Bikesrepublic

Berita Terkini

Skuter Yamaha TMAX 560 2020 generasi ketujuh akhirnya didedahkan.

Antara model popular Yamaha di Eropah, pengeluar motosikal Jepun itu telah pun mengeluarkan lebih 275,000 unit TMAX sejak 2001.

Kini skuter tersebut telah dinaik taraf dengan enjin dua silinder 560cc yang menghasilkan 46hp pada 7,500rpm dan 55.7Nm pada 5,250rpm.

Pada masa sama, Yamaha turut memperkenalkan TMAX ediso Tech MAX yang menawarkan spesifikasi lebih tinggi bagaimanapun, kedua-dua model menawarkan penambahbaikan yang sama.

Ciri yang ditawarkan Yamaha TMAX 560 2020:

  • enjin 560cc lebih berkuasa
  • kualiti tunggangan dipertingkat
  • bunyi ekzos diperbaharui
  • dua mod tunggangan
  • keyless
  • tetapan penyerap hentakan dipertingkat
  • rekaan agresif
  • lampu LED
  • kerangka aluminium
  • ruang simpanan lebih luas
  • paparan TFT mono
  • tongkat tengah
  • footrest aluminium

Model baharu ini didatangkan dengan dua warna – Icon Grey dan Sword Grey.

Berikut spesifikasi yang terdapat pada Yamaha TMAX Tech MAX:

  • MyTMAX Connect
  • paparan TFT
  • cruise control
  • heated grip
  • penyerap hentakan belakang boleh laras
  • interior premium
  • fork warna emas

Yamaha TMAX Tech MAX didatangkan dengan dua warna, Tech Kamo Eksklusif dan Sword Grey

Shell Malaysia Trading Sdn Bhd melancarkan Shell Helix HX8 0W 20 yang menawarkan minyak sintetik penuh dengan kelikatan rendah bagi memenuhi keperluan enjin kereta moden.

Shell Helix HX8 0W 20 merupakan pilihan tepat bagi pemandu yang mahu menikmati perbatuan lebih.

Produk baharu ini menjaminkan prestasi enjin kekal optimum namun masih menjimatkan penggunaan bahan api dan mampu melindungi enjin meskipin ketika dihidupkan dalam keadaan sejuk.

Teknologi Flexi Molecule membantu melindungi enjin berdasarkan cara pemanduan sekaligus pemandu dapat menikmati hayat enjin yang lebih panjang dan kos penyelenggaraan yang lebih rendah.

Pengurus Besar Pemasaran Shell Lubricants, May Tan, menyifatkan Shell Helix HX8 0W 20 sebagai bukti Shell dalam menghasilkan produk inovatif bagi memenuhi kehendak pelanggan.

“Kini minyak pelincir dengan kelikatan rendah semakin menjadi pilihan di seluruh dunia di mana banyak syarikat pengeluar kereta telah bertukar kepada
produk-produk gred kelikatan rendah bagi penggunaan pertama kereta.

“Shell Helix HX8 baharu menawarkan prestasi premium minyak enjin sintetik sepenuhnya pada harga yang berpatutan supaya pemilik kereta dapat memberikan yang terbaik untuk kereta mereka tanpa kompromi,” jelasnya.

Bagi yang berminat, orang ramai boleh singgah ke stesen minyak Shell berdekatan untuk mendapatkan Shell Helix HX8 02 20 dengan harga RM199 bagi pek 4 liter dan RM53.90 bagi pek satu liter.

Pada masa sama, Shell Malaysia sedang menawarkan potongan RM25 bagi setiap varian Shell Helix HX8 apabila pelanggan mendaftarkan pembelian di program kesetiaan pelanggan Shell Advantage and Rewards (SHARE).

Percaya atau tidak majoriti rakyat Malaysia lebih gemar memandu sendiri ke tempat kerja.

Berdasarkan kajian yang dijalankan Governance and Political Studies (Cent-GPS), lebih 87 peratus penduduk di Lembah Klang lebih gemar memandu kenderaan sendiri berbanding menaiki pengangkutan awam atau berkongsi kereta (carpool).

Angka tersebut meletakkan Malaysia antara yang tertinggi di dunia mengatasi Amerika Syarikat (66 peratus) dan Sepanyol (56 peratus).

Kajian tersebut melibatkan hampir 5,000 responden yang memandu kereta untuk ke Ampang, Seri Kembangan, Sungai Buloh dan Petaling Jaya dari 23 hingga 25 Oktober ketika waktu puncak di lebuhraya bertol.

Ini bermakna hanya 13 peratus yang pergi ke tempat kerja dengan berkongsi kereta.

Menurut laporan New Straits Times (NST), harga minyak serta tol yang berpatutan menjadi penyumbang utama terhadap penduduk di Lembah Klang untuk tidak berkongsi kereta atau menggunakan pengangkutan awam.

Bagaimanapun, golongan B40 akan terkesan sekiranya harga minyak dan tol dinaikan bagi mengawal jumlah kenderaan di atas jalan raya.

