Bikesrepublic

Pirelli Malaysia Superbike Championship (MSBK) 2018 Pusingan 2 (Sabtu)

  • Pusingan 2 bagi Pirelli Malaysia Superbike Championship (MSBK) 2018 bermula dengan lancar.
  • Ianya satu hari yang cukup mengujakan di mana para penunggang beserta pasukan mereka memperagakan kemahiran dan usaha mereka di Litar Antarabangsa Sepang (SIC).
  • Perlumbaan 1 bagi ke semua kategori (kecuali TOC Desmo Cup) telah berlangsung semalam. Perlumbaan 2 diadakan pada hari ini.

Berdasarkan aksi di atas litar sewaktu Pusingan 2 Pirelli Malaysia Superbike Championship (MSBK) 2018 yang berlangsung semalam (Sabtu, 28 Julai 2018) di Litar Antarabangsa Sepang (SIC), sudah pasti ianya akan lebih hangat pada hari ini (Ahad, 29 Julai 2018).

Paginya bermula dengan hujan lebat, seperti yang telah berlaku sewaktu Pusingan 1, memaksa para penunggang menggunakan tayar Pirelli Diablo Rain dan mengharungi hujan. Mereka terpaksa melakukannya bagi mendapatkan data persediaan yang akan digunakan sekiranya hujan berterusan sepanjang hari.

Satu nota penting, SIC telah merombak semula program perlumbaan bagi siri MSBK ini, menyediakan Latihan Bebas dan Kelayakan pada hari Jumaat, Perlumbaan 1 pada hari Sabtu dan Perlumbaan 2 pada hari Ahad bagi ke semua kategori, kecuali TOC Desmo Cup.

IDEMITSU ASIA TALENT CUP (ATC)

Penunggang ATC adalah pesaing pertama memasuki litar untuk Perlumbaan 1 pada jam 1 petang. Hujan telah pun berhenti pada waktu ini dan litar mulai kering dengan pantas.

Cocok dengan siri ATC ini, para pelumbanya yang muda itu bertarung berhabis-habisan dari awal lagi. Namun begitu Mario Aji (#7) dari Indonesia dan Bill Van Eerde dari Australia (#19) berjaya meloloskan diri di hadapan, menjarakkan diri mereka dari gerombolan penunggang di pertengahan perlumbaan.

Pasangan tersebut kemudiannya mula bertukar-tukar tempat pendahulu dengan aksi pintasan yang tidak masuk akal dan amat mengujakan. Bagaimana pun, Mario mula mengorak langkah pada beberapa pusingan terakhir (merekodkan masa terpantasnya sewaktu pusingan ke-13 dan terakhir) bagi menjarakkan dirinya dari Eerde, dan menamatkan perlumbaan sebagai pemenang.

Danial Sharil (#21) melintasi garisan penamat di tempat ketiga, menangkis serangan para penunggang yang lain dan berjaya meloloskan diri dari gerombolan penunggang untuk berada lima saat di hadapan penunggang tempat keempat, Lucky Hendriansya (#13), dari Indonesia.

TOC DESMO CUP

Kelas ini terbuka khusus untuk pemilik Ducati yang ingin menguji kemahiran mereka dalam persekitaran kompetitif. Seperti yang telah disebutkan sebelum ini, para pemilik Desmo menjalani sesi Kelayakan semalam. Ianya satu pemandangan yang cukup menarik dan juga halwa telinga mendengari bunyi enjin “Thundering Twin” mengaum di atas Litar Antarabangsa Sepang.

Syamsul Bakhtiar Esa (#14), menunggangi Ducati 1198 telah mencatatkan masa terpantas dengan catatan masa 2:35.576, 8.166 saat lebih pantas daripada penunggang di tempat kedua, Zulkiply Yahya (#12), yang menunggang Ducati 1098. Penunggang ketiga terpantas adalah Muhammad Danial Afiq Zamry (#98) yang mengemudi Ducati 1198.

Ia satu acara yang cukup penting bagi kedua-dua Desmo Owners Club dan TOC Automotive College, di mana TOC menyediakan tenaga kerja juruteknik yang terdiri daripada para pensyarah dan pelajar mereka, membolehkan mereka menimba pengalaman menyelenggarakan motosikal perlumbaan sebagai sebahagian dari proses pembelajaran mereka. Peserta Desmo Cup pula, akan mendapat khidmat para pensyarah yang berpengalaman mengerjakan jentera mereka.

Perlumbaan TOC Desmo Cup akan berlangsung hari ini.

SUPERSPORT

Berita hangat pada pertengahan minggu ini adalah penyertaan penunggang Moto3 Malaysia, Adam Norrodin, dalam kelas 600cc ini.

Penunggang Moto3 Adam Norrodin Bakal Beraksi Di MSBK!

Tetapi, Muhammad Helmi Azman (#32), telah muncul menarik perhatian ramai apabila dia meluncur pantas ke hadapan mendahului perlumbaan dari waktu lampu merah dipadamkan, diikuti oleh Adam dan keseluruhan barisan penunggang. Sepanjang perlumbaan tersebut, Helmi kekal dengan rentaknya yang pantas itu bagi menjarakkan diri dari penunggang lain, dan dengan itu, telah memenangi perlumbaan ini.

