KMSB Motors Sdn Bhd dengan rasminya memperkenalkan jenama motosikal tempatan menerusi AFAZ hasil usahama teknikal bersama Suzuki Motor Corporation (SMC) Jepun.
Majlis tandatangan itu telah diwakili Pengerusi Eksekutif KMBS Motors, Ahmad Faez Tan Sri Yahaya dan Presiden SMC, Toshihiro Suzuki sambil disaksikan Perdana Menteri, Dato Seri Anwar Ibrahim.
Menariknya, intipati utama perjanjian tersebut adalah untuk Suzuki membekalkan komponen penting untuk pembangunan motosikal AFAZ. Sehubungan itu, AFAZ – meskipun jenama baharu – akan membangunkan motosikal dengan komponen berkualiti.
*Perdana Menteri, Dato Seri Anwar Ibrahim (kiri) dan Pengerusi Eksekutif KMBS Motors, Ahmad Faez Tan Sri Yahaya (kanan).
Meskipun baharu namun AFAZ dalam satu kenyataan berhasrat menjadi pemain utama dalam pasaran motosikal tempatan dan seterusnya bersaing di peringkat ASEAN dan global. Untuk rekod, AFAZ akan bersaing dengan jenama tempatan sedia ada termasuk Modenas, Aveta dan WMOTO.
Dalam pada itu, perjanjian ini juga selaras dengan Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 (NIMP 2023) yang diumumkan Perdana Menteri pada 1 September 2023.
Hong Leong Yamaha Motor (HLYM) dengan rasminya membuka tempahan bagi Yamaha Tenere 700 2023 dengan harga jualan yang disyorkan RM69,988.
Motosikal dengan keupayaan ‘off-road’ pertama dari HLYM itu turut membuat penampilan di Karnival Gen Blu Yamaha yang berlangsung di Stadium Likas, Kota Kinabalu, Sabah pada Ahad.
Menurut Yamaha, Tenere 700 2023 itu adalah motosikal pemasangan tempatan (CKD) yang dipasang sepenuhnya di Sungai Buloh.
Lebih menarik, pasaran tempatan akan menerima model terbaru (2023) yang telah dinaik taraf dengan beberapa kelengkapan dan ciri baharu.
Apa yang baharu?
Bagi tahun 2023, Yamaha Tenere 700 telah diberi peningkatan baharu dengan penggunaan skrin TFT 5-inci menggantikan skrin digital LCD sebelum ini.
Skrin TFT tersebut juga boleh dihubungkan kepada telefon pintar bagi memberi akses kepada emel, mesej teks dan maklumat panggilan. Bukan itu sahaja, skrin TFT itu juga boleh diasmbungkan kepada aplikasi My Ride Yamaha.
Naik taraf lain termasuk wayar tersedia jika mahu mengaktifkan sistem QS (quickshifter), lever brake depan baharu dan lampu isyarat LED.
Bagaimanapun, pakej elektronik terbesar diberikan pada Tenere 700 2023 ini adalah tiga tetapan ABS baharu yang boleh ditetapkan sama ada ‘OFF’, ‘ON’ dan ‘REAR OFF’.
Antara ciri lain yang terdapat pada Yamaha Tenere 700 termasuk:
kerangka double-cradle tubular steel
fork depan jenis upside/down 43mm boleh laras
suspensi belakang boleh laras
rim 21-inci depan dan 18-inci belakang
tangki 16L
Untuk rekod, Yamaha Tenere 700 dikuasakan enjin 689cc CP2 dengan ‘270-degree crank’ yang menawarkan 72.3hp pada 8,750rpm dan 67Nm pada 6,500rpm.
Bagi memastikan Kejuaraan Dunia MotoGP boleh diakses seluruh rakyat Malaysia, Kementerian Belia dan Sukan (KBS) telah mengambil inisiatif untuk memperkenalkan ‘Tiket Rahmah’ berharga hanya RM49.90.
Menurut kenyataan, Tiket Rahmah’ tersebut adalah bagi tempat duduk K2 Hillstand. Menariknya, pemegang tiket tersebut juga akan mendapat akses kepada makanan dan minuman dengan harga yang lebih murah.
Dalam pada itu, Litar Antarabangsa Sepang (SIC) juga menyediakan pelbagai aktiviti menarik antaranya cabutan bertuah melibatkan tiga unit Yamaha YZF-R25 yang telah dinaik taraf dengan aksesori Racing Boy (RCB) dan jualan helmet SIC X KYT Edisi Terhad.
Selain itu, rakyat Malaysia juga berpeluang menyaksikan pelumba negara, Syarifuddin Azman @ Damok dari pasukan MT Helmets-MSi Team beraksi dalam kelas Moto3. Empat lagi pelumba muda yang dibarisi Farres Putra, Farish Hafiy, Ahmad Darwisy dan Adi Putra akan berentap dalam kejuaraan Idemitsu Asian Talent Cup.
Untuk makluman, kejuaraan dunia MotoGP GP Malaysia akan berlangsung dari 10 hingga 12 November ini. Orang ramai yang berminat boleh kunjungi www.sepangcircuit.com bagi mendapatkan tiket.
Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) telah menyita 25 motosikal sekitar ibu kota selepas didapati melakukan pelbagai kesalahan pada Khamis.
Hasil daripada tinjauan di beberapa kawasan panas termasuk Jalan Ampang, Jalan P. Ramlee dan Persiaran KLCC sejumlah 35 kompaun telah dikeluarkan selain daripada 25 motosikal disita serta merta dan dibawa ke depot Jalan Pahang.
Menurut pegawai DBKL, antara kesalahan yang dilakukan termasuk meletak kenderaan di laluan orang kelainan upaya (OKU), laluan siar kaki serta yang ingkar papan tanda larangan parkir motosikal.
Dalam pada itu, DBKL juga mengingatkan orang ramai untuk mematuhi undang-undang yang telah ditetapkan pihak berkuasa dan memastikan kenderaan yang diletakkan tidak mengganggu pejalan kaki terutamanya golongan OKU.
Kami sebelum ini telah pun melaporkan bahawa Suzuki merancang untuk memperkenalkan satu lagi varian baharu dari keluarga V-Strom 800 DE.
Berbeza dengan DE yang tampil dengan kelengkapan ‘adventure’ dan ‘off-road’, V-Strom 800 pula menampilkan ciri pengembaraan di jalan raya.
Terbaru, rupa jelas Suzuki V-Strom 800 didedahkan dalam satu dokumen pensijilan yang difailkan di Australia. Dokumen tersebut, yang melampirkan dua foto V-Strom 800 itu mendedahkan beberapa ciri utama yang membezakan dengan V-Strom 800 DE.
Pertamanya, V-Strom 800 tampil dengan rim jenis aloi berbanding lidi (wire-spoked). Ciri ini bukan sahaja membezakan dengan 800 DE malah menawarkan pengalaman menunggang yang berbeza.
*Suzuki V-Strom 800 2024
Menurut dokumen terbabit, V-Strom 800 akan dilengkapi dengan rim 110/80-19 depan berbanding 90/90-21 depan terdapat pada 800 DE.
Kami juga mendapati V-Strom 800 ini hadir dengan kelengkapan suspensi yang berbeza. Walaupun tidak dinyatakan secara terperinci namun kami menjangkakan model akan datang ini menawrakan fork depan dengan jarak pergerakan (suspension travel) yang lebih pendek berbanding 800 DE.
*Suzuki V-Strom 800 DE
Juga tidak kelihatan adalah ‘handguard’ dan ‘bash plate’ yang terdapat pada 800 DE. Menariknya, penghadang angin pada V-Strom 800 ini juga adalah 45mm lebih tinggi berbanding 800 DE.
Namun begitu, kami jangkakan V-Strom 800 ini akan tetap menawarkan 82hp dan 78Nm seperti 800 DE.
Apa pun, kami menjangkakan Suzuki bakal memperkenalkan keluarga baharu V-Strom 800 ini di pameran motosikal EICMA yang akan berlangsung pada November ini.
Seperti anda, kami juga rajin melakukan ‘window shopping’ di Mudah.my dan kadang-kala kami terjumpa motosikal yang dijual pada harga menarik.
Bagaimanapun, berbeza kali ini kerana ada penjual yang mengiklankan sebuah motosikal yang katanya akan dilancarkan tidak lama lagi. Motosikal tersebut merupakan sebuah Yamaha Tenere 700.
Menariknya, iklan itu turut menyatakan tempahan bagi Tenere 700 sudah boleh dibuat dengan tarikh pelancaran dijadualkan pada 16 September ini. Harga pula diletakkan pada RM65k.
Untuk rekod, Yamaha mengadakan Karnival Gen Blu di Kota Kinabalu pada hujung minggu ini dan kemungkinan besar Tenere 700 merupakan model yang akan diperkenalkan.
Sekiranya benar, perkembangan terbaru ini pastinya menggembirakan ramai pihak yang sudah sekian lama menantikan kemasukan motosikal tersebut.
Untuk rekod, Yamaha Tenere 700 ini dikuasakan enjin dengan tork tinggi 690cc CP2 yang menjana 72.3hp pada 8,750rpm dan 67Nm pada 6,500rpm.
Pada Oktober tahun lalu, Ducati telah pun mendaftarkan tanda dagangan di Amerika Syarikat bagi sebuah enjin satu silinder 659cc 4-valve dengan sistem penyejukan cecair.
Ketika itu, pelbagai spekulasi dibangkitkan termasuk mendakwa enjin tersebut bakal diperkenalkan pada sebuah motosikal jenis Scrambler baharu. Ini kerana Ducati pernah menghasilkan Scrambler pada era 60 dan 70an yang dikuasakan enjin satu silinder. Juga tidak dilupakan, Ducati pernah menghasilkan jentera lumba Ducati Supermono sekitar 1993 dan 1995 yang dikuasakan enjin satu silinder bagi siri perlumbaan Supermono.
Bagaimanapun, perkembangan terbaru mendapati sangkaan awal itu ternyata meleset kerana motosikal dengan enjin 659cc itu sudah mula menjalani ujian di Eropah.
Berdasarkan tinjauan foto ‘spy shot’ yang dikongsikan, motosikal berkenaan jelas menampilkan gaya ‘supermoto’ sekaligus memberi bayangan model baharu itu akan memberi saingan kepada KTM 690.
*sumber: Motorrad
Bukan itu sahaja, turut kelihatan adalah penggunaan kerangka serba baharu dengan ‘swingarm’ yang diikat terus kepada bahagian enjin. Cara ini pastinya bagi memastikan model serba baharu ini kekal ringan seperti pesaing lain.
Dalam pada itu, bahagian depan menempatkan fork jenis USD yang dipadankan bersama cakera brek tunggal. Rim pula kelihatan berukuran 17-inci dan hampir pasti dipadankan bersama tayar Pirelli.
Sementara itu, kami juga tertunggu-tunggu apakah nama sesuai yang akan diberikan kepada model baharu ini. Untuk rekod, Ducati akan meraikan ulang tahun ke-30 Supermono tahun ini maka jolokan nama ‘Hypermono’ bagi motosikal satu silinder baharu ini juga tampak sesuai. Namun, terdapat kemungkinan model baharu ini akan mengguna pakai nama Hypermotard.
Apa pun, segalanya akan terjawab ketika pelancaran global yang dijangka akan berlaku tidak lama lagi.
Khabar angin mengenai kemunculan Honda CB750R telah pun bertiup kencang sejak pelancaran Hornet CB750.
Ini kerana Honda antara yang gemar membangunkan pelbagai jenis model yang menggunakan platform sama. Ini dibuktikan menerusi barisan model CB500, CB500X dan CB500R yang dikuasakan enjin parallel-twin yang sama. Tidak lupa juga enjin yang digunakan pada CRF1100L Africa Twin juga menggerakan NT1100, CMX1100 Rebel dan Hawk 11.
Berdasarkan tren tersebut, tidak hairanlah paten terbaru yang difailkan di Amerika Syarikat mengesahkan kedatangan CB750R yang akan dikuasakan enjin parallel-twin 755cc yang sama terdapat pada Hornet. Paten itu juga memaklumkan CB750R akan hadir pada 2024.
Meskipun dokumen yang difailkan itu tidak menyatakan secara terperinci namun antara maklumat yang disampaikan termasuk, “penutup depan (front cowl) disambung kepada kerangka badan menggunakan skru pengikat.” Aspek itu secara langsung membezakan dengan jentera naked Hornet 750 yang tidak dilengkapi dengan sebarang panel penutup.
*paten terbaru difailkan Honda di Amerika Syarikat mendedahkan CB750R
Berdasarkan lakaran yang dilampirkan bersama paten berkenaan, kita dapat lihat reka bentuk yang belum siap sepenuhnya namun memberi gambaran jelas bahawa kemunculan model sportsbike dengan adanya ‘fairing’ tambahan.
Selain itu juga kelihatan handlebar jenis ‘clip-on’ yang menawarkan gaya tunggangan lebih agresif dan sporty.
Menariknya, perkembangan terbaru ini pastinya merancakkan lagi segmen sportsbike dengan enjin parallel-twin yang ketika ini telah pun mula diisi dengan Yamaha YZF-R7. Suzuki juga akan turut menyertai kelas berkenaan dengan GSX-8R yang juga dijadualkan tiba pada 2024.
Baru-baru ini telah berlangsungnya Katana Meeting 2023 di Jepun yang menyaksikan lebih 1,200 pengunjung dan 1,118 motosikal jenis Suzuki Katana berkumpulan di Hamamatsu Fruit Park Tokinosu.
Acara tahun itu turut dihadiri Presiden Suzuki, Toshihiro Suzuki bersama-sama barisan orang penting syarikat itu.
Meskipun pelbagai aktiviti berlangsung namun tumpuan terarah kepada ucapan pereka Suzuki Katana sendiri.
Pertamanya, Keisuke Namerikawa dari bahagian pembangunan enjin mendedahkan fokus selepas ini adalah membesarkan enjin 1000cc sedia ada kepada 1100cc agar Katana tampil lebih berkuasa.
*(sumber: Young-Machine)
Menyedari isu tangki 12L yang didakwa terlalu kecil, Hiroki Matsushita yang bertanggungjawab mereka tangki Katana sedia ada mengakui model itu akan tampil dengan tangki yang lebih besar selepas ini. Bagaimanapun, Hiroki akui reka bentuk Katana menyukarkan perkara itu dilakukan sebelum ini.
Dalam pada itu, ketua jurutera Suzuki, Tetsuji Nojiri memberi jaminan bahawa Katana akan menjalani satu evolusi yang signifikan sekaligus mengesahkan kehadiran tangki yang lebih besar dan platform serba baharu.
“Terdapat beberapa perkara lain yang juga perlu diberi penekanan antaranya sama ada mengekalkan panel meter LCD sedia ada. Tapi apa yang pasti, Katana akan berevolusi,” jelasya.
Suzuki hampir pasti akan memperkenalkan model ketiga yang akan dihidupkan enjin parallel-twin 776cc sama terdapat pada GSX-8S dan V-Strom 800DE.
Berdasarkan dokumen pensijilan yang difailkan di Switzerland, Suzuki GSX-8R akan diperkenalkan pada 2024.
Menurut laporan Motorcycle.com, ketibaan GSX-8R itu dirungkai berdasarkan kod nama GSX800 (8R) yang dinyatakan iaitu berbeza dengan GSX-8S yang hanya mengguna pakai kod GSX800.
Tidak cukup dengan itu, data tersebut turut merujuk 8R akan dikuasakan enjin sama dengan GSX-8S, platform parallel-twin 776cc yang menawrakan 82hp pada 8,500rpm dan 78Nm pada 6,800rpm.
Menariknya, dokumen tersebut juga mendedahkan GSX-8R hadir dengan kelajuan maksima (top-speed) 215km/j berbanding 210km/j yang ditawarkan GSX-8S. Ini bermakna GSX-8R – sebagai jentera sportbike – tampil dengan talaan enjin berbeza bagi menghasilkan ‘top’ yang lebih tinggi.
Ukuran panjang dan jarak antara tayar juga sama dengan GSX-8S sekaligus membuktikan penggunaan kerangka yang sama. Namun, 8R lebih “kurus” yang mungkin dipengaruhi penggunaan handlebar jenis ‘clip-on’.
Kami jangkakan Suzuki akan mendedahkan GSX-8R di pameran EICMA 2023 yang dijadualkan berlangsung November ini.
Seperti yang dilaporkan sebelum ini, BMW Motorrad dengan rasminya mengumumkan barisan model ‘adventure’ bagi tahun 2024 yang merangkumi BMW F 900 GS, F 900 GS Adventure dan F 800 GS menggantikan F 850 dan F 750 sebelum ini.
*BMW F 900 GS (kiri), F 900 GS Adventure (kanan)
Meskipun ketiga-tiga model datang dengan sesaran enjin yang lebih besar namun fokus utama terarah pada F 900 GS yang dibangunkan dengan mengoptimumkan keupayaan ‘off-road’.
Menurut BMW, ketiga-tiga model dikuasakan enjin parallel-twin 895cc yang sama terdapat pada F 900 R dan F 900 XR keluaran 2020. Bagi F 900 GS dan F 900 GS Adventure, kedua-duanya menawarkan 105hp pada 8,500rpm dan 95Nm pada 6,750rpm.
Bagaimanapun, sebagai model ‘entry-level’, F 850 GS pula menawarkan kuasa lebih rendah, dengan 87hp pada 6,750rpm dan 91Nm. Meskipun begitu, BMW mendakwa model 2024 ini menawarkan lengkungan tork pada ‘rev’ penuh yang lebih baik berbanding model terdahulu.
Untuk rekod, BMW F 900 GS, F 900 GS Adventure dan F 850 GS tampil dengan dua mod menunggang secara standard, merangkumi Rain dan Road serta ‘dynamic traction control’. Namun pakej tambahan Riding Modes Pro pula menawarkan mod Dynamic, Enduro dan Enduro Pro pada F 900 GS dan F 900 GS Adventure.
Namun, fokus kami terarah pada F 900 GS yang tampil dengan reka bentuk lebih minimalis. Hasilnya, F 900 GS ini 14kg lebih ringan berbanding F 850 GS.
Ketika F 800 GS dan F 900 GS Adventure mengguna pakai tangki keluli, F 900 GS pula menggunakan bahan jenis plastik yang mengurangkan berat sebanyak 4.5kg. Namun, langkah itu pula mengecilkan tangki kepada 14.3L berbanding 15L yang ada pada F 800 GS sebelum ini.
Bahagian belakang juga telah direka semula agar lebih kurus dan ringan di samping memudahkan pemasangan ‘soft bags’ atau ‘top-box’.
Keupayaan off-road juga dipertingkat dengan ‘handlebar’ yang lebih tinggi dan pemijak kaki yang lebih rendah. Menurut BMW kedua-dua ciri ini termasuk rangki yang telah direka semula memudahkan kawalan jentera sewaktu berdiri.
Di bahagian depan, F 900 GS hadir dengan fork jenis inverted 43mm boleh laras dari Showa dengan jarak pergerakan 231mm (sama seperti Ducati DesertX) sementara belakang pula menempatkan shock tunggal boleh laras (preload/rebound) dengan jarak pergerakan 215mm.
Menariknya, BMW menawarkan pakej Enduro Pro yang merangkumi fork depan 45mm dengan penyerap hentakan tunggal ZF Sachs di belakang selain daripada ‘handelbar’ yang lebih tinggi dan rantai M Endurance. BMW mendakwa pakej Enduro Pro ini juga lebih ringan.
Antara ciri lain ditawarkan termasuk lampu LED penuh dengan pencahayaan ‘low beam’ yang lebih luas sekaligus meningkatkan pemandangan di waktu malam serta pemegang peranti navigasi 12mm.
Susulan terdapat permintaan tinggi terhadap motosikal ‘entry-level’, Aprilia dengan rasminya mengumumkan kemunculan Aprilia RS 457 untuk pasaran motosikal global.
Menjadikan pengalaman di pentas kejuaraan dunia sebagai tunjang utama, Aprilia RS 457 mengguna pakai ‘crankcase’ sebagai elemnen galas beban utama sepertimana yang ditawarkan RS 660. Hasilnya, RS 457 tampil dengan dinamik terbaik di samping pengalaman menunggang yang optimum.
Menariknya, RS 457 juga tidak ketinggalan dari aspek elektronik termasuk dilengkapi sistem Ride-by-Wire yang menawarkan tiga mod enjin yang mengawal aliran kuasa, tork dan ‘traction control’.
Dibangunkan sepenuhnya di Noale, Itali, Aprilia menyifatkan RS 457 sebagai pengisi jurang antara RS 125 dan RS 660 sekaligus menyempurnakan barisan keluarga RS termasuk RSV4 dan jentera MotoGP RS-GP.
Selain itu, RS 457 ini juga datang dengan pencahayaan LED penuh termasuk lampu nyalaan siang (DRL). Juga tidak ketinggalan, panel meter TFT 5-inci.
Menurut Aprilia, RS 457 ini dikuasakan enjin parallel-twin 457cc dengan DOHC 8-valve yang berupaya menghasilkan 47hp. Paling mencuri tumpuan, berat keseluruhan jentera ini hanyalah 158kg.
Sumbangan utama kepada berat yang ringan adalah penggunaan kerangka aluminium yang dibangunkan daripada teknologi litar lumba. Kerangka tersebut termasuk menggunakan ‘crankcase’ sebagai beban utama memastikan RS 457 menawarkan pengalaman menunggang yang luar biasa dalam kelasnya.
Pakej suspensi pula terdiri daripada fork 41mm depan dengan jarak pergerakan 120mm dan monoshock belakang yang dipadankan bersama ‘swingarm’ keluli yang menawarkan jarak pergerakan 130mm. Sistem brek pula merangkumi brek ByBre 4-pot dengan cakera 320mm depan dan 220mm belakang. ABS dwi-saluran pula memastikan operasi brek lebih baik dalam pelbagai keadaan jalan.
Lebih menarik, Aprilia turut melengkapkan RS 457 dengan fungsi ‘quickshifter’ (atas/bawah) sebagai aksesori tambahan.