Bikesrepublic

PDRM

Samseng jalanan yang membuat aksi “superman” di Lebuhraya Lembah Klang Baru (NKVE) dan Lebuh Raya Shah Alam (Kesas), telah ditahan semalam (Ahad) dalam Operasi Khas Samseng Jalanan sepasukan anggota Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman bermula jam 12.40 tengah malam.

Menurut laporan Sinar Harian, tangkapan pertama membabitkan empat penunggang berusia 17 hingga 20 tahun selepas dikesan melakukan aksi berbahaya itu di Lebuhraya Kesas.

“Aksi yang dilakukan adalah meniarap dengan meluruskan kaki ke belakang (superman), bersaing sesama sendiri serta zig-zag,” katanya.

Sementara itu, tangkapan seterusnya telah menahan enam lagi penunggang berusia lingkungan 15 hingga 23 tahun secara berasingan.

Selain aksi “superman” itu, enam penunggang terbabit turut dikesan melakukan aksi samseng jalanan zig-zag.

Kesemua motosikal jenis Yamaha Lagenda, Yamaha Y15ZR, Honda Wave, Honda RS150 dan Yamaha LC 135 yang digunakan mereka disita untuk tindakan lanjut.

“Empat penunggang telah dibawa ke Bahagian Siasatan Dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Selatan manakala enam lagi dibawa dan BSPT IPD Shah Alam.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 42 Akta Pengangkutan Jalan 1987,” tegas sumber.

Polis Pulau Pinang mengesahkan tiada aktiviti lumba haram membabitkan pelesit rempit terutama pada malam hujung minggu di kawasan panas yang dikenalpasti di seluruh negeri susulan pemantauan berterusan agensi terbabit.

Timbalan Ketua Polis Negeri, Datuk Fisol Salleh berkata, sejak tiga minggu lalu pihak polis mendapati peratusan aktiviti membabitkan lumba haram oleh kumpulan bermotosikal telah menurun dengan mendadak.

”Polis telah mengambil langkah yang proaktif dalam menangani isu membabitkan mat rempit, pemantauan berterusan dijalankan bagi membanteras kegiatan ini selepas berlaku kemalangan maut membabitkan lumba haram.

”Hasil pemantauan yang dijalankan mendapati aktiviti mat rempit di 13 kawasan panas seperti di Lebuh Raya Lingkaran Luar Butterworth (BORR), Lebuh Raya Butterworth-Kulim (BKE) dan lain-lain telah berkurangan,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Barat Daya di sini hari ini.

Pada 17 Julai lalu, lima penunggang motosikal maut selepas terbabit dalam kemalangan melibatkan beberapa buah motosikal dan dua buah kereta di Lebuh Raya Tun Dr. Lim Chong Eu.

Susulan kejadian itu, Seksyen 42 Akta Pengangkutan Jalan 1987 akan dipinda dengan hukuman lebih berat bagi membanteras kegiatan lumba haram terutama melibatkan mat rempit yang membahayakan nyawa mereka serta pengguna jalan raya lain.

Seorang mekanik tercampak sejauh 20 meter apabila dirempuh sebuah trak pikap yang melanggar lampu isyarat merah di persimpangan lampu isyarat Padang Layang, Jalan Salor – Pasir Mas.

Dalam kejadian kira-kira pukul 1.25 petang itu, mangsa, Mohamad Zulkifli Zakaria, 59, yang menunggang motosikal jenis Yamaha Y15ZR meninggal dunia di lokasi kejadian akibat cedera parah pada dada dan patah kaki kiri.

Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Mohd. Rosdi Daud berkata, siasatan awal mendapati, mangsa menunggang motosikalnya dari arah Tendong menghala Jalan Kedai Mulong sebelum berhenti di persimpangan itu ekoran lampu isyarat merah.

Menurutnya, apabila lampu isyarat bertukar hijau, Mohamad Zulkifli meneruskan perjalanannya ke depan.

“Pada masa yang sama, sebuah trak pikap jenis Toyota Hilux dipandu laju dari arah Kota Bharu menghala Pasir Mas telah melepasi lampu isyarat merah sebelum merempuh motosikal ditunggang mangsa.

