Bikesrepublic

Keshy Dhillon

Benelli Malaysia dengan rasminya memperkenalkan Benelli TNT25N untuk pasaran tempatan dengan harga jualan rasmi RM12,998 (tidak termasuk cukai jalan dan insurans).

Berkonsepkan motosikal ‘naked’, TNT25N ini dikuasakan enjin satu silinder 249cc DOHC dengan penyejukan cecair yang berupaya menjana 25.5hp pada 9,250rpm dan 21.2Nm pada 8,000rpm. Kuasa pula disalurkan kepada tayar belakang menerusi transmisi 6-kelajuan.

Antara ciri lain ditawarkan termasuk lampu LED penuh, panel meter digital, cakera brek tunggal dengan 260mm depan dan 240mm belakang. 

Pakej suspensi pula terdiri daripada fork jenis ‘inverted’ di bahagian depan dan penyerap hentakan tunggal di belakang sekaligus menghadirkan tunggangan yang stabil dan tepat. 

Dengan berat (kering) 155kg dan ketinggian tempat duduk pada 780mm, Benelli TNT25Nm ini juga sesuai untuk penunggang baharu dan berpengalaman. Selain itu, model ini juga praktikal untuk kegunaan harian ekoran hadir dengan tangki 13.5L. 

Menurut Benelli Malaysia, TNT25N ini datang dengan tiga warna pilihan termasuk Power Black, Strength Red dan Golden Yellow.

FLUX, syarikat perkhidmatan langgan kereta di Malaysia kini memperkembangkan lagi servis sedia ada dengan turut menawarkan langganan motosikal. 

Tawaran terbaru itu menjadikan FLUX sebagai syarikat langgan kenderaan pertama di Malaysia yang menawarkan bukan sahaja kereta malah motosikal. 

Anda boleh melanggan sama ada motosikal elektrik atau dengan enjin pembakaran dalaman bagi tempoh (dari) 24 bulan hingga 60 bulan. 

Dalam pada itu, perkhidmatan langgan motosikal ini juga ditawarkan secara komprehensif di mana pelanggan bukan sekadar menerima motosikal malah FLUX turut menanggung insurans, cukai jalan, servis dan penyelenggaraan.

Tidak cukup dengan itu, FLUX juga membuka peluang kepada pelanggan yang melanggan motosikal sedia ada untuk membelinya di penghujung setiap langganan yang telah dibuat. 

Menurut FLUX, terdapat pelbagai model motosikal ditawarkan antaranya Yamaha Y15ZR, Honda RS150R, Vespa dan motosikal elektrik BlueShark R1. Perlu diingatkan bahawa anda boleh melanggan skuter elektrik BlueShark R1 serendah RM358 sebulan. 

Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) telah mengumumkan panggilan semula (Product Recall) membabitkan motosikal jenis Suzuki Hayabusa. 

Berdasarkan notis yang dikongsikan, panggilan semula itu melibatkan model 15 unit keluaran 2021 hingga 2023. 

Meskipun tidak dinyatakan secara terperinci sebab utama panggilan semula itu namun berdasarkan notis panggilan semula di Amerika Syarikat, isu tersebut melibatkan brek ‘master cylinder’. 

Pemilik Suzuki Hayabusa boleh membuat semakan menerusi pautan berikut; https://www.suzuki.com.my/recall dan memasukan nombor ‘vehicle identification number’ (VIN). 

Sebelum ini, JPJ turut mengeluarkan notis panggilan semula membabitkan motosikal jenis Honda X-ADV 750. 

Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dalam satu notis terbaru telah mengumumkan panggilan semula bagi motosikla jenis Honda X-ADV 750.

Panggilan semula itu babitkan model keluaran 2021 hingga 2021 dan melibatkan sejumlah 261 unit kesemuanya. 

Meskipun notis panggilan semula itu tidak dinyatakan sebabnya namun siasatan mendapati pengumuman tersebut membabitkan isu Electronic Steering Lock (ESL). 

Difahamkan, isu ESL tersebut boleh menyebabkan kunci pemegang tersangkut dan sukar dibuka. 

