Bikesrepublic

viral

Menurut perkongsian oleh SG Road Vigilante di laman sosial Facebook, seorang pemandu Singapura ‘kantoi’ apabila didapati menukar nombor pendaftaran kenderaan di kereta jenis BMW miliknya.

Difahamkan, dia telah menukar nombor pendaftaran milik sebuah kenderaan jenis Hyundai Elantra bagi mengelak daripada di saman di jalan raya Malaysia!

Pemeriksaan di MyEG mendapati nombor pendaftaran Hyundai Elantra tersebut telah merekodkan 18 saman tetapi gambar yang diambil kamera perangkap kelajuan memaparkan kereta jenis BMW.

Diharapkan pemandu tersebut dicekup pihak berkuasa atas kesalahan memalsukan nombor pendaftaran kereta di samping tidak menghormati undang-undang di negara Malaysia.

Orang ramai dinasihatkan untuk berhati-hati dengan taktik penipuan terbaru oleh kumpulan yang tidak bertanggungjawab yang cuba menarik kereta dengan alasan bayaran tertunggak.

Seorang pengguna Facebook Francis Yirdaki CT berkongsi pengalaman dialaminya bersama teman di sebuah kawasan berhampiran MITEC, dua hari lalu.

“Saya berjumpa dengan rakan wanita saya di MITEC yang kemudiannya memberitahu bahawa terdapat seorang lelaki kononya daripada DBKL telah menghubunginya dan mahu merampas kenderaan miliknya.”

“Jadi saya menawarkan diri untuk menemaninya ke kereta yang diletakkan di pintu masuk utara MITEC.”

“Sebaik tiba, kami disapa oleh tiga lelaki yang mendakwa kereta rakan saya mempunyai tunggakan bayaran selama 19 bulan. Lelaki tersebut turut bersikap kurang ajar.”

Mereka kemudiannya bertegas kepada tiga lelaki tersebut bahawa kereta terbabit tiada tunggakan bayaran.

Pemilik kereta tersebut kemudiannya cuba menghubungi pihak bank untuk mendapatkan kepastian namun salah seorang lelaki terbabit telah merampas telefon tersebut.

“Rakan saya cuba untuk menghubungi pihak bank namun salah seorang daripada tiga lelaki terbabit telah merampas telefon tersebut lalu ‘berlakon’ seperti bercakap dengan pihak bank namun hakikatnya dia telah mematikan panggilan tersebut.”

Francis kemudiannya bertindak menelefon pihak polis dan ketika itu, ketiga-tiga lelaki bertindak untuk menarik kereta tersebut.

“Lelaki terbabit turut merampas kunci kereta rakan saya dan cuba menarik kereta meskipun kawan saya berada di dalam kenderaan ketika itu.”

Difahamkan, lelaki terbabit berulang kali menegaskan bahawa mereka mempunyai dokumen sah untuk menarik kereta tersebut bagaimanapun memberi alasan memerlukan 5 minit untuk mencetak surat – lelaki itu turut menunjukkan memiliki mesin cetak mini di dalam keretanya.

Sebaik polis tiba, ketiga-tiga lelaki terbabit mendakwa mereka kononnya mewakili Bank Hong Leong.

Mangsa kemudiannya menjelaskan kepada pihak polis bahawa pihak bank sendiri menggesa agar mereka membuat laporan polis.

“Kami kemudiannya membuat laporan di Jinjang sebelum diminta ke Sentul untuk bertemu dengan IO (Pegawai Penyiasat). Ketiga-tiga lelaki terbabit pada awalnya bersetuju untuk mengikut kami sebelum menghilangkan diri.”

Menurut status terbaru Francis, pihak polis kini sedang memburu ketiga-tiga suspek terbabit.

Seorang penunggang motosikal yang menjadi mangsa kemalangan selepas sebuah kereta jenis Honda Fit (Jazz) memasuki lorong motosikal di Tambak Johor, Ahad lalu telah disahkan meninggal dunia.