“Insiden itu menyebabkan mangsa yang berasal dari Kampung Kutan Hulu, Tumpat tercampak sejauh kira-kira 20 meter dari motosikalnya ke kiri jalan menghala Pasir Mas,” katanya dalam satu kenyataan.

Menurut Mohd. Rosdi, mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh penolong pegawai perubatan Hospital Raja Perempuan Zainab II.

Katanya, pemandu dan tiga penumpang Toyota Hilux tidak mengalami sebarang kecederaan dan siasatan lanjut kemalangan dipercayai berpunca daripada kecuaian pemandu trak pikap yang melanggar lampu isyarat merah.

Penunggang tidak menggunakan laluan motosikal antara kesalahan tertinggi dicatatkan menerusi operasi bersepadu yang dijalankan di Lebuhraya Koridor Guthrie (Guthtie).

Operasi bersepadu yang bermula kira-kira jam 10.30 pagi ini dijalankan Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Shah Alam bersama Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Jabatan Alam Sekitar (JAS) dan agensi lain.

Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Mohd Iqbal Ibrahim berkata, pelbagai kesalahan trafik dikesan melibatkan 124 saman dikeluarkan kepada pengguna.

“Kesalahan melibatkan penunggang yang tidak menggunakan laluan motosikal disediakan antara kesalahan tertinggi melibatkan sebanyak 110 saman dikeluarkan.

“Selain itu, antara kesalahan lain melibatkan kesalahan nombor plat (enam saman), kesalahan melibatkan lesen memandu (lima saman), lesen kenderaan motor (LKM) (tiga saman),” kata beliau.

Katanya lagi, operasi dijalankan turut melibatkan pemeriksaan sebanyak 183 kenderaan dan 198 individu telah diperiksa.

“Operasi yang dijalankan selama dua jam ini turut membuat tangkapan dua kes narkotik dan rampasan dadah di bawah Seksyen 12 (2) Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.

Menurutnya, penguatkuasaan akan terus dijalankan bagi memberikan peringatan dan kesedaran kepada pengguna kenderaan agar semua pengguna kekal selamat semasa berada di atas jalan raya.

“Orang ramai dinasihatkan agar sentiasa mematuhi peraturan jalan raya yang telah ditetapkan agar tidak dikenakan tindakan saman,” katanya.

Orang ramai khususnya penduduk di Batu Pahat diminta membantu mencari seorang remaja perempuan yang dipercayai melarikan diri dari rumahnya bersama seorang lelaki dengan menunggang motosikal.

Siti Azizah Mohd. Mazlan, 40, berkata, anak sulung daripada tiga beradik itu iaitu Norshahzrin Shahzwani Mohd. Hafiz, 16, disedari hilang ketika mahu mengejutkannya untuk pergi ke sekolah pada pukul 5 pagi, 11 Ogos lalu.

Keluarga percaya anaknya yang bersekolah di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tongkang Pecah itu keluar dari rumah antara pukul 1 hingga 5 pagi kerana dia dan suaminya masuk tidur kira-kira pukul 12.30 tengah malam.

“Pemeriksaan di dalam bilik mendapati along hanya membawa sepasang pakaian dan wang tunai kira-kira RM100.

“Ketika keluar rumah, dia dipercayai menggunakan seluar  warna hitam serta baju T pasukan bola sepak berwarna merah,” katanya ketika.

Azizah yang tinggal di Kampung Parit Amat, Bukit Pasir berkata, sebelum kejadian itu, tiada perselisihan faham antara anaknya itu sama ada dengan ayah atau ahli keluarga lain.

“Bagaimanapun, sejak akhir-akhir ini dia sering mengurung diri di dalam bilik setiap kali selepas balik dari sekolah.

“Usaha mencarinya sudah dilakukan di sekitar kampung serta bandar Batu Pahat selain bertanya dengan kawan-kawan sekelas, namun, masih belum dapat menemukannya,” katanya.

