BMW Motorrad mula mengorak langkah di pentas Kejuaraan Superbike Dunia (WorldSBK) musim 2021 apabila berjaya mendapatkan khidmat pelumba Michale van der Mark.
Pelumba berusia 27 tahun itu yang sebelum ini bersama pasukan Yamaha bakal beraksi pada musim 2021 menggunakan jentera BMW S 1000 RR.
Van der Mark akan meninggalkan Yamaha sebaik musim 2020 berakhir selepas empat tahun bersama.
Meskipun berjaya menoktahkan diri sebagai pelumba tonggak dengan jentera R1 sejak menyertai pasukan itu pada 2017 namun dia masih belum berjaya menyaingi lima kali juara dunia WorldSBK, Jonathan Rea dari pasukan Kawasaki.
Kini, bekas juara dunia Supersport 2014 itu berpeluang memberi cabaran baharu bersama pasukan BMW Motorrad WorlSBK setelah merekodkan lebih tiga kemenangan dengan 29 podium.
Sementara itu, BMW Motorrad WorldSBK turut akan mengumumkan gandingan van der Mark dalam masa terdekat.
Ducati memperkenalkan Panigale V2 dengan pilihan warna putih ‘White Rosso’.
Panigale V2 merupakan varian lebih ‘mampu milik’ berbanding model V4 dan merupakan motosikal segmen sportsbike pertengahan menggantikan model sebelumnya Panigale 959.
Kini Ducati menawarkan pilihan warna baharu bagi Panigale V2 dalam bentuk ‘White Rosso’ yang menggabungkan elemen warna White Silk dengan Ducati Red.
Meskipun warna putih terserlah namun elemen Ducati Red masih jelas terpampang di bahagian fairing, lampu depan dan rim.
Panigale V2 masih mengekalkan ciri ‘single-sided swingar’ ikonik seperti yang ditawarkan varian V4 termasuk enjin 955cc Superquadro dengan silinder berkembar yang menjana sekitar 155hp pada 10,10750rpm dan 104Nm.
Menariknya, sistem elektronik yang terdapat pada V4 turut ditawarkan pada varian V2 antaranya:
ABS Bosch Cornering EVO
Ducati Traction Control EVO 2
Ducati Wheelie Control EVO
Engine Brake Control EVO
Selectable Riding Modes (Street, Sport, Race)
Ducati Data Analyser + GPS (DDA+ GPS)
Ducati Quick Shift up/down (DQS) EVO 2
Ducati Lap Timer GPS (DLT GPS)
Ducati Multimedia System (DMS)
Panigale V2 ini telah pun diperkenalkan tahun lalu ketika kami menghadiri Ducati World Premier 2020 di Rimini, Itali dan hanya menanti masa untuk dilancarkan di pasaran Malaysia.
Bagi menampung permintaan servis dan baik pulih motosikal semakin meningkat, Modenas Power Store mencari mekanik baharu bagi Service Plus!
Modenas Power Store memerlukan mekanik – berpengalaman atau tidak – dalam mengendalikan motosikal jenis Modenas Pulsar NS200/RS200, Dominar D400 dan V15.
Bagi yang tiada pengalaman, tak perlu risau kerana anda akan menerima tunjuk ajar daripada sifu dan ketua mekanik, Abang Faisal sendiri.
Ini merupakan peluang terbaik untuk mekanik muda menimba pengalaman dan ilmu dalam baik pulih dan servis motosikal bersesaran 200cc ke atas.
Bagi yang berminat, sila hubungi +60128003470 untuk membuat janji temu (appointment) atau boleh hadir ke Modenas Power Store di Kota Damansara bagi sesi temu duga.
Ikuti perkembangan terkini Modenas Power Store Kota Damansara di laman Facebook!
MV Agusta dengan rasminya melancarkan Brutale 1000 RR 2020 yang didakwa menawarkan keseimbangan di antara gaya, teknikal dan dinamik di jalan raya.
Sebelum ini, Brutale 1000 RR Serie Oro merupakan pengeluaran edisi terhad namun bagi 2020, MV Agusta menghasilkan model ini secara besar-besaran agar lebih ramai dapat memiliknya.