Sebuah kereta jenis Honda Fit telah memasuki lorong motosikal menghala ke Johor dari Singapura, hujung minggu lalu.

Dalam percubaan untuk mengundurkan kenderaan, mangsa yang ketika itu menunggang motosikal jenis Suzuki GSX S1000 telah merempuh bahagian belakang kereta terbabit lalu mengalami kecederaan parah.

Mangsa yang dikenali sebagai Cai Yu Heng, 29 tahun, sedang dalam perjalanan ke Johor untuk bersarapan.

Dia kemudiannya dihantar ke Hospital Sultanah Aminah di Johor Bahru sebelum dipindahkan ke Hospital Tan Tock Seng di Singapura untuk rawatan.

Bagaimanapun, ahli keluarganya mengesahkan mangsa telah meninggal dunia Selasa lalu.

Menurut laporan Straits Time, ahli keluarga meminta agar orang ramai yang menjadi saksi kepada kejadian dapat tampil dan membantu dalam siasatan.

Ketika ini masih tiada tangkapan dibuat terhadap pemandu kereta Honda terbabit.

(SUMBER: Strait Times)

Sumber: The Star

Pengajar memandu kantoi hisap rokok dan tidur di dalam kelas antara kejutan yang diterima pegawai Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dalam satu operasi yang diadakan di sekolah memandu sekitar Lembah Klang.

JPJ telah mengeluarkan 14 saman selepas mendapati beberapa pengajar menghisap rokok, tidur dan membenarkan pelajar memandu tanpa pengawasan.

Sumber: The Star

Menurut laporan The Star, JPJ telah menghantar beberapa pegawai untuk membuat tinjaun dengan menyamar sekaligus melihat sendiri beberapa pengajar yang tidak mengikut peraturan.

Operasi tersebut turut menyaksikan 14 kenderaan telah disita.

Antara saman yang dikeluarkan berdasarkan kesalahan:

  • Pengajar membiarkan pelajar memandu tanpa pengawasan
  • Pengajar tidak memakai tali pinggang keledar ketika sesi pengajaran
  • Pengajar menghisap rokok ketika kelas berjalan
  • Lesen L tamat tempoh
  • Cukai jalan tamat tempoh
Sumber: The Star

Menurut kenyatan Timbalan Pengarah JPJ, Jeneral Zamakhshari Hanipah, di antara tahun 2016 hingga 2018, JPJ telah memeriksa 38 sekolah memandu sekitar Malaysia dan sebanyak 721 saman telah pun dikeluarkan.

(SUMBER: The Star)

Sumber: Facebook DAto Mohd Azis Bin Jamman

Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Mohd Azis Jamman mengalami kecederaan apabila terbabit dalam kemalangan dalam perjalanan ke Ranau bermasa konvoi motosikal Jelajah Kesedaran Bahaya Dadah yang dianjurkan Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK), pagi tadi.

Kemalangan yang berlaku pada jam 10 pagi tadi dilaporkan berlaku di Pekan Nabalu di Jalan Tamparuli-Ranau.

Sumber: Facebook DAto Mohd Azis Bin Jamman

Menurut laporan Berita Harian, program jelajah tersebut telah dirasmikan sendiri Datuk Mohd Azis Jamman.

Ahli Parlimen Sepanggar itu melepaskan konvoi di perkarangan bangunan Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK).

Sumber: Facebook DAto Mohd Azis Bin Jamman

Difahamkan, Datuk Azis – yang menunggang bersama peserta lain – hanya mengalami kecederaan ringan dan berada dalam keadaan stabil dan telah pun dihantar ke Hospital Queen Elizabeth I untuk rawatan.

(SUMBER: Berita Harian)

Sebuah motosikal berkuasa tinggi mengalami kemalangan di Tambak Johor yang berpunca daripada sebuah kereta yang telah memasuki lorong motosikal.

