Bikesrepublic

Berita Terkini

Pasangan suami isteri telah ditahan pada Khamis selepas terlibat melakukan aksi ‘wheelie’ dengan motosikal jenis Honda EX, baru-baru ini. 

Pasangan berusia 17 dan 16 tahun itu telah menyerah diri di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Bharu pada jam 10 pagi Khamis dan disahkan Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Mohd Rosdi Daud. 

Bagaimanapun, pasangan muda itu terlebih dahulu bertindak menghilangkan diri selama dua hari selepas diburu pihak polis sebelum menyerah diri. 

“Mereka kini dalam proses permohonan reman pada Jumaat untuk siasatan lanjut. Kes akan disiasat bawah Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” jelas Mohd Rosdi Daud dalam satu kenyataan.

Jika disabitkan kesalahan, pasangan suami isteri itu boleh dihukum penjara tidak lebih lima tahun dan denda tidak kurang daripada RM5,000 dan tidak lebih daripada RM15,000. 

Video berdurasi 29 saat itu tular beberapa hari lalu kerana melakukan aksi ‘wheelie’ sambil mengenakan baju Melayu dan baju kurung sempena sambutan Aidilfitri. 

Pada 19 April, GWM telah menganjurkan Persidangan Antarabangsa 2023 dengan tema “GWM BAHARU, TENAGA BAHARU”, yang dihadiri lebih 260 wakil pengedar dari lebih 60 buah negara dan wilayah. Mu Feng, Presiden GWM, telah memberikan pengenalan terperinci kepada para hadirin mengenai perkembangan global GWM, Ekosistem Hutan dan perancangan strategik tenaga baharu.

GWM telah mengisytiharkan deklarasi tenaga baharu kepada seisi dunia iaitu ‘NEV Pintar GWM, Lebih Hijau, Lebih Tinggi, Lebih Selamat’. Di tahun-tahun mendatang, GWM akan mengguna pakai model “SATU GWM” dan strategi produk tunggal besar-besaran pada skala global untuk melaksanakan perancangan buat kelompok sasaran yang berbeza dalam pasaran global dan bekerjasama dengan rakan-rakan kongsi global untuk mencipta lebih banyak produk bertenaga baharu dengan kualiti tinggi untuk para pelanggan.

Persidangan tersebut turut menyaksikan sebuah majlis anugerah yang gilang-gemilang untuk memberi pengiktirafan kepada para pengedar yang bekerjasama dengan GWM dalam meluaskan pasarannya. Parker Shi, Naib Presiden dan Ketua Pasaran Antarabangsa GWM, menganugerahkan anugerah kehormat kepada rakan-rakan pengedar yang telah melakar pencapaian yang cemerlang. Sehubungan dengan itu, GWM turut mengadakan Majlis Pemeteraian Rakan Niaga Global dan menjalin rangkaian perkongsian dengan berpuluh pengedar baharu dari pasaran global.

Sehari sebelum majlis berlangsung, GWM telah menjemput ratusan wakil pengedar untuk melawat kilang dan makmal R&D serta menghadiