Bikesrepublic

BM

Yamaha TMAX 560 (2024) telah dilancarkan di Jepun dengan beberapa kemas kini ringan.

Yamaha TMAX boleh dikatakan skuter yang memulakan kelas maxi-skuter apabila ia mula-mula dikeluarkan pada tahun 2001, dan mengambil alih daripada 250cc Majesty. Popular di Eropah, motosikal ini telah meneruskan banjarannya selama 23 tahun dengan kemas kini demi kemas kini untuk membawanya ke tahap yang terkini. Ia masih menjanjikan prestasi dan teknologi tanpa menjejaskan kepraktisan dan keselesaan.

Oleh itu, bukanlah sesuatu yang mengejutkan apabila Yamaha mengemas kini TMAX sedikit sebanyak untuk bersaing, jika tidak, terus berada di hadapan pesaingnya.

Enjin kekal sama: Jenis kembar selari 562cc, dengan penyejukan cecair dan suntikan bahan api. Ia menghasilkan kuasa maksimum sebanyak 48 hp pada 7,500 RPM dan 55.7 Nm tork maksimum pada 5,250 RPM. Itu adalah sebaran yang luas sebanyak 2,250 RPM antara tork dan kuasa maksimum memastikan pecutan yang pantas apabila bergerak.

Walau bagaimanapun, kemas kini utama terletak pada ciri elektronik. Sebagai permulaan, kini terdapat kawalan jelajah (cruise control) yang merupakan tambahan yang dialu-alukan untuk perjalanan jarak jauh. Paparan meter TFT 7-inci berwarna penuh kini mempunyai navigasi Garmin. Pencucuhan tanpa kunci, kawalan cengkaman, ABS dikekalkan. Model Jepun mempunyai handel dan tempat duduk yang dipanaskan.

Ciri-ciri lain termasuk penghalang angin yang tinggi, tempat duduk yang selesa, ruang simpanan bawah tempat duduk yang besar dan banyak lagi. Pemilik Yamaha TMAX 560 2024 di Jepun boleh memilih beg pelana dan top boks, tetapi ia mungkin tidak tersedia untuk pasaran kami. Namun satu perkara yang pasti ialah ia akan mengambil masa yang agak lama untuk tiba di sini.

PETRONAS menyeru orang ramai lebih berwaspada terhadap penipuan pelaburan palsu yang menggunakan nama syarikat itu dan ketua pegawai eksekutifnya (CEO).

PETRONAS  berkata pihaknya sudah dimaklumkan mengenai penipuan pelaburan dalam talian itu yang aktif di kalangan pengguna aplikasi WhatsApp.

Menurut mereka, penipuan itu membabitkan penggunaan nama dan logo syarikat PETRONAS, serta nama Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Petronas Tan Sri Tengku Muhammad Taufik, yang tidak sah.

“Mesej terbabit merangkumi laporan berita palsu daripada The Star dengan tajuk yang digunakan ‘Laporan Khas: ‘PETRONAS membuka platform pelaburan bersama dengan sokongan kerajaan!’.

“Ia menawarkan skim yang menjanjikan pulangan melalui pelaburan mingguan dalam operasi kerajaan berkaitan dengan pengeluaran gas asli dan cecair (LNG),” kata Petronas dalam kenyataan itu.

Laporan itu juga disertakan bersama video palsu Tan Sri Tengku Muhammad Taufik, dengan imej dan suaranya dimanipulasi menggunakan perisian kecerdasan buatan (AI).

Pengurusan PETRONAS menjelaskan dan menekankan bahawa tidak ada platform pelaburan sebegini daripada mereka.

“Kami ingin menyeru kepada semua orang untuk tidak memberi respons kepada skim pelaburan palsu ini,” tambah mereka.

Goodyear akan memberikan pampasan yang tinggi kepada pekerja-pekerja mereka yang terkesan dengan keputusan menutup kilangnya di Shah Alam.

