Pada suatu masa dahulu (lebih kurang 20 tahun lepas), tempoh pembayaran balik pinjaman kenderaan dihadkan kepada hanya 5 tahun. Selepas itu, tempoh pinjaman dipanjangkan kepada 7 tahun, dan selepas itu, dilanjutkan lagi ke 9 tahun.
Secara amnya, tempoh ‘loan‘ yang paling lama untuk motosikal 250cc dengan ke bawah ialah 5 tahun, manakala pinjaman sehingga 7 tahun diberikan kepada motosikal berkuasa besar. Terdapat juga satu-dua syarikat kredit yang memberikan tempoh pinjaman sehingga 9 tahun, tetapi pada kadar bunga yang lebih tinggi.
Jangka pinjaman yang lebih panjang disambut baik oleh penjual kenderaan sebagai suatu yang baik kerana lebih ramai pembeli dapat membeli kenderaan dengan amaun pembayaran yang lebih rendah setiap bulan. Namun ia mungkin bukan seharusnya sesuatu yang baik kerana pembeli sebenarnya menanggung bunga yang lebih tinggi disebabkan oleh tempoh pembayaran yang lebih lama. Pada masa yang sama, sesebuah kenderaan sudah dikira agak usang selepas 9 tahun, dan pemilik hanya boleh menjualnya pada harga yang terlalu murah.
Oleh itu, terdapat pendapat yang tempoh pinjaman kenderaan dipendekkan. Pengsyoran ini telah disuarakan untuk sekian lama namun belum ada apa-apa perkembangan.
Baru-baru ini, pemerhati industri automotif menyarankan supaya tempoh pembiayaan pinjaman kenderaan di negara ini disingkatkan kepada maksimum tujuh berbanding sembilan tahun.
Langkah itu jika dilaksanakan dilihat mampu membantu mengawal paras hutang isi rumah serta menggalakkan pengurusan kewangan lebih berhemat dalam kalangan pengguna negara ini.
Ketika ini, hutang isi rumah Malaysia dilaporkan adalah antara yang tertinggi di ASEAN dengan jumlah RM1.65 trilion setakat akhir Mac 2025, yang mewakili 84.3 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).
Daripada jumlah hutang isi rumah itu, penyumbang utama adalah pinjaman perumahan sekitar 60.5 peratus; manakala pembiayaan kenderaan 13.2 peratus, sementara pinjaman peribadi kira-kira 12.4 peratus.
Presiden Persatuan Automotif Malaysia (MAA), Mohd Shamsor Mohd Zain, berkata langkah menyingkatkan tempoh pinjaman kenderaan bukan sahaja dapat mengekang beban hutang jangka panjang, malah mendidik pengguna supaya lebih berdisiplin dalam membuat komitmen pembiayaan.
Beliau mengakui langkah itu mungkin memberi kesan sementara terhadap permintaan dalam segmen mampu milik, namun pasaran akan menyesuaikan diri secara semula jadi mengikut kemampuan pengguna.
“Syarikat pembiayaan pula boleh memainkan peranan dengan memperkenalkan pakej lebih fleksibel untuk membantu pelanggan menguruskan komitmen pembelian dengan lebih baik,” katanya kepada BH.
Mengulas lanjut, Mohd Shamsor berkata, pelarasan kepada terma pembiayaan juga akan mendorong pengeluar dan pengedar menilai semula strategi jualan serta kerjasama dengan institusi kewangan.
“Dalam jangka panjang, perubahan tingkah laku pengguna dijangka berlaku dengan sebahagian beralih daripada pemilikan jangka panjang kepada model sewaan atau langganan kenderaan, sejajar trend mobiliti moden yang lebih dinamik dan berasaskan keperluan,” katanya.
Ketua Pegawai Operasi GWM Malaysia, Roslan Abdullah, pula berkata jualan mungkin terjejas dalam fasa awal pelaksanaan apabila bakal pembeli perlu menilai semula kemampuan bayaran bulanan akibat tempoh pembiayaan lebih singkat.
“Pada peringkat permulaan, jualan dijangka perlahan kerana bayaran ansuran bulanan akan meningkat. Perbezaannya boleh mencecah antara 15 hingga 20 peratus bergantung pada harga kenderaan,” katanya.
Beliau bagaimanapun menjangka pengeluar dan pengedar akan melancarkan strategi lebih agresif, termasuk promosi besar-besaran dan tumpuan kepada perkhidmatan selepas jualan bagi mengekalkan momentum pasaran.
Pemerhati industri sebelum ini berpandangan bahawa antara isu yang timbul apabila pinjaman sewa beli dipanjangkan adalah peminjam perlu menanggung bayaran bulanan lebih rendah, namun untuk tempoh yang lebih lama.
Ini akan menyebabkan peminjam terpaksa membayar lebih banyak faedah, dan ini boleh menjejaskan aliran tunai jika mereka mempunyai banyak pinjaman dengan tempoh yang panjang.
Dewan Rakyat baru-baru ini meluluskan Rang Undang-Undang (RUU) Sewa Beli (Pindaan) 2025 yang memansuhkan penggunaan kadar sama rata dan kaedah Peraturan 78 bagi pinjaman sewa beli kadar tetap.
Sebagai ganti, kaedah kadar faedah efektif dan pengurangan baki akan diperkenalkan bagi memastikan pengiraan ansuran bulanan lebih adil serta telus.
Kaedah pengurangan baki pula memastikan kadar faedah hanya dikenakan ke atas baki pinjaman belum dijelaskan, berbeza kaedah lama yang lebih menumpukan pembayaran faedah pada peringkat awal pinjaman. – Berita Harian


































