 1972.
  • Adakah ia sebuah motosikal klasik atau pun motosikal yang mempunyai kelas?
  • Kawasaki Motors Malaysia (KMSB) telah membenarkan kami menunggang uji ringkas motosikal tersebut.

Setelah berakhirnya acara pelancaran motosikal Kawasaki Z900RS pada 27 Februari 2018 yang lalu, Kawasaki Motors (Malaysia) Sdn. Bhd. (KMSB) telah menganjurkan satu Tunggangan Media Kawasaki Z900RS selama tiga hari. Sila tekan pautan yang ada di bawah bagi membaca liputan kami mengenai pelancaran tersebut.

Kawasaki Z900RS 2018 Dilancarkan Secara Rasmi Di Malaysia! Dari RM67,900!

KMSB telah memulakan acara tersebut dengan memberi taklimat mengenai konsep serta spesifikasi motosikal berkenaan. Terdapat beberapa perkara yang menarik telah kami ketahui sewaktu taklimat tersebut.

Contohnya, Ketua Projek Z900RS, Seiji Hagio, telah mengatakan, “(Matlamat kami adalah) untuk merekabentuk sebuah model retro naked yang memperkayakan lagi kehidupan penunggang dan meninggalkan kesan bagi menginspirasikan generasi masa akan datang untuk mempunyai impian.” Mungkin agak sukar untuk menggambarkan kenyataan tersebut dengan hanya kata-kata, namun, hala tuju itu telah diterapkan dengan baik sekali dalam video komersial Kawasaki untuk motosikal tersebut.

Segalanya mengenai motosikal Z900RS ini penuh dengan kaitan dengan motosikal legenda, Kawasaki Z1 1972, yang mana merupakan motosikal pengeluaran empat silinder berkapasiti besar Jepun yang pertama bercirikan DOHC. Motosikal Z1 juga merupakan sebuah motosikal 900cc dan enjin itu merupakan gergasi pada zamannya yang mampu mencecah kelajuan 210km/j. Walaupun jumlah ini tampak biasa-biasa sahaja pada waktu ini, perlu diingatkan bahawa motosikal tersebut telah dilengkapi dengan tayar ‘skinny bias ply’, penyerap hentakan berganda, kerangka yang menyerupai paip air tolok kecil, brek ‘non-floating’, dan tanpa ABS. Motosikal Z1 ini merupakan motosikal pengeluaran terpantas pada waktu ia dilancarkan. (Ketahui dengan lebih lanjut mengenai motosikal Z1 ini di pautan yang ada di bawah mengenai motosikal klasik Kawasaki.)

Kawasaki – Dahulu Dan Kini

Fork hadapan motosikal Z900RS ini boleh dilaras sepenuhnya, manakala penyerap hentakan belakang berkantilevernya itu boleh dilaras untuk pra muatan dan redaman lantunan.

Pelbagai sentuhan gaya motosikal Z1 telah diterapkan pada Z900RS, seperti tangki bahanapi berbentuk ‘teardrop’, bahagian ekor motosikal berbentuk paruh itik, nasel tolok berganda, lampu hadapan dan juga belakang, sesayap penyejukan pada silinder enjin, perumah alternator dan klac, dan lain-lain lagi. Fon huruf yang digunakan pada tolok analog bulatnya juga dari jenis fon kata yang sama jenis dan saiz seperti yang ada pada motosikal Z1.

Namun, motosikal Z900RS ini tetap sebuah motosikal moden yang lengkap dengan segala kelengkapan terkini seperti kawalan cengkaman K-TRC dua mod, ABS, dan brek hadapan Monobloc empat omboh.

Walaupun enjin empat selari, 16 injap, sejukan cecair, 948cc telah diambil terus dari motosikal lumba naked Z900, enjin Z900RS ini mempunyai rekabentuk kepala yang berbeza, yang mana telah merendahkan lagi nisbah mampatannya. Nisbah kotak gearnya mirip dari gear 2 hingga gear 5, namun, gear 1 lebih pendek manakala gear 6 lebih panjang di atas motosikal Z900RS. Nisbah yang lebih panjang itu berguna untuk tunggangan bersiar yang lebih selesa dan penggunaan bahanapi yang lebih baik. Perubahan pada motosikal itu adalah bagi menghasilkan lebih banyak tork pada tahap pertengahan berbanding kuasa kuada semata-mata.