Proses peralihan yang melibatkan kebajikan pekerja telah dilaksanakan sebelum pengumuman tersebut. Proses ini termasuklah kerjasama dengan beberapa syarikat seperti Proton Holdings Bhd. untuk menyediakan peluang pekerjaan kepada pekerja yang terjejas.

Berita ini didedahkan oleh Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz. Beliau berkata Goodyear berbuat demikian agar proses peralihan bagi pekerja dapat berjalan lancar. Tambah lagi, Goodyear akan memberi pampasan yang lebih tinggi daripada yang ditetapkan di bawah peruntukan undang-undang.

“Kilang ini ditutup kerana Goodyear menyasarkan pengurangan kos sehingga AS$1 bilion setahun menjelang 2025. Penutupan kilang di Shah Alam adalah sebahagian daripada langkah pengurangan kos yang tersebut.

“Goodyear juga bakal menutup dua kilang tayarnya di Jerman, membabitkan 1,750 pekerja. Sebuah kilang tayar di United Kingdom juga bakal ditutup. Jadi, bukan operasi di Malaysia sahaja, malah operasi Goodyear di seluruh dunia juga turut terjejas,” katanya dalam hantaran di laman sosial pada Jumaat.

Goodyear dilaporkan akan menutup kilangnya di Shah Alam, Selangor setelah beroperasi 50 tahun yang menjejaskan kira-kira 550 kakitangan.

Beliau berkata, MITI dan agensinya MIDA sudah menggerakkan pasukan khusus membabitkan PERKESO dan Jabatan Tenaga Kerja melalui Pusat Pemudahcara Invest Malaysia untuk memudahkan penempatan pekerjaan, serta menawarkan program peningkatan kemahiran dan kemahiran semula.

“Paling penting, semua usaha itu telah mula dilaksanakan sebelum pengumuman penutupan kilang dibuat untuk memastikan proses peralihan bagi pekerja berjalan lancar,” katanya.

Mengulas lanjut, Tengku Zafrul berkata, kerajaan akan memastikan Malaysia terus mendapat kemasukan pelaburan yang dapat membantu ekonomi negara.

Perkara itu adalah cabaran utama ketika ini disebalik landskap ekonomi global semasa dalam memastikan lebih banyak pelaburan masuk daripada pelaburan keluar seperti yang berlaku pada Goodyear.

Beliau berkata, pengumuman pelaburan diluluskan sebanyak RM329.5 bilion tahun lalu, yang tertinggi dalam sejarah Malaysia. Sebanyak 5,310 projek telah diluluskan dan bakal menjana hampir 130,000 peluang pekerjaan.

“Dalam sektor pembuatan sahaja, 63 peratus daripada pelaburan diluluskan adalah daripada perniagaan sedia ada yang mengembangkan operasi mereka.

Pelumba negara Qabil Irfan Azlan bakal berlumba dalam Kejuaraan Spanish Superbike (ESBK) untuk musim 2024.

Juara Siri MiniGP Dunia 2023 yang berumur 12 tahun itu akan mengambil bahagian di dalam Kategori Moto4 bersama sebuah pasukan Sepanyol, VHC Frando Racing.

Menurut kenyataan dikeluarkan ZK Racing, Qabil akan berlepas ke Sepanyol Ahad ini untuk mengikuti ujian pramusim pada 16 dan 17 Mac ini di Litar Jerez. Dia kemudiannya akan kekal di sana bagi menyertai perlumbaan pembukaan musim pada 6 dan 7 April ini.

“Kejuaraan ESBK akan diadakan sepanjang 7 pusingan. Kategori Moto4 ini merangkumi pelumba berusia 12 hingga 14 tahun dan akan bersaing di litar-litar di Sepanyol dan Portugal,” menurut ZK Racing.

Selepas perlumbaan di Litar Jerez, Qabil dijadual meneruskan tunggangannya di Litar Valencia, Sepanyol (1 dan 2 Jun); Litar Estoril, Portugal (6 dan 7 Julai); Litar Catalunya, Sepanyol (27 dan 28 Julai); Litar Estoril, Portugal (31 Ogos dan 1 Sept); Litar Navarra, Sepanyol (26 dan 27 Oktober) dan kembali ke Litar Jerez bagi menutup kempen 2024 pada 2 dan 3 November.

