Bikesrepublic

Berita Terkini

Kebelakangan ini, beberapa pengeluar motosikal premium telah memeterai perjanjian dengan pengeluar motosikal Asia bagi membangunkan jentera bersaiz sederhana.

Harley-Davidson telah menjalinkan kerjasama dengan Qianjiang Motorcycle sementara Triumph bersama Bajaj.

Kini, MV Augusta bakal mengikut jejak tersebut setelah mengumumkan mereka bakal bekerjasama dengan pengeluar motosikal China, Loncin Motor.

MV Augusta turut menjelaskan bahawa tidak kurang daripada empat model dengan enjin bersesaran 350 hingga 500cc dengan jenama MV akan dilancarkan menjelang 2021.

Pada masa sama, mereka turut menegaskan bahawa meskipun dengan enjin bersaiz kecil, jentera tersebut akan tetap membawa nama MV Augusta. Malah, pengeluar motosikal Itali itu menekankan bahawa model akan datang itu akan djual sebagai motosikal bersaiz kecil premium dan akan dilengkapi sistem tunggangan dinamik seperti yang terdapat pada model MV lain.

Bagaimanapun, bagi memastikan harga ditawarkan berada dalam lingkungan ‘mampu milik’. Jentera tersebut akan dihasilkan di China menerusi Loncin Motor.

Sehingga kini, MV tidak pernah menghasilkan jentera secara besar-besaran (mass production), sekaligus menjadikan kerjasama dengan Loncin Motor membantu dalam mencapai matlamat tersebut.

(SUMBER: Ride Apart)

PETRONAS Lubricants Marketing Malaysia (PLMM) meraikan pemenang bulan Jun untuk peraduan PETRONAS Sprinta Bonanza.

Ahmad Shafiq Sharifudin, 23 tahun merupakan pemenang bertuah bagi bulan Jun dan membawa pulang sebuah jentera Yamaha Y15ZR.

Motosikal tersebut telah diserahkan oleh Ketua Peruncitan PLMM, Mohd Bahrin Mohd Yunus di PETRONAS Tanah Liat.

Shafiq – yang bertugas sebagai pelatih kesihatan – hanya membelanjakan sebanyak RM70 dengan membeli minyak pelincir Sprinta F700.

Peraduan PETRONAS Sprinta Bonanza telah pun bermula sejak Mac lalu dan akan berlanjutan sehingga 30 September 2019.

Tujuh buah Yamaha Y15ZR ditawarkan bagi hadiah bulanan sementara tiga buah Yamaha R25 menanti pemenang tempat kedua. Yamaha R6 ditawarkan sebagai hadiah utama yang bernilai lebih RM100,000.

Setiap motosikal ditawarkan turut tampil dengan livery PETRONAS Yamaha SRT yang beraksi di MotoGP.

Berikut senarai pemenang setakat ini:

Mac : Sahrulnaim bin Sahrahan
April : Mohd Arif bin Mohmad Yasin
Mei : Muhamad Faez bin Aju
Jun : Ahmad Shafiq bin Ahmad Sharifudin

Untuk maklumat lanjut, layari laman sosial Facebook PETRONAS Sprinta Malaysia dan Instagram @petronas_sprintamy

Senario penuh misteri berlaku di litar Nurburging, Jerman apabila kelibat dua kereta jenis Mazda RX-8 kelihatan menjalani sesi ujian baru-baru ini.

Tahun 2012 merupakan tahun akhir bagi model RX-8 – yang menggunakan enjin ‘rotary’. Sejak daripada itu, Mazda kekal berdiam diri dengan perkembangan enjin ikonik tersebut.

Bagaimanapun, berdasarkan paten yang didedahkan awal tahun ini mendapati Mazda masih giat meneruskan pembangunan enjin ‘rotary’.

Kini, sebuah video yang dimuat naik ke Youtube memaparkan dua buah model RX-8 – tujuh tahun selepas model tersebut diberhentikan – melakukan beberapa pusingan di Nurburging merumitkan lagi misteri yang masih gagal dirungkai.

