Bikesrepublic

Arkib

Polis menafikan dakwaan sesetengah pihak yang berpendapat kejadian kanak-kanak enam tahun memandu kereta jenis Toyota Vios di Langkawi baru-baru ini melibatkan unsur mistik.

Memetik laporan Berita Harian, Ketua Polis Daerah Langkawi, Asisten Komisioner Shariman Ashari berkata kanak-kanak tersebut memiliki ilmu asas memandu kereta dan turut tahu fungsi gear. 

“”Berdasarkan siasatan didapati kanak-kanak itu juga mengetahui fungsi pedal minyak dan gear automatik, selain memiliki keyakinan dengan menunjukkan bagaimana cara untuk turunkan brek tangan.

“Pemeriksaan rakaman kamera papan pemuka atau dashcam mendapati pemanduan tidak stabil, kadang-kala memasuki lorong bertentangan dan ada ketika ke kiri dan ke kanan,” jelasnya dalam satu kenyataan. 

Jleas Shariman, kanak-kanak tersebut juga mempamerkan cara betul untuk menghidupkan enjin setelah diminta oleh pegawai penyiasat. 

Berdasarkan bukti nyata itu, polis menolak sebarang unsur mistik seperti yang tular di media sosial. – Berita Harian

Pengeluar helmet motosikal, Hong Jin-Crown Corp (HJC) telah memperkembangkan tawaran model helmet untuk pasaran global menerusi pelancaran HJC RPHA 31. 

Mengguna pakai teknologi cangkerang PIM (Premium Integrated Matrix), HJC RPHA 31 merupakan helmet jenis jet yang dibina untuk kegunaan harian terutamanya pengguna skuter di kawasan bandar. 

Visor depan menawarkan perlindungan muka yang menyeluruh namun masih lagi menawarkan ruang baik bagi pengudaraan. Menurut HJC, visor tersebut adalah anti-UV dan disaluti dengan bahan anti-calar sekaligus bukan sahaja tahan lasak malah melindungi muka dari cahaya panas matahari. 

Menariknya, visor tersebut juga boleh dipasang dengan kanta  Pinlock anti-kabus. Seperti model ‘jet’ lain, RPHA 31 ini juga datang dengan ‘sun visor’. Terdapat dua corong udara utama ditawarkan termasuk corong keluar haba panas yang terletak di bahagian belakang. 

Pad bahagain dalam pula boleh ditanggalkan sepenuhnya dan boleh dibasuh. Menariknya, keseluruhan pad dalam juga disaluti bahan anti-bakteria. 

Dari aspek keselamatan, HJC RPHA 31 mencapai standard ECE R22.06 terbaru dan dibina menggunakan bahan gentian komposit sekaligus tahan lasak dan kuat. 

Bagi pasaran Eropah, HJC RPHA 31 ini dijual pada harga EUR429.90 (RM2.1k). 

Polis Daerah Ampang Jaya telah menahan lapan warga asing setelah didapati buat bising dengan ekzos yang telah diubahsuai di sekitar Tasik Tambahan, Ampang, pada Selasa. 

Perkara itu disahkan Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Farouk Eshak. Memetik laporan Sinar Harian, sepasukan pegawai dan anggota Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ampang Jaya telah mengambil tindakan pada jam 9 malam. 

Susulan daripada itu, sebanyak 18 motosikal telah disita ekoran melakukan ubahsuai ekzos secara melampau dengan lapan daripadanya ditunggang warga asing. Polis kemudiannya mengenal pasti lapan warga asing tersebut adalah warga Myanmar. 

“Motosikal yang disita ialah Yamaha Lagenda, Yamaha 125Z, Yamaha 135LC, Honda CBR 250 serta Yamaha MT-07 untuk tindakan di bawah Seksyen 64(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan Seksyen 6(4) akta yang sama,” jelas Farouk. 

Pemeriksaan lanjut juga mendapati terdapat sebahagian daripada motosikal disita tidak mempunyai brek belakang. – Sinar Harian

Seorang kanak-kanak lelaki berusia enam tahun telah mengalami cedera ringan setelah kemalangan ekoran daripada memandu kereta jenis Toyota Vios dalam satu kejadian di Jalan Bukit Tangga, Simpang Kenyum, Langkawi pada Selasa.

