Bikesrepublic

Arkib

Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) telah mengeluarkan 14,514 saman pelbagai kesalahan dari 18 hingga 25 April ketika Op Motosikal yang dijalankan sempena Aidilfitri 2023. 

Sepanjang operasi tersebut dijalankan, sebanyak 500 motosikal turut diita atas pelbagai kesalahan. 

Perkara itu disahkan Pengarah Kanan Bahagian Penguatkuasa JPJ, Datuk Lokman Jamaan. Jelasnya, sebanyak 51,039 motosikal telah diperiksa dan tindakan sitaan dibuat setelah didapati tiada perlindungan insurans, lesen memandu dan lain-lain di seluruh negara. 

Sementara itu, tiada lesen memandu merekodkan kesalahan tertinggi dengan  4,583 notis dikeluarkan diikuti cukai jalan tamat tempoh (2,600 saman), tiada insurans (2,364 saman), lesen memandu tamat tempoh (168 saman), tidak memakai topi keledar (160 saman) dan tidak mematuhi peraturan lampu isyarat (120 saman). 

Dalam pada itu, JPJ turut menjalankan advokasi di setiap lokasi operasi dalam usaha meminiumkan kadar kemalangan dan kemalangan maut di musim perayaan. 

“Dipohon kerjasama pengguna jalan raya khususnya penunggang dan pembonceng motosikal untuk sentiasa mematuhi undang-undang dan peraturan jalan raya serta bertoleransi bersama pengguna jalan raya yang lain demi keutamaan keselamatan ketika di jalan raya,” jelas Datuk Lokman Jamaan. – BERNAMA

Januari lalu, kami melaporkan bahawa Modenas merancang untuk memperkenalkan Dominar 250 tahun ini namun ketika itu maklumat terperinci mengenai tarikh pelancaran masih samar. 

Dalam perkembangan terbaru, kami difahamkan bahawa Modenas bakal melancarkan Dominar 250 itu pada bulan Mei ini di Malaysia Autoshow 2023 yang akan berlangsung dari 4 hingga 7 Mei. 

Kemunculan versi 250cc itu adalah bagi memberi akses meluas pada pelanggan yang mahukan motosikal ‘sport-touring’ namun pada harga lebih mampu milik. 

Seperti Modenas Dominar 400, model dengan kapasiti 250cc itu akan turut dipasarkan dengan lencana Modenas. 

Bernadikan enjin KTM Duke 250, Dominar 250 sertai barisan jentera bersesaran 250cc lain antaranya, Yamaha R25, Honda CB250, KTM Duke 250 dan Ninja 250.

Bagaimanapun, sebagai motosikal berkonsepkan ‘touring’, enjin 248cc satu silinder DOHC itu telah ditala untuk menghasilkan 27hp pada 8,500rpm dan 23.5Nm pada 6,500rpm berbanding DUKE 250 yang menjana 29.6hp pada 9,000rpm dan 24Nm pada 7,500rpm. Kehadiran ‘twin-cam’ juga memastikan enjin ini mempunyai tork puncak yang lebih tinggi dan menyumbang kepada kuasa enjin yang lebih baik berbanding ‘single-cam’. 

Atas kertas, Dominar 250 ini mampu mencapai kelajuan maksima sekitar 132km/j. 

Berdasarkan rekaan keseluruhan, Dominar 250 masih lagi mengekalkan ciri yang terdapat pada Dominar D400 kecuali beberapa perubahan ketara antaranya tayar, fork (USD) dan cakera brek yang lebih kecil.

Menariknya, versi 250 ini masih lagi dilengkapi ABS dual-channel.

Apa pun, maklumat terperinci termasuk harga akan terjawab pada hari pelancaran nanti. Nantikan laporan penuh di MotoMalaya.Net.

Pasangan suami isteri telah ditahan pada Khamis selepas terlibat melakukan aksi ‘wheelie’ dengan motosikal jenis Honda EX, baru-baru ini. 

Pasangan berusia 17 dan 16 tahun itu telah menyerah diri di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Bharu pada jam 10 pagi Khamis dan disahkan Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Mohd Rosdi Daud. 

Bagaimanapun, pasangan muda itu terlebih dahulu bertindak menghilangkan diri selama dua hari selepas diburu pihak polis sebelum menyerah diri. 

“Mereka kini dalam proses permohonan reman pada Jumaat untuk siasatan lanjut. Kes akan disiasat bawah Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” jelas Mohd Rosdi Daud dalam satu kenyataan.

Jika disabitkan kesalahan, pasangan suami isteri itu boleh dihukum penjara tidak lebih lima tahun dan denda tidak kurang daripada RM5,000 dan tidak lebih daripada RM15,000. 

Video berdurasi 29 saat itu tular beberapa hari lalu kerana melakukan aksi ‘wheelie’ sambil mengenakan baju Melayu dan baju kurung sempena sambutan Aidilfitri. 

Pada 19 April, GWM telah menganjurkan Persidangan Antarabangsa 2023 dengan tema “GWM BAHARU, TENAGA BAHARU”, yang dihadiri lebih 260 wakil pengedar dari lebih 60 buah negara dan wilayah. Mu Feng, Presiden GWM, telah memberikan pengenalan terperinci kepada para hadirin mengenai perkembangan global GWM, Ekosistem Hutan dan perancangan strategik tenaga baharu.

GWM telah mengisytiharkan deklarasi tenaga baharu kepada seisi dunia iaitu ‘NEV Pintar GWM, Lebih Hijau, Lebih Tinggi, Lebih Selamat’. Di tahun-tahun mendatang, GWM akan mengguna pakai model “SATU GWM” dan strategi produk tunggal besar-besaran pada skala global untuk melaksanakan perancangan buat kelompok sasaran yang berbeza dalam pasaran global dan bekerjasama dengan rakan-rakan kongsi global untuk mencipta lebih banyak produk bertenaga baharu dengan kualiti tinggi untuk para pelanggan.

Persidangan tersebut turut menyaksikan sebuah majlis anugerah yang gilang-gemilang untuk memberi pengiktirafan kepada para pengedar yang bekerjasama dengan GWM dalam meluaskan pasarannya. Parker Shi, Naib Presiden dan Ketua Pasaran Antarabangsa GWM, menganugerahkan anugerah kehormat kepada rakan-rakan pengedar yang telah melakar pencapaian yang cemerlang. Sehubungan dengan itu, GWM turut mengadakan Majlis Pemeteraian Rakan Niaga Global dan menjalin rangkaian perkongsian dengan berpuluh pengedar baharu dari pasaran global.

Sehari sebelum majlis berlangsung, GWM telah menjemput ratusan wakil pengedar untuk melawat kilang dan makmal R&D serta menghadiri sidang akhbar GWM di Auto Shanghai. Langkah ini telah memberikan pemahaman yang lebih komprehensif kepada para pengedar tentang Ekosistem Hutan. Para pengedar telah menzahirkan pengiktirafan mereka terhadap keupayaan GWM dalam pembuatan kenderaan yang hebat dan produk bertenaga baharu pintar.

Seorang rakan pengedar baharu turut berkongsi, “Lawatan ke GWM telah memberikan saya peluang untuk merasai solusi tenaga baharu mereka yang cemerlang dan saya harap dapat membawa kenderaan-kenderaan bertenaga baharu kepada lebih ramai pelanggan tempatan secepat mungkin.”

Para pengedar dari Australia, Afrika Selatan dan Brazil juga optimis tentang prestasi pasaran GWM pada masa depan. Wakil-wakil pengedar percaya bahawa kualiti cemerlang, ciri-ciri mewah dan kelebihan tenaga baharu GWM diiktiraf oleh pengguna dan ia semakin mendapat reputasi yang baik. Kerjasama dengan GWM akan menjadi langkah yang penting dalam menuju masa depan yang lebih baik.

Ketika ini, GWM terus memperluas jualan global dan susun atur pasarannya. Pada tahun 2022, jumlah jualan luar negara GWM melebihi 170,000 unit, dengan peningkatan sebanyak 21.28% berbanding tahun sebelumnya, sekaligus mencatat rekod yang tinggi. Sejak pengeksportannya pada tahun 1997, GWM mempunyai lebih 700 saluran jualan luar negara yang meliputi lebih daripada 170 negara dan wilayah seluruh dunia, dengan jumlah jualan mencecah lebih daripada satu juta kenderaan.

GWM menyasarkan perlaksanaan semua rantaian industrinya di luar negara termasuk produk, teknologi dan perkhidmatan di masa hadapan. GWM juga dijangka mengukuhkan Ekosistem Hutan bagi mencapai hasil yang saling menguntungkan semua dan menggalakkan transformasi strategi tenaga baharu global GWM bersama rakan-rakan kongsi pengedar global.

Pameran automotif terbesar di Malaysia, Malaysia Autoshow 2023 akan kembali berlangsung pada 4 hingga 7 Mei ini di MAEPS, Serdang. 

Antara jenama automotif yang akan turut meriahkan pameran kali ini adalah Kawasaki Malaysia. 

Berdasarkan perkongsian ‘teaser’ terbaru di media sosial, Kawasaki Malaysia akan memperkenalkan beberapa model baharu. Melihat kepada ‘teaser’ yang dikongsikan, model yang bakal ditayangkan itu membabitkan keluarga KLX dan Z. 

Jika ‘teaser’ tersebut adalah benar maka kita akan menyaksikan tiga model KLX diperkenalkan dan satu model naked ‘Z’. 

Kami menjangkakan tiga model KLX itu membabtikan varian 150cc hingga 250cc sementara model ‘Z’ pula berkemungkinan besar merujuk pada Z900 terbaru. 

Apa pun segala jawapan akan didedahkan di Malaysia Autoshow 2023. 

Dalam perkembangan sama, Kawasaki Malaysia juga menyediakan pelbagai aktiviti untuk pengunjung yang hadir ke Malaysia Autoshow 2023. Antara aktiviti disediakan termasuk tunggang uji model terbaru, permainan khas dan cenderamata istimewa Kawasaki.

Meskipun belum dipasarkan di Malaysia namun Kawasaki kembali mencuit hati peminat sejak memperkenalkan Ninja ZX-25R dan terbaru, Ninja ZX-4R di pasaran global. 

*Kawasaki Ninja ZX-25RR

Kawasaki Ninja ZX-25R dan ZX-4R merupakan motosikal platform 250cc dan 400cc yang disuntik dengan enjin 4-inline sekaligus menyumbang kepada angka kuasa yang tinggi dengan masing-masing menawarkan 50hp dan 79.1hp. 

Menariknya, Kawasaki tidak akan berhenti disitu kerana timbul laporan di Jepun bahawa mereka sedang membangunkan Ninja ZX-9R. Pendedahan itu dibuat menerusi Young-Machine melalui majalah keluaran bulan Mei. 

*Kawasaki Z900

Meskipun maklumat yang dikongsikan tidak banyak namun perkembangan terbaru itu secara tidak langsung merancakkan lagi tawaran Kawasaki. Pada masa sama, dijangkakan ZX-9R itu akan dikuasakan enjin 900cc yang sama terdapat pada Kawasaki Z900. 

Namun begitu, pastinya enjin tersebut akan ditala semula bagi menghasilkan kuasa yang lebih tinggi dibantu sistem Ram-Air. 

Sementara itu, pembangunan Ninja ZX-9R juga bukanlah satu kejutan kerana Kawasaki sebelum ini mendedahkan akan memperkenalkan 30 model baharu menjelang 2025. 

Polis telah menahan empat remaja lelaki yang dipercayai terlibat dalam kejadian baling objek keras ke arah kereta yang bergerak di KM53, Jalan Kuala Kangsar-Gerik-Pengkalan Hulu, pada Selasa. 

Memetik laporan Berita Harian, keempat-empat suspek itu berusia antara 15 hingga 17 tahun. 

Menurut Timbalan Ketua Polis Daerah Gerik, Deputi Superintendan Mohd Rahimi Zainol, suspek menaiki motosikal lalu membaling objek keras kepada kereta yang datang dari arah bertentangan. 

Polis bertindak selepas menerima laporan daripada mangsa yang menggunakan laluan tersebut daripada Kota Bharu, Kelantan menghala ke Kuala Kangsar. 

Difahamkan, polis telah menerima tiga lagi laporan yang menceritakan perihal sama.

“Hasil maklumat yang diperolehi, polis berjaya membuat tangkapan terhadap empat remaja lelaki itu,” jelas Mohd Rahimi, pada Selasa. – Berita Harian

Pengeluar motosikal China dan syarikat induk kepada jenama Benelli, QJ Motor disahkan sedang membangunkan enjin berkuasa serba baharu berdasarkan paten terbaru yang difailkan di negara itu. 

Menurut paten tersebut, QJ Motor kini sedang giat menghasilkan platform V4 moden dengan kapasiti sekitar 1,000cc dengan konfigurasi 90-darjah dan DOHC serta 4-valve bagi setiap silinder. 

*lakaran paten tersebut mendedahkan enjin V4 dengan sudut 90-darjah.

Melihat kepada lakaran yang dikongsikan, jelas platform V4 yang dibangunkan itu tampak moden namun tidak kompak seperti enjin V4 yang ada pada Aprilia RSV4 dan Ducati Panigale V4. 

Meskipun dokumen tersebut tidak mendedahkan model apakah yang akan digerakan enjin V4 tersebut namun, mengambil kira QJ Motor sentiasa berkongsi platform dengan Benelli maka tidak hairan jika platform baharu itu akan turut melahirkan model Benelli serba baharu. 

Pada masa sama, selepas pengeluaran Benelli Tornado 1130 dihentikan pada 2014, jenama motosikal Itali-China itu ketandusan jentera berkuasa tinggi. 

*Benelli Tornado 1130

Namun, kami juga menjangkakan bahawa platform V4 itu akan turut menguasakan model QJ Motor sendiri, kemungkinan besar dinamakan SRK1000RR. 

Sebaik projek V4 ini siap sepenuhnya, ini bermaka QJ Motor akan memiliki kepelbagaian enjin yang luas bermula dengan enjin satu silinder, parallel-twin, tiga-inline, dan empat-inline dengan kapasiti dari 50cc hingga 1,000cc. 

*QJ Moto SRK1000RR yang didedahkan awal tahun ini hasil kerjasama dengan MV Agusta.

Menariknya, QJ Motor ada mendedahkan jentera ‘superbike’ 1,000cc awal tahun ini yang dikuasakan enjin MV Agusta 1000. Ini kerana MV Agusta telah menjalinkan kerjasama dengan QJ Motor bagi pembangunan motosikal ADV, Lucky Explorer 5.5 yang berkongsi platform sama dengan Benelli TRK 502. 

Namun begitu, kami menjangkakan bahawa kerjasama itu sudah tergendala ekoran sebanyak 25.1 peratus saham MV Agusta telah berjaya diperolehi KTM. Mengambil kira KTM mempunyai kerjasama erat dengan CFMoto (yang merupakan pesaing QJ Motor di China dan pasaran global), maka kemungkinan besar segala usahasama antara QJ Moto dan MV Agusta yang dirancang sebelum ini menjadi lebih rumit. 

Pada masa sama, mengambil kira keputusan QJ Motor untuk membangunkan platform V4 sendiri, adalah satu indikator utama bahawa kerjasama dengan MV Agusta telah pun terhenti. 

*MV Agusta Lucky Explorer 5.5

Tidak cukup dengan itu, segala rujukan mengenai Lucky Explorer 5.5 yang terdapat pada laman web rasmi MV Agusta sebelum ini telah pun dipadam sekaligus menguatkan lagi sangkaan kami. 

Apa pun, pembangunan platform V4 oleh QJ Motor membuktikan mereka tidak perlu bantuan MV Agusta dalam menghasilkan trenkuasa baharu. Apa yang pasti, kami tidak sabar untuk menyaksikan model berkuasa tinggi tersebut pada masa akan datang. 

KTM dengan rasminya memperkenalkan KTM 890 SMT 2023 untuk pasaran global beberapa bulan selepas model baharu itu kelihatan menjalani ujian di Eropah. 

Seperti yang dilaporkan sebelum ini, KTM 890 SMT dikuasakan enjin parallel-twin 889cc LC8c yang sama terdapat pada KTM 890 Adventure namun menawarkan kuasa dan tork yang lebih tinggi dengan 105hp dan 100Nm. 

Angka kuasa yang tinggi itu meletakkan 890 SMT sebagai jentera dengan kuasa pecutan tinggi meskipun pada rpm rendah lantas menjadikan motosikal tersebut lebih versatil di jalan raya. 

Selain itu, KTM turut mereka semula bahagian tangki yang kini lebih langsing yang membuatkan penunggang duduk kedalam agar kedudukan menunggang lebih agresif. 

Aerodinamik KTM 890 SMT ini juga dipertingkat dengan penghadang angin yang lebih rendah dan ‘splash guard’ yang terletak pada fork depan. Suspensi WP APEX yang dipadankan bersama rim 17-inci juga menyumbang kepada tunggangan yang lebih responsif. 

Menurut KTM, 890 SMT juga didatangkan dengan beberapa mod menunggang termasuk tetapan khas untuk litar lumba yang membolehkan penunggang menyahaktifkan 10 peringkat sistem traction control mengikut kesesuaian. 

Selain itu, KTM 890 SMT ini juga dilengkapi dengan Cornering Motorcycle Traction Control (MTC) yang mengawal tahap kecondongan motosikal di jalan raya/litar. Dalam pada itu, model baharu ini juga dilengkapi panel meter TFT 5-inci yang anti-calar. 

KTM juga menawarkan beberapa ciri tambahan antaranya Motor Slip Regulation (MSR) yang meningkatkan kawalan motosikal ketika menunggang atas permukaan kurang cengkaman di samping tukaran gear rendah yang lebih pantas. KTM turut menawarkan pakej Quickshifter+ dan Cruise Control sebagai opsyen tambahan. 

Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman telah mengarahkan JSPT Kontinjen Kelantan untuk mengesan penunggang motosikal yang dirakam melakukan aksi ‘wheelie’ dalam satu rakaman video yang tular baru-baru ini. 

Video berdurasi 29 saat itu memaparkan seorang lelaki berbaju melayu bersama seorang wanita berbaju kurung melakukan ‘wheelie’ di Jalan Pasir Puteh, Kg Peringat, Kota Bharu, Kelantan. 

Sehubungan itu, JSPT Kontinjen Kelantan diarahkan untuk mencari individu dalam video tersebut atas kesalahan melakukan aksi berbahaya yang merupakan kesalahan di bawah Seksyen 42 Akta Pengangkutan Jalan 1987. 

Orang awam yang turut mempunyai maklumat kejadian diminta menyalurkan maklumat kepada JSPT Kontinjen Kelantan atau sebarang balai polis berdekatan. 

Great Wall Motor (GWM) telah mempamerkan komitmen terhadap kenderaan tenaga baharu (NEV) dengan memperkenalkan barisan model NEV menerusi jenama HAVAL, TANK, ORA, POER dan WEY di Auto Shanghai 2023, baru-baru ini. 

Naib Presiden dan Ketua Pemasaran Antarabangsa GWM, Parker Shi, mengetengahkan visi baharu syarikat itu terhadap NEV di samping menegaskan betapa signifikan Auto Shanghai 2023 bagi GWM. 

“Auto Shanghai 2023 merupakan platform terbaik bagi mempamerkan masa depan NEV dan teknologi lain kepada umum. 

“GMW telah menjemput 300 media dan pengedar daripada 60 negara (termasuk Malaysia) bagi menyaksikan dengan lebih dekat tawaran model NEV dan teknologi ketika di pameran tersebut,” jelasnya. 

Ketika pameran tersebut berlangsung, HAVAL telah memperkenalkan Fierce Dragon MAX yang merupakan SUV pertama dunia dengan teknologi Hybrid Intelligent 4WD selain daripada menawarkan rekaan moden dan futuristik. 

Dalam pada itu, POER pula mencuri tumpuan dengan trak pikap 6×6 dan POER Shanhai PHEV/HEV dengan kedua-duanya merupakan kenderaaan NEV. Ini secara tidak langsung, membuktikan kemampuan GWM dalam menghasilkan trak pikap NEV. 

Sementara itu, GWM TANK pula memperkenalkan dua model NEV baharu menerusi TANK 400 PHEV dan TANK 500 PHEV yang merupakan SUV berkeupayaan ‘off-road’ premium mewah. Menurut GWM, TANK 500 PHEV sudah pun dibuka untuk pra-jualan global minggu ini. 

Tidak cukup dengan itu, GWM WEY telah posisikan jenama mereka dalam segmen NEV dengan MPV sulung, WEY Gaoshan PHEV. Turut diperkenalkan adalah SUV elektrik Lanshan PHEV yang menawarkan 6-tempat duduk. 

Di samping itu, GWM ORA yang kini telah pun dipasarkan di Malaysia menerusi Ora Good Cat, mempamerkan dua model baharu yang datang dengan rekaan klasik namun dengan ciri moden dan berteknologi tinggi. Mengambil kira kejayaan Ora Good Cat di Malaysia, kami jangkakan dua model ini akan turut diperkenalkan kelak. 

Menerusi barisan model NEV yang diperkenalkan, ini secara tidak langsung membuktikan betapa komited GWM dalam mengetengahkan dan mempromosikan kenderaan tenaga baharu (NEV) untuk pasaran global sekaligus memenuhi permintaan pasaran global yang mahukan kenderaan hijau. 

Pengeluar skuter Taiwan, Kymco, telah melancarkan skuter maxi terbaru bagi tahun 2023 menerusi Kymco AK Premium 550. 

Kymco AK Premium 550 merupakan varian ‘flagship’ yang lahir daripada model standard, AK550 yang diperkenalkan pada 2017. 

Menurut Kymco, AK Premium 550 ini datang dengan panel badan yang lebih agresif meskipun reka bentuk keseluruhan tampak sama dengan model standard. Bagaimanapun, model baharu ini tampil dengan ciri lebih premium antaranya traction control, cruise control dan sistam AIBS Cornering Technology atau ‘Cornering ABS’. 

Selain itu, AK Premium ini turut datang dengan ‘riding mode’ dan fungsi ride-by-wire yang memastikan tunggangan lebih lancar dan selesa. 

Untuk rekod, Kymco AK Premium 550 ini masih lagi dikuasakan enjin dua-inline 550.4cc DOHC dengan 8-valves yang menawarkan 51hp pada 7,500rpm dan 52Nm pada 6,000rpm. Sekadar perbandingan, Yamaha TMax Tech Max 2022 menawarkan 47hp dan 55.7Nm daripada enjin parallel-twin 560cc. 

Sementara itu, Kymco AK Premium ini menampilkan lampu LED depan dengan DRL yang lebih agresif berbanding AK550. 

Antara ciri lain ditawarkan termasuk brek Brembo M40 berkembar depan, tangki 14.5L, rim 15-inci dengan 120/70 depan dan 160/60 belakang, fork jenis USD dan cakera brek 270mm depan dan 260mm belakang. 

Kymco AK Premium 550 ini dipasarkan di Eropah pada harga jualan rasmi EUR10,999 (RM53k) sekaligus menjadikan model ini RM20k lebih rendah berbanding Yamaha TMax Tech Max yang dipasarkan di Malaysia pada harga sekitar RM74k. 

Sayangnya, Kymco tidak memasarkan skuter mereka disini kecuali Kymco X-Town 250 yang dijenamakan semula sebagai Modenas Elegan 250EX. 

Arkib

Ikuti Kami di Facebook

Ikuti Kami di YouTube