Bikesrepublic

Berita Terkini

Boon Siew Honda Sdn. Bhd. telah memperkenalkan beberapa warna baharu untuk Honda ADV160 (2025).

Honda ADV160 ialah skuter ‘adventure‘ (kembara) berkapasiti kecil dan ringan yang mencatatkan jualan cemerlang di seluruh negara. Warna-warna baharu ini menyegarkan semula model yang telah dijual sejak 2023.

Terdapat dua kategori warna untuk motosikal ini – satu ialah edisi standard, manakala satu lagi ialah edisi khas.

Edisi Standard

Terdapat dua pilihan warna baharu di sini: Matte Black (Hitam) dan Red (Merah), yang dijual bersama warna White (Putih) sedia ada. Warna-warna baharu ini menampilkan reka bentuk jalur yang elegan bagi menyerlahkan penampilan advan skuter ini. Ketiga-tiga pilihan ini dijual pada harga bermula dari RM13,249.00 (harga jualan asas, bukan di atas jalan).

Edisi Khas

Honda menggambarkan edisi khas ini sebagai penampilan yang lebih elegan untuk Honda ADV160. Warna baharu ini dipanggil Grey (Kelabu), sebagai tambahan kepada warna Matte Green (Hijau) sedia ada. Warna edisi khas ini dijual pada harga bermula dari RM13,549.00 (bukan atas jalan), iaitu tambahan RM300.00.

Ketersediaan

Honda ADV160 2025 dengan warna-warna baharu ini akan tersedia di semua showroom IMPIAN X dan pengedar Honda yang berautoriti di seluruh negara, dijangka mulai 8 Mei 2025.

Mengenai Honda ADV160

Honda ADV160 dikuasakan oleh enjin 157cc dengan ciri Enhanced Smart Power Plus (eSP+), yang menawarkan kecekapan bahan api yang cemerlang, prestasi lebih lancar, dan pelepasan lebih rendah melalui rekabentuk pembakaran termaju dan suntikan bahan api PGM-FI yang tepat.

  • Keselamatan diberi keutamaan dengan ciri seperti Honda Selectable Torque Control (HSTC), Sistem Brek Anti-Kunci (ABS), dan Isyarat Berhenti Kecemasan (ESS) – semuanya direka untuk memastikan kestabilan optimum dan keyakinan penunggang dalam pelbagai keadaan.

  • Kemudahan dan keselamatan ditingkatkan dengan Honda Smart Key, yang dilengkapi ciri penggera anti-kecurian, dan fungsi answer-back (jawab balik).

  • Kebolehgunaan harian dipertingkat dengan pengecas USB terbina dalam, petak penyimpanan luas 30L di bawah tempat duduk, dan meter LCD pelbagai fungsi untuk maklumat perjalanan penting.

  • Keselesaan penunggang diperhalusi lagi dengan skrin penahan angin boleh laras dua peringkat, jarak tanah yang lebih rendah, dan tangki bahan api besar 8.1L yang memberikan perjalanan lebih jauh tanpa gangguan.

  • Inovasi tambahan seperti Idling Stop System (ISS) dan pencahayaan LED penuh melengkapkan motosikal yang bukan sahaja pintar dan cekap, tetapi juga sedia untuk mengembara.

Boon Siew Honda menawarkan waranti pembuatan dua tahun atau 20,000km, mengikut mana yang terdahulu. Untuk maklumat lanjut, sila layari https://boonsiewhonda.com.my/product/adv160 atau kunjungi Honda Impian X terdekat. Pelanggan juga boleh menghubungi BSH melalui nombor talian bebas tol 1-800-88-3993.

Galeri Foto

Seperti yang dijangkakan, setiap versi BMW R XXXX GS dan GS Adventure baharu akan diikuti oleh RT dan RS baharu, dengan menggunakan enjin yang sama. Oleh itu, BMW R 1300 RT dan BMW R 1300 RS yang terbaru dilancarkan mengikut jejak R 1300 GS. (R 1300 R baharu dilancarkan dua minggu lalu.)

Kedua-dua R 1300 RT dan R 1300 RS muncul pada masa yang sama kerana mereka berkongsi kebanyakan komponen dan ciri yang sama.

