Bikesrepublic

Berita Terkini

 

Tiada siapa yang dapat mengungkapkan dengan kata-kata perasaan memulakan enjin sebuah motosikal asing buat julung kalinya. Deruman enjin yang memulakan nafas pertama setelah lahir dari kilang seakan memberikan imej lemah sebelum ngauman sebenar menyerlah.

Demikian penjelasan mudah saat memulas ‘throttle’ Ducati Scrambler Desert Sled dan Icon ketika sesi ujian yang berlangsung di Phuket, Thailand, baru-baru ini.

Menurut Ducati, Desert Sled merupakan gabungan sifat ‘off-road’ dan scrambler pada era 60an dan 70an namun kami berasakan Ducati cuba bersifat rendah diri kerana sifat sebenar jentera ini lebih dari itu!

Melihat rupa keseluruhan, perkara pertama yang menarik perhatian si pemerhati adalah rangka yang berwarna merah yang telah diperkukuhkan bagi menahan hentakan terutamanya melalui permukaan yang kurang memaafkan.

Dibantu dengan sistem penyerap hentakan depan boleh laras dan penyerap hentakan belakang Kayaba jentera ini paling sesuai bagi mereka yang gemar meredah bonggol tanpa perlu memperlahankan jentera.

Enjin bersasaran 803 cc yang menghasilkan 73hp pada 8250rpm sememangnya kelihatan agak rendah bagi sebuah jentera Ducati tetapi kuasa bukanlah segalanya apatah lagi bagi jentera yang bukan dihasilkan untuk mencapai kelajuan tinggi.

Di atas jalan raya, prestasi Desert Sled boleh dianggap biasa tetapi sebaik memasuki ‘off-road’ kuda liar yang sebelum ini terkurung di kandang mula menampakkan wajah sebenar.

Usah gusar kerana kuda liar ini mudah dijinakkan meskipun bagi seorang penunggang amatur tetapi apa yang penting adalah perlunya berasa yakin terhadap teknologi dan sistem elektronik Ducati terutamanya tetapan Off-Road dan Bosch ABS Cornering yang memainkan peranan besar.

Sepanjang menyelusuri laluan berbatu dan berlubang di kawasan hutan dan ladang di Phuket, tayar belakang sentiasa membaling kiri dan kanan namun tunggangan masih terasa terkawal meskipun dengan kelajuan sekitar 70 hingga 80 km/j.

Tempat duduk Desert Sled juga empuk bagaikan duduk di atas kerusi sofa direka untuk golongan berada. Ketinggian juga menawarkan perasaan lebih selesa – bagi mereka yang berketinggian lebih 175 cm – jika dibandingkan dengan jentera Scrambler Icon.

Secara keseluruhan, Desert Sled adalah jentera yang menyeronokkan untuk ditunggang terutamanya memasuki ‘off-road’. Jangan bimbang jika tidak memiliki pengalaman sehebat Gabit kerana teknologi dimiliki jentera ini memadai untuk membuat setiap penunggang tampak hebat!

Sementara itu, jentera Ducati Scrambler Icon, ternyata membawa kepada pengalaman yang lebih berbeza. Meskipun berkongsi saiz enjin yang sama (803cc dengan 73hp) namun Ducati menyuntik perwatakan berbeza. Jika Desert Sled umpama kuda liar, Icon merupakan adiknya yang telah dijinakkan.

Scrambler Ducati – Land of Joy Asia – Khao Lak 2019

Icon mengekalkan ciri Scrambler namun lebih berkonsepkan penggunaan harian. Rekaan keseluruhan juga tampak lebih ‘cool’ berbanding Desert Sled.

Perbezaan paling ketara antara kedua-dua model ini adalah, Icon tidak terlalu tinggi seperti Desert Sled dan kedudukan handle juga tidak terlalu lebar sekaligus menjanjikan pengalaman tunggangan yang lebih selesa sepertimana yang dtekankan Ducati.

Scrambler Ducati – Land of Joy Asia – Khao Lak 2019

Meskipun kedua-duanya menghasilkan kuasa yang sama namun prestasi Desert Sled lebih ‘raw’ sementara Icon lebih terkawal sekaligus memudahkan tunggangan.

