Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim telah mengumumkan satu hari kelepasan am tambahan bagi memudahkan orang ramai membuat persiapan sempena Aidilfitri.
Menurut pengumuman yang dibuat hari ini, cuti tersebut bergantung kepada tarikh 1 Syawal yang akan diumumkan.
Jelasnya, jika 1 Syawal jatuh pada Jumaat ini, hari kelepasan am akan ditetapkan pada Isnin depan namun jika 1 Syawal jatuh pada Sabtu, hari kelepasan am tambahan tersebut akan ditetapkan pada Jumaat ini.
Sebelum itu, Perdana Menteri turut mengumumkan tol percuma selama empat hari bermula Rabu, Khamis, Jumaat dan Isnin.
Kerajaan juga memperkenalkan kadar khas bayaran saman RM50 bagi kesalahan trafik pada 2022 dan tahun sebelumnya mulai 21 April hingga 21 Mei.
Kejuaraan Dunia MotoGP musim 2023 telah pun memasuki pusingan keempat hujung minggu lalu yang menyaksikan pelumba LCR Honda, Alex Rins muncul juara.
Tidak jauh dibelakang adalah pelumba VR46-Ducati, Luca Marini sementara juara dunia musim 2021, Fabio Quartararo melengkapkan podium di tempat ketiga.
Bagi yang menyaksikan perlumbaan tersebut pastinya menyedari Quartararo berada pada kedudukan kedua sebaik Francesco Bangnaia kemalangan namun mudah dipintas Marini ketika di penghujung perlumbaan.
Oleh sebab itu, Quartararo terus meluahkan rasa kecewa kerana berasakan dia tidak memiliki jentera yang mampu bersaing dengan Ducati bukan sahaja dari segi kelajuan malah aerodinamik.
Ketika perlumbaan pada Ahad berakhir, Quartararo ditanyakan sama ada dia akan pilih jentera yang kelihatan seperti Ducati atau Aprilia.
“Masalahnya untuk menggunakan aerodinamik (seperti Aprilia dan Ducati), kami perlu mempunyai enjin yang sama hebat. Tetapi kami (Yamaha) tidak boleh menggunakannya kerana kedua-dua jentera ini langsung tak kelihatan seperti motosikal tetapi nampak macam roket.
“Jentera mereka ada winglet di bahagian atas, bawah, tengah dan belakang. Jadi untuk menerapkan aerodinamik sama perlu diiringi dengan kuasa yang tinggi.
“Jadi mengambil kira faktor ini, kami ketinggalan bertahun di belakang,” ujar Quartararo.
Quartararo pastinya masih terasa perit apabila mudah dipintas jentera GP22 ditunggang Marini pada Ahad. Ketika insiden tersebut berlaku, pengulas menyifatkan jentera YZR-M1 milik Quartararo tampak seperti jentera Moto2 kerana cukup mudah dipotong Marini.
CFMoto bakal menambah sebuah lagi model baharu untuk pasaran global, kali ini menerusi CFMoto 450NK berdasarkan dokumen terbaru yang difailkan di China.
Menariknya, 450NK berkongsi banyak kelengkapan dan ciri sama dengan model ‘full-fairing’ 450SR yang telah pun dilancarkan di Malaysia dengan harga jualan rasmi RM28,888.
*CFMoto 450SR
Antara ciri sama yang ditawarkan termasuk enjin parallel-twin 450cc dengan ‘firing order’ 270-darjah yang sama terdapat pada 450SR. Hasilnya, CFMoto 450NK ini menawarkan 50hp pada 9,500rpm dan 39Nm pada 7,600rpm.
Melihat kepada gambar yang disertakan bersama dokumen tersebut, jelas 450NK datang dengan rekaan mirip 800NK yang telah pun dilancarkan baru-baru ini.
*CFMoto 800NK
Bagaimanapun, 450NK adalah dua kilogram lebih ringan berbanding 450SR dengan 165kg.
Selain itu, ciri premium pada 450SR turut dibawa pada 450NK antaranya kaliper brek Brembo dengan cakera brek 320mm depan, panel meter TFT 5-inci dan fork depan jenis USD.
Pada masa sama, 450NK juga mengguna pakai kerangka dan ‘swingarm’ yang sama seperti 450SR kecuali panel badan yang lebih terdedah. Meskipun begitu, CFMoto telah mereka semula bahagian tangki yang kini lebih bersegi.
