Bikesrepublic

Berita Terkini

Kymco merupakan antara jenama motosikal yang paling mencuri tumpuan ketika di pameran motosikal EICMA tahun lalu apabila memperkenalkan skuter maxi, AK550 ST generasi terbaru.

AK550 ST merupakan varian ‘flagship’ bagi Kymco bagi tahun 2023 yang menyertai AK550 (Standard) sedia ada. 

Berdasarkan perkembangan terbaru, kami difahamkan bahawa Kymco AK550 ini akan turut dipasarkan di Malaysia tidak lama lagi. 

Menurut sumber, beberapa pemilik motosikal Modenas Elegan 250EX akan berpeluang menyaksikan Kymco AK550 itu dengan lebih dekat ketika lawatan ke kilang Modenas di Gurun, Kedah nanti. Skuter maxi tersebut telah pun selesai proses VTA Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) baru-baru ini. 

Untuk rekod, Edaran Modenas Sdn Bhd (EMOS) telah pun dilantik pengeluar dan pengedar eksklusif KYMCO di Malaysia sejak 2016. Elegan 250EX juga merupakan skuter KYMCO yang telah dijenamakan semula oleh Modenas untuk dijual di pasaran tempatan. 

KYMCO AK550 sememangnya mencuri tumpuan ekoran menampilkan ciri premium dan enjin berkuasa. Skuter maxi itu dikuasakan enjin ‘twin-cylinder’ 550cc 8-injap yang berkeupayaan menghasilkan 51hp dan 55Nm di samping mampu merekodkan kelajuan maksima 160km/j.  Ini menjadikan AK550 lebih berkuasa berbanding pesaing, Yamaha TMAX yang menawarkan 47hp dan 55.7Nm dan SYM TL500 dengan 40hp dan 42.5Nm.

Sistem pecutan pula dikendalikan Electronic Throttle System (ETS) (atau ride-by-wire), yang kini berfungsi mengawal traction control. Selain itu, pengguna juga boleh menikmati fungsi ‘cruise control’ yang memudahkan tunggangan ketika menempuh perjalanan jauh. 

Sementara itu, AK550 ST ini juga datang dengan dua paparan LCD digital serta TFT di bahagian tengah yang menampilkan sistem navigasi khas Kymco Noodoe yang boleh disambung kepada telefon pintar. Juga tidak ketinggalan brek Brembo M4, ABS, lampu LED penuh dengan DRL (daytime running light) dan penghadang angin boleh laras. 

Selain itu AK550 juga menawarkan dua port pengecas USB, tangki 14.5L dan sistem tanpa kunci (keyless). 

Setakat ini belum ada pengumuman rasmi daripada pihak Modenas mengenai perkara ini dan segalanya hanya akan terjawab sebaik kami menerima pengesahan. Apa pun, kami akan membawakan perkembangan selanjutnya mengenai skuter maxi baharu ini.

KMSB Motors Sdn Bhd dengan rasminya memperkenalkan jenama motosikal tempatan menerusi AFAZ hasil usahama teknikal bersama Suzuki Motor Corporation (SMC) Jepun. 

Majlis tandatangan itu telah diwakili Pengerusi Eksekutif KMBS Motors, Ahmad Faez Tan Sri Yahaya dan Presiden SMC, Toshihiro Suzuki sambil disaksikan Perdana Menteri, Dato Seri Anwar Ibrahim.

Menariknya, intipati utama perjanjian tersebut adalah untuk Suzuki membekalkan komponen penting untuk pembangunan motosikal AFAZ. Sehubungan itu, AFAZ – meskipun jenama baharu – akan membangunkan motosikal dengan komponen berkualiti. 

*Perdana Menteri, Dato Seri Anwar Ibrahim (kiri) dan Pengerusi Eksekutif KMBS Motors, Ahmad Faez Tan Sri Yahaya (kanan).

Meskipun baharu namun AFAZ dalam satu kenyataan berhasrat menjadi pemain utama dalam pasaran motosikal tempatan dan seterusnya bersaing di peringkat ASEAN dan global. Untuk rekod, AFAZ akan bersaing dengan jenama tempatan sedia ada termasuk Modenas, Aveta dan WMOTO. 

Dalam pada itu, perjanjian ini juga selaras dengan Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 (NIMP 2023) yang diumumkan Perdana Menteri pada 1 September 2023. 

Hong Leong Yamaha Motor (HLYM) dengan rasminya membuka tempahan bagi Yamaha Tenere 700 2023 dengan harga jualan yang disyorkan RM69,988. 

Motosikal dengan keupayaan ‘off-road’ pertama dari HLYM itu turut membuat penampilan di Karnival Gen Blu Yamaha yang berlangsung di Stadium Likas, Kota Kinabalu, Sabah pada Ahad. 

Menurut Yamaha, Tenere 700 2023 itu adalah motosikal pemasangan tempatan (CKD) yang dipasang sepenuhnya di Sungai Buloh. 

Lebih menarik, pasaran tempatan akan menerima model terbaru (2023) yang telah dinaik taraf dengan beberapa kelengkapan dan ciri baharu. 

Apa yang baharu?

Bagi tahun 2023, Yamaha Tenere 700 telah diberi peningkatan baharu dengan penggunaan skrin TFT 5-inci menggantikan skrin digital LCD sebelum ini.

Skrin TFT tersebut juga boleh dihubungkan kepada telefon pintar bagi memberi akses kepada emel, mesej teks dan maklumat panggilan. Bukan itu sahaja, skrin TFT itu juga boleh diasmbungkan kepada aplikasi My Ride Yamaha. 