KMSB telah menyediakan emap buah motosikal bagi setiap sesi: dua bagi setiap kemasan warna Special Edition jingga/perang dan Standard hijau ‘matte’.

Nota bunyi ekzos cukup galak sekali. Kawasaki telah menerangkan yang bunyinya itu telah ditala – barangkali untuk kedengaran seperti motosikal Z1. Sistem ekzos ‘4-in-1’ standard Kawasaki Z900RS ini kedengaran cukup bingit. Dari segi rupa parasnya, ‘downtube’ dan kanisternya mempunyai darjah sapuan yang sama seperti motosikal Z1, walaupun Z1 mempunyai tabung ‘4-into-2-into-4’. Saya berharap sangat yang Z900RS dilengkapkan dengan empat paip tersebut tetapi ianya mungkin tidak didatangkan sebegitu bagi menjimatkan kos dan mengurangkan beratnya. Tetapi, siapa tahu, mungkin sahaja ada kelengkapan selepas jualan yang boleh mengisi keperluan itu.

KMSB telah melengkapkan motosikal Z900RS ini dengan pelana yang direndahkan ke ketinggian pelana 800mm untuk pasaran Malaysia (standard pada 835mm). Pelana standard disediakan sebagai kelengkapan pilihan tambahan.

Mengangkat tongkat sisinya dan menolaknya telah mendedahkan betapa ringannya motosikal ini, walaupun ianya seberat 214kg (kering) di atas lembaran spesifikasi. Ketinggian pelana yang rendah juga membantu dalam hal ini.

Ia terasa lebih ringan lagi sewaktu kami mulai menunggang. Tork enjinnya itu terasa sekali di badan kami sewaktu motosikal itu dengan bersemangat sekali bergerak dan ia menyebabkan kami menggunakan gear yang lebih tinggi untuk tunggangan bersiar berkelajuan rendah mengelilingi Putrajaya. Tork tingginya itu menyebabkan motosikal itu untuk meluru ke hadapan dan pendikitnya terasa agak menyentap apabila dipulas pada awalnya. Kami perlu memberikan lebih perhatian bagi memodulasikan pendikitnya secara halus, pada mulanya.

Berita baiknya, keseluruhan tork tersebut bermakna anda boleh bermalas-malasan dengan motosikal tersebut. Kurang sedikit dari 2000rpm dalam gear ke-6 mampu menghasilkan 60km/j.

Kami menunggang dari Kelab Tasik Putrajaya ke pintu pagar pejabat Perdana Menteri, dari satu lampu merah ke lampu merah yang berikutnya, melalui selekoh perlahan. Motosikal Z900RS ini ternyata agak lincah dan terasa seperti sebuah motosikal yang lebih kecil. Tetapi, sebaik sahaja anda memulas pendikitnya, ia akan meluru ke hadapan dengan pantas.

Dari situ kami menuju ke Istana Kehakiman untuk satu lagi sesi bergambar sebelum menuju ke lebuh raya.

Casisnya kekal bersahaja sewaktu pecutan berkelajuan tinggi, tetapi aturcara standard forknya mempunyai redaman mampatan yang terlalu banyak dan ia melompat sewaktu di bonggol. Ia sudah pasti berfungsi dengan baik di atas jalan raya yang rata, tetapi, dengan sedikit talaan pada aturcaranya boleh membuatkannya lebih baik lagi. Penyerap hentakan belakangnya tidaklah melantun sewaktu menyusuri selekoh yang panjang, tetapi, sama seperti forknya, sebarang hentakan kuat pasti akan dirasai oleh penunggang.

Jika ada satu aspek yang saya harap Kawasaki perbaiki pada motosikal Z900RS ini adalah ‘suis ringkas’, bagi memberikan motosikal ini aura yang lebih premium. Walau bagaimana pun, ianya satu tanggapan peribadi kerana suisnya tidak mengganggu prestasi motosikal tersebut.

 

Secara keseluruhannya, motosikal Z900RS ini adalah sebuah motosikal yang amat baik sekali, berdasarkan tunggangan jangka pendek kami. Teruskan bersama kami untuk ulasan penuh motosikal ini.

 

Co-founder of Bikes Republic and a motoring journalist by night. He is a self described enthusiasts with a passion for speed but instead rides a Harley and a J300. A man of contradictions, he is just as passionate about time off in the quiets as he is about trail braking into turn one at Sepang Circuit on two or four wheels.

Artikel Berkaitan

Arkib

Ikuti Kami di Facebook

Ikuti Kami di YouTube