Sayangnya, CFMoto tidak mengekalkan ciri ‘winglet’ yang ada pada 450SR. Meskipun begitu, rupa keseluruhan 450NK ini masih lagi moden dan tampak agresif.
Sementara itu, ‘handlebar’ pada 450NK ini juga lebih tinggi bagi memastikan kedudukan penunggang lebih menegak sementara tempat letak kaki juga lebih rendah dan kedepan berbanding 450SR.
Persoalannya, bilakah model baharu ini akan diperkenalkan di pasaran dunia? Mengambil kira laporan terdahulu membabitkan model CFMoto kami jangka 450NK ini akan diperkenalkan tahun ini.
CFMoto telah memperkenalkan motosikal naked, CFMoto 800NK untuk pasaran Filipina sekaligus menjadi negara Asia Tenggara pertama untuk menerima model serba baharu itu.
CFMoto 800NK merupakan antara model yang paling ditunggu-tunggu, ekoran dikuasakan enjin parallel-twin 799cc yang sama terdapat pada KTM 790 Duke dan Adventure.
Menurut laporan di Filipina, enjin LC8c itu menawarkan 100.8hp dan 81Nm dan mampu merekodkan kelajuan maksima sekitar 220km/j. Hanya seberat 185kg, CFMoto 800NK ini ternyata ringan seangkatan motosikal jenama premium dan mewah yang ada dalam pasaran.
Difahamkan spesifikasi bagi pasaran Filipina merangkumi suspensi KYB (Kayaba) boleh laras di bahagian depan dan belakang, lampu LED penuh, panel meter TFT 8-inci dan kaliper brek J.Juan.
Meskipun CFMoto 800NK ini datang dengan dua varian namun hanya varian tertinggi sahaja di pasarkan di Filipina dan dijual pada harga PHP488,800 (RM38.6k).
Pelumba Ducati, Francesco Bagnaia menegaskan bahawa kemalangan di GP Amerika pada Ahad bukan salah sendiri.
Ini merupakan kali kedua berturut-turut Bagnaia gagal menamatkan perlumbaan selepas turut kemalangan di Argentina, dua minggu lalu.
Bagaimanapun, insiden di COTA paling mengecewakan apabila dia kecundang ketika sedang mendahului perlumbaan di samping kehilangan 45 mata setakat ini.
“Saya tak tahu apa yang berlaku.
“Sejujurnya, saya tidak tahu berapa lap saya lakukan minggu ini, mungkin 80 atau 100. Saya lakukannya dengan penuh kawalan dan fahaman tinggi tetapi ketika hari perlumbaan, saya kemalangan meskipun ketika sedang dalam kawalan.
“Saya sangat marah kerana saya pasti 100 peratus ini bukan salah saya.
“Di Argentina saya sedar saya terlalu memaksa tetapi bukan hari ini. Cumanya saya tak pasti apakah yang menjadi punca,” jelas Bagnaia.
Saingan di Austin, Texas pada Ahad menyaksikan pelumba LCR Honda, Alex Rins muncul juara sekaligus menghadiahkan podium ke-100 bagi pasukan itu. Tempat kedua jadi milik pelumba VR46-Ducati, Luca Marini sementara Fabio Quartararo (Yamaha) ketiga.
Dalam pada itu, perlumbaan MotoGP akan kembali bersambung pada penghujung bulan ini di Sepanyol.
Kejadian kebakaran di Suria KLCC telah menyebabkan sembilan motosikal dan empat skuter elektrik hangus terbakar dalam satu kejadian yang berlaku petang semalam.
Susulan daripada kejadian itu, ada yang mendakwa kebakaran itu berpunca daripada skuter elektrik yang diletakkan disitu.
Bagaimanapun, penyedia perkhidmatan skuter elektrik sekitar Kuala Lumpur, Beam dalam satu kenyataan menjelaskan bahawa setelah disiasat pihak berwajib, kebakaran tersebut bukan berpunca daripada skuter elektrik yang berada di tapak kejadian.
Dalam pada itu, Beam meluahkan rasa simpati terhadap pemilik motosikal yang terkesan dengan kejadian tersebut.
Dalam perkembangan terbaru, polis telah pun menahan seorang lelaki berusia 34 tahun yang disyaki terlibat dalam membakar motosikal dan skuter elektrik di KLCC, petang semalam.