Qabil bernaung di bawah program pembangunan ZK Racing sejak 2020 dijangka turut menyertai Kejuaraan FIM MiniGP Siri Malaysia dalam kategori 190cc tahun ini.

Kerajaan Johor sedang membuat rancangan untuk membuka semula Litar Pasir Gudang yang juga dikenali sebagai Johor Circuit. Litar yang bersejarah itu telah ditutup sejak sembilan tahun lalu.

Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan, Pembangunan Usahawan dan Koperasi negeri Mohd. Hairi Mad Shah berkata beliau bersama Menteri Besar Datuk Onn Hafiz Ghazi akan menghadap Pemangku Sultan Johor Tunku Mahkota Ismail Sultan Ibrahim bagi mempersembahkan perancangan untuk membuka semula litar itu.

Beliau berkata pembukaan semula litar berkenaan yang akan menelan kos tinggi, namun ia akan menjadi gelanggang latihan Johor Darul Ta’zim (JDT) Racing Team yang disertai pelumba negara Hafizh Syahrin Abdullah.

Hafizh Syahrin Berazam Menyerlah di ARRC

“Apabila ada JDT Racing Team di Johor, ramai yang bertanya mengenai Litar Pasir Gudang, namun (mengikut) kajian semula, ia akan babitkan kos yang agak tinggi untuk baik pulih.

“Jadi, insya-Allah saya dan Menteri Besar akan menghadap Pemangku Sultan Johor untuk dipertimbangkan litar ini dibuka semula bagi latihan Hafizh Syahrin dan penggiat permotoran dalam masa terdekat,” kata Mohd. Hairi semalam.

Beliau juga berharap pembukaan semula litar itu dapat merancakkan lagi sukan permotoran, sekali gus menjadi lokasi pilihan penggiat sukan itu.

JDT menceburi sukan permotoran bersama Hafizh yang akan bersaing dalam Kejuaraan Motosikal Asia 2024.

 

KTM Brabus 1400 R yang baharu dilaporkan sedang dibangunkan dan akan menggunakan enjin KTM yang 1350cc baharu.

Sebelum ini, KTM mengumumkan pengeluaran KTM Brabus 1300 R akan ditamatkan selepas dua tahun. Tetapi ternyata ia kerana KTM telah memperkenalkan enjin baharu melalui KTM 1390 Super Duke 2024. Enjin baharu itu menggantikan enjin LC8 1301cc lama, yang terdapat dalam KTM 1290 Super Duke Evo.

Jadi, sudah tentu Brabus baharu ini akan berdasarkan 1390 Super Duke Evo. LC8 V-Twin baharu itu mempunyai 188 hp dan tork 145 Nm. Ia juga merupakan enjin kepada 1390 Super Adventure dan 1390 Super Duke GT yang akan datang.

Walaupun KTM dan Brabus tidak mendedahkan projek itu, sebuah motosikal Jerman terjumpa permohonan Brabus kepada Pejabat Harta Intelek Kesatuan Eropah (EUIPO) untuk mendaftarkan beberapa nama. Lebih khusus lagi, Brabus telah mendaftarkan tanda dagangan “Brabus 1400 R Tailor Made”, “Brabus 1400 R Rocket”, dan “Brabus 1400 R Signature”.

Jadi, daripada hanya satu varian dengan dua skema warna berbeza, motosikal baharu itu akan mempunyai tiga varian berbeza. Mungkin “Tailor Made” merujuk kepada varian yang dibuat mengikut kemahuan pembeli, manakala “Rocket” menandakan versi prestasi, dan “Signature” bermaksud kemewahan.

Sekiranya berita ini benar, kita boleh menjangkakan untuk melihat KTM Brabus 1400 R baharu menjelang akhir tahun ini.

Cikgu Ben Zaid, yang dikenali mesra sebagai “Cikgu Offroad” menaiki Aveta Ranger Max Explorer untuk pergi mengajar murid-murid di sebuah komuniti Orang Asli yang terpencil.