Perkara itu disahkan Ketua Polis Daerah Langkawi, Asisten Komisioner Shariman Ashari. 

Memetik laporan Sinar Harian, pihak berkuasa menerima laporan orang ramai pada 11.15 malam selepas kereta tersebut terbabas dan melanggar tiang. Sewaktu kejadian, adik lelaki berusia tiga tahun juga turut berada di dalam kereta. 

“Hasil siasatan mendapati kemalangan berpunca daripada kereta yang dipandu dari rumahnya tanpa pengetahuan ibu bapa dan hilang kawalan serta terbabas masuk ke tepi jalan di Jalan Bukit Tangga, Langkawi,” jelas Shariman. 

Pada masa sama, difahamkan bapa kanak-kanak tersebut juga sedang tidur ketika kejadian sementara si ibu pula berada di dalam tandas sebelum menyedari kedua-dua anaknya hilang.

Dalam pada itu, video kejadian turut tular di media sosial.  – Sinar Harian

Hong Leong Yamaha Motor (HLYM) telah mengeluarkan notis panggilan semula membabitkan dua model, Yamaha YZF-R25 dan MT-25. 

Menurut notis yang dikeluarkan, panggilan semula itu melibatkan model yang dibeli antara September 2022 hingga Mac 2023 bagi menjalani pemeriksaan sistem hos ABS. 

Dalam pada itu, HLYM turut berkongsi nombor casis yang terlibat dengan panggilan semula itu. Pemilik motosikal berkenaan boleh merujuk nombor casis DI SINI

Pada masa sama, HLYM juga akan menghantar notis kepada pemilik terkesan bermula minggu kedua bulan Mei 2023. Mereka yang menerima notis tersebut diminta segera menghubungi pengedar rasmi Yamaha atau Hong Leong Yamaha Motor Sdn Bhd bagi membuat janji temu.

Seramai 349 pemilik Ducati – atau lebih popular dengan jolokan Ducatisti – telah merancakkan acara global menerusi #WeRideAsOne yang berlangsung pada Sabtu. 

Acara yang berjalan secara serentak seluruh dunia itu adalah bagi meraikan kesepakatan dan kebersamaan di antara pemilik Ducati di Malaysia. Menurut Ducati Malaysia, konvoi besar-besaran yang berjalan serentak di serata negara itu 349 Ducatisti kesemuanya. 

Selain daripada meraikan satu sama lain dan jenama Ducati itu sendiri, #WeRideAsOne juga membolehkan Ducatisti untuk berkongsi pengalaman, bertukar pendapat di samping menghasilkan memori yang bermakna. 

default

Dalam pada itu, #WeRideAsOne juga jadi bukti jenama motosikal Itali itu meninggalkan kesan yang mendalam dikalangan pemilik hasil daripada reka bentuk yang menarik, kuasa enjin yang padu dan ciri yang menonjol. 

Selain itu, #WeRideAsOne juga membolehkan dunia melihat keindahan mercu tanda di Malaysia termasuk Menara Berkembar Petronas, Kuala Lumpur, Kellies Castle, Perak dan Flor de La Mar, Melaka.

Yamaha bakal menghidupkan semula nama RZ250 dan RZ350 setelah pengeluar motosikal Jepun disahkan telah mempatenkan kedua-dua nama tersebut. 

Yamaha RZ250 dan RZ350 sememangnya nama yang cukup gah ketika diperkenalkan pada 1985 dengan kedua-dua model 2-stroke (dua lejang) ini bingkas mencapai populariti termasuk di Malaysia. Tidak hairanlah, model itu ketika ini dijual pada harga sekitar RM60,000 hingga RM70,000 ketika ini. 

Bagaimanapun, mengambil kira faktor emisi yang saban tahun semakin ketat, kami menjangkakan Yamaha tidaklah mahu menghidupkan secara bulat-bulat model yang diperkatakan. Sebaliknya, nama yang dipatenkan itu kemungkinan besar merujuk pada motosikal moden namun dengan sentuhan retro sepertimana yang dilaksanakan pada barisan model XSR. 

Namun, terdapat kemungkinan juga Yamaha hanya memastikan nama model ikonik itu terus menjadi milik mereka dan tidak terlepas pada pengeluar lain. 

Apa yang pasti, Yamaha RZ250 dan RZ350 sudah meninggalkan impak besar bagi mereka yang membesar dengan motosikal tersebut. Kemunculan semula model baharu dengan nama sama mungkin akan mencetuskan tanggapan negatif bagi mereka yang benar-benar menghargai kedua-dua model itu sebelum ini. 

Hong Leong Yamaha Motor dengan rasminya melancarkan Yamaha Y16ZR edisi Doxou ‘Tech Art’ untuk pasaran tempatan dengan harga jualan rasmi RM11,818. 

Seperti edisi Doxou yang diperkenalkan pada 2021, model kali ini juga datang dengan pilihan warna unik dan dihadkan pengeluaran kepada 5,000 unit sahaja. 

Bagi keluaran 2023, Y16ZR edisi khas ini menggabungkan pilihan warna biru dan ungu serta rim serba biru. 

Bagaimanapun, spesifikasi lain termasuk enjin VVA kekal sama seperti model standard. Hasilnya, Yamaha Y16ZR Edisi Doxou ‘Tech Art’ ini masih lagi menawarkan 17.7hp pada 9,500rpm dan 14.4Nm pada 8,000rpm. 

Dalam pada itu, setiap pembelian Yamaha Y16ZR edisi khas ini turut disertakan dengan ‘sports fender’ khas, nombor siri keluaran dan sijil terima kasih sebagai tanda penghargaan. 

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim telah merasmikan pelancaran model serba baharu, Proton X90 untuk pasaran Malaysia. 

Untuk rekod, Proton X90 merupakan model ketiga bagi keluarga X Proton selepas X50 dan X70. Dipasang sepenuhnya di kilang Proton di Tanjung Malim, Proton X90 merupakan SUV dengan tiga baris tempat duduk.

Tampil dengan empat varian, Standard hingga Flagship, Proton X90 ini datang dengan tujuh tempat duduk tetapi turut tersedia sebagai enam tempat duduk.

Sebagai SUV moden premium, X90 juga datang dengan ciri keselamatan terkini termasuk:

  • Rear Cross Traffic Alert (RCTA)
  • Rear Collision Warning (RCW) 
  • Traffic Sign Information (TS)
  • panel meter LCD 10-inci
  • unit infotainmen 12.3-inci dengan prosesor EO2

Seperti yang diumumkan sebelum ini, Proton X90 merupakan SUV mid-hibrid dan dikuasakan enjin 1.5L TGDi yang berupaya menghasilkan 190PS dan 300Nm. Sistem hibrid EMS 48V pula menambah 13PS dan 45Nm. 

Bagi pasaran Malaysia, Proton X90 tampil dengan empat varian dan ditawarkan seperti berikut:

  • 1.5L TGDi BSG Flagship – RM152,800
  • 1.5L TGDi BSG Premium – RM144,800
  • 1.5L TGDi BSG Executive – RM130,800
  • 1.5L TGDi BSG Standard – RM123,800

Dalam pada itu, Proton X90 ini tampil dengan enam warna pilihan; Snow White, Armour Siliver, Jet Grey, Cinnamon Brown, Ruby Red dan Marine Blue sementara varian Standard pula hanya datang dengan tiga warna pilihan, Snow White, Armour Silver dan Jet Grey.

Baru-baru ini tular di media sosial apabila selebriti tempatan, Caprice seakan mendakwa pihak berkuasa hanya mengambil tindakan terhadap mereka yang melanggar peraturan jalan raya menggunakan kapcai. 

Caprice dalam satu hantaran di Instagram pada Jumaat lalu berkata; “Siapa suruh hang naik motosikal kapcai harga RM7,000. Cuba bawa Ducati yang berharga RM200,000. Ini budak Ducati tak ada pergi mahkamah atau kena kutip sedangkan video dah jelas. Ingat lain kali kalau nak buat jenayah cuba bawa Ducati,” jelasnya. 

Bagaimanapun, dalam satu hantaran terbaru, Caprice juga telah memohon maaf kepada pemilik motosikal Ducati berkenaan dengan kenyataannya.

Dalam pada itu, Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman, Datuk Seri Mat Kasim Karim menyangkal dakwaan awal yang menyifatkan pihak berkuasa berat sebelah dalam mengambil tindakan. 

“Tidak kira menunggang motosikal kapcai atau Ducati, mereka yang terlibat akan diambil tindakan di bawah peruntuk undang-undang ditetapkan.

“Untuk makluman, dua kertas siasatan di bawah Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 telah dibuka oleh Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Selangor berkait kejadian berasingan yang melibatkan penunggang motosikal berkuasa tinggi ini,” jelasnya dalam satu kenyataan, pada Sabtu.

Dalam perkembangan lain, Ducati Malaysia telah mengadakan acara ‘We Ride As One’ pada Sabtu yang merupakan acara meraikan pemilik Ducati di dunia.

Acara tersebut menyaksikan ratusan pemilik Ducati sambil diiringi pihak polis telah berkonvoi ke Kuala Lumpur untuk sesi bergambar. Menariknya, ketika berkumpul, pihak polis turut melakukan formaliti dengan memeriksa lesen penunggang masing-masing sebelum konvoi berlepas bagi memastikan acara berlangsung dengan lancar.

Suzuki Malaysia dengan rasminya melancarkan Suzuki V-Strom 1050 DE (Dual Explorer) 2023 di Malaysia Autoshow 2023, hari ini. 

Menurut Suzuki Malaysia varian 1050 DE ini menggantikan 1050 XT yang akan dihentikan pengeluaran. 

Suzuki V-Strom 1050 DE ini didatangkan dengan tayar berukuran 21-inci depan bagi meningkatkan tahap kesesuaian sewaktu tunggangan ‘off-road’.  Bahagian ‘swingarm’ juga lebih panjang berbanding 1050 XT sekaligus meningkatkan jarak antara tayar (wheelbase). 

Seterusnya, Suzuki V-Strom 1050 DE ini juga menawarkan jarak kelegaan tanah yang lebih baik, 190mm berbanding 165mm yang ditawarkan V-Strom 1050 XT dengan tayar 19” depan.

Jarak kelegaan suspensi Kayaba juga naik 10mm di bahagian depan dan belakang dan kini menawarkan jarak pergerakan 170mm. 

Menariknya, Suzuki turut menaik taraf pakej elektronik sekaligus menyaksikan V-Strom 1050 DE menawarkan mod ‘Gravel’ yang dipadankan bersama sistem IMU terbaru.

Tak lupa juga sistem ABS pada varian 1050 DE ini juga boleh dipadam sepenuhnya dan merupakan tetapan terbaru dari Bosch.

Bukan itu sahaja, Suzuki V-Strom 1050 DE ini juga didatangkan dengan skrin TFT 5” menggantikan parapan digital LCD yang terdapat pada 1050 XT.

CFMoto Malaysia dengan rasminya melancarkan CFMoto Papio XO-1 2023 untuk pasaran Malaysia dengan harga jualan rasmi RM8,888.

CFMoto Papio XO-1 merupakan motosikal segmen minimoto yang bersaing dalam segmen sama dengan jenama popular Honda Grom (MSX125) dan Honda Monkey 125.

Model ini dikuasakan enjin satu silinder 125cc dengan penyejukan cecair dan sistem suntikan bahan api yang berupaya menghasilkan 9.5hp pada 8,500rpm dan 8.3Nm pada 6,500rpm. 

Meskipun berciri retro, Papio XO-1 ini dilengkapi dengan ciri dan kelengkapan moden termasuk lampu LED penuh, cakera brek tunggal 210mm depan dan 190mm belakang. Sementara itu, pakej suspensi pula merangkumi fork USD depan dan monoshock belakang.

Menariknya, meskipun bersaiz kecil namun Papio XO-1 ini dilengkapi dengan sistem ABS dwi-saluran. Pada masa sama, model ini juga dilengkapi dengan tangki 7L sekaligus sesuai untuk kegunaan harian dan dihujung minggu.

GALERI: CFMoto Papio XO-1 2023

Arkib

Ikuti Kami di Facebook

Ikuti Kami di YouTube