Azizah berkata, laporan polis turut dibuat pada hari kejadian dan diharap dapat menjumpainya.

Orang ramai yang mempunyai maklumat tentang anaknya itu boleh menghubungi suaminya, Mohd. Hafiz menerusi talian 018-7655419 atau melaporkannya kepada mana-mana balai polis berdekatan,” katanya.

Seksyen 42 Akta Pengangkutan Jalan 1987 akan dipinda dengan hukuman lebih berat bagi membanteras kegiatan lumba haram terutama melibatkan mat rempit yang membahayakan nyawa mereka serta pengguna jalan raya yang lain.

Ketua Setiausaha Kementerian Pengangkutan, Datuk Isham Ishak berkata, antara cadangan pindaan itu adalah kadar minima saman kepada penunggang motosikal yang terlibat dalam kegiatan mat rempit dinaikkan ke kadar yang lebih efektif.

“Sebagai contoh, sebelum ini mereka yang didapati berlumba haram dikenakan saman berjumlah RM300, mungkin dengan cadangan pindaan akta ini kadar saman akan dinaikkan sehingga RM5,000 atau RM10,000 untuk mengelakkan aktiviti lumba haram ini.

“Selain itu, mereka yang terlibat lumba haram juga bakal dikenakan hukuman penjara, malah ibu bapa kepada remaja yang berusia di bawah 18 tahun yang didapati terlibat di dalam kegiatan lumba haram dan para penyokong lumba haram juga akan dikenakan tindakan,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pulau Pinang di sini hari ini.

Turut hadir ialah Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Mohd Shuhaily Mohd Zain, Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Bukit Aman, Datuk Mat Kasim Karim.

Dalam tragedi pada 17 Julai lalu, lima penunggang motosikal maut selepas terbabit dalam kemalangan melibatkan beberapa buah motosikal dan dua buah kereta di Lebuh Raya Tun Dr. Lim Chong Eu.

Polis berkata, kejadian itu dipercayai akibat daripada kegiatan lumba haram.

Mengulas lanjut, beliau berkata, pemilik bengkel yang didapati terlibat dalam kegiatan mengubah suai motosikal bagi tujuan lumba haram juga akan dikenakan tindakan.

“Menerusi cadangan pindaan akta ini, Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) mungkin akan diberi kuasa untuk menyita dan menarik balik lesen bengkel yang ubahsuai motosikal bagi kegiatan lumba haram.

“Kita juga mungkin membenarkan syarikat insurans menyemak pangkalan data di Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) mengenai maklumat mat rempit yang telah dikenakan hukuman untuk mengenakan premium insurans yang lebih tinggi terhadap mereka,” katanya.

Seramai 6,889 individu telah ditahan menerusi Op Samseng Jalanan di seluruh negara sejak 2020 hingga Jun tahun ini.

Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Bukit Aman, Datuk Mat Kasim Karim berkata negeri Johor mencatatkan jumlah tangkapan tertinggi diikuti Kuala Lumpur, Selangor serta Kedah.

Beliau berkata, hampir 300 kemalangan motosikal berlaku setiap hari di negara ini bagi tempoh tiga tahun sejak 2019.

Dari jumlah itu, sembilan penunggang motosikal maut setiap hari dalam tempoh sama.

“Didapati kadar kemalangan motosikal meningkat selepas pandemik COVID-19, iaitu sebanyak 122,368 kemalangan membabitkan motosikal dilaporkan sepanjang tahun lalu.

“Jumlah itu menunjukkan peningkatan 33,226 kes berbanding tahun 2020,” katanya.

Oleh itu, pihaknya akan mempergiat operasi samseng jalanan bagi membanteras kegiatan lumba haram serta mat rempit.

Hadir sama Ketua Setiausaha Kementerian Pengangkutan, Datuk Isham Ishak, Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Mohd Shuhaily Mohd Zain dan Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan Pulau Pinang, Adenan Mat Isa.

Mat Kasim, 3,959 individu dilaporkan meninggal dunia sepanjang tahun 2019 dalam kemalangan membabitkan motosikal, diikuti dengan 3,118 (2020) serta 3,111 (2021).

“Bagi kes kecederaan parah pula, sebanyak 2,009 kes direkodkan bagi tahun 2019 dan 2,599 sepanjang tahun lalu,” katanya.

Seorang pemandu lori telah bantu polis menahan sebuah Toyota Alphard yang menggunakan lorong kecemasan dengan membunyikan honnya berkali-kali kepada kereta peronda di hadapannya.

Dalam video tular itu, pemandu lori tersebut dilihat bergerak perlahan beratur bersama-sama kenderaan lain dalam kesesakan lalu lintas, tiba-tiba pemandu lori itu sedar ada sebuah MPV memotong barisan di lorong kirinya.

Tindakan spontan pemandu lori itu membunyikan hon sebagai tanda ada MPV sedang memotong barisan menggunakan lorong kecemasan telah menarik perhatian kereta polis di hadapannya.

Anggota yang duduk di tempat duduk penumpang membuka tingkap dan mengarahkan Alphard itu memberhentikan kenderaan. Namun MPV itu segera masuk semula ke dalam lorong di hadapan kereta peronda tersebut.

Kereta polis itu memotong Alphard terbabit di sebelah kiri untuk mengarah pemandu MPV itu segera berhentikan kenderaannya. Selepas itu pemandu kereta peronda memberikan isyarat tangan ‘thumbs up‘ sebagai tanda berterima kasih kepada pemandu lori itu.

Pengguna TikTok yang menonton video berkenaan meninggalkan komen menyuarakan perasaan yang amat berpuas hati apabila pemandu MPV mewah itu dikenakan tindakan atas sebab melanggar undang-undang jalan raya walaupun peringatan sudah diberikan berkali-kali.

Pengguna jalan raya yang didapati bersalah memotong barisan menggunakan lorong kecemasan boleh dikenakan tindakan di bawah Kaedah-kaedah Lalu Lintas Jalan 166/59 (Kaedah 6) dengan denda maksimum RM300, petik hantaran Facebok rasmi PDRM.

Tonton video itu di bawah:

Seorang lelaki hanya cedera ringan selepas kereta dipandunya terbabas dan terjatuh hampir 10m ke landasan kereta api berhampiran Wadi Hana, di Johor.

Dalam kejadian kira-kira pukul 2 pagi itu, mangsa berusia 28 tahun  keluar sendiri dari kereta Proton Iriz sebelum dibantu orang awam.

Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Larkin, Mohd. Nazaruddin Ahmad Zainuddin berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada pukul 2.32 pagi.

Katanya, sebaik sahaja tiba di tempat kejadian, terdapat sebuah kenderaan dalam keadaan terbalik berhampiran landasan kereta api tersebut.

“Seramai 11 anggota dengan sebuah jentera dan van Penyelamatan dan Perawatan kecemasan (EMRS) serta unit tindakan cepat bermotosikal (RIM) diarah ke lokasi kejadian.

“Kita turun bersama-sama pasukan perubatan dari Hospital Sultanah Aminah (HSA) memberikan rawatan bantu mula kepada mangsa sebelum membawanya naik dengan menggunakan pengusung,” katanya di sini hari ini.

Mohd. Nazaruddin berkata, kemalangan dipercayai berpunca apabila mangsa yang dalam perjalanan dari arah Tebrau menghala ke pusat bandar terbabas ketika melalui lokasi kejadian. 

Masalah brek dipercayai punca pemandu gagal mengawal lori lalu merempuh lapan kenderaan di Lebuh Raya Puchong-Bukit Jalil baru-baru ini.

Timbalan Ketua Polis Daerah Serdang, Superintendan Izuddin Ab Wahab berkata, Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik daerah menerima laporan kemalangan melibatkan sebuah lori yang membawa muatan batu kerikil dan lapan kenderaan sekitar pukul 2 petang.

“Kemalangan dipercayai berlaku semasa lori berkenaan datang dari arah Bukit Jalil menghala Puchong.