Aveta Malaysia, pengeluar, pemasang dan pengedar motosikal Aveta telah menghadiahkan motosikal Aveta Ranger Max Explorer untuk membantu Cikgu Ben Zaid dan dua rakannya yang juga cikgu dalam usaha mendidik kanak-kanak dalam masyarakat Orang Asli terpencil di Kelantan. Majlis penyerahan “Off-Road Education Outreach: Teachers Rally with Aveta” telah diadakan di hotel Royale Chulan di Mutiara Damansara semalam.

Cikgu Ben Zaid dan rakan-rakannya meredah 60km jalan pembalakan yang lasak dan denai hutan untuk sampai dan mengajar anak-anak masyarakat Orang Asli di Pos Balar, Kelantan, setiap hujung minggu. Perjalanan mereka ke pedalaman mengambil masa kira-kira 3 jam dalam cuaca yang baik. Walaubagaimanapun, laluan itu akan menjadi berbahaya semasa musim hujan, menjadikan perjalanan bertukar ke selama 10 jam.

‘Cikgu Offroad’ seperti yang dikenalinya di media sosial, merakam dan berkongsi video perjalanan pergi dan balik dari masyarakat tersebut. Oleh itu, ramai netizen Malaysia menghubungi Aveta untuk menyerlahkan usaha Cikgu Ben dan rakan-rakannya berikutan pelancaran Aveta Ranger Max Explorer pada November 2023. Mereka mencadangkan bahawa keupayaan lasak motosikal baharu syarikat itu akan banyak membantu guru-guru dalam bidang pendidikan mereka.

“Mengajar pelajar saya di Pos Balar adalah satu usaha yang saya terima dengan senang hati. Tidak dinafikan terdapat cabaran yang kami hadapi dalam perjalanan kami. Walau bagaimanapun, pendidikan adalah penting untuk membolehkan semua orang mengambil bahagian dalam kemajuan negara kita dan ini menyemarakkan semangat saya. Saya berterima kasih kepada pengikut saluran saya yang menonjolkan misi saya ke Aveta Malaysia dan berterima kasih kepada Aveta atas sokongan yang mereka berikan. Tidak dinafikan sumbangan ini benar-benar membantu kami menumpukan perhatian kepada tanggungjawab mengajar,” kata Cikgu Ben Zaid pada majlis penyerahan kunci.

Dia menambah, “Ciri-ciri lasak Aveta Ranger Max Explorer, termasuk brek cakera omboh berkembar, tayar dwiguna dan pelepasan tanah yang tinggi, menjadikan perjalanan kami ke dan dari sekolah lebih lancar. Reka bentuk double T-bone yang dipatenkan memastikan kestabilan yang sangat baik dan pengendalian yang mudah. Selain itu, kapasiti pemuatan yang mengagumkan membolehkan saya dan rakan sekerja membawa lebih banyak peralatan dan bekalan untuk kanak-kanak pada setiap perjalanan.”

Steven Lim, Pengarah Urusan Aveta Malaysia, berkata “Apabila kami memperkenalkan Ranger Max Explorer kami, kami menerima limpahan mesej dan komen daripada netizen, semuanya menyerlahkan dedikasi terpuji Cikgu Ben dan rakan-rakan pendidiknya. Menjelajah di laluan lasak adalah suatu yang menggerunkan, dengan hanya beberapa motosikal terpilih yang mempunyai ciri serba boleh untuk usaha tersebut. Di sebalik medan mencabar yang menguji kedua-dua kenderaan dan pemandu, ketabahan guru-guru ini dalam mendidik anak-anak Orang Asli sememangnya memberi inspirasi. Usaha murni mereka sangat menyentuh hati kami, dan mendorong kami untuk menghulurkan tangan. Dengan tiga motosikal yang dilengkapi khas ini, yang bersesuaian dengan rupa bumi yang lasak, kami berhasrat untuk meringankan beban Cikgu Ben dan pasukannya, membolehkan mereka menumpukan sepenuh hati kepada misi pendidikan mereka. Selain itu, kami memberikan mereka waranti 2 tahun yang memberikan mereka ketenangan fikiran semasa mereka memulakan perjalanan pendidikan penting mereka. Kami berharap sumbangan ini akan memberi sumbangan berharga kepada pendidikan anak-anak Orang Asli di Pos Balar.”