Menurut perkongsian di Facebook Info Roadblock JPJ/Polis, kemalangan tersebut berlaku dari CIQ Johor Bahru menghala ke Singapura.

Kenderaan jenis Honda Jazz (dikenali sebagai Fit di Singapura) tersebut telah memasuki lorong motosikal dan ketika dalam percubaan untuk mengundurkan kereta, sebuah motosikal Suzuki GSX S1000 telah menghentam bahagian belakang kereta tersebut.

Ketika ini masih tiada laporan mengenai keadaan penunggang motosikal dan pemandu kereta tersebut.

(SUMBER: Facebook Info Roadblock JPJ/Polis)

Gambar hiasan.

Seorang pencuri kereta mudah ditangkap pihak polis apabila tertidur ketika menjalankan ‘tugas’ dalam satu kejadian yang berlaku di Taman Markisah, Bukit Mertajam, kelmarin.

Suspek didapati telah tidur dibahagian tempat duduk depan sebelum disedari abang kepada pemilik kereta tersebut.

Menurut laporan Harian Metro, abang kepada pemilik kereta singgah ke kediaman adiknya untuk mengemas rumah tersebut namun terkejut apabila mendapati tingkap bahagian hadapan kereta diturunkan separuh.

Sebaik mendekati kereta terbabit, dia menyedari seorang lelaki sedang tidur dikerusi penumpang depan.

Abang mangsa kemudiannya bergegas menghubungi pihak polis yang bertindak memberkas suspek – pemeriksaan rapi mendapati suspek memiliki rekod lampau, dua kes jenayah dan tiga kes penyalahgunaan dadah.

Siasatan lanjut mendapati suspek cuba untuk mencuri kereta tersebut – yang telah ditinggalkan lebih seminggu ekoran kematian ayah mangsa – namun tertidur ekoran kepenatan.

Kes akan disiasat mengikut Seksyen 379 A dan Seksyen 447 Kanun Keseksaan.

(SUMBER: Harian Metro)

Sumber: Harian Metro

Polis telah menahan tiga daripada empat individu yang disyaki telah terlibat dalam beberapa kes ragut yang berlaku di sekitar Muar, Johor, Sabtu lalu.

Menggunakan jentera Yamaha Y15ZR, mereka sanggup berkonvoi lebih 100 kilometer dari Kuala Lumpur ke Muar untuk melakukan aktiviti jenayah mereka.

Menurut laporan Harian Metro, semua suspek dipercayai telah terlibat dalam tiga kes ragut yang berlaku di Muar termasuk insiden yang berlaku terhadap seorang wanita di Jalan Pesta, Bakri yang telah tular di media sosial.

Tiga lelaki tersebut telah pun ditahan di Cheras, Kuala Lumpur dan Rawang manakala seorang lagi suspek yang dikenal pasti sebagai Mohd Fariezzuan Shah Che Arif atau ‘Toncet’, beralamat terakhir di Flat Sri Kota, Bandar Tun Razak, Cheras, masih lagi diburu pihak polis.

“Sepasukan polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Muar telah pun menahan dua lelaki berusia 22 dan 24 tahun dalam dua serbuan berasingan di Cheras, Kuala Lumpur pada 15 April lalu sementara suspek ketiga ditahan di Rawang,”jelas Ketua Polis Daerah Muar, Asisten Komisioner Zaharudin Rasip.

Pihak polis turut merampas tiga motosikal Yamaha Y15ZR berserta pakaian dan topi keledar yang digunakan dalam tiga insiden meragut.

Menurut Zaharuddin, keempat-empat suspek telah berkonvoi ke Muar dengan tujuan untuk bersiar-siar sebelum bertindak untuk meragut.

(SUMBER : Harian Metro)

Seorang peragut telah mengejutkan orang ramai termasuk pihak berkuasa kerana menyerah diri secara sukarela di balai polis gara-gara kerana terlalu takut dengan isterinya!

