Bikesrepublic

viral

Gambar hiasan

Memandu dalam keadaan mabuk merupakan senario yang membahayakan bagi setiap pengguna jalan raya.

Bagaimanapun, saban tahun kes kemalangan melibatkan pemandu mabuk dan khayal sering kali berlaku dan baru-baru ini seorang petugas bank – yang baru saja menyambut hari lahir – meninggal dunia susulan dilanggar pemandu mabuk.

Tidak hairanlah rata-rata rakyat Malaysia menggesa agar peraturan dan perundangan sedia ada diperketatkan agar kejadian seumpama itu tidak berulang.

Antara cadangan diutarakan adalah mengenakan tindakan yang lebih keras terhadap pemandu mabuk di samping mencadangkan agar penjualan arak di Malaysia diharamkan serta-merta.

Baru-baru ini beberapa rakyat Malaysia telah bertindak melaksanakan petisyen di Change.org untuk mengharamkan penjualan arak seluruh Malaysia.

Ketika ini lebih 19 ribu individu telah pun menyatakan sokongan mereka terhadap pengharaman ini.

Meskipun Malaysia menghampiri tahun 2020 namun terdapat segelintir daripada kita yang masih mengekalkan mentaliti kelas ketiga.

Antara sikap yang sukar ditangani adalah tindakan membuang sampah ke luar kereta sekaligus membuatkan jalan raya di Malaysia dipenuhi sampah sarap.

Baru-baru ini pengguna Facebook Azham Aizad berkongsi rakaman video dashcam yang memaparkan penumpang sebuah kereta hitam bertindak membuang sampah ke luar.


Video berdurasi 57 saat itu jelas menunjukkan insiden tersebut berlaku ketika berhenti di lampu isyarat.

Azham yang menyaksikan kejadian tersebut terus keluar daripada kenderaannya lalu mengambil sampah tersebut dan meletakkan di bahagian cermin depan dan mengepitnya pada pengelap cermin.

Tindakan Azham mendapat pujian netizen kerana berjaya mengajar pemandu dan penumpang kereta terbabit.

 

Sumber: Bernama

Pihak berkuasa telah menahan ibu bapa dan penjaga kepada enam kanak-kanak dan remaja yang terlibat menunggang basikal lajak di Ampang, Ahad lalu.

Menurut laporan Berita Harian, kanak-kanak termasuk seorang remaja berumur lingkungan 11 hingga 16 tahun turut dikenakan saman dengan basikal disita mengikut Seksyen 112(3) Akta Pengangkutan Jalan.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Noor Azmi Yusoff mengesahkan bahawa ibu bapa ditahan mengikut Seksyen 33 Akta Kanak-Kanak 2001 kerana membiarkan anak-anak tanpa pengawasan.

Difahamkan, dua daripada kanak-kanak tersebut yang berusia 15 dan 16 tahun tidak bersekolah.

Mengikut Seksyen 33 Akta Kanak-Kanak 2001, ibu bapa dan penjaga kanak-kanak terbabit boleh dikenakan denda tidak lebih RM5,000 dan penjara tiba lebih dua tahun seandainya didapati bersalah.

Kesemua ibu bapa dan penjaga telah pun dibebaskan dengan jaminan polis setelah diambil keterangan.

Baru-baru ini, isu basikal lajak kembali dihangatkan apabila Mahkamah Majistret Johor Bahru membebaskan Sam Ka Ting, 24 tahun atas tuduhan menyebabkan kematian lapan remaja berbasikal lajak dua tahun lalu.

Mahkamah membuat keputusan tersebut selepas mendapati pihak pendakwa gagal membuktikan kes prima facie disamping mengambil kira beberapa fakta kejadian.

(SUMBER: Berita Harian)

Seorang pemandu wanita yang sarat tujuh bulan berdepan situasi menakutkan apabila seorang lelaki secara tiba-tiba menghentikan kenderaan lalu menggertaknya dalam satu insiden di Plentong, Johor Bahru.

Menerusi perkongsian video di Facebook, wanita berusia 26 tahun itu sedang memandu dalam lorongnya dan ketika menyelusuri selekoh ke kiri, terdapat sebuah kereta jenis Audi TT cuba memintas.

