Pengerusi Fiat, John Elkann mengesahkan Maserati bakal menjadi kenderaan pertama di bawah jenama Fiat Chrysler Automobiles NV yang akan menggunakan teknologi swapandu yang sedang dihasilkan BMW AG.
Elkann menjelaskan bahawa teknologi terbabit akan menawarkan bantuan pemanduan di lebuhraya.
Bagaimanapun, tiada tarikh rasmi bila model Maserati dengan teknologi baharu ini akan diperkenalkan ke dalam pasaran.
Fiat Chrysler telah menyertai konsortium teknologi swapandu yang diketuai BMW, dua tahub lalu. Syarikat tersebut turut menjalinkan kerjasama dengan Alphabet Inc Waymo LLC dan pengedar alat ganti Aptiv Plc.
Langkah baharu ini dilihat sebagai salah satu cara Maserati untuk menaikkan semula jenama mereka susulan mengalami penyusutan penjualan sehingga 32 peratus dalam suku pertama tahun ini.
Bagi mereka yang gemar merekodkan perjalanan ketika menunggang motosikal pastinya memilih GoPro Hero 7 (model terbaru) sebagai kamera aksi pilihan. Bagaimanapun, senario itu mungkin berubah kerana DJI baru sahaja memperkenalkan Osmo Action.
Osmo Action merupakan model kamera aksi pertama keluaran DJI – yang sebelum ini lebih sinonim dengan drone – dalam usaha untuk mencabar takhta GoPro Hero 7 sebagai kamera aksi terbaik dalam pasaran.
Osmo Action menyamai segala spesifikasi yang ditawarkan Hero 7 di samping menawarkan keupayaan skrin swafoto.
Seperti Hero 7 dan kamera aksi lain dalam pasaran, Osmo Action boleh diletakkan di helmet motosikal atau dipasang di bahagian dada penunggang dengan bantuan ‘chest harness’.
Kamera ini juga mampu menangani sebarang elemen cuaca; kalis air (sehingga 11 meter tanpa housing), tahan gegaran (dari ketinggian 1.5 meter) dan tahan beku (sehingga -10°C).
Osmo Action didatangkan dengan kamera 12-megapiksel yang berkeupayaan merekod video 4K 60 fps dan video 240 fps pada 1080.
Bukan itu sahaja, penstabilan imej RockSteady EIS Osmo Action juga adalah setaraf dengan Hypersmooth Hero 7!
DJI turut memberi penekanan terhadap ciri yang terdapat ada skrin depan dan belakang Osmo Action. Skrin belakang bersaiz 2.25 inci merupakan paparan sentuh yang mampu menangkis air dan cap jari manakala skrin hadapan bersaiz 1.4 inci direka bagi memudahkan pengambilan video dan gambar swafoto.
Osmo Action turut memiliki ciri SnapShot yang membenarkan pengguna menghidupkan kamera dan merekod video tidak kurang dari dua saat. Selain dari itu, seperti Hero 7, Osmo Action turut dilengkapi ciri pengaktifan suara.
Tatkala Hari Raya Aidilfitri semakin menjelang tiba, Kumpulan Naza menawarkan pelbagai tawaran menarik sepanjang bulan Ramadan ini agar pelanggan dapat menikmati pelbagai penjimatan ketika balik kampung dengan kereta baharu!
Cuti-Cuti Kia Raya
Pelanggan yang membeli model Kia terpilih ketika promosi Cuti-Cuti Kia Raya berpeluang untuk menikmati pakej percutian – ke destinasi pilihan – bernilai RM10,0000. Bukan itu sahaja, pelanggan juga akan menerima cenderamata Kia dengan hanya memandu uji sebarang kenderaan Kia, hari ini hingga 30 Mei 2019!
Peugeot Raya Drive
Nikmati penjimatan sehingga RM18,000 bagi pembelian model Peugeot terpilih termasuk Peugeot 208 PureTech dan Peugeot 5008 SUV yang didatangkan dengan 3 Tahun Servis Percuma. Selain itu, pelanggan juga boleh membawa pulang Peugeot 3008 SUV yang didatangkan dengan Waranti 5 Tahun, Servis Percuma 3 Tahun dan Insurans Percuma 1 Tahun.
Kempen Desmo Raya 2019
Peminat jentera dua roda juga tidak ketinggalan apabila Ducati Malaysia menawarkan pelbagai tawaran istimewa bermula hari ini sehingga 15 Jun 2019!
Bermula dengan pakej Servis Ducati Balik Kampung, peminat boleh mendapatkan penjimatan sehingga 25 peratus bagi pakej servis Desmo dan 30 peratus bagi alat ganti. Pelanggan juga berpeluang memenangi pakej DRE Bike Travel bernilai RM1,000 melalui pertandingan Post and Win media sosial.
Bukan itu sahaja, Ducati turut menawarkan pelbagai tawaran tambahan bagi setiap pembelian model terpilih antaranya Ducati Panigale V4S, Monster 821, Scrambler 800c dan Scrambler 1100cc antaranya, program Ducati Smart Service, sesi DRE Racetrack Academy, baucar Ducati Riding Gear, pakej DRE Bike Travel Scrambler dan baucar Scrambler Apparel.
Vespa Raya Promo 2019
Peminat Vespa juga berpeluang menikmati aksesori Vespa bernilai RM4000 dengan setiap pembelian Vespa GTS 300 Super Sport di musim perayaan ini.
Bagi mereka yang berkunjung ke Naza Automall Petaling Jaya pelbagai tawaran menarik juga menanti bermula hari ini hingga 5 Jun 2019! Untuk maklumat lanjut, layari www.nazaautomall.my.
Pelaksanaan projek Radio Frequency Identification Technology (RFID) di semua plaza tol seluruh negara ditangguh sementara ekoran terdapat beberapa kelemahan di dalam sistem yang perlu diperbaiki terlebih dahulu sebelum sistem tersebut dilancarkan.
Pengarah Urusan Smart Tunnel, Mohd Noor Ali berkata syarikat konsesi telah bekerjasama dengan Touch’n Go (TNG) bagi mendapatkan maklumbalas daripada pengguna RFID.
Menurut Mohd Noor, beberapa penambahbaikan perlu dilakukan terlebih dahulu antaranya melibatkan hubungan di antara pengimbas kod bar dan aplikasi ‘E-Wallet’.
“Berbanding dengan kad fizikal yang secara automatik menyimpan maklumat baki, RFID perlu digunakan dengan aplikasi ‘E-Wallet’ tetapi kami mendapati kadang-kala aplikasi tersebut tidak dapat digunakan. Jadi kami perlu menyelesaikan isu ini terlebih dahulu,” jelasnya.
Difahamkan, tempoh percubaan RFID akan ditentukan berdasarkan maklumbalas pengguna dan konsesi tol.
Antara maklumbalas negatif yang diterima adalah, palang tidak dibuka, lebihan caj dan pengimbasan yang memakan masa.
“Sekiranya permasalahan ini dapat diatasi, pihak kerajaan akan mengumumkan tarikh pelancaran RFID,” tambah Mohd Noor.
Ketika ini, terdapat 167 laluan RFID TNG di 23 lebuhraya yang melibatkan 58 plaza tol termasuk Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak (KLK), Lebuhraya Duta-Ulu Kelang (DUKE), SPRINT, Besraya, dan Lebuh Raya Damansara-Puchong (LDP).
Penduduk di Subang Jaya berang kerana sering menjadi mangsa kes kecurian tayar kereta yang telah berlaku dalam tempoh dua bulan ini.
Susulan membaca pelbagai laporan dan keluhan penduduk Subang Jaya di laman media sosial, akhbar tempatan, Sinchew telah turun ke USJ dan mendapati masalah yang dihadapi mereka adalah lebih teruk dari jangkaan!
Sebagai contoh, dua kereta baharu sahaja kehilangan tayar dengan kes pertama berlaku dalam kawasan berpagar dan dijaga oleh pegawai keselamatan di USJ 11/3 dengan sebuah Perodua Bezza hilang dua tayar (depan dan belakang) dan pemilik terpaksa membelanjakan kos penggantian sebanyak RM2000.
Sumber: Sinchew
Satu lagi kes berlaku di tapak kosong di sebelah stesen LRT USJ 7 apabila sebuah Proton Wira kehilangan keempat-empat tayar. Bayangkan perasaan pemilik kereta terbabit apabila melihat keadaan keretanya.
Tapak tersebut juga merupakan harta persendirian sekaligus memudahkan tugas pencuri untuk melakukan kerja terkutuk mereka.
Orang ramai terutamanya penduduk sekitar Subang Jaya dinasihatkan agar tidak meletakkan kereta di kawasan tersorok dan diminta agar segera melaporkan kepada pihak polis jika terserempak dengan individu mencurigakan.
Ketua Pegawai Eksekutif KTM, Stefan Pierer menegaskan pihaknya tidak akan berputus asa dengan penggunaan rangka steel trellis di samping mengkritik tindakan Ducati yang tidak lagi menggunakan rekaan sama pada 2012.
Pengeluar motosikal Austria itu merupakan pasukan tunggal dalam saingan MotoGP musim ini nyang tidak menggunakan chasis aluminium twin-spar konvensional.
Ducati juga pernah menggunakan chasis rangka besi apabila mereka menyertai MotoGP pada 2003 dan berjaya muncul juara keseluruhan dengan pelumba, Casey Stoner.
Bagaimanapun, Ducati meninggalkan teknologi rangka besi pada 2009 dan beralih ke penggunaan ‘carbon-fibre’ sebelum bertukar ke chasis aluminium pada 2012 dengan harapan dapat mengurangkan kesukaran dihadapi pelumba, Valentino Rossi, ketika itu.
Meskipun ada desas-desus mengatakan KTM akan beralih ke rangka aluminium pada masa akan datang, Pierer bertegas KTM tidak akan berganjak daripada penggunaan rangka steel trellis.
“Jika kami mengikut jejak Ducati, kami akan tewas.
“Kami terlibat dengan MotoGP hanya kerana dua faktor, pertama, kami mahu terus berinovasi dan kedua, kami mahu meningkatkan penjualan motosikal KTM.
“Jentera MotoGP Ducati tidak ada sebarang kaitan dengan motosikal yang mereka jual di pasaran. Tengok sahaja pada statistik penjualan mereka – 53,000 unit dijual pada 2018 berbanding KTM, 261,000 unit.
“Motto saya ‘win on Sunday, sell on Monday!” tegas Pierer.
Pierer turut berkata penggunaan rangka steel trellis adalah punca utam KTM mendominasi sukan Supercross (5 kejuaraan) dan rali Dakar (18 kejuaraan).
“Kami mungkin memerlukan 10 tahun untuk berjaya tetapi saya yakin kami akan mendominasi MotoGP,”tambahnya.