Ciri-ciri utama BMW R 1300 RT baharu

  • Enjin dua silinder mendatar (Boxer) dengan sesaran 1300cc, menggunakan dimensi gerek dan lejang 106.5 x 73mm.
  • Enjin ini menghasilkan 143 hp pada 7,750 RPM dan 149.2 Nm pada 6,500 RPM, menjadikannya enjin Boxer BMW pengeluaran paling berkuasa setakat ini.

  • Kerangka utama yang direka bentuk sepenuhnya menggunakan kerangka keluli lembaran baharu (seperti R 1300 R), ditambah dengan kerangka belakang aluminium tuang acuan.
  • Perbezaan utama antara R 1300 RT dan R 1300 RS ialah sistem suspensi depan: R 1300 RT dilengkapi dengan Telelever Evo baharu dari R 1300 GS, yang mengasingkan setang daripada gantungan dengan lebih efektif berbanding sebelum ini.

  • Di bahagian belakang, Evo Paralever menyediakan sambungan yang lebih kukuh melalui gantungan dalam kerangka, serta gandar sistem buka cepat pada lengan ayun.
  • Roda tuangan aluminium 17-inci baharu dengan reka bentuk jeriji berlubang mengurangkan berat sebanyak 1.4 kg.

  • Sistem brek terdiri daripada cakera brek berkembar di depan dengan kaliper empat piston dipasang secara radial.
  • Sebuah skrin warna TFT 10.25-inci turut disertakan, dilengkapi dengan navigasi peta bersepadu dan Connectivity Hub yang baru dibangunkan.

  • Sistem bantuan elektronik untuk penunggang termasuk mod standard Road, Rain, Eco serta Cornering ABS.
  • Dengan tambahan pilihan “Riding Modes Pro”, pengguna boleh menikmati mod tambahan seperti ‘Dynamic’ dan ‘Dynamic Pro’.

  • Peningkatan tambahan termasuk Riding Assistant yang dilengkapi dengan: Active Cruise Control (ACC), Front Collision Warning (FCW), Lane Change Warning (SWW).

  • Untuk warna, pilihan tersedia adalah:  Alpine White 3, Triple Black dalam kemasan Blackstorm metallic, Racing Blue metallic, dan 719 Camargue dalam kemasan Blue Ridge Mountain metallic
Ciri-ciri BMW R 1300 RS baharu

  • Model R 1300 RS merupakan varian ‘sport-touring‘ dalam barisan siri-R BMW.
  • Seperti yang dinyatakan sebelum ini, perbezaan utamanya terletak pada sistem gantungan depan yang menggunakan: Garpu teleskopik terbalik (upside-down) 47mm baharu berbeza dengan sistem Telelever Evo pada model RT

  • BMW R 1300 RS baharu boleh dilengkapkan dengan sistem brek sukan pilihan yang menampilkan kaliper brek berwarna titanium.
  • Terdapat juga varian prestasi tinggi yang merangkumi: Suspensi lebih berprestasi tinggi, tuas gear pendek, tapak kaki boleh laras dan dimesin, DTC-Shift (‘quickshifter‘). dua skrin sport tambahan, pelana sport, spoiler enjin, tayar sport.

  • Pilihan warna untuk BMW R 1300 RS termasuk: Racing Blue metallic, Triple Black dalam kemasan Blackstorm metallic, Performance berorientasikan sport dengan warna Lightwhite Uni, dan 719 Cuyamaca dalam kemasan Brooklyn Grey metallic.

“Perang skuter di Malaysia belum berakhir,” demikian kata Asri Ahmad, Ketua Pegawai Operasi MForce Bike Holdings Sdn. Bhd. semasa pelancaran rasmi ARIIC 318 GT, malam tadi.

Apa yang dikatakannya benar, justeru semakin banyak skuter kini memasuki pasaran kita yang memberikan pelbagai pilihan kepada pembeli. Dan itu adalah sesuatu yang baik.

Seperti namanya, ARIIC 318 GT adalah skuter ‘grand touring‘ (kembara mewah) kelas pertengahan yang menawarkan pemiliknya keselesaan semasa mengembara, serta kemudahan ketika menunggang di bandar.

Ciri-ciri utama:
  • Enjin 330cc, satu silinder, penyejukan cecair, SOHC, 4 injap yang menghasilkan 28 HP pada 7,000 RPM dan tork 30.8 Nm pada 5,500 RPM.
  • Tork maksimum lebih tinggi daripada kuasa maksimum, ciri yang baik untuk enjin motosikal jelajah dan bandar.

