Bikesrepublic

Isle Of Man TT: 300km/j, 264 Selekoh Berbahaya, 258 Kematian

Sejak diperkenalkan pada 1907, Isle Of Man Tourist Trophy (TT) muncul antara perlumbaan motosikal paling popular di dunia.

Isle of Man TT merupakan perlumbaan catatan masa yang berjalan dalam tempoh 14 hari yang dipisahkan di antara minggu latihan dan perlumbaan.

Berbanding perlumbaan lain yang berlangsung di litar lumba, Isle of Man TT merupakan perlumbaan yang diadakan di jalan raya awam sekitar kepulauan Isle of Man pada bulan Mei dan Jun.

Bagaimanapun, Isle of Man dianggap sebagai litar maut – Isle of Man TT, Manx Grand Prix dan Classic TT – susulan telah meragut lebih 258 nyawa sejak 1907.

Sports Illustrated pernah melabelkan perlumbaan ini sebagai ’38 Miles of Terror’ pada 2003.

Tahun lalu, tiga pelumba kehilangan nyawa di Isle of Man termasuk juara Manx GP dan Ulstar GP, Dan Kneen.

Tidak ketinggalan, edisi tahun ini turut menyaksikan Daley Mathison, 27 tahun, maut ketika menunggang BMW S 1000 RR dalam insiden yang berlaku pada lap tiga perlumbaan RST Superbike TT.

Apa yang menjadikan Isle of Man membahayakan?

Litar ‘maut’ sepanjang 60 kilometer itu menyelusuri kawasan pergunungan sehingga 1300 kaki di atas paras laut dan menempatkan 264 selekoh berbahaya.

Tambahan pula, para pelumba memecut sehingga 300km/j dalam laluan yang tidak pernah berubah sejak perlumbaan itu diperkenalkan.

Sumber: IOMTT

Ini bermakna, pelumba tiada ruang untuk melakukan kesilapan susulan hanya dipisahkan beberapa kaki daripada bangunan lama, rumah, tiang lampu, tembok batu dan pokok yang membarisi sepanjang jalan tersebut.

Apatah lagi Isle of Man TT tidak menawarkan ciri keselamatan seperti yang terdapat pada litar lumba antarabangsa.

Sumber: Piston Head

Tidak hairanlah, bekas juara Isle of Man TT, Richard Quayle pernah berkata, “Kalau Roger Federer (tenis) tersilap pukul, dia akan kehilangan mata tetapi jika saya terlepas apex, nyawa saya akan melayang.”

Pada edisi 1970, Isle of Man TT merekodkan kadar kematian tertinggi dengan enam pelumba maut diikuti pada edisi 2016, lima kematian direkodkan.

Kenapa Isle of Man TT masih terima ramai penyertaan?

Isle of Man TT merupakan perlumbaan yang luar biasa dan unik dengan tiada kejuaraan lain yang mampu menandingi tahap bahaya dan risiko yang ditawarkan.

Sumber: IOMTT

Jadi bagi pelumba yang sertai perlumbaan tersebut secara tidak langsung akan diangkat sebagai lagenda, apatah lagi jika berjaya menamatkan kejohanan tersebut sebagai juara.

Sumber: MCN

Pelumba veteran, Guy Martin juga pernah menyebut dalam bukunya, “budaya ‘political correctness’ telah merosakkan segalanya dengan aspek kesihatan dan keselamatan. Jika perlumbaan itu terlalu selamat, saya tidak akan menyertainya.”

Dalam bahasa mudah, jika berjaya mendaki Gunung Everest merupakan pencapaian tertinggi bagi mahluk bergelar manusia, menawan litar Isle of Man merupakan ‘bucket list’ terulung bagi jiwa seorang pelumba.

Berhajat untuk sertai perlumbaan maut ini?

Jika anda antara golongan yang memasang impian untuk beraksi di Isle of Man TT, kami akan kongsikan cara untuk sertai perlumbaan terbabit.

Manx GP

Pertamanya, anda perlu sertai perlumbaan berstatus amatur di Isle of Man yang dikenali sebagai Manx GP.

Manx GP direka khas sebagai batu loncatan untuk melunaskan impian beraksi di pentas TT.

Anda perlu beraksi dalam kategori ‘newcomers’ (pendatang baharu) dengan syarat perlu memiliki lesen perlumbaan Britain atau lesen perlumbaan AMA) dan sebuah motosikal bersesaran 750cc.

Perlu diingatkan bahawa setiap pelumba amatur wajid tampil dengan ‘racing suit’ berwarna merah!

Kemudian, anda perlu merekodkan masa terbaik untuk beralih ke kategori lebih tinggi.

Seterusnya, anda boleh mensasarkan tempat untuk berlumba di Isle of Man TT namun perlu mengikuti syarat demikian:

  • Lesen Non-Championship Race
  • Lesen TT Mountain Course

Tetapi, anda perlu memiliki lesen tersebut 12 bulan sebelum menyertai perlumbaan.

Dah sedia untuk jadi lagenda di Isle Of Man TT?

Co-founder of Bikes Republic and a motoring journalist by night. He is a self described enthusiasts with a passion for speed but instead rides a Harley and a J300. A man of contradictions, he is just as passionate about time off in the quiets as he is about trail braking into turn one at Sepang Circuit on two or four wheels.

Artikel Berkaitan