Kedua-dua jentera ini ternyata dihasilkan bagi memenuhi dua individu yang berbeza namun keduanya memancar identiti Ducati yang sama, keterujaan tak terhingga tanpa mengira permukaan dan keadaan jalan.

Antara pengeluar tayar utama dunia, Apollo Tyres, telah melancarkan pusat Apollo Truck Tyre Zone (ATTZ) sulung di Malaysia bagi menawarkan servis yang lebih mudah kepada lori komersil di negara ini.

Pembukaan pusat baharu ini adalah sejajar dengan objektif Apollo untuk menawarkan akses yang lebih mudah kepada para pelanggan.

Dilengkapi dengan teknologi terkini, pusat ATTZ akan diuruskan oleh Sin Chu Hin Sdn Bhd, antara pakar tayar terbaik di Malaysia. Kerjasama ini – yang pertama seumpamanya di luar India – akan memastikan pelanggan di Malaysia mendapat produk berkualiti di samping servis terbaik.

Presiden Apollo Tyres Ltd Bagi Asia Pasifik, Timur Tengah dan Afrika, Satish Sharma berkata Apollo akan memastikan Malaysia mendapat servis dan produk terbaik sepertimana di India.

“Apollo sangat komited dalam membawa produk terbaik kami kepada pelanggan. Pusat berteknologi tinggi ini akan mengumpulkan kepakaran Apollo dalam trak dan bus serta pengalaman Sin Chu Hin dalam menawarkan pengalaman servis pelbagai bagi barisan pelanggan di Malaysia,” jelasnya.

Selain itu, Pusat ATTZ juga akan dilengkapi dengan mesin penjajaran (alingment) tayar trak dan lori, pertukaran tayar automatik, dan nitrogen inflator antara lain.

Servis pelbagai ini dijangka dapat mengurangkan kos perbelanjaan pelanggan terutamanya dalam penyelenggaraan trak dan lori dalam jangka masa panjang.

“Kami melihat terdapat peluang yang besar di Batu Pahat, Johor. Kami bercadang untuk membuka lebih banyak pusat ATTZ di ASEAN,” tambahnya.

Bersempena dengan Hari Raya yang menjelang tiba, Apollo Tyres turut menawarkan pelanggan dengan pelbagai baucar ekslusif dengan setiap pembelian tayar Apollo.

Pusat ATTZ ini – yang terletak di Jalan Kolek, Kawasan Perindustrian Tongkang Pecah – dibuka dari Isnin hingga Sabtu, 9 pagi hingga 7 petang.

Sumber imej: NSTP

Kemalangan jalan raya sudah boleh dianggap sebagai kebiasaan di Malaysia. Manakan tidak, hampir setiap hari ada sahaja maklumat kemalangan yang akan dilaporkan media massa.

Setiap kemalangan ini terutamanya yang melibatkan nyawa akan memberi kesan mendalam terhadap ahli keluarga dan masyarakat sekeliling.

Bukan itu sahaja, kekerapan kemalangan maut jalan raya juga akan memberi kesan terhadap sistem kekeluargaan tatkala rata-rata mereka yang maut berusia sekitar 15 hingga 44 tahun – peringkat umur yang menjadi penyumbang kepada keluarga.

Antara faktor utama yang membawa kepada kemalangan jalan raya adalah , pembangunan tak terkawal, piawaian keselamatan yang rendah, pemandu cuai dan keletihan, pengaruh dadah dan alkohol, memandu melebihi had dan kegagalan memakai tali pinggang keledar.

Jadi tidak hairanlah Malaysia muncul sebagai negara ketiga di Asia yang merekodkan paling banyak kemalangan maut jalan raya – dibelakang Thailand dan Vietnam – menurut laporan Global Status Report on Road Safety 2018 yang diterbitkan World Health Organization (WHO) dan Bank Dunia, Disember lalu.