Bagaimanapun, sejurus selepas itu, Audi tersebut secara tiba-tiba mengejar wanita terbabit lalu memberhentikan kenderaan.

Saksikan rakaman video tersebut dibawah:

Lelaki tersebut didakwa tidak berpuas hati kerana pemandu wanita terbabit tidak memberi ruang untuknya memintas meskipun mengakui memberitahu wanita tersebut dia tidak memberikan isyarat untuk memintas.

Rakaman video ‘dashcam’ tersebut turut memaparkan lelaki itu menunjukkan isyarat lucah terhadap wanita terbabit.

Kurang beberapa jam selepas video tersebut menjadi viral di laman sosial, pemandu lelaki tersebut telah ditahan pihak berkuasa pada Ahad untuk siasatan lanjut.

Menurut laporan China Press, pemandu Audi tersebut berusia 27 tahun dan berasal dari Masai, Johor.

 

Gambar hiasan

Mahkamah Majistret Johor Bahru telah membebaskan seorang pemandu wanita atas dakwaan memandu secara berbahaya selepas mengakibatkan lapan kematian remaja berbasikal, dua tahun lalu.

Menurut laporan Bernama, Majistret Siti Hajar Ali melepaskan Sam Ke Ting, 24 tahun, susulan pihak pendakwa gagal membuktikan kes prima facie.

Difahamkan, pihak mahkamah telah mengambil kira beberapa faktor sebelum membuat keputusan antaranya senario jalan berbukit dan gelap dan keadaan berbahaya tersebut disebabkan oleh kumpulan basikal lajak terbabit.

“Berdasarkan keterangan pasukan penyiasat, terdapat pokok besar di laluan berkenaan dan pencahayaan malap walaupun terdapat lampu di tembok pembahagi jalan.

“Aktiviti itu (basikal lajak) sudah umum diketahui di situ (lokasi kejadian), terdapat aduan mengenai perlumbaan basikal lajak di situ.

“Hanya mereka yang biasa melalui jalan tersebut akan menjangka terdapat kumpulan berbasikal lajak jadi tidak adil bagi pemandu yang jarang menggunakan jalan tersebut,” katanya menurut Bernama.

Sam telah didakwa menyebabkan kematian lapan remaja, Mohamad Azrie Danish Zulkefli, Muhamad Shahrul Izzwan Azzuraimie, Muhammad Firdauz Danish Mohd Azhar, Fauzan Halmijan, Mohamad Azhar Amir, Muhammad Harith Iskandar Abdullah, Muhammad Shahrul Nizam Marudin dan Haizad Kasrin pada 18 Februari 2017 pada jam 3.20 pagi.

Kesemua lapan remaja terbabit berusia di antara 13 hingga 16 tahun.

Sementara itu, mahkamah turut mengarahkan agar lesen memandu dan wang jaminan RM10,000 dikembalikan.

(SUMBER: Bernama)

Sumber: Astrid M @ Flickr

Sebagai ibu bapa, keselamatan anak-anak adalah keutamaan namun susulan kekurangan pilihan untuk menghantar anak ke sekolah, bas atau van ‘sapu’ yang menawarkan servis penghantaran ke sekolah menjadi pilihan utama.

Menurut laporan Berita Harian, ketika ini jumlah van, kereta, MPV dan bas sekolah haram yang menghantar kanak-kanak ke sekolah, tadika dan taksa telah pun melebihi 50,000!

Pada masa sama, Persekutuan Persatuan Bas Sekolah Malaysia (PPPBSM) turut mendedahkan bahawa jumlah bas sekolah berdaftar di Malaysia turut berkurangan daripada 18,000 pada 2010 kepada 16,000 bagi 2019 meskipun lebih 8,000 lesen dikeluarkan setiap tahun.

Sementara itu, Angesi Pengangkutan Awam Darat (APAD) menggesa agar pemilik operasi bas sekolah haram ini untuk mendaftar dan memohon lesen secepat mungkin bagi mengelak daripada berlakunya sebarang kesulitan.

APAD dalam satu kenyataan menyebut, “Penggunaan perkhidmatan bas sekolah yang tidak sah bukan sahaja berisiko, tetapi juga mendedahkan anak mereka kepada bahaya kerana ia tidak mempunyai perlindungan insurans.”

