Bikesrepublic

Berita Terkini

Pilih helmet bukan perkara mudah kerana bukan sahaja reka bentuk dan warna perlu diambil kira malah harga dan ciri yang ditawarkan juga perlu dititiberatkan.

Bagi dunia luar, mungkin setiap helmet tampak sama tapi bagi jiwa dua roda, helmet bukan sahaja menampilkan gaya malah medium penting menyelamatkan nyawa.

Baru-baru ini, pengedar HJC di Malaysia, NKS, memberi MotoMalaya peluang untuk menguji produk baharu helmet dari Korea itu, HJC C70.

Tergolong dalam segmen helmet ‘touring’, C70 – dengan bahan polikarbonat –  bukan dicipta untuk kegunaan litar – Bukit Tinggi International Circuit (BTIC) dikecualikan – namun sebagai helmet kegunaan harian.

HJC C70 didatangkan dengan berat 1600 gram bagi saiz XL – sememangnya agak berat tetapi dengan harga RM949 pastinya perlu ada tolak ansur.

Pada pemakaian awal, bahagian pad rasa agak ketat namun selepas penggunaan 1000km – pad mula mengikut saiz kepala dan keselesaan mula dirasai namun bahagian kepala masih rasa padat dan tiada isu’longgar’.

Meskipun tampak garang bagaikan helmet untuk kegunaan litar namun HJC C70 hanya selesa untuk kelajuan normal – 0 hingga 160km/j namun pergi laju dari itu dan keseluruhan helmet mula bergegar.

Dalam bahasa mudah, C70 sesuai bagi yang patuh had kelajuan di Malaysia.

Sementara itu, bahagian ‘chin strap’ menggunakan slot ‘micro buckle’ yang mudah ditanggalkan dengan hanya sebelah tangan.

Menariknya, selepas 1000km, bahagian ‘micro buckle’ masih utuh dan terasa masih ‘dara’.

Bagi menangani cuaca terik di siang hari, HJC C70 turut menawarkan ‘sun visor’.

Aliran udara juga memadai dengan corong udara di bahagian dagu dan satu corong udara di bahagian atas namun dalam keadaan panas terik, insiden ‘lecak’ tidak dapat dielakkan.

Bagaimanapun, bahagian pad dalam boleh ditanggalkan untuk dibasuh.

Bagi penunggang yang mencari helmet dengan reka bentuk menarik dan pilihan warna pelbagai disamping menawarkan harga mampu milik dan ciri keselamatan berkualiti, HJC C70 menawarkan semua ciri terbabit dibawah RM1000.

 

Sebaik perlaksanaan Program Subsidi Petrol (PSP) berjalan Januari depan, harga petrol RON95 akan diapungkan secara berperingkat.

Menurut laporan Harian Metro, Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Chong Chieng Jen memaklumkan bahawa harga RON95 akan naik 1 sen setiap minggu sehingga mencapai harga pasaran.

“Harga petrol akan diapungkan secara berperingkat sebanyak satu sen setiap minggu sehingga harga RON95 mencecah harga pasaran,” jelas Chieng Jen dalam sidang Dewan Rakyat, hari ini.

Bagaimanapun, Sabah, Sarawak dan Labuan akan tetap menikmati harga subsidi RON95 pada kadar RM2.08 seliter.

Bagi memastikan harga minyak mengikut kadar ditetapkan, Akta Kawalan Harga juga akan diguna pakai bagi memastikan tiada pihak cuba memungut keuntungan berlebihan.

(SUMBER: Harian Metro)

Grab difahamkan bakal memulakan perkhidmatan e-hailing motosikal apabila mula memuat naik iklan merekrut penunggang bagi servis GrabBike.

Menurut entri terbaru di laman sesawang Grab, syarikat perkhidmatan e-hailing itu menjeaslkan program tersebut selaras dengan kenyataan Menteri Pengangkutan yang membenarkan syarikat e-hailing untuk menjalankan program terbabit selama enam bulan bermula Januari 2020.

Difahamkan program tersebut hanya akan dijalankan di sekitar Lembah Klang dengan pemohonan dibuka sehingga 2 Disember ini.

Antara syarat dikenakan bagi yang berminat adalah:

  • Motosikal tidak lebih dari 5 tahun (dari tarikh pendaftaran JPJ)
  • Penunggang mempunyai lesen memandu penuh

Calon terpilih akan dimaklumkan dalam tempoh lima hari bekerja atau sebelum 9 Disember.

