Bikesrepublic

Keshy Dhillon

Sebelum ini kami telah pun melaporkan bahawa jenama motosikal mewah Itali, MV Agusta, bakal menembusi pasaran Malaysia menerusi pengedar baharu, AFY Mobility Sdn Bhd (AMI). 

Menariknya, bukan sekadar mengedar malah beberapa model akan turut dipasang sepenuhnya di Malaysia. 

Mac lalu, Pengerusi Kumpulan Eksekutif AMI, Ahmad Faez Bin Tan Sri Yahaya telah pun berkongsi beberapa gambar di media sosial yang memaparkan kelibat dua jentera MV Agusta Brutale RR. 

Dalam perkongsian terbaru, Ahmad Faez memuat naik video berdurasi 32 saat yang memaparkan model sportsbike popular, MV Agusta F3. Menariknya, model tersebut bukan versi standard sebaliknya varian edisi terhad RC (Reparto Corse). 

Untuk rekod, MV Agusta F3 dikuasakan enjin 3-silinder 798cc 12-valve yang berupaya menjana 155hp pada 13,250rpm dan 88Nm pada 10,100rpm. Enjin tersebut juga mempunyai nisbah mampatan tinggi dengan 13.3:1.

Dengan hanya seberat 165kg, MV Agusta F3 RC ini mampu mencapai kelajuan maksima sekitar 240km/j. 

Antara ciri lain ditawarkan termasuk fork depan USD 43mm jenama Marzocchi boleh laras, kaliper brek Brembo depan dan belakang, rim 17-inci dan tangki 16.5L. Model ini juga turut dilengkapi panel meter TFT 5.5”, fungsi ‘cruise control’ dan ‘launch control’. 

Buat masa ini, AMI masih belum mengeluarkan kenyataan rasmi mengenai pelancaran model MV Agusta untuk pasaran Malaysia namun kami jangkakan perkara itu akan diumumkan tidak lama lagi. 

Pasukan CryptoData RNF Aprilia memulakan aksi pembukaan Kejuaraan Dunia MotoGP dengan langkah kiri selepas kedua-dua pelumba, Raul Fernandez dan Miguel Oliveira gagal menamatkan perlumbaan. 

Oliveira kemalangan ketika berada di kelompok depan setelah dirempuh Marc Marquez di Turn 3 sekaligus memaksanya bersara di awal perlumbaan. 

Pelumba Portugal itu juga disahkan akan terlepas aksi GP Argentina setelah mengalami kecederaan. Marquez juga turut diketepikan daripada aksi di pusingan kedua setelah Repsol Honda mengesahkan juara dunia lapan kali itu mengalami kecederaan tangan. 

Ketika perlumbaan di Portimao tamat, Race Direction juga telah mengenakan penalti ‘long-lap’ berganda terhadap Marquez di Argentina. Namun, hukuman itu telah dibawa ke pusingan ketiga di GP America susulan Marquez disahkan akan terlepas aksi pusingan kedua. 

Bagaimanapun, RNF Aprilia dalam satu kenyataan, menuntut agar Race Direction melaksanakan hukuman lebih berat dikenakan. 

“Susulan aksi tidak bertanggungjawab dipamerkan Marc Marquez (Repsol Honda) terhadap Miguel Oliveira, kami mahu hukuman lebih berat dikenakan. 

“Tunggangan agresif bukan sahaja boleh meninggalkan kesan buruk pada diri sendiri malah terhadap pelumba lain. 

“Insiden antara Marquez dan Oliveira wajar dijadikan pengajaran kepada pelumba lain di MotoGP.

“Oleh itu, kami menuntut Race Direction mengenakan penalti lebih berat terhadap pelaku.”

Kawasaki mendedahkan Ninja ZX-4RR secara rasmi di Amerika Syarikat pada Februari lalu sebelum motosikal tersebut mula buat penampilan di Thailand dan Indonesia. 