  • Brek depan dengan cakera berkembar 260mm dengan kaliper empat piston dipasang secara radial, dan brek cakera belakang 240mm, disokong oleh ABS Bosch dwi-saluran.
  • Saiz tayar depan ialah 120/70-14, manakala tayar belakang berukuran 150/70-13.

  • Bahagian depan menggunakan fork teleskopik, manakala belakang disokong oleh sepasang penyerap hentakan yang boleh dilaras untuk pra-beban.
  • Meter TFT bersaiz besar dilengkapi sistem pemantau tekanan tayar (TPMS).

  • Kamera hadapan terbina dalam.
  • Skrin angin elektrik boleh laras.

  • Ruang penyimpanan bawah tempat duduk yang memuatkan untuk dua topi keledar muka penuh.
  • Pencahayaan LED.

  • Suis handel bercahaya belakang.
  • Penghidupan tanpa kunci (‘keyless ignition‘).

  • Tangki minyak 16 liter, yang secara teori mampu memberikan jarak perjalanan kira-kira 500 km, berdasarkan penggunaan bahan api terbaik yang dinyatakan iaitu 3 liter/100 km.

Walaubagaimanapun, skuter ini tidak dilengkapi kawalan cengkaman (‘traction control‘) atau mod tunggangan (‘ride mode‘), tetapi ia tetap menawarkan banyak ciri hebat pada harga jualan RM22,888.00.

ARIIC 318 GT dilindungi waranti selama dua tahun tanpa had jarak. Ia akan mula dijual di pengedar rasmi MForce Bike tidak lama lagi.

Galeri foto

Seorang lelaki yang membeli sebuah Honda Civic Type R terkejut apabila kereta itu merupakan keretanya sendiri yang telah dicuri beberapa bulan dahulu.

Itu dialami seorang jurutera perisian berusia 36 tahun dari Solihull, West Midlands, yang mengalami kejadian mengejutkan apabila kereta kesayangannya yang dilarikan pencuri, berjaya ditemukan dengan cara tidak disangka-sangka.

BBC melaporkan, Ewan Valentine kehilangan Honda Civic hitam miliknya selepas ia dilarikan dari halaman rumahnya pada Februari lalu.

Laporan polis dibuat dan Valentine dimaklumkan peluang untuk mendapatkan semula kenderaannya adalah sangat tipis.

Selepas syarikat insurans meluluskan tuntutannya, Valentine menggunakan wang pampasan untuk membeli sebuah kereta pengganti.

Dia menemukan sebuah lagi Honda Civic Type R hitam dan membelinya dengan harga GBP20,000 pound sterling (RM116,315.26).

Bagaimanapun, selepas diteliti, Valentine mendapati kereta yang dibelinya itu sebenarnya adalah keretanya yang hilang sebelum ini.

Menceritakan kesedihan selepas keretanya dicuri, Valentine memberitahu BBC bahawa dia berasa amat kecewa kejadian curi itu dan bertekad mendapatkan semula kereta model sama.

Ia kereta impian saya. Bukan mudah nak cari model begini, jadi saya sangat berazam untuk cari model sama sebagai pengganti. Saya jumpa satu kereta yang sama, memiliki warna yang sama, model tahun sama, malah sistem ekzosnya pun seperti kereta saya dulu,” katanya.

Valentine mula mengesyaki sesuatu apabila menemukan beberapa barang di dalam kereta berkenaan seperti sebatang pasak khemah, cebisan pokok Krismas dan pembalut coklat.

Semuanya sangat serupa dengan apa yang ada dalam kereta saya yang hilang dahulu,” katanya.

Walaupun kereta itu mempunyai nombor plat baharu dan catatan perbatuan lebih rendah, keraguannya disahkan apabila Valentine menemukan alamat rumahnya dan ibu bapanya dalam sejarah sistem navigasi terbina di dalam kenderaan itu.

Saya rasa seperti mendapat kemenangan sekejap, macam rasa hebat sebab dapat semula kereta. Tetapi lepas fikir balik, sebenarnya saya dah buat sesuatu yang agak bodoh,” katanya.

Dia kemudian membawa kenderaan itu ke garaj Honda di Solihull, sebelum membuat laporan polis.