Laporan tersebut memetik sebanyak 7,152 kemalangan maut berlaku pada 2016, dengan 87 peratus mangsa adalah lelaki sementara 13 peratus adalah wanita.

Berikut jumlah kenderaan yang terdapat di Malaysia:

Jumlah kenderaan berdaftar di Malaysia: 27,613,120

Kereta dan kenderaan roda empat: 13,123,638

Motosikal dan kenderaan roda tiga: 12,677,041

Lori dan trak: 1,191,310

Bus: 59,977

Kenderaan lain: 561,154

Berdasarkan statistik di atas, hanya 91 peratus penunggang motosikal memakai topi keledar sementara pembonceng hanya 87 peratus.

Sementara itu, hanya 74 peratus pemandu memakai tali pinggang keledar dan hanya 10 peratus penumpang yang memakai.

WHO turut melaporkan daripada setiap kemalangan maut yang berlaku, lebih 15 individu yang akan mengalami kecederaan serius dan 70 lagi kecederaan ringan.

Selain itu, lebih daripada separuh jumlah kemalangan maut di Malaysia melibatkan penunggang/pembonceng motosikal.

Kajian mendapati lebih 89 peratus mangsa kemalangan motosikal adalah penunggang berusia sekitar 16 hingga 20 tahun dengan hanya 75 peratus penunggang memakai tali pinggang keledar.

WHO turut menegaskan bahawa setiap pengguna jalan raya perlu faham bahawa kelajuan membunuh.

Setiap 1 peratus kenaikan kelajuan akan meningkatkan 4 peratus risiko untuk berlakunya kemalangan.

Honda Malaysia merekodkan pencapaian baharu apabila menyerahkan model Civic yang ke 130,000 kepada pemiliknya. Pencapaian menakjubkan ini merupakan pengumpulan penjualan Civic sejak model generasi ke-7 diperkenalkan pada 2001.

Pencapaian ini mencerminkan penerimaan baik oleh orang ramai terutamanya bagi model Civic dalam segmen-C kereta sedan. Ketika ini Civic mendahului segmen terbabit.

Honda Civic merupakan antara unit paling popular di Malaysia dengan lebih 9,300 unit Generasi ke-7 terjual, diikuti 50,400 unit Generasi ke-8 dan 27,000 unit bagi Generasi ke-9. Manakala, Civic Generasi ke-10 yang dilancarkan pada 2016 – juga generasi pertama yang mendapat suntikan enjin turbo – telah pun mencatat penjualan 42,200 unit.

Sementara itu, Timbalan Presiden Kumpulan Honda Malaysia, Jahabarnisa Haja Mohideen meluahkan rasa terima kasih kepada semua 130,000 pemilik Honda Civic di Malaysia.

“Saya berasa berbesar hati kepada semua pemilik Honda Civic di Malaysia. Sokongan dan kepercayaan mereka kepada jenama Honda memastikan kami kekal mendahului Segmen-C kenderaan sedan. Meskipun terdapat kekangan dalam penjualan unit Civic awal tahun ini namun kami tetap terus mendahului Segmen-C. Kami yakin mampu mencapai sasaran penjualan bagi tahun 2019,”jelasnya.

Civic dijana dengan enjin 1.5L VTEC Turbocharged yang dihasilkan di bawah Honda Earth Dreams Technology, sekaligus menghasilkan prestasi seperti enjin 2.4L. Honda Civic turut dilengkapi dengan sistem pemantauan pintar yang bertindak mengekalkan prestasi enjin ditahap optimum.

Bagi memastikan keselamatan pemanduan, semua unit Civic dilengkapi dengan 6 beg udara, Vehicle Stability Assist (VSA), Anti-Lock Braking System (ABS), Electronic Brake Distribution (EBD), Brake Assist (BA), Hill Start Assist (HSA), Emergency Stop Signal (ESS) dan ISO Fix.

Perodua akan bergerak secara agresif bagi mengetengahkan kepentingan pemakaian kerusi keselamatan kanak-kanak di dalam kenderaan sebelum penguatkuasaan bermula pada tahun 2020.