Difahamkan, seorang netizen bernama Ayus telah menjadi mangsa ragut di Hong Leong Bank, Kuala Selangor dan berkongsi kisah yang dialami menerusi akaun Facebook miliknya.

Dua peragut tersebut telah melarikan diri dengan habuan mereka namun meninggalkan motosikal dengan enjin yang masih berjalan.

Senario itu membuka peluang buat Ayus untuk menggunakan motosikal tersebut lantas terus menuju ke balai polis.

Bagaimanapun, tidak lama kemudian salah seorang perompak terbabit muncul di balai polis kerana motosikal yang ditinggalkan adalah milik isterinya! Kejadian itu turut mencetuskan gelak ketawa orang ramai yang berada di balai terbabit!

Insiden dikongsi Ayus turut mencetuskan tanda tanya dikalangan netizen yang membuat pelbagai spekulasi mengenai si isteri sehinggakan suami (peragut) sanggup serah diri di balai polis.

(SUMBER: Facebook)

Sebuah video memaparkan sekumpulan penunggang motosikal dengan sengaja menghalang laluan di Lebuhraya Pantai Timur menjadi viral di laman sosial.

Rakaman video berdurasi 38 saat itu menunjukkan sekumpulan pemilik motosikal skuter Yamaha Ego Avantiz dengan sengaja menghadang laluan apabila dihampiri sebuah kenderaan.

Meskipun beberapa kali kenderaan tersebut menekan hon namun tidak diendahkan sebaliknya aksi mereka semakin menjadi-jadi.

Persoalannya, sejak bila geng skuter membawa imej samseng jalan raya?

Tonton video penuh dibawah:

(SUMBER: Facebook Info Roadblock JPJ/Polis)

Presiden Persatuan Perubatan Malaysia (MMA), Dr Mohamed Namazie Ibrahim menggesa agar kerajaan mengharamkan orang ramai daripada menghisap rokok di dalam kenderaan.

Menurut laporan Harian Metro, langkah terbabit dapat mengelakkan daripada individu yang tidak merokok menjadi perokok pasif terutamanya dalam situasi menaiki kereta beramai-ramai.

Dr. Namazie berpendapat, langkah sebegitu telah pun dilaksanakan negara luar seperti Australia, Kanada dan Perancis dengan pesalah boleh dikenakan hukuman sekiranya merokok dengan kehadiran wanita mengandung atau kanak-kanak.

Apa yang pasti, kenyataan Dr. Namazie hampir pasti mengundang pelbagai reaksi positif dan negatif dikalangan netizen.

Sebelum ini, kerajaan menguatkuasakan undang-undang pengharaman menghisap rokok di premis menjual makanan.

Gambar hiasan

Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Negeri Selangor akan melelongkan lebih daripada 107 kenderaan di Dewan Setia, JPJ Negeri Selangor, Shah Alam pada 24 April ini.

Orang ramai yang berminat boleh mendapatkan buku lelong dengan bayaran RM50 bermula 10 hingga 22 April ini.

Menurut maklumat yang dikongsi di laman Facebook JPJ Selangor, 107 kenderaan akan dilelong terdiri daripada:

Motosikal – 62 unit
Kereta – 20 unit
Lori – 13 unit
Van – 5 unit
Treler – 3 unit
Trak – 2 uunit
Bus – 2 unit

Orang ramai dibenarkan untuk memeriksa setiap kenderaan yang dilelong ada 22 dan 23 April ini.

Buat masa ini, tiada maklumat rasmi berkenaan dengan jenama dan model kenderaan yang akan dilelong namun segala maklumat tersebut boleh didapati melalui buku lelong.

Pembeli yang berminat diingatkan agar membawa MyKad sebelum membuat pembelian buku lelong.

Archive

Follow us on Facebook

Follow us on YouTube