“Ketika tiba di lokasi kejadian, pemandu lori berkenaan dipercayai gagal memberhentikan kenderaannya lalu merempuh lapan kenderaan yang berada di hadapannya,” ujarnya sebentar tadi.

Menurutnya, semasa kejadian didapati keadaan kenderaan di lokasi kemalangan bergerak perlahan ekoran faktor kesesakan.

Jelas beliau, perlanggaran dipercayai berlaku ekoran masalah pada sistem brek lori yang tidak berfungsi dengan baik.

Justeru itu, katanya, pihak polis menahan pemandu lori yang merupakan rakyat tempatan berusia 34 tahun bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 42 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

Tambahnya, semakan mendapati pemandu berkenaan mempunyai 13 rekod saman lampau yang telah dijelaskan dan berdasarkan ujian alkohol yang dijalankan mendapati negatif.

Geng Dani yang mahir menghidupkan motosikal secara sambungan wayar dan membuka kunci pemegang menggunakan peralatan diubah suai sebagai ‘kunci utama’ akhirnya ditahan.

Diketuai pasangan kekasih remaja yang aktif sejak awal tahun ini dan terbabit jenayah mencuri motosikal, geng ini telah ditumpaskan Bahagian Siasatan Jenayah (BSJ) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Melaka Tengah.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit berkata, susulan beberapa siri kehilangan motosikal dalam tempoh dua minggu bermula 7 Jun lalu membabitkan kerugian kira-kira RM25,000, pihaknya menjalankan risikan Op Lejang dan berjaya mengenal pasti beberapa individu disyaki ‘dalang’ kejadian curi itu.

Menurutnya, hasil siasatan oleh pegawai dan anggota Cawangan Risikan/Operasi/ Rekod Jenayah (D4) BSJ, IPD Melaka Tengah membuat tangkapan ke atas 10 individu iaitu sembilan lelaki dan seorang perempuan berusia 18 hingga 35 tahun.

“Tangkapan ke atas semua suspek dibuat dalam enam serbuan berasingan di daerah Melaka Tengah dan Pulau Pinang.

“Siasatan lanjut mendapati kumpulan ini diketuai lelaki berusia 21 tahun dikenali sebagai Dani dan gadis berusia 18 tahun yang ditahan itu adalah kekasihnya,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Christopher berkata, menerusi serbuan dilakukan polis merampas empat motosikal pelbagai jenis seperti Yamaha Y15, Benelli R18i dan Modenas Kriss yang dilaporkan hilang di sekitar Melaka Tengah selain dadah seberat 18.8 gram yang dijumpai semasa pemeriksaan.

Katanya, siasatan dijalankan mengikut Seksyen 379A Kanun Keseksaan dan Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Ghairah melakukan aksi ‘superman’ ketika menunggang motosikal membawa padah kepada pasangan kembar apabila mereka ditahan polis, petang tadi.

Kembar berusia 20 tahun dari Felda Kerteh 5, Ketengah Jaya, Dungun, itu ditahan ketika berhenti di hadapan sebuah stesen minyak jam 4.30 petang.

Ketua Polis Daerah Kuala Berang, Deputi Superintendan Mohd Adli Mat Daud, berkata terdahulu pihaknya melakukan operasi bersepadu bagi membanteras aktiviti samseng jalanan di daerah berkenaan.

Beliau berkata, seramai 14 anggota daripada Bahagian Siasatan Penguatkuasaan Trafik (BSPT) Hulu Terengganu bersama Jabatan Siasatan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Terengganu melakukan pemantauan di Lebuhraya Pantai Timur 2 (LPT2).

Katanya, ketika membuat pemerhatian di KM388 LPT2 jam 4.13 petang, pihaknya terserempak dengan dua lelaki menunggang motosikal secara berasingan sambil melakukan aksi ‘Superman’.

“Anggota kemudian mengekori motosikal terbabit sejauh dua kilometer sebelum menahan mereka di hadapan sebuah stesen minyak di pekan Ajil,” katanya menerusi kenyataan, hari Ini.

Archive

Follow us on Facebook

Follow us on YouTube