Memetik laporan Berita Harian, semakan CCTV mendapati lelaki berkenaan berada berhampiran lokasi kejadian sebelum kebakaran berlaku.
“Ketika penahanan, polis merampas sebuah motosikal jenis RS, serangkai kunci motosikal, satu helai baju, satu helai seluar, satu sarung tangan, satu beg, satu jam tangan dan satu pemetik api,” jelas Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Noor Dellhan Yahaya,.
Baru-baru ini Suzuki Malaysia dalam perkongsian terbaru di media sosial mengesahkan model serba baharu, GSX-8S bakal memasuki pasaran Malaysia tidak lama lagi.
Pengumuman itu selari dengan perkongsian Pengerusi Eksekutif Kumpulan Suzuki Malaysia, Ahmad Faez Yahaya sebelum ini yang mendedahkan bahawa GSX-8S akan dipasarkan di Malaysia sekitar Suku Pertama 2023.
*Suzuki GSX-8S
Bagaimanapun, persoalannya adakah kemasukan GSX-8S ke pasaran Malaysia akan memberi kesan kepada penjualan GSX-S750?
*Suzuki GSX-S750
Untuk rekod, Suzuki GSX-8S ini merupakan entri terbaru bagi segmen motosikal naked dan dikuasakan enjin parallel-twin 776cc DOHC serba baharu yang dibangunkan kilang Hamamatsu di Jepun.
Enjin tersebut direka bagi menghasilkan kuasa pada rev rendah di samping dlengkapi dengan Suzuki Cross Balancer, yang menjaminkan tahap gegaran yang lebih rendah. Platform baharu itu menghasilkan 81.7hp pada 8,500rpm dan 78Nm pada 6,800rpm dan dikawal oleh sistem ‘ride-by-wire’.
Dari aspek kuasa, GSX-8S masih berada di belakang GSX-S750 yang bernadikan platform 4-inline.
Namun begitu, dengan GSX-8S menawarkan pelbagai ciri moden dan baharu termasuk pencahayaan LED, panel meter TFT dan sistem quickshifter, pastinya permintaan terhadap model baharu ini disambut baik dan memberi kesan pada jualan GSX-S750.
Bagaimanapun, segalanya terserah pada pihak Suzuki Malaysia bagi menentukan masa depan GSX-S750 di pasaran Malaysia.
Apa yang pasti, ketibaan GSX-8S sememangnya ditunggu-tunggu.
Pihak berkuasa mengesahkan sejumlah sembilan motosikal dan empat skuter elektrik telah hangus terbakar dalam satu kejadian yang berlaku di hadapan kompleks beli-belah Suria KLCC, semalam.
Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia memaklumkan seramai 15 anggota bomba dengan tiga trak pemadam api telah dikejarkan ke lokasi bagi tujuan pemadaman.
“Sebaik sampai, kami mendapati sembilan motosikal dan empat skuter elektrik telah terbakar sepenuhnya sementara empat lagi terbakar antara tiga hingga 20 peratus.”
Difahamkan, punca kejadian masih disiasat.
Dalam perkembangan sama, pembekal skuter elektrik, Beam, dalam satu kenyataan menjelaskan bahawa skuter mereka bukanlah punca kebakaran tersebut.
Dalam tempoh enam bulan ini, Boon Siew Honda (BSH) telah memperkenalkan beberapa model berkapasiti kecil untuk pasaran Malaysia antara Vario 125, Vario 160, diikuti Wave Alpha terbaru pada Januari lalu.
Bagaimanapun, setakat hari ini, tiada perkembangan baharu mengenai model kapcai popular, Honda EX5 yang telah pun berada di pasaran sejak diperkenalkan pada 1987.
Tinjauan di laman web rasmi Boon Siew Honda juga mendapati hanya lima model disenaraikan bagi segmen ‘Cub’ termasuk Honda RS150R, RS-X, Dash 125, Wave 125i dan Wave Alpha.
Ini secara tidak langsung membuktikan bahawa BSH tidak lagi menawarkan Honda EX5 untuk pasaran Malaysia.
Untuk rekod, kali terakhir nama EX5 dibangkitkan adalah pada 24 Februari tahun lalu apabila BSH melancarkan model edisi ulang tahun ke-35 yang hanya terhad kepada 2,000 unit sahaja.
Pencarian di Mudah.my juga mendapati hanya beberapa model EX5 dalam keadaan baru sahaja yang masih dijual.