Setakat ini, setiap bas sekolah yang berdaftar dengan APAD perlu menjalani pemeriksaan berkala -setiap enam bulan – menerusi PUSPAKOM bagi mengesahkan kenderaan digunakan menepati piawaian dan selamat.

Pada masa sama, pemandu turut perlu memiliki Lesen Memandu Kenderaan Pengangkutan Awam (PSV) yang mewajibkan mereka untuk menjalani pemeriksaan kesihatan.

Persoalannya, apakah punca utama lambakan bas haram di Malaysia?

(SUMBER: Berita Harian)

Adalah menjadi kebiasaan bagi rakyat Malaysia untuk mengharapkan sesuatu yang percuma tetapi bagi senario yang berlaku di kompleks beli belah Mid Valley, seorang pemandu sanggup ikut rapat kereta depan supaya dapat keluar tempat letak kereta tanpa perlu membayar satu sen!

Rakaman video yang dikongsikan di laman Facebook We Are Malaysian itu menjadi tular tatkala netizen menyelar sikap pemandu tersebut.

Tidak menyedari tindakannya dirakam kamera kereta depan, dia dengan selambanya mengekori rapat kereta depan disebabkan nak jimat beberapa ringgit.

Ada segelintir netizen yang berpendapat kemungkinan pemandu telah kehilangan tiket tempat letak kereta atau sudah kehabisan duit untuk bayar kerana telah membeli kereta tersebut.

Bagaimanapun, ada juga yang berpendapat tindakan tersebut adalah taktik geng pencuri kereta di kawasan tempat letak kereta pusat membeli belah.

(SUMBER: We Are Malaysians @ Facebook)

Seorang netizen telah berkongsikan pengalaman menerusi laman sosial Facebook menceritakan pengalamannya berdepan pasangan warga emas yang tampak memerlukan bantuan sebelum mengetahui cerita sebenar.

Menurut perkongsian tersebut, dia terserempak dengan pasangan warga emas terbabit berdiri di tepi jalan dengan si isteri sedang memegang tongkat sementara kaki kanannya dibalut.

Kesian dengan keadaan mereka, netizen itu kemudiannya memberhentikan kenderaan untuk menawarkan pertolongan.

Warga emas itu kemudiannya memaklumkan bahawa mereka tidak berasal dari situ malah telah menunggang motosikal bersama isterinya dari Pulau Pinang sebelum motosikalnya telah dilanggar kereta lain.

Prihatin, netizen tersebut kemudiannya menawarkan pertolongan untuk tolong hantar pasangan terbabit bersama-sama motosikal mereka.

Bagaimanapun, warga emas terbabit menolak pelawaan itu sebaliknya memberitahu dia memerlukan RM150 untuk menghubungi bantuan lori penunda.

“Saya memberitahu bahawa saya tiada duit sebanyak itu kemudiannya dia meminta RM20.

“Saya mula berasa was-was apabila saya berulang kali menawarkan untuk menghantar mereka dan motosikal tersebut ke destinasi dituju tetapi dia tetap bertegas meminta RM150 untuk khidmat lori tunda,”katanya.

Selepas itu, dia dimaklumkan oleh orang lain yang lalu lalang disitu bahawa pasangan warga emas terbabit sering berlegar dikawasan sekitar dan menceritakan kisah sama bagi mendapatkan wang.

Menurut laporan World of Buzz, pasangan warga emas terbabit turut kelihatan di Hospital Serdang dan Sungai Besi dan menggunakan modus operandi sama.

(SUMBER: World Of Buzz)

Kajian terbaru oleh Universiti Nottingham di United Kingdom mendapati sebab utama sesetengah pemandu kereta gagal melihat kelibat motosikal adalah berpunca daripada kehilangan ingatan jangka pendek (short term memory loss).

Bagi mereka yang pernah dilanggar atau bergesel dengan kenderaan lain, antara alasan yang sering digunakan si pemandu adalah, “Maaf saya tak nampak”.

Bagi si penunggang, kadang kala alasan itu tampak seperti tidak masuk akal namun kajian yang dilakukan ini membuktikan sebaliknya.