Steven meneruskan, “Pepatah Melayu menyebut ‘guru bagaikan pelita’. Guru seperti Cikgu Ben dan ramai di seluruh negara melakukan yang terbaik untuk mendidik bakat generasi akan datang di Malaysia dan menyediakan mereka untuk masa depan. Sebagai sebuah syarikat Malaysia yang jati, kami merasakan adalah penting untuk menyokong mereka dalam usaha membina negara mereka.”

Aveta Ranger Max Explorer cemerlang dalam keadaan lasak kerana dilengkapi dengan pelepasan tanah yang tinggi dan tayar dwiguna serba boleh. Motosikal ini mempunyai rim berbilang jejari, dan rangka tulang T berkembar yang kukuh dan terdedah separa yang dipatenkan, bersama-sama dengan tangki bahan api yang lebih besar. Keselesaan dipertingkatkan dengan fork teleskopik di hadapan dan sepasang penyerap hentakan bergas di belakang.

Pernah terfikir berapakah gaji Francesco “Pecco” Bagnaia? Lagipun, dia adalah juara dunia MotoGP dua kali bertahan.

Sekiranya anda belum maklum, dia telah memperbaharui kontraknya di Ducati untuk dua tahun lagi sehingga akhir musim 2026. Anda mungkin akan menganggap jumlah yang besar tetapi ia tidak hampir dengan apa yang didapati oleh juara dunia tiga kali sebelum ini, Jorge Lorenzo.

Menurut majalah Motorsport, perjanjian terbaru Bagnaia memberinya gaji pokok €7 juta (RM35,892,918.75) setiap musim. Bagaimanapun, dia dijangka memperoleh lebih daripada €10 juta (RM51,275,598.22), bergantung kepada keputusannya.

Dia mula mendaftar sebagai pelumba kilang No. 1 Ducati pada awal musim 2022 yang kemudiannya dimenanginya pada tahun yang sama. Gajinya sama dengan Jorge Martin dan Enea Bastianini (sebelum dia berpindah ke pasukan kilang) pada masa itu.

Walau bagaimanapun, walaupun jumlah itu kelihatan sangat besar bagi kita sebagai insan biasa, ia tidak hampir dengan apa yang diperoleh Lorenzo apabila dia berpindah ke Ducati. Pelumba yang berasal dari Majorca itu telah dibayar sebanyak €25 juta untuk setiap dua musim dia berada di sana. Namun, Lorenzo dapat memenangi tiga perlumbaan dan tiada takhta juara dunia buat Ducati.

Oleh itu, Francesco “Pecco” Bagnaialah yang menghadiahkan kejuaraan MotoGP yang kedua buat Ducati, 15 tahun selepas Casey Stoner melakukannya pada 2007.

Perlu dikatakan akan ada 8 pelumba yang kontraknya akan tamat pada penghujung 2024, jadi Ducati terpaksa mendapatkan khidmat Bagnaia dengan cepat. Ia masih belum dapat dilihat apa yang Enea Bastianini boleh lakukan selepas musim pertama yang penuh bencana dan penuh kecederaan tahun lalu. Tidak perlu dikatakan bahawa akan ada ramai yang akan bersaing untuk tempat Ducati kilang itu untuk tahun depan termasuk Marc Marquez dan Jorge Martin.

Ibu kota Vietnam, Hanoi diklasifikasikan sebagai bandar yang paling tercemar di dunia.

Bandar itu diselubungi pencemaran jerebu tebal semalam sehingga bangunan tinggi sukar dilihat dan menyebabkan hampir sembilan juta penduduk bandar itu menghirup udara beracun.

