- GP Ulster yang akan berlangsung pada hujung minggu ini bakal menjadi pentas kemunculan sulung motosikal BMW HP4 Race dalam pertandingan.
- Diadakan pada setiap tahun di Litar Dundrod di Ireland Utara, GP Ulster ini dikenali sebagai perlumbaan jalan raya terpantas dunia.
- Pasukan Tyco BMW, bersama dengan penunggang mereka, David Johnson, telah diberikan penghormatan mempertandingkan motosikal BMW HP4 Race buat kali pertama dalam perlumbaan.
Dalam kalendar perlumbaan jalan raya, ada dua perlumbaan yang menjadi sebutan ramai, iaitu, Isle of Man TT, atau dikenali sebagai “Perlumbaan Paling Merbahaya Di Dunia”, dan yang satu lagi adalah GP Ulster, yang juga dikenali sebagai “Perlumbaan Jalan Raya Terpantas Dunia”. Pasukan Tyco BMW adalah nama yang terkemuka dalam kancah perlumbaan jalan raya, dan pada hujung minggu ini, mereka bakal mempertandingkan BMW HP4 Race dalam perlumbaan rasmi pertamanya.
Pelumba jalan raya terkemuka, David Johnson, akan diberikan penghormatan mengemudi jentera BMW HP4 Race buat julung kalinya pada hujung minggu ini di Grand Prix Ulster. Litar Dundrod sepanjang 12km yang terletak di Ireland Utara akan menyaksikan kemunculan rasmi kali pertama motosikal superbike karbon fiber 215hp tersebut dalam pertandingan.
Menurut Johnson, “Saya berasa amat gembira dan teruja dapat menunggang untuk pasukan Tyco BMW di Grand Prix Ulster. Ianya merupakan perlumbaan kegemaran saya, dan saya bernasib baik telah diberikan peluang ini bersama Tyco. Pasukan ini mahir dengan tugas mereka dan telah membuktikan diri mereka sebagai juara di litar ini, dan dengan adanya motosikal HP4 Race ini, saya ada satu jentera yang pasti akan boleh memenangi perlumbaan ini.”
Hanya ada 750 unit yang telah disediakan di seluruh dunia dan ia telah diperkenalkan secara rasmi di Malaysia sewaktu pusingan MotoGP tahun lalu di Sepang. Dibina oleh satu pasukan yang berdedikasi, dengan ilham yang diambil dari penyertaan jenama tersebut dalam siri perlumbaan WorldSBK, model HP4 Race ini mampu menghasilkan 215hp dan 120Nm tork dan dengan berat hanya sekadar 117kg, diisi penuh (16hp dan 7Nm lebih berkuasa dari BMW S 1000 RR).
Perlumbaan pertama bagi GP Ulster 2018 akan bermula esok (9 Ogos 2018) dan perlumbaan keduanya akan berlangsung pada hari Sabtu (11 Ogos 2018). Tidak syak lagi motosikal ini mampu memenangi perlumbaan, namun, kami cukup teruja untuk mengetahui perbezaannya dengan jentera perlumbaan yang lain dalam perlumbaan sebenar.
BMW S 1000 RR HP4 Race, BMW G 310 GS Dan BMW S 1000 XR Dilancarkan di MotoGP Malaysia 2017!