Dalam pada itu, orang ramai boleh membuat semakan menerusi laman sesawang berikut; https://recall-campaign.boonsiewhonda.com.my

Seorang individu telah membuat luahan di media sosial gara-gara telah dipaksa membeli kereta Honda yang merupakan kereta idaman ibu dan ayahnya. 

Luahan tersebut dibuat di laman Twitter @ConfessTweetMY.

Menurut perkongsian terbabit, individu tersebut akui berasa tertekan dengan desakan ibu dan ayahnya untuk membeli kereta Honda meskipun hanya bergaji RM1,500 sebulan.

Tidak dinafikan, ada yang melihat kereta sebagai simbol status seseorang itu dan jenama Honda sering menjadi idaman utama orang ramai. 

Namun begitu, membeli kereta seharusnya bergantung kepada kemampuan agar tidak memakan diri keesokan harinya. 

Dalam pada itu, pengguna akaun Facebook, Azizul Azli Ahmad pernah berkongsi maklumat mengenai pembelian kereta mengikut pendapatan isi rumah.

Perkongsian tersebut menjelaskan bagaimana mereka yang mampu membeli jenama Honda adalah golongan T20 dengan pendapatan isi rumah lebih RM13,000.

Umum sedia maklum bahawa litar utama di Litar Antarabangsa Sepang telah ditutup sejak 20 Mac lalu bagi urusan turap semula beberapa kawasan. 

Aktiivti turap semula itu – yang dijangka siap pada 27 April ini – dilaksanakan di Turn 7 sehingga Turn 12 kerana kawasan tersebut menampakkan pelbagai isu antaranya permukaan tak rata. 

Menurut SIC, tujuan penurapan semula itu dibuat kerana 2023 merupakan tahun pembaharuan semula homologasi FIM sekaligus penting bagi memastikan keseluruhan litar berada dalam keadaan terbaik dan bertaraf antarabangsa. 

Dalam pada itu, bahan campuran yang diguna pakai bagi proses turap semula adalah bahan sama yang digunakan sebelum ini. Difahamkan, penggunaan bahan campuran sama itu penting kerana permukaan litar SIC telah pun dikenali dan digemari pelumba MotoGP. 

Baru-baru ini tular rakaman video yang memaparkan seorang lelaki berlari ketika operasi pembasmian aktiviti lumba haram yang dijalankan polis di Jalan Jepang,Ipoh. 

Susulan daripada rakaman tersebut, rata-rata mendakwa lelaki berkenaan sedang melarikan diri daripada dikejar polis.

Bagaimanapun, Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Yahaya Hassan, menjelaskan bahawa individu berkenaan hanyalah orang awam yang berlari sebab panik dan bukannya ‘mat rempit’ seperti didakwa. 

“Dia bukan seorang ‘Mat Rempit’. Dia hanya berasa panik dan melarikan diri ketika motosikal berkuasa tinggi kepunyaan anggota polis kita sampai di lokasi kejadian ketika itu.

“Tiada (kesalahan dilakukannya). Dia hanya sebagai pemerhati (di situ). Anggota kami di situ hanya cuba untuk mengelakkan sebarang aktiviti lumba haram di situ ketika kejadian.

“Siasatan pihak polis mendapati individu yang melarikan diri adalah orang awam yang panik dengan kehadiran polis secara mengejut dalam operasi malam itu,” Yahaya Hassan memberitahu Berita Harian. 

Kilang Hamamatsu akhirnya mengumumkan projek skuter elektrik E-Burgman telah pun dimulakan dengan beberapa sesi ujian dijalankan bermula April hingga Jun.

Menurut Suzuki, ujian skuter elektrik tersebut akan bermula di Suzuki World Setagaya Minami dan akan merangkumi kawasan Meguro, Shinagawa, Ota dan Minato di daerah Jonan, Tokyo. 

Daripada ujian tersebut, Suzuki akan mengumpul data penting bagi membantu dalam pembangunan skuter elektrik seterusnya yang akan digunakan bukan sahaja untuk persendirian malah komersil. 

Ujian jalan raya itu akan melibatkan lapan unit Suzuki E-Burgman kesemuanya. 

Menariknya, E-Burgman tersebut akan mengguna pakai pek bateri boleh tukar yang dibangunkan Honda selaras dengan gerakan konsortium bateri boleh tukar yang diasaskan Honda dan Yamaha sebelum ini. 