Video tersebut didakwa dirakam ketika Hari Industri di mana yang pengeluar kereta diberikan akses kepada litar sekaligus mengesahkan bahawa Mazda sedang menguji model tersebut.

Bagaimanapun, persoalan utama timbul, mengapa Mazda menguji dua model lama?

Senario yang paling masuk akal ketika ini adalah Mazda sedang menguji enjin ‘rotary’ baharu yang telah berselindung di sebalik bonet depan dua model RX-8 itu.

Ketika ini Mazda masih mengunci mulut mengenai sebarang perkembangan enjin ‘rotary’ sekaligus peminat setia enjin tersebut hanya mampu berspekulasi.

Laporan mengenai penyambung legasi enjin ‘rotary’, RX-9 telah pun timbul sejak lapan tahun lalu namun sehingga kini masih tiada laporan susulan.

Namun, orang ramai boleh terus berharap berdasarkan sesi ujian dua model Mazda RX-8 ini.

Pada masa sama, jika Toyota kembali dengan Supra sementara terdapat ura-ura mengenai Mitsubishi Evo 11 dihasilkan, tidak hairan jika Mazda turut mengambil langkah sama dengan mengembalikan jentera ikonik itu.

(SUMBER: Motor1.com)

Pengeluar tayar nombor satu dunia, MICHELIN memperkenalkan MICHELIN Pilot Sport 4 SUV bagi memenuhi kehendak jentera SUV premium di negara ini.

Produk terbaru keluaran MICHELIN ini dijamin lebih tahan lama dan tahan lasak serta memiliki kemampuan membrek lebih tinggi sekaligus memastikan pemanduan selesa.

Pengarah Urusan MICHELIN Malaysia, Singapura, Indonesia dan Brunei, Pascal Nouvellon berkata MICHELIN Pilot Sport 4 SUV menyempurnakan keluarga Pilot Sport sedia ada.

“Produk baharu ini membawa teknologi dan penambahbaikan terbaik bagi memastikan pengalaman pemanduan terbaik dengan keselamatan tertinggi.

“Tayar baharu ini memiliki rekaan bunga yang telah ditambah baik serta kompaun baharu bagi menjamin cengkaman terutamanya ketika cuaca hujan. Kami berpegang teguh dengan tagline, ‘Out there, you are always in control’,”jelasnya.

Kompaun terbaru yang menggabungkan silika nipis dan ‘functional elastomer’ yang inovatif, MICHELIN Pilot Sport 4 SUV muncul tayar terbaik ketika pemanduan atas permukaan basah menewaskan jenama premium lain.

Tayar baharu ini mengambil masa 5.06 lebih pantas untuk menyempurnakan litar 1050 meter berbanding pencabar lain malah, turut muncul tempat pertama ketika sesi brek atas permukaan kering – 2.7 meter lebih pendek berbanding pesaing lain.

Rekaan asimetri yang memfokuskan bentuk bunga menyumbang kepada cengkaman mantap ketika menyelusuri selekoh sekaligus membuktikan pemanduan responsif.

MICHELIN Pilot Sport 4 SUV mampu bertahan sehingga 13,000 kilometer berbanding jenama premium lain.

“Sentuhan premium dengan rekaan 91 peratus hitam elegan menonjolkan lagi rupa sporty tayar,”tambah Pascal.

MICHELIN Pilot Sport 4 SUV kini boleh didapati di TYREPLUS dan setiap pengedar rasmi Michelin seluruh negara dengan 39 saiz ditawarkan bagi rim berukuran 17 hingga 23 inci dengan harga bermula dari RM700.

Untuk maklumat lanjut, layari www.michelin.com.my

Selepas berapa lama menanti, akhirnya Triumph menyampaikan berita gembira apabila mengumumkan bakal melancarkan Triumph Daytona 2020 di GP Britain, 23 Ogos ini.

Diberi nama ‘Triumph Daytona Moto2 765 Limited Edition’, model edisi terhad ini mendapat inspirasi daripada jentera Moto2.

Bagaimanapun, terdapat beberapa perbezaan kecil di antara model yang akan dipasarkan dengan jentera Moto2 namun ketika ini masih tiada maklumat rasmi akan perbezaan dimaksudkan.

Kedua-dua model – Daytona Moto2 765 Limited Edition dan versi Moto2 – akan membuat beberapa pusingan di litar Silverstone.

Apa yang menarik, Triumph menegaskan bahawa jentera baharu ini akan memaparkan kuasa paling tinggi dan spesifikasi terbaik.

Susulan Triumph sebagai pembekal enjin rasmi bagi kelas Moto2 Kejuaraan MotoGP Dunia FIM, Triumph Daytona 765 Moto2 Limited Edition juga merupakan produk berlesen dengan kerjasama Dorna.

UMW Toyota Motor Sdn Bhd mengumumkan Festival Toyota Gazoo Racing Musim ke-3 yang akan membuka tirai September ini.

Musim baru ini kini melibatkan empat pusingan yang merangkumi lapan Toyota Vios Challenge One Make Races yang akan berlangsung di jalan raya dibina khas dan di Litar Antarabangsa Sepang.

Tiga kelas perlumbaan dipertandingkan seperti edisi sebelum ini:

  • Promotional Class – selebriti tempatan
  • Sporting Class – pelumba amatur
  • Super Sporting Class – pelumba profesional

Musim ketiga ini juga akan menyaksikan perlumbaan di alam maya menerusi siri Gazoo Racing Velocity E-Sport yang telah diperkenalkan September tahun lalu.

Seperkara lagi yang pasti akan menarik perhatian adalah Gazoo Racing Outlet yang akan memaparkan beberapa model Toyota antaranya Gazoo Racing Supra.

Timbalan Pengerusi UMW Toyota Motor,  Akio Takeyama mahu orang ramai lebih mendekatkan diri dengan jenama Toyota.

“Toyota telah mencapai pelbagai kejayaan terutamanya dalam arena perlumbaan jadi kami mahu peminat dan pelanggan kami menyelami sejarah Toyota.

“Festival TGR bukan untuk menjual lebih banyak kereta tetapi lebih kepada meraikan kejayaan Toyota dalam perlumbaan global dari rali Dakar dan Kejuaraan Rali Dunia sehinggalah ke 24 Hours Le Mans, ” jelasnya.

Sementara itu,  TGR turut menjadi medan pembangunan pelumba muda apabila Musim 2 menampilkan pelumba berusia 14 tahun beralih dari perlumbaan go-kart ke kereta saloon.

Seperti dua edisi sebelum ini, Musim 3 akan membariskan selebriti tempatan antaranya:

  • Shukri Yahya
  • Shawn Lee
  • Nabil Ahmad
  • Khai Bahar
  • Nabila Razali
  • Wany Hasrita
  • Janna Nick
  • Diana Danielle
  • Ain Edruce
  • Syafiq Kyle

Menariknya, Takeyama sendiri akan beraksi buat kali ketiga berturut-turut.

Pada masa sama,  Presiden UMW Toyota, Ravindran K berkata festival TGR merupakan medan membuktikan kemampuan kereta Toyota.

“Pengeluar kereta hari ini berkongsi objektif yang sama iaitu menghasilkan kenderaan yang praktikal,  mampu milik dan boleh diharap tetapi bagi Toyota bukan sahaja penting untuk kami memenuhi sasaran ini malah menawarkan pengalaman terbaik buat pelanggan kami,” jelasnya.

Musim 3 turut dirancakkan dengan penaja rasmi antaranya Toyo Tires,  Denso,  TRD Asia, Moty, Enkei,  M7 dan Toyota Capital Asia.

Arkib

Ikuti Kami di Facebook

Ikuti Kami di YouTube