Fakhrusy Syarikin Rostam (#66) telah mengekori Adam dengan rapat buat beberapa pusingan sebelum dia berjaya memintas dengan satu cubaan yang bernai di Selekoh 1. Pasangan ini kemudiannya bertarung sengit bertukar-tukar tempat sehinggalah pada pusingan terakhir, di mana Adam berjaya memanfaatkan kelebihan yang ada.

Adam berjaya mendapat tempat kedua dengan Rostam hanya ketinggalan sejauh 0.2 saat sahaja dibelakangnya.

SUPER 250

Sudah tiba masanya bagi kategori Super 250 yang teramat berdaya saing, dan dengan itu, juga teramatlah mengujakan di sebelah petangnya. Persaingannya cukup sengit sekali, di mana motosikal-motosikalnya cukup setara dari kuasa kuda, bermakna, para penunggang perlu berusaha dengan amat keras untuk meloloskan diri.

Mereka mula bertarung, sebelum mereka mula membrek untuk Selekoh 1 lagi dalam pusingan pertama! Para pesaing saling bertembung reraup dan siku memasuki Selekoh 1 dan 2, dan hampir menyebabkan beberapa kemalangan.

Pendahulu kejohanan, Surya Narayana (#9) dari Indonesia, berjaya meloloskan diri ke hadapan di Selekoh 2 dan mengekalkan kedudukannya sehingga tamat perlumbaan, Walaupun diekori rapat oleh penunggang Malaysia, Jailani Kosma (#71). Narayana berjaya mengekalkan prestasinya dan melintasi garisan penamat dengan jarak masa 0.5 saat di hadapan Kosma.

Kemudian cukup haru biru dengan para penunggang bergasak sesama mereka, sehinggalah Yokeshwaran K (#6) dari India, terbabas selepas apeks di Selekoh 2, menyebabkan keseluruhan penunggang untuk memperlahankan kelajuan dan berlumba dengan tenang.

Penunggang Malaysia Luth Harith B. Erwan (#38), berjaya menduduki tempat podium terakhir.

SUPERSTOCK

Berbanding Supersport, kategori Superstock terdiri dari motosikal lumba 1000cc.

Keagresifan penunggangan Azroy Hakeem (#5) membolehkannya meninggalkan 17 orang penunggang jauh dibelakangnya. Dia merentasi garisan penamat dengan jarak masa 30 saat di hadapan penunggang tempat kedua, Amirul Hafiq Azmi (#80) dari TOC-HKM Racing Team.

Ahmad Khan (#66) berjaya mendapat tempat yang ketiga.

SUPERBIKE

Dengan begitu banyak perlumbaan yang ada sepanjang hari, kelas premier Superbike hanya bermula pada jam 615 petang. Cuaca telah pun turun mendadak pada waktu ini, menggembirakan para penunggang.

Azlan Shah Kamaruzaman (#25) dari Chia PJ Kawasaki tahu yang dia perlu menangkis serangan dari bekas juara MSBK, Rajini Krishnan (#67), dari India.

Bagaikan yang di ramalkan, mereka berdua bertarung sengit di hadapan dari mula, dengan Rajini hanya menunggu masa untuk mengeksploitasi kesilapan Azlan Shah. Pasukan mereka dan juga penonton asyik menyaksikan pertarungang ini, di mana Rajini mulai merapatkan jurang. Cubaan memintas pasti akan berlaku dalam masa terdekat ini.

Namun, Azlan mengembleng segala pengalaman yang ada dari waktunya dalam siri perlumbaan Asia Road Racing dan mulai mengganas dengan menyerang setiap selekoh dengan agresif bagi menjarakkan dirinya.

Ini memaksa Rajini ini menunggang dengan berhati-hati dan dia memperlahankan rentaknya menjelang penghujung perlumbaan di mana dia ada ruang yang selesa di hadapan Jonathan Serrapica (#48) dari Swirzerland.

Mereka bertiga menamatkan perlumbaan tersebut dalam turutan berkenaan.

Bagaimanapun, ianya hari yang mengecewakan buat TOC-HKM Racing Team di mana kedua-dua penunggang mereka terbabas dalam perlumbaan. Amirul Hafiq Azmi sedang berada di tangga ketiga sebelum dia terbabas, memusnahkan motosikalnya. Dia bagaimanapun, tidak mengalami sebarang kecederaan serius. Teman sepasukannya dan juga pendahulu kejohanan, Muhammad Jamalul Tarmizi (#89), telah bersaing untuk tempat keempat dengan Michael Muesel (#78) dari Thailand, sebelum dia terbabas masuk ke dalam perangkap kerikil. Dia berjaya menghidupkan semula motosikal dan kembali berlumba dan melintasi garisan di tempat ke-15 bagi mendapat satu mata yang berharga.

Pirelli Malaysia Superbike Championship (MSBK) 2018 Pusingan 2 akan bersambung hari ini.

 

Co-founder of Bikes Republic and a motoring journalist by night. He is a self described enthusiasts with a passion for speed but instead rides a Harley and a J300. A man of contradictions, he is just as passionate about time off in the quiets as he is about trail braking into turn one at Sepang Circuit on two or four wheels.

Artikel Berkaitan