Menurut kajian yang dilakukan terhadap pemandu lelaki dan wanita di UK, pada awalnya kebanyakan pemandu berjaya melihat kelibat penunggang motosikal di atas jalan raya namun seakan lupa dengan kedudukan mereka sejurus selepas itu.

Pada masa sama, kajian tersebut turut mendapati kebanyakan pemandu gagal menganggar jarak di antara kereta dan motosikal sekaligus membawa kepada tercetusnya insiden yang tidak diingini.

Penyelidik kajian tersebut kemudiannya mencadangkan agar si pemandu menyebut, “Nampak motosikal, sebut motosikal” kerana dengan cara itu, otak akan menangkap dengan lebih cepat dan memberi perhatian yang lebih terhadap kedudukan motosikal.

(SUMBER: Ride Apart)

Seorang lelaki Thailand bukan sahaja menerima surat saman malah kantoi apabila surat tersebut memaparkan dirinya sedang menunggang motosikal sambil dibonceng wanita yang bukan isterinya.

Menurut Siam Variety, surat saman tersebut telah dihantar ke rumahnya bersama gambar bukti kesalahan trafik yang dilakukan.

Nasib si suami terus bertambah malang apabila isterinya yang berada di rumah ketika itu telah membuka surat tersebut dan melihat gambar bukti terbabit.

Tidak lama kemudian dia menyedari individu yang membonceng motosikal jenis Honda MSX125 bersama suaminya itu adalah wanita lain dan saman tersebut dikeluarkan ekoran wanita terbabit tidak memakai topi keledar.

Sekiranya wanita tersebut memakai topi keledar pastinya si suami tidak akan dikenakan saman dan aktiviti luarnya tidak diketahui si isteri.

Jadi orang ramai dinasihatkan untuk sentiasa memakai topi keledar kerana sememangnya terbukti menyelamatkan nyawa dan rumah tangga.

(SUMBER: WorldOfBuzz)

Sebuah ambulans terjerumus ke dalam parit apabila dihimpit kereta jenis Honda CRV yang cuba memasuki laluan kecemasan dalam insiden yang berlaku di jalan dari Genting menuju ke Tol Gombak.

Rakaman dashcam yang dikongsikan pengguna Facebook Raymond Ng itu jelas menunjukkan Honda CRV tersebut terlalu gopoh untuk cuba memasuki laluan kecemasan sehingga tidak menyedari ambulans yang sedang melalui laluan tersebut.

Insiden itu menyebabkan CRV telah menghimpit ambulans lalu terhumban ke parit di tepi laluan kecemasan.

Melihat kepada penggunaan lampu siren dan laluan kecemasan, ambulans tersebut mungkin sedang membawa pesakit namun masih belum dapat dipastikan.

Apa pun diharapkan pemandu dan penumpang ambulans tersebut selamat.

Sementara itu, orang ramai dinasihatkan untuk tidak menggunakan laluan kecemasan demi kepentingan diri – kecuali jika kenderaan rosak –  terutamanya ketika waktu sesak.

Saksikan rakaman video di bawah:

Kebiasannya, ‘mat rempit’ menjadikan stesen minyak, tepi lebuhraya dan acara besar sebagai medan untuk uji bunyi jentera siapa yang lebih kuat tetapi dalam satu kejadian di Lahad Datu, Sabah, kumpulan ini bertindak sedemikian di tepi pantai.

Menurut perkongsian video di Facebook, orang awam yang sedang beriadah di tepi pantai telah bersemuka dengan kumpulan mat rempit tersebut ekoran tidak berpuas hati dengan aktiviti mereka.

Senario itu kemudiannya membawa kepada pergaduhan dengan salah seorang orang awam telah bertindak menendang salah seorang daripada mat rempit terbabit.

Orang ramai kemudiannya mengerumuni kumpulan terbabit lalu menyebabkan mereka bersurai menyelamatkan diri.

Hakikatnya, setiap individu mempunyai hak untuk berhibur namun penting diingatkan agar mencari tempat yang bersesuaian agar tidak mengganggu ketenteraman awam terutamanya di kawasan tumpuan keluarga.

Saksikan rakaman video tersebut di bawah:

Archive

Follow us on Facebook

Follow us on YouTube