Difahamkan, Suzuki akan turut memanfaatkan stesen pengecas Gachaco, sebuah syarikat yang ditubuhkan Honda, kawasaki, Suzuki dan Yamaha bertujuan memudahkan pengguna motosikal dan sekuter elektrik mengecas dan menukar bateri dengan mudah. 

Untuk rekod, Suzuki E-Burgman boleh bergerak sejauh 44 kilometer bagi setiap cas penuh sekaligus menjadi medium pengangkutan sesuai terutamanya di kawasan bandar. Selain itu, dengan hanya 5.4hp dan 18Nm, skuter elektrik tersebut juga dilabel sebagia mod pengangkutan selamat untuk semua peringkat umur. 

Selain Jepun, skuter E-Burgman juga akan turut dipasarkan di India dan beberapa pasaran Eropah pada satu tarikh yang akan diumumkan kemudian. 

Jenama motosikal Itali dengan kilang pembuatan di China, Benelli, telah mendedahkan model terbaru bagi tahun 2023 menerusi Tornado 402R. 

Motosikal segmen ‘sportsbike’ itu merupakan model serba baharu dibangunkan Benelli bagi pasaran global. 

Untuk rekod, ini kali pertama Benelli menghasilkan model ‘sportsbike’ dengan enjin bersesaran 400cc. Menurut laporan, platform parallel-twin pada 402R itu adalah serba baharu dan bukannya dipinjamkan daripada barisan model QJ Motor. 

Menghasilkan 48hp pada 10,000rpm, Tornado 402R merupakan motosikal 400cc paling berkuasa pernah dihasilkan Benelli. 

Selain daripada enjin serba baharu, Tornado 402R ini juga dilengkapi ciri premium termasuk ‘single-sided swingarm’, fork USD, kerangka jenis ‘tubular steel’, dan penyerap hentakan belakang jenama Marzocchi. 

Kelengkapan brek pula terdiri daripada kaliper brek Nissin dengan cakera brek 300mm depan dan 250mm belakang. Sistem brek juga dikawal selia oleh ABS. 

Menariknya, Tornado 402R ini juga dilengkapi dengan ‘slip-control’ (traction control) dan ‘dashcam’ yang terletak diantara lampu depan dan penghadang angin. 

Antara ciri lain ditawarkan termasuk:

  • tangki 14.8L
  • berat (kering) 172kg
  • ketinggian tempat duduk 785mm
  • lampu LED
  • panel meter berwarna
  • port USB

Benelli Tornado 402R akan mula dipasarkan di China terlebih dahulu dengan harga jualan CNY31,800 (RM20.4k).

Seorang pengawal keselamatan telah diberkas setelah didapati terlibat kes samun membabitkan rantai emas dianggarkan bernilai RM3,000 milik seorang pemandu peribadi dalam satu kejadian di Ampang Jaya, kelmarin. 

Menurut Ketua Polis Daerah Ampang Jaya Asisten Komisioner Mohamad Farouk Eshak, suspek, 30 tahun, telah menghimpit mangsa yang sedang memandu kereta jenis BMW menggunakan sebuah motosikal jenis Honda EX5.

Memetik laporan Harian Metro, suspek telah menumbuk cermin kereta lalu memaksa mangsa menurunkan cermin kerana khuatir dipecahkan lelaki tersebut. 

“Suspek kemudian terus meludah ke arah pengadu dan menarik kolar baju serta rantai emas milik mangsa sebelum melarikan diri,” jelas Asisten Komisioner Mohamad Farouk Eshak.

Bagaimanapun, suspek berjaya ditahan kurang 24 jam daripada tempoh kejadian.

“Siasatan dilakukan mendapati suspek menjual barang emas itu di sebuah kedai pajak di daerah ini dan membeli aksesori motosikal (cover set) menggunakan wang berkenaan,” tambah Mohamad Farouk. 

Kes sedang disiasat mengikut Sekseyn 392 Kanun Keseksaan. – Harian Metro

Tidak dinafikan, nama CFMoto semakin kerap memenuhi dada berita antarabangsa dan tempatan terutamanya menerusi model 450SR, 700CL-X, 800MT dan terbaru 800NK. 

Jenama motosikal dari China itu turut dilaporkan sedang giat membangunkan platform 1,000cc dengan konfigurasi V4 dalam usaha melahirkan jentera ‘sportsbike’ berkuasa tinggi. 

Meskipun begitu, CFMoto tidak mengetepikan segmen ‘mini-moto’ yang ketika ini popular dengan model Honda Monkey 125 dan MSX125 (Grom). 

Bagi merancakkan lagi segmen tersebut, CFMoto telah memperkenalkan Papio XO-1 di China. 

Menariknya, Papio XO-1 merupakan satu-satunya ‘mini-moto’ yang menerapkan imej ‘sportsbike’ retro. Menurut CFMoto, model ini dikuasakan enjin satu silinder 125cc dengan penyejukan cecair dan sistem suntikan bahan api yang berupaya menghasilkan 9.5hp pada 8,500rpm dan 8.3Nm pada 6,500rpm. 

Meskipun bukanlah motosikal yang berkuasa namun rupa bentuk Papio XO-1 merupakan ciri utama yang harus diberikan perhatian. Pertamanya, bahagian lampu bulat berkembar depan LED yang menampilkan rekaan ‘X’ dan ‘O’. 

Lampu LED belakang pula ditempatkan di atas ekzos dan tampil dengan garisan hitam yang menimbulkan lagi elemen retro. 

Proton terus memperkembangkan barisan model X untuk pasaran tempatan dengan memperkenalkan Proton X90. 

Proton X90 merupakan model ketiga selepas X70 dan X50 yang akan dipasarkan di Malaysia dengan imej premium. 

Bagi memastikan rangkaian pengedar juga bergerak seiring dengan imej Proton sebagai pengeluar kereta premium, rata-rata pusat pengedar berstatus 1S telah pun dinaik taraf kepada 3S dan 4S. 

Namun, bagi mereka yang enggan, Proton tidak mempunyai pilihan kecuali melepaskan pusat pengedar tersebut. 

Dalam perkembangan terbaru, Proton sahkan hanya beberapa pengedar terpilih sahaja yang dibenarkan menjual Proton X90. Menurut CEO Proton, Dr Li Chunrong, rangkaian pengedar sedia ada perlu memenuhi tiga syarat wajib bagi melayakkan mereka menjual Proton X90.

“Syarat pertama adalah memastikan servis selepas jualan yang lebih baik. Jika tidak mereka tidak boleh menjual X90. Kami akan mengenal pasti sama ada mereka boleh menjual atau tidak berdasarkan aspek tersebut. 

“Keduanya, ruang yang diperlukan. Sebagai contoh, pusat pameran perlu memuatkan lapan model kerana dihujung tahun nanti, kita akan ada lapan model kesemunya. Jadi kami tidak akan menerima pengedar yang tidak boleh mempamerkan kesemua lapan model,” jelasnya. 

Syarat ketiga pula bergantung kepada prestasi pengedar. Meskipun syarat ketiga itu tidak diperincikan namun kami menjangka syarat tersebut merujuk pada jualan dan alat ganti.

Sementara itu, Pengarah Selepas Jualan Proton, Wan Hazran turut mengesahkan langkah proaktif tersebut. 

“Kami telah pun mengenal pasti pengedar yang akan dibenarkan menjual X90. Kami telah menetapkan kriteria keta kerana kami mahu memastikan hanya pusat pameran yang terbaik sahaja boleh menjual SUV premium ini. 

“Kami masih memuktamadkan angka sebenar tetapi seperti yang disebut Dr Li, hanya pengedar terbaik sahaja akan dibenarkan menjual X90,” ujarnya. 

Tidak cukup dengan itu, Wan Hazran juga mendedahkan Proton kini meletak sasaran untuk mengurangkan tempoh menunggu di pusat servis kurang dari dua jam. 

Proton X90 merupakan model paling premium pernah ditawarkan pengeluar kereta nasional maka penting untuk rangkaian pengedar turut sama mempertingkatkan perkhidmatan sedia ada sebelum dibenarkan menjual model terbaru itu. 

Archive

Follow us on Facebook

Follow us on YouTube