Indonesia merupakan pasaran paling meriah bagi Kawasaki terutamanya sejak memperkenalkan Ninja ZX-25R tiga tahun lalu. 

Bagi meraikan ketibaan Kawasaki Ninja ZX-4RR di pasaran negara itu, Kawasaki Indonesia telah memuat naik beberapa video promosi tentang motosikal tersebut.

Bagaimanapun, video paling mencuri tumpuan adalah ujian ‘top speed’ atas mesin dyno. Ini kerana, ujian tersebut menunjukkan bagaimana Ninja ZX-4RR mampu mencecah kelajuan 253km/j pada gear enam.

Meskipun kelajuan tersebut dicatat pada mesin dyno dan bukannya atas jalan raya, angka yang ditonjolkan masih mengagumkan. 

Untuk rekod, Kawasaki Ninja ZX-4RR dikuasakan enjin 399cc 4-inline yang berupaya menghasilkan 79hp (dengan Ram Air) pada 14,500rpm dan 35.9Nm pada 11,000rpm. Kuasa enjin pula disalurkan kepada tayar belakang menerusi transmisi manual 6-kelajuan. 

Dalam perkembangan sama, tiada maklumat daripada pihak Kawasaki Malaysia sama ada Ninja ZX-4RR akan dipasarkan di Malaysia. Bagaimanapun, kami diberitahu sebelum ini bahawa Ninja ZX-25R akan diperkenalkan tahun ini dan akan dipasang sebagai model CKD. 

Proton dengan rasminya mendedahkan rupa jelas model serba baharu, Proton X90. 

Proton dalam satu kenyataan mendedahkan model tersebut telah pun ditayangkan kepada beberapa media tempatan di studio rekaan di Shah Alam. 

Untuk rekod, Proton X90 merupakan model ketiga bagi keluarga X Proton selepas X50 dan X70. Dipasang sepenuhnya di kilang Proton di Tanjung Malim, Proton X90 merupakan SUV dengan tiga baris tempat duduk.

Tampil dengan empat varian, Standard hingga Flagship, Proton X90 ini datang dengan tujuh tempat duduk tetapi turut tersedia sebagai enam tempat duduk.

Sebagai SUV moden premium, X90 juga datang dengan ciri keselamatan terkini termasuk:

  • Rear Cross Traffic Alert (RCTA)
  • Rear Collision Warning (RCW) 
  • Traffic Sign Information (TS)
  • panel meter LCD 10-inci
  • unit infotainmen 12.3-inci dengan prosesor EO2

Seperti yang diumumkan sebelum ini, Proton X90 merupakan SUV mid-hibrid dan dikuasakan enjin 1.5L TGDi yang berupaya menghasilkan 190PS dan 300Nm. Sistem hibrid EMS 48V pula menambah 13PS dan 45Nm. 

Menurut Proton, platform tersebut juga ditawarkan di pasaran China dan Filipina termasuk transmisi dual-clutch 7-kelajuan. 

Sementara itu, orang ramai akan turut diberikan peluang menyaksikan Proton X90 dengan lebih dekat menerusi sesi pra-tonton yang akan berlangsung pada 8 April ini di enam bandar terpilih. 

Pusingan pertama Kejuaraan Dunia MotoGP 2023 telah pun berlangsung hujung minggu lalu yang menyaksikan Francesco Bagnaia bermula dengan langkah kanan dalam usaha mempertahankan kejuaraan musim lalu. 

Meskipun begitu, perlumbaan tersebut dicemari insiden kemalangan membabitkan juara dunia lapan kali, Marc Marquez dan Miguel Oliveira. 

Kesilapan Marquez di Turn 3 menyebabkan dia merempuh Oliveira sebelum kedua-duanya terbabas dan tidak dapat meneruskan perlumbaan. Akibat daripada pelanggaran itu, Marquez telah dikenakan penalti ‘long-lap’ berganda di GP Argentina. 