Naib Presiden Perodua Auto Corporation Sdn Bhd Datuk Ahmad Suhaimi Hashim berkata kesedaran orang ramai terutamanya ibu bapa terhadap penggunaan kerusi keselamatan kanak-kanak di tahap membimbangkan.

“Kesedaran dan pematuhan yang masih kurang terhadap penggunaan kerusi keselamatan kanak-kanak di kalangan para pengguna jalan raya Malaysia amat membimbangkan, kerana kanak-kanaklah yang paling terdedah kepada bahaya ketika berada di dalam kenderaan yang bergerak,”jelasnya.

Dua tahun lalu, Perodua telah melancarkan kempen keselamatan jangka panjang dengan memperkenalkan Kerusi Keselamatan Kanak-Kanak ISOFIX GearUp dalam dua model – Kerusi Infant dan Toddler.

Sepanjang Ramadhan ini, Perodua akan menjalankan pelbagai kempen bagi memberi kesedaran terhadap kepentingan pemakaian kerusi keselamatan kanak-kanak terutamanya untuk balik kampung di samping menawarkan harga promosi RM660 bagi Kerusi Infant dan RM780 bagi Kerusi Toddler.

“Sebagai pengeluar kenderaan Malaysia, ia menjadi tanggungjawab kami untuk mendidik dan memberi kesedaran kepada para pelanggan kami serta masyarakat ramai mengenai keselamatan jalan raya. Kami sedar bahawa pendidikan adalah satu proses jangka panjang, namun kami akan terus komited terhadap usaha tersebut.

“Penasihat jualan dan servis kami yang sah di cawangan Perodua berdekatan anda amat berbesar hati untuk menjelaskan penggunaan dan manfaat Kerusi Keselamatan Kanak-Kanak ISOFIX GearUp serta kaedah pemasangan yang betul.

“Tawaran ini boleh didapati di semua pusat servis sah Perodua di seluruh negara pada 14hb, 16hb, 21hb dan 23hb Mei (1 petang – 5 petang), 27hb-31hb Mei (8 pagi – 5 petang) dan 3hb Jun (8 pagi – 5 petang),”tambah Datuk Suhaimi.

Harley-Davidson melihat pasaran India – pasaran motosikal terbesar dunia – sebagai kunci utama dalam kembali mengukuhkan masa depan jenama mereka.

Mengikut perancangan, pasaran India bakal menjadi saksi kepada percubaan Harley-Davidson dalam menghasilkan motosikal berenjin kecil sekaligus menyuntik penjualan yang lebih positif.

Bagaimanapun, Harley-Davidson berdepan tugas sukar kerana 90 peratus pasaran 250 hingga 500cc didominasi jenama Royal Enfield yang telah menjual 820,000 motosikal pada 2018. Harley memerlukan sekurang-kurangnya tiga tahun untuk mencapai angka tersebut.

Lebih memburukkan keadaan, gergasi automotif India, Mahindra & Mahindra mahu menhidupkan kembali jenama Jawa, yang sebelum ini diperkenalkan selepas Perang Dunia 2 namun menutup operasi pada 1998 susulan masalah kewangan.

Anak syarikat, Mahindar Classic Legends – yang telah pun menandatangani perjanjian dengan Jawa Moto – akan memperkenalkan tiga jentera baharu tahun depan, Jawa, Jawa Forty Two dan Perak.

Motosikal Jawa akan dilengkapi enjin 300cc sementara Perak 334cc.

Ekoran menguasai lebih 90 pasaran motosikal di India, motosikal Jawa tidak akan memberi kesan kepada penjualan Royal Enfield namun sebaliknya bagi Harley-Davidson yang akan berdepan kesukaran apabila terpaksa bersaing dengan kedua-dua jenama ini.

Tahun lalu, sejumlah 12.6 bilion motosikal dijual dengan majoriti penjualan tersebut melibatkan motosikal dengan enjin kecil namun bagi enjin saiz pertengahan, leih 883,000 unit dijual – kenaikan 25 peratus berbanding 2017.

(SUMBER: The Motley Fool)

Arkib

Ikuti Kami di Facebook

Ikuti Kami di YouTube