Sejak beberapa tahun kebelakangan ini, Hanoi sering disenaraikan antara bandar paling tercemar di dunia, sebahagiannya disebabkan oleh pembinaan yang meluas dan pelepasan asap daripada sejumlah besar motosikal serta kereta yang merentas ibu kota setiap hari.

Pelepasan karbon dari loji arang batu di utara dan pembakaran terbuka bagi tujuan pertanian memburukkan lagi masalah itu.

Bulan lalu, puluhan penerbangan terjejas apabila jerebu tebal menyelubungi Hanoi dan menghasilkan lonjakan pencemaran udara serta menyebabkan jarak penglihatan menurun. Pakar ramalan cuaca sudah mengeluarkan amaran tetap mengenai jerebu tebal, terutama di kawasan pergunungan timur laut Vietnam.

Laporan terbaharu Bank Dunia mengenai pencemaran udara mengatakan 40 peratus penduduk di Hanoi terdedah kepada kepekatan hampir lima kali ganda berbanding garis panduan selamat ditakrifkan WHO.

Bandar itu juga menduduki tempat pertama di laman sesawang pemantauan udara IQAir sebagai bandar paling tercemar di dunia sejak lewat petang semalam.

Tahap pencemar direkodkan pada PM2.5 iaitu zarah mikro penyebab kanser yang cukup kecil bagi memasuki saluran darah menerusi paru-paru. Ia diklasifikasikan sebagai ‘sangat tidak sihat’ dan melebihi 24 kali ganda garis panduan tahunan ditetapkan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO). WHO berkata beberapa masalah kesihatan yang serius dikaitkan dengan pendedahan pencemaran udara, termasuk strok, penyakit jantung dan kanser paru-paru.

Data pihak berkuasa Malaysia menunjukkan suatu satistik yang amat membimbangkan: Seorang penunggang motosikal maut setiap 2 jam.

Statistik tersebut juga menunjukan bahawa 2023 merupakan tahun yang paling merbahaya, dengan 6,443 orang kematian akibat kemalangan jalan raya. Ia merupakan angka tertinggi dalam tempoh lima tahun.

Berdasarkan data tersebut, terdapat purata 18 kematian setiap hari. Ia bersamaan dengan satu kematian setiap 80 minit.

Golongan bermotosikal masih merupakan kumpulan berisiko paling tinggi, kerana dua pertiga daripada jumlah itu merupakan penunggang dan pembonceng motosikal. Seramai 4,480 penunggang dan pembonceng motosikal telah maut pada 2023.

Hakitkat ini didedahkan oleh Menteri Pengangkutan Malaysia, Dato’ Anthony Loke ketika  sidang media di Parlimen di sini, semalam.

Dalam satu perkembangan yang lain, beliau juga berkata Jabatan Pengangkutan Jalan dan Polis DiRaja Malaysia akan menyiarkan maklumat mengenai angka kemalangan dan maut akibat kemalangan jalan raya dalam masa nyata (real time) setiap hari.

Beliau berharap langkah ini dapat menyedarkan orang ramai terhadap keselamatan jalan raya kerana kemalangan jalan raya merupakan penyumbang utama kepada kadar kematian di negara ini. Kaedah seakan penyiaran statistik harian bagi kes Covid-19 pada suatu masa yang lalu.

Langkah ini berlainan daripada laporan statistik kemalangan jalan raya dan kematian akibatnya pada setiap tahun.

Masih ingatkah anda apabila anda mengambil ujian undang-undang berkomputer sebelum anda mendapatkan kebenaran untuk mengambil ujian praktikal untuk mendapatkan lesen memandu dahulu?

Mengikut institut memandu yang kita pilih, kita terpaksa pergi ke institut menandu atau pusat ujian berkomputer yang lain bagi mengambil ujian undang-undang. Tetapi kesusahan ini mungkin dapat dielakkan atau dikurangkan kerana kerajaan akan membenarkan institut memandu untuk mengendalikan pusat ujian undang-undang berkomputer (KPP01) di premis masing-masing mulai April ini.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata, ini akan membolehkan calon mengambil ujian KPP dan ujian litar di tempat sama sekali gus memudahkan mereka serta mengurangkan masa menunggu.