Ini merupakan antara langkah baharu diambil MV Agusta sejak diambil alih Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) baharu, Timur Sardarov.
Meskipun dihasilkan secara besar-besaran Brutale 1000 RR 2020 bukanlah murah namun ditawarkan pada harga lebih rendah berbanding Serie Oro.
Keseluruhan rekaan model baharu ini tampak moden dan jahat dengan rekaan lampu depan LED yang cukup menonjol dan menawarkan berat (kering) sekitar 186 kilogram.
Menariknya, enjin 998cc empat inline ini menjana 208hp pada 13,450rpm dan 116.5Nm, angka yang sering ditawarkan sebuah motosikal sportsbike namun diletakkan pada sebuah jentera naked.
Rahsianya, kuasa itu disumbangkan menerusi penggunaan rod piston titanium dan radial valve timing sekaligus tak hairanlah jentera ini menawarkan kelajuan maksima sekitar 300 km/j.
Tular di media sosial gambar yang didakwa merujuk kepada surat rasmi daripada pihak Suzuki Assemblers Malaysia yang memaklumkan pengedar jenama itu bahawa mereka akan menghentikan operasi.
Surat rasmi tersebut turut ditandatangani oleh Pengarah Urusan Suzuki Assemblers Malaysia, Kunihiko Uetsuki.
Menurut surat tersebut, segala perniagaan dan transaksi diberhentikan bermula 1 Julai 2020 (hari ini) sementara semua kontrak pengedar Suzuki ditamatkan bermula 31 Julai 2020.
Berdasarkan maklumat yang dikongsikan, setiap jaminan bank dan deposit akan diserahkan semula kepada pengedar Suzuki sebelum 15 Ogos 2020.
Menariknya menurut surat itu, segala urus niaga selepas ini akan diuruskan oleh Suzuki Malaysia Sdn Bhd (SMSB).
Ketika ini masih tiada pengumuman rasmi kepada pihak media dan orang ramai mengenai perkara ini oleh pihak Suzuki Assemblers Malaysia mahupun SMSB.
Kawasaki bakal mengembangkan teknologi ‘supercharged’ ke platform baharu.
Bukan itu sahaja, daripada paten yang didedahkan jelas memaparkan sebuah enjin yang merangkumi sistem supercharged, hibrid dan dua lejang!
Bunyi macam tak masuk akal tetapi paten terbaru daripada Kawasaki itu mengesahkannya.
Daripada gambar rajah tersebut jelas menunjukkan sistem yang tak pernah dilihat daripada pengeluar motosikal lain.
Bagaimanapun, enjin hibrid yang dipaparkan bukanlah merujuk kepada parallel hibrid yang berfungsi dengan memberi sokongan kepada pembakaran dalam enjin bagi menggerakan kenderaan.
Sebaliknya, enjin ini menerapkan sistem serial hibrid yang mana kuasa elektrik digunakan sepenuhnya untuk memusingkan tayar manakala pembakaran dalam enjin hanya berfungsi untuk menghasilkan elektrik yang diperlukan.
Menariknya, Kawasaki bukan merancang untuk menggunakan sistem hibrid ini untuk menambah kuasa kepada enjin yang berkuasa sederhana agar dapat pergi lebih jauh seperti yang ditawarkan kenderaan empat roda dalam pasaran.
Pengeluar motosikal Jepun itu mahu menggunakan enjin berprestasi tinggi agar kuasa dihasilkan lebih lancar dan efisien.
Pada masa sama, segala teknologi itu akan dibangunkan dalam enjin dua lejang.
Bagaimanapun, gambar tersebut jelas menunjukkan enjin dua lejang dimaksudkan bukanlah yang enjin dua lejang konvensional yang biasa digunakan pada motosikal sebaliknya mengguna pakai ‘poppet valve’ termasuk ‘double overhead cam’ seperti yang terdapat pada enjin empat lejang.
Kemudian keseluruhan sistem tersebut akan menerima suntikan ‘supercharged’ seperti yang ditawarakan varian H2.
Meskipun tanggapan awal enjin ini akan diterapkan kepada jentera dua roda namun tak dinafikan kenderaan lain – buggy, jetski – turut dapat menikmati teknologi baharu ini. – CycleWorld