Naik taraf lain termasuk wayar tersedia jika mahu mengaktifkan sistem QS (quickshifter), lever brake depan baharu dan lampu isyarat LED.

Bagaimanapun, pakej elektronik terbesar diberikan pada Tenere 700 2023 ini adalah tiga tetapan ABS baharu yang boleh ditetapkan sama ada ‘OFF’, ‘ON’ dan ‘REAR OFF’. 

Antara ciri lain yang terdapat pada Yamaha Tenere 700 termasuk:

  • kerangka double-cradle tubular steel
  • fork depan jenis upside/down 43mm boleh laras
  • suspensi belakang boleh laras
  • rim 21-inci depan dan 18-inci belakang
  • tangki 16L

Untuk rekod, Yamaha Tenere 700 dikuasakan enjin 689cc CP2 dengan ‘270-degree crank’ yang menawarkan  72.3hp pada 8,750rpm dan 67Nm pada 6,500rpm. 

Bagi memastikan Kejuaraan Dunia MotoGP boleh diakses seluruh rakyat Malaysia, Kementerian Belia dan Sukan (KBS) telah mengambil inisiatif untuk memperkenalkan ‘Tiket Rahmah’ berharga hanya RM49.90. 

Menurut kenyataan, Tiket Rahmah’ tersebut adalah bagi tempat duduk K2 Hillstand. Menariknya, pemegang tiket tersebut juga akan mendapat akses kepada makanan dan minuman dengan harga yang lebih murah. 

Dalam pada itu, Litar Antarabangsa Sepang (SIC) juga menyediakan pelbagai aktiviti menarik antaranya cabutan bertuah melibatkan tiga unit Yamaha YZF-R25 yang telah dinaik taraf dengan aksesori Racing Boy (RCB) dan jualan helmet SIC X KYT Edisi Terhad. 

Selain itu, rakyat Malaysia juga berpeluang menyaksikan pelumba negara, Syarifuddin Azman @ Damok dari pasukan MT Helmets-MSi Team beraksi dalam kelas Moto3. Empat lagi pelumba muda yang dibarisi Farres Putra, Farish Hafiy, Ahmad Darwisy dan Adi Putra akan berentap dalam kejuaraan Idemitsu Asian Talent Cup. 

Untuk makluman, kejuaraan dunia MotoGP GP Malaysia akan berlangsung dari 10 hingga 12 November ini. Orang ramai yang berminat boleh kunjungi www.sepangcircuit.com bagi mendapatkan tiket. 

Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) telah menyita 25 motosikal sekitar ibu kota selepas didapati melakukan pelbagai kesalahan pada Khamis.  

Hasil daripada tinjauan di beberapa kawasan panas termasuk Jalan Ampang, Jalan P. Ramlee dan Persiaran KLCC sejumlah 35 kompaun telah dikeluarkan selain daripada 25 motosikal disita serta merta dan dibawa ke depot Jalan Pahang. 

Menurut pegawai DBKL, antara kesalahan yang dilakukan termasuk meletak kenderaan di laluan orang kelainan upaya (OKU), laluan siar kaki serta yang ingkar papan tanda larangan parkir motosikal.

Dalam pada itu, DBKL juga mengingatkan orang ramai untuk mematuhi undang-undang yang telah ditetapkan pihak berkuasa dan memastikan kenderaan yang diletakkan tidak mengganggu pejalan kaki terutamanya golongan OKU.

Kami sebelum ini telah pun melaporkan bahawa Suzuki merancang untuk memperkenalkan satu lagi varian baharu dari keluarga V-Strom 800 DE. 

Berbeza dengan DE yang tampil dengan kelengkapan ‘adventure’ dan ‘off-road’, V-Strom 800 pula menampilkan ciri pengembaraan di jalan raya. 

Terbaru, rupa jelas Suzuki V-Strom 800 didedahkan dalam satu dokumen pensijilan yang difailkan di Australia. Dokumen tersebut, yang melampirkan dua foto V-Strom 800 itu mendedahkan beberapa ciri utama yang membezakan dengan V-Strom 800 DE. 

Pertamanya, V-Strom 800 tampil dengan rim jenis aloi berbanding lidi (wire-spoked). Ciri ini bukan sahaja membezakan dengan 800 DE malah menawarkan pengalaman menunggang yang berbeza. 

*Suzuki V-Strom 800 2024

Menurut dokumen terbabit, V-Strom 800 akan dilengkapi dengan rim 110/80-19 depan berbanding 90/90-21 depan terdapat pada 800 DE. 

Kami juga mendapati V-Strom 800 ini hadir dengan kelengkapan suspensi yang berbeza. Walaupun tidak dinyatakan secara terperinci namun kami menjangkakan model akan datang ini menawrakan fork depan dengan jarak pergerakan (suspension travel) yang lebih pendek berbanding 800 DE. 

*Suzuki V-Strom 800 DE

Juga tidak kelihatan adalah ‘handguard’ dan ‘bash plate’ yang terdapat pada 800 DE. Menariknya, penghadang angin pada V-Strom 800 ini juga adalah 45mm lebih tinggi berbanding 800 DE. 

Namun begitu, kami jangkakan V-Strom 800 ini akan tetap menawarkan 82hp dan 78Nm seperti 800 DE. 

Apa pun, kami menjangkakan Suzuki bakal memperkenalkan keluarga baharu V-Strom 800 ini di pameran motosikal EICMA yang akan berlangsung pada November ini.  

Arkib

Ikuti Kami di Facebook

Ikuti Kami di YouTube