Namun, perkembangan terbaru mengesahkan Marquez dan Oliveira akan terlepas pusingan di Argentina ekoran mengalami kecederaan.

Sementara itu, turut terlibat dengan insiden tersebut adalah pelumba Pramac, Jorge Martin. 

Memetik laporan, motorcyclesports.net, Martin persoal mengapa Marquez tidak dikenakan hukuman yang lebih berat. 

“Saya rasa penalti ‘long-lap’ berganda bukan satu hukuman yang berat untuk Marquez. Kami sentiasa diberitahu jika mengulangi kesilapan sama, hukuman lebih berat menanti namun Marquez beberapa kali telah melakukan perkara ini. 

“Tetapi disebabkan si pelaku adalah Marquez jadi mereka tidak akan lakukan apa-apa,” jelas Martin. 

Terdahulu, Marquez mengakui kesilapannya dan telah pun memohon maaf kepada Oliveira dan kem CryptoData RNF Aprilia. 

Baru-baru ini, CFMoto telah pun membuka pra-tempahan bagi model serba baharu, 800NK untuk pasaran Eropah. 

Berdasarkan maklumat dikongsikan CFMoto, terdapat dua varian yang akan ditawarkan, 800NK dan 800NK High End. Untuk rekod, versi ‘High End’ bukan sahaja datang dengan warna berbeza malah turut dilengkapi ciri ‘keyless’, quickshifter, handlebar jenis aloi aluminium dan panel meter 8-inci TFT dengan sistem multimedia MMI. 

Dalam perkembangan terbaru, kami dimaklumkan model itu akan turut dipasarkan di Malaysia menerusi CFMoto Malaysia. Berdasarkan maklumat diperolehi, CFMoto 800NK itu dijangka akan dipasarkan sekitar awal 2024. 

Ini bermakan, CFMoto 800NK bakal menyaingi pasaran motosikal naked berkuasa tinggi disini. 

Untuk rekod, CFMoto 800NK dikuasakan enjin parallel-twin LC8 799cc yang sama terdapat pada KTM 790 DUKE dan menawarkan 99hp.

Untuk makluman, CFMoto kini memegang hak terhadap enjin KTM LC8 799cc dan turut menghasilkan 790 DUKE dan 790 Adventure bagi pihak KTM untuk pasaran global.

Indonesia menjadi negara kedua Asia Tenggara untuk menyambut ketibaan model ‘sportsbike’ terbaru Kawasaki, Ninja ZX-4R, selepas Thailand. 

Menurut laporan, hanya varian tertinggi, Ninja ZX-4RR dijual di pasaran negara itu dengan harga jualan rasmi INR239.9 juta (RM70k). Sementara itu, hanya 40 unit sahaja diperkenalkan. 

Bagaimanapun, tanda harga tersebut pastinya mencuri tumpuan ekoran dua kali ganda lebih tinggi berbanding Ninja ZX-25R. 

Untuk rekod, Kawasaki Ninja ZX-4RR ini dikuasakan enjin 399cc 4-stroke DOHC dengan penyejukan cecair yang menawarkan ‘rev limit’ lebih 15,000rpm. Kuasa enjin pula disalurkan kepada tayar belakang menerusi transmisi 6-kelajuan dengan bantuan klac basah. 

Platform tersebut berupaya menghasilkan 79.1hp dengan bantuan Ram-Air. 

Dalam pada itu, varian RR ini datang dengan penghadang angin gelap, sistem ‘quickshifter’ serta fork depan Showa SFF-BP 37mm boleh laras dan ‘monoshock’ Show BFRC Lite. 

Sistem brek pula menampilkan cakera brek berkembar 290mm depan dan 220mm belakang yang diapit kaliper brek radial 4-pot depan dan 2-pot belakang. 

Pakej elektronik pula menampilkan sistem ‘traction control’ KTRC, empat mod menunggang (Sport, Road, Rain dan Rider),  panel meter LCD berwarna 4.3-inci yang boleh dihubungkan ke aplikasi Kawasaki Rideology.

Selan itu, ciri lain yang turut ditawarkan adalah seperti berikut:

  • tangki 15L
  • ketinggian tempat duduk 800mm
  • jarak kelegaan tanah 135mm
  • tayar 120/70-17 depan, 160/60-17 belakang

Modenas telah mengemas kini dua model kapcai popular, Kriss 110 dan Kriss 110 DB (cakera brek) bagi tahun 2023. 

Menurut Modenas dalam satu kenyataan, kedua-dua model ini kini datang dengan rekaan lampu depan baharu di samping  port pengecas USB. Selain itu, kedua-dua varian ini juga datang dengan pilihan warna yang lebih segar. 

Bagaimanapun, tiada perubahan dilakukan pada bahagian enjin yang masih lagi dikuasakan platform EEV satu silinder 108cc, 4-stroke dan SOHC yang berupaya menghasilkan 6.57hp pada 8,000rpm dan 6.7Nm pada 6,000rpm. 

Bagi yang berminat, Modenas Kriss 110 dijual pada harga RM3,917 manakala versi DB pula boleh dibeli dengan harga RM4,437. 

Perlumbaan pembuka tirai Kejuaraan Dunia MotoGP musim 2023 menyaksikan pelumba Ducati, Francesco Bagnaia cemerlang untuk merekodkan kemenangan pertama musim ini. 

Juara dunia MotoGP musim lalu itu menampilkan aksi konsisten untuk menang pusingan pertama diikuti Maverick Vinales (Aprilia) kedua dan Marco Bezzecchi (VR46) ketiga.

Bagaimanapun, aksi pembukaan kali ini terpalit dengan insiden kontroversi membabitkan lapan kali juara dunia, Marc Marquez.

Pelumba Repsol Honda itu brek terlalu awal di awal perlumbaan lalu hilang kawalan dan merempuh pelumba CryptoData RNF Aprilia, Miguel Oliveira. Kejadian itu menyebabkan kedua-dua pelumba tersingkir awal. 

Susulan daripada kejadian tersebut, Marquez akui akan kesilapannya. 

“Sejujurnya, saya tidak memikirkan tentang GP Argentina. Apa yang penting hari ini adalah saya harap Miguel (Oliveira) tidak apa-apa. 

“Saya melakukan kesilapan besar di Turn 3 dan menyebabkan kejadian hari ini berlaku,” jelasnya. 

Pada masa sama, Marquez akui dia risau akan keadaan Oliveira sejurus selepas perlanggaran itu. 

“Saya berjaya mengelak (Jorge) Marrtin tetapi tidak Miguel. Saya berasa cukup risau kerana rempuhan itu agak kuat,” tambahnya. 

Marquez juga telah ke kem RNF Aprilia bagi memohon maaf kepada Oliveira dan seluruh pasukan. 

Akibat daripada insiden itu, Marquez turut dikenakan ‘double long-lap penalty’ ketika di GP Argentina nanti. 

Dalam perkembangan sama, Marquez juga mengalami kecederaan di bahagian tangan dan kaki sementara Oliveira disahkan hanya mengalami lebam di bahagian kaki kanan. 

Pelumba Ducati Francesco Bagnaia, meneruskan kecemerlangan merangkul kejuaraan dunia musim lalu dengan memenangi aksi pembukaan Kejuaraan Dunia MotoGP 2023 di Portimao, Portugal, hari ini. 

Bagnaia mengutip 25 mata penuh selepas berjaya mengatasi beberapa asakan pelumba lain. Susulan daripada kejayaan memenangi perlumbaan Sprint pada Sabtu, Bagnaia kini mengutip 37 mata keseluruhan.

Sementara itu, pelumba factory Aprilia Maverick Vinales, menamatkan saingan di tempat kedua diikuti Marco Bezzecchi ketiga. 

Perlumbaan bermula sengit sebaik dilepaskan yang menyaksikan pelumba satelit Aprilia, Miguel Oliveira, berada didepan untuk seketika sebelum bingkas dipintas Bagnaia. 

Beraksi di laman sendiri ternyata memberi semangat pada Oliveira untuk menghadirkan keputusan baik pada pusingan pertama. Bagaimanapun, mimpi ngeri melanda pelumba CryptoData RNF Aprilia itu apabila dilanggar Marc Marquez di Turn 3 sekaligus menyaksikan kedua-dua pelumba bersara awal. 

Maklumat awal daripada RNF Racing mengesahkan Oliveira mengalami bengkak di bahagian atas kaki kanan sementara pemeriksaan x-ray juga mendapati tiada tulang yang patah. 

Dalam pada itu, pencabar kejuaraan musim lalu, Fabio Quartararo hanya mampu menamatkan saingan di tempat ke-10. Dia juga tampak kecewa ketika pulang ke pit. 

Aleix Espargaro juga gagal menyembunyikan kekecewaan apabila hanya menduduki tempat ke-7. 

Pusingan kedua MotoGP musim 2023 akan berlangsung di Argentina pada April.

Sempena meraikan bulan Ramadan dan Hari Raya Aidilfitri yang akan menjelma tiba tidak lama lagi, Ducati Malaysia mempunyai pelbagai tawaran menarik untuk peminat jenama motosikal Itali itu. 

Pertamanya, nikmati penjimatan sehingga 35 peratus bagi barangan cenderamata Ducati termasuk pakaian dan aksesori tulen Ducati. 

Tak cukup dengan itu, Ducati Malaysia juga menawarkan penjimatan 35 peratus bagi servis Desmo sekaligus membolehkan pemilik Ducati untuk balik kampung dengan jentera masing-masing tanpa sebarang kerisauan. 

Promosi istimewa ini berlangsung di semua pusat pameran Ducati seluruh Malaysia jadi jangan tunggu lama untuk menikmati promosi istimewa ini yang sah sehingga 21 April ini.

Dalam pada itu, Ducati Malaysia juga menawarkan peluang memiliki model Monster dan Hypermotard dengan tawaran menarik. Setiap pembelian Ducati Monster akan disertakan dengan ekzos slip-on Termignoni bernilai RM11,000 secara percuma!

Sementara itu, pelanggan yang berminat mendapatkan Ducati Hypermotard akan menikmati pakej sistem quickshifter dan helmet Peak V5 bernilai RM5,000. 

Promosi istimewa bagi kedua-dua model ini hanya sah sehingga 31 Mac ini. 

Kawasaki membuat kejutan beberapa hari lalu apabila mengumumkan kembalinya model Eliminator 400 bagi tahun 2023.

Bagaimanapun, beberapa hari selepas itu, motosikal gaya ‘cruiser’ itu turut membuat penampilan mengejut di Bangkok International Motor Show 2023 sekaligus menandakan ketibaan model itu bagi pasaran di Thailand. 

Perkembangan tersebut secara langsung mengesahkan kembalinya lencana Eliminator selepas model itu dihentikan pengeluarannya pada 2007.

Digerakkan enjins sama yang menghidupkan Ninja 400 dan Z400, Kawasaki Eliminator 400 ini menawarkan 47hp pada 10,000rpm dan 37Nm pada 8,000rpm. 

Mengguna pakai kerangka trellis besi seperti Ninja 400, Eliminator 400 tampil dengan gaya ‘cruiser’ klasik dengan reka bentuk rendah dan panjang. Meskipun begitu model ini hanyalah seberat 176kg sekaligus sesuai untuk mereka yang mahu berjinak dengan motosikal ‘cruiser’. 

Antara ciri lain ditawarkan termasuk tangki 13L dan ketinggian tempat duduk 735mm. Menurut laporan, Kawasaki Eliminator 400 itu dipasarkan di Thailand dengan harga jualan THB224,900 (RM29k). 

Archive

Follow us on Facebook

Follow us on YouTube