Namun begitu setakat ini masih tiada pengumuman rasmi daripada pihak BSH yang mengesahkan bahawa penjualan dan penghasilkan EX5 telah dihentikan serta-merta untuk pasaran Malaysia.
Pengeluar motosikal China, Lifan telah menaik taraf skuter ‘adventure’ Lifan KPV150 Pro untuk pasaran negara itu.
Bagi tahun 2023, Lifan KPV150 Pro dinaik taraf dengan rekaan badan baharu termasuk lampu hadapan yang lebih segar dan sporty. Lifan juga menaik taraf enjin daripada SOHC kepada DOHC sekaligus menyaksikan enjin 150cc itu kini menawarkan 16.4hp dan 14.7Nm berbanding 12.1hp dan 11.8Nm sebelum ini.
Menariknya, model 2023 itu juga kini dilengkapi dengan kamera hadapan (dashcam) sekaligus meningkatkan lagi aspek keselamatan selain daripada kehadiran sistem ABS.
Untuk rekod, Lifan KPV150 turut dipasarkan di Malaysia dibawah jenama WMoto dan dinamakan sebagai Xtreme 150i.
Ekoran daripada naik taraf terbaru ini maka tidak hairanlah jika MForce Bike Holdings turut memperkenalkan versi baharu ini untuk pasaran Malaysia tidak lama lagi.
Bagaimanapun, sebuah lagi jenama tempatan, Aveta terlebih dulu menawarkan skuter dengan kamera depan menerusi VAV150 Hybrid baru-baru ini.
Selain itu, Lifan KPV150 Pro juga menerima casis yang diperkuat dan panel meter digital baharu. Namun, ciri lain yang terus dikekalkan termasuk brek ABS dwi-saluran, lampu LED penuh, serta pengecas UBS/12V.
Berdasarkan ciri yang disebut, pastinya menarik jika MForce memperkenalkan model dinaik taraf ini untuk pasaran Malaysia.
Kawasaki akan menaik taraf model retro Z650RS dengan fungsi Kawasaki Traction Control (KTRC) bagi model keluaran 2024.
Naik taraf itu dilaksana bagi memastikan barisan model Kawasaki kekal selamat dan berteknologi tinggi bagi tahun akan datang.
KTRC bukanlah sistem baharu dan merupakan fungsi standard yang ada pada barisan model Kawasaki termasuk Ninja 650 dan Z650. Susulan daripada pengeluar motosikal mula memperkenalkan fungsi traction control sebagai standard sepertimana ABS, maka tidak hairanlah model Z650RS juga diberi layanan sama.
Bagaimanapun, sistem KTRC yang ada pada Z650RS ini berfungsi bersama sistem sensor kelajuan dan bukannya dikawal selia oleh IMU sepertimana yang terdapat pada model ZX-10R, H2 dan Versys 1000.
Dalam pada itu, Kawasaki juga dijangka menaik taraf panel meter analog berkembar Z650RS bagi memuatkan notifikasi KTRC.
Namun begitu, Kawasaki Z650RS 2024 dijangka mengekalkan enjin parallel-twin 649cc yang berupaya menghasilkan 67hp.
Saingan MotoGP kembali bersambung hujung minggu ini yang menyaksikan para pelumba bertandang ke Amerika Syarikat bagi pusingan ketiga musim 2023.
Bagaimanapun, peminat telah pun disajikan dengan berita buruk apabila dua pelumba disahkan akan terlepas saingan kali ini.
Pelumba Honda, Marc Marquez dan Ducati, Enea Bastianini disahkan akan terlepas pusingan kali ini ekoran masih lagi dalam proses pemulihan.
Pemeriksaan kesihatan mendapati Marquez masih lagi belum pulih sepenuhnya akibat daripada kemalangan ketika di GP Portugal. HRC dalam satu kenyataan mendedahkan tulang ‘metacarpal’ lapan kali juara dunia itu masih belum pulih dan akan meneruskan program pemulihan di rumah. Marquez turut terlepas aksi GP Argentina sebelum ini.
Dalam pada itu, selepas melakukan beberapa lap di Misano dengan jentera Panigale V4S, doktor mengesahkan Bastianini masih memerlukan beberapa minggu untuk pulih sepenuhnya selepas turut mengalami kecederaan di Portugal.
Ducati turut mengesahkan pelumba uji, Michele Pirro, akan menggantikan Bastianini di GP Amerika hujung minggu ini.