Sumber: Berita Harian Online @ Facebook

Susulan kesesakan teruk dialami setiap kali musim perayaan tiba, timbul cadangan agar Plaza Tol Gombak di Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak ditutup.

Ahli Parlimen Kuala Krai, Abdul Latiff Abdul Rahman mengemukakan cadangan tersebut ketika sesi perbahasan di sidang Dewan Rakyat.

Menurut laporan Harian Metro, Abdul Latif mencadangkan agar plaza tol berusia lebih 50 tahun itu tersebut ditutup susulan masalah kesesakan tinggi tiap kali musim perayaan dan cuti hujung minggu.

“Setiap minggu saya ulang alik melalui laluan ini untuk hampir dua tahun.

“Kesusahan dialami rakyat Pantai Timur ini dirasakan hampir setiap minggu.

“Setiap hujung minggu, semua pengguna (jalan raya) akan menghadapi tekanan di tol itu kerana menjadi pintu masuk utama pengguna daripada tiga buah negeri (Pantai Timur).

“Jadi saya mencadangkan agar Tol Gombak dihapuskan selaras dengan manifesto kerajaan Pakatan Harapan,” jelasnya.

(SUMBER: Harian Metro)

Peminat Honda di Malaysia mendapat perkhabaran menarik daripada jenama itu apabila mereka melancarkan Honda City 1.0 Turbo di Thailand, semalam.

Generasi baharu Honda City itu kini tampil dengan reka bentuk lebih sporty yang seakan menyamai abangnya Civic dengan ruang dalam yang tampak premium.

Bagaimanapun, ciri yang paling mencuri tumpuan tersembunyi di bawah bonet depan yang kini diisi dengan enjin 1.0L dengan kuasa turbo yang menjana 120hp dan 172Nm.

Segala kuasa itu kemudiannya dibantu dengan sistem transmisi CVT.

Menariknya, Honda mendedahkan bahawa enjin ini menawarkan lebih tork setanding dengan enjin 1.8L Honda Civic.

Penggunaan bahan api juga lebih jimat dengan 4.3 liter per 100 kilometer.

Rekaan lampu depan dan belakang LED turut menghadirkan aura Accord.

Honda City 2020 ini juga dilengkapi pelbagai ciri keselamatan terkini antaranya:

  • Anti-lock Braking System (ABS)
  • Electronic Brake Distribution (EBD)
  • Brake Assist (BA)
  • Vehicle Stability Assist (VSA)

Model ini ditawarkan ddengan empat varian:

  • Varian S: THB579,500 (RM80,035)
  • Varian V: THB665,000 (RM84,107)
  • Varian VS: THB665,000 (RM91,848)
  • Varian RS: THB739,000 (RM102,061)

Pelancaran Honda City 2020 di Thailand memberi bayangan bahawa model popular dikalangan peminat ‘H’ ini akan dibawa ke pasaran Malaysia.

Baru-baru ini, seorang mekanik di Melaka membuat luahan di Facebook apabila simpati yang diterimanya oleh orang ramai mula memberi kesan terhadap perniagaannya.

Pak Busu, seorang mekanik OKU (orang kurang upaya) mendedahkan dia kini bergelut untuk menyara keluarganya gara-gara orang ramai simpati dengan keadaan fizikalnya.

Bagaimanapun, Pak Busu menegaskan dia tidak memerlukan simpati sebaliknya mahu mencari rezeki agar dapat menjaga isteri dan membesarkan dua anaknya.

“Orang ramai enggan menghantar kereta mereka untuk dibaiki kerana bersimpati dengan saya.

“Jangan kesiankan saya, sebaliknya kesiankan anak dan isteri saya yang berlapar.

“Ini tanggungjawab saya untuk mencari rezeki demi keluarga saya. Saya perlu memberi duit belanja sekolah, bayar bil air dan elektrik serta duit sewa,” jelas Pak Busu dalam perkongsiannya di Facebook.

Dia turut menggesa agar orang ramai menghantar kenderaan mereka yang rosak ke bengkelnya IM Auto Garage di Jalan Batu Hampar agar dia dapat menyara keluarganya.

Perkongsian tersebut telah pun merekodkan lebih 5 ribu ‘share’ dan lebih 600 komen.

Arkib

Ikuti Kami di Facebook

Ikuti Kami di YouTube