Sumber: BBC

KTM sekali lagi menghentikan produksi.

Pusingan terbaru penghentian ini berlaku hanya beberapa minggu selepas produksi bermula semula, setelah pelan pembayaran semula hutang diluluskan oleh pemiutang pada Febuari lalu. KTM menyatakan ia disebabkan oleh kekurangan bekalan komponen. Lebih membimbangkan, produksi penuh mungkin tidak dapat disambung semula sehingga akhir Julai 2025.

Menurut laporan media Jerman, 1000PS, KTM tidak dapat mendapatkan komponen kritikal untuk motosikal mereka. Ini adalah kesan daripada penghentian pengeluaran tahun lalu, di mana pesanan baharu tidak dapat dibuat selama kira-kira tiga bulan ketika syarikat menghadapi krisis kewangan.

KTM terpaksa menghentikan pengeluaran buat pertama kali apabila syarikat itu memasuki pentadbiran sendiri. Beratus-ratus pekerja diberhentikan, dan beberapa aktiviti perlumbaan diketepikan.

Berita mengenai KTM menghentikan pengeluaran buat kali kedua dilaporkan muncul semasa panggilan video pada pagi Khamis, apabila CEO KTM, Gottfried Neumeister, memberitahu pekerja:

“Masalah serius dalam rantaian bekalan menyebabkan pengeluaran tidak dapat diteruskan seperti dirancang. Stok hanya mencukupi untuk sekitar 4,200 motosikal, dan kini terdapat kekurangan komponen penting. Pengeluaran di Mattighofen akan digantung sehingga 27 Julai.”

Sebenarnya tidak menghairankan yang situasi ini akan berlaku kerana usaha KTM untuk memulakan semula pengeluaran disambut dengan berhati-hati oleh beberapa pembekal. Akibatnya, ada yang menghentikan bekalan atau pengeluaran untuk KTM sepenuhnya, walaupun KTM yakin dapat mencari penyelesaian dan pengeluaran di Mattighofen boleh beroperasi sepenuhnya tidak lama lagi.

Syarikat induk KTM, Pierer Mobility, menghadapi jurang pembiayaan sekitar €600 juta (kira-kira RM3.06 bilion), yang perlu ditampung sebelum 23 Mei sebagai sebahagian perjanjian dengan pemiutang.

Polis menumpaskan kumpulan yang giat mencuri motosikal Yamaha di kawasan Iskandar Puteri dan Tanjung Kupang dengan menahan empat lelaki dalam Op Lejang Khas. Tiga daripada mereka sudah dituduh di mahkamah, semalam.

Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Asisten Komisioner M. Kumarasan berkata polis turut merampas enam motosikal yang dipercayai dicuri kumpulan terbabit dalam operasi yang dijalankan 18 hingga 19 April lalu.

Kita menjalankan Op Lejang Khas bersabit kes curi motosikal di sekitar kawasan Iskandar Puteri dan Tanjung Kupang.

“Hasil serbuan, empat lelaki berusia 26 hingga 31 tahun ditahan. Kita turut merampas tiga topi keledar dan pelbagai alatan membuka alat ganti motosikal,” katanya.

Menurutnya, kumpulan terbabit aktif sejak Oktober tahun lalu dan dengan tangkapan dilakukan, polis berjaya menyelesaikan tujuh kes curi motosikal yang berlaku di kawasan Iskandar Puteri dan Tanjung Kupang.

Katanya, semakan mendapati semua lelaki itu mempunyai rekod lampau jenayah dan dadah.

“Ujian saringan awal air kencing mendapati dua daripada mereka positif methamphetamine (syabu),” katanya.

Beliau berkata tiga daripada mereka masing-masing dituduh membabitkan enam kes secara berasingan di Mahkamah Majistret di Iskandar Puteri, Johor.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 379A Kanun Keseksaan kerana mencuri kenderaan motor atau mana-mana bahagian komponen sebuah kenderaan motor serta Seksyen 411 kanun sama kerana menerima harta curi secara tidak jujur.

Mereka dijatuhkan hukuman enam bulan hingga 12 bulan penjara selepas mengaku bersalah mengikut pertuduhan kes masing-masing,” katanya.

 

Arkib

Ikuti Kami di Facebook

Ikuti Kami di YouTube