Kajian tersebut turut mendapati memandu sendiri ke tempat kerja mendatangkan ketenangan dan privasi terhadap pemandu di samping dapat mendengar lagu pilihan tanpa ‘gangguan’ rakan sekerja.

Pada masa sama, Cent-GPS turut menggesa kerajaan agar tidak memansuhkan tol atau meneruskan subsidi petrol.

“Tol perlu dilihat sebagai fungsi untuk mengurangkan jumlah kenderaan di atas jalan raya,” jelasnya.

(SUMBER: NST)


Meskipun terdapat ura-ura yang mengatakan Honda CBR1000RR Fireblade akan muncul dengan enjin V4 sepertimana yang terdapat pada jentera RC213V namun model baharu itu masih mengekalkan enjin empat in-line bagi 2020.

Bagaimanapun, jentera baharu ini difahamkan lahir menerusi kerjasama rapat dengan Honda Racing Corporation (HRC).

Jentera baharu ini menghasilkan 217hp pada 14,500rpm dan 113Nm pada 12,500rpm lebih tinggi berbanding model SP sedia ada.

Bagi memastikan prestasi enjin kekal efisien, Honda mendakwa telah menggunakan aspek teknikal yang terdapat pada jentera MotoGP mereka.

Pada masa sama, model baharu ini lebih besar berbanding model terdahulu namun dengan bantuan HRC, setiap bahagian piston adalah 5 peratus lebih ringan.

Menariknya, bagi memastikan suhu enjin terkawal, penggunaan sistem multi-point dan multi-directional semburan minyak hanya beroperasi ketika berada dalam rpm tinggi. Apabila berada rpm rendah, saluran minyak ditutup bagi memastikan tekanan minyak berada di tahap optimum.

Sementara itu, penggunaan kerangka aluminium dan swingarm yang lebih panjang diinspirasikan daripada rekaan RC213V-S.

Model standard menggunakan fork Big Piston (BPF) Showa 43mm dan penyerap hentakan belakang Showa Balance Free Rear Cushion Light (BFRC-L) boleh laras) serta kaliper brek empat piston oleh Nissin manakala versi SP menggunakan fork depan Ohlins NPX 43mm dan Ohlins Object Based Tuning generasi kedua bagi mengawal tetapan depan dan belakang.

Versi SP turut mengguna pakai kaliper brek Brembo Stylema empat piston sementara model standard didatangkan dengan kaliper brek Nissin.

Sistem aerodinamik yang terdapat pada jentera MotoGP Honda turut dipinjamkan ke Fireblade baharu dengan penggunaan winglet.

Nak tahu lebih lanjut mengenai jentera baharu ini? Mungkin Marc Marquez boleh jelaskan.

 

Pengunjung yang hadir ke Litar Antarabangsa Sepang (SIC) bagi menyaksikan perlumbaan Shell Malaysia MotoGP 2019 semalam disajikan dengan aksi bertumbuk yang berlaku di pintu masuk ke Grandstand.

Saksikan video tersebut dibawah:

Video berdurasi 23 saat yang dikongsikan Laman Facebook Sukan Star TV terbabit memaparkan seorang lelaki berbaju hitam cuba menendang petugas pintu memakai ves biru.

Bagaimanapun, dia kemudiannya bertindak menumbuk petugas tersebut sebelum sempat berlalu pergi.

Ketika ini tiada maklumat mengenai punca kejadian tersebut berlaku namun terdapat dakwaan lelaki berbaju hitam tersebut cuba memasuki kawasan Grandstand untuk menyaksikan upacara podium dengan menggunakan tiket untuk kawasan tempat duduk lain.

Difahamkan, lelaki tersebut telah pun ditahan untuk tindakan lanjut.

Terdahulu, kelengkapan perlumbaan milik pasukan Moto2 Angel Nieto dicuri oleh individu yang tidak bertanggungjawab.

Kedua-dua insiden ini ternyata mengaibkan imej Malaysia di mata dunia apatah lagi Litar Antarabangsa Sepang menerima kunjungan ribuan pelancong luar negara.

Baru-baru ini Malaysia diaibkan dengan kes kecurian di tapak pasukan Moto2, Angel Nieto di Litar Antarabangsa Sepang (SIC).

Beberapa alat ganti antaranya fork depan dan belakang, kaliper brek dan peralatan lain telah dicuri sehingga memaksa Angel Nieto meminjam peralatan pasukan lain.

Bagaimanapun, menurut laporan Sinar Harian, tiga pegawai keselamatan telah pun ditahan pihak polis bagi membantu siasatan berhubung kes kecurian yang dianggarkan bernilai RM200,000.

Ketua Polis Daerah Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Asisten Komisioner Zulkifli Adamsah mengesahkan tangkapan tiga lelaki tempatan berusia 20 hingga 30 tahun itu.

Difahamkan, ketiga-tiga pekerja keselamatan terbabit bertugas di lokasi kejadian namun pihak polis masih menyiasat rakaman CCTV untuk mendapatkan butiran lanjut.

(SUMBER: Sinar Harian)

Arkib

Ikuti Kami di Facebook

Ikuti Kami di YouTube