“Namun IM yang berhasrat untuk membuka pusat ujian berkenaan disyaratkan untuk menawarkan eTesting bagi ujian litar.

“IM yang diluluskan akan diwajibkan untuk turut menyediakan sistem eTesting dalam tempoh satu tahun,” katanya.

Data dan soalan adalah berpusat dan di bawah kawalan penuh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), walaupun ujian undang-undang berkomputer boleh dijalankan di premis IM.

“Inisiatif yang diumumkan ini adalah usaha kementerian dan JPJ untuk mempermudahkan urusan pemilikan Lesen Memandu Malaysia dan seterusnya menyokong ke arah penyampaian perkhidmatan pendigitalan,” katanya.

Loke turut berkata harga maksimum untuk ujian KPP ditetapkan pada RM17 bagi motosikal dan RM27 bagi kenderaan lain.

Anda mungkin masih ingat yang kami pernah menyiarkan berita mengenai Husqvarna Vitpilen 901 sebelum ini. Ternyata kami tersilap kerana prototaip Husqvarna Svartpilen 801 telah didedahkan.

Sebelum ini, terdapat video acah yang mendorong video “suntingan penuh” pada 5 Mac. Ia menunjukkan sebuah motosikal yang ditunggang di atas di atas permukaan ais, serta dilengkapi dengan tayar berpancang. Apapun, ia mengesahkan ketibaan Svartpilen/Vitpilen yang lebih besar.

Husqvarna Vitpilen 901 is (Finally) Coming?

Video baharu yang dipanggil “A tale of dirt and ice” menunjukkan prototaip Husqvarna Svartpilen 801 secara keseluruhannya di atas tasik beku dan trek tanah.

Husqvarna berkata motosikal itu akan mempunyai keberatan kira-kira 181kg, walaupun ia tidak menyatakan samada ini ialah keberatan kering atau basah. Enjinnya yang dikongsi dengan 790 Duke menghasilkan 103.6 hp. Itu sebenarnya lebih tinggi sedikit daripada 103.3 hp yang terdapat pada 790 Duke.

Husky kini dimiliki oleh Pierer Mobility Group, yang juga memiliki KTM, antara jenama lain. Oleh itu, adalah selamat untuk mengandaikan bahawa motosikal yang akan datang ini berkongsi asas yang sama dengan 790 KTM, seperti model lain dalam barisan Husqvarna. Contohnya, Svartpilen 401 dan Vitpilen 401.

Oleh itu, enjin LC8c silinder berkembar akan dipasang pada rangka keluli. Lengan ayun yang sama juga muncul dalam video. Perbezaan utama di sini ialah subframe, kemungkinan berlainan bentuk bagi memudahkan tunggangan flattrack dalam video. Dan sudah tentu, fork WP Apex digunakan memandangkan WP Suspension juga milik Pierer Mobility.

Di segi ciri elektronik, motosikal ini mungkin termasuk mod Supermoto ABS yang membolehkan penunggang meluncur roda belakang. Penunggang dalam video itu boleh dilihat melakukan aksi sedemikian. Kita juga boleh menantikan skrin TFT dengan sambungan multimedia, kawalan cengkaman, quickshifter, dan sebagainya seperti dengan 790 Duke.

Husqvarna berkata, “Model kelas pertengahan serba baharu ini telah direka bentuk untuk memberikan gabungan prestasi, ketangkasan dan gaya terkini yang berkuasa untuk menunggang ke tahap yang lebih tinggi.

“Kepelbagaian Svartpilen 801 dipertingkatkan lagi dengan bantuan penunggang elektronik terkini, termasuk Easy Shift [quickshifter atas/bawah] untuk penukaran gear yang lancar, sebagai standard.”

Jadi apa yang seterusnya? Pendedahan penuh tahap global akan dibuat pada 19 Mac 2024. Dan sudah tentu, Vitpilen 801 pasti akan menyusul dalam masa terdekat.

Arkib

Ikuti Kami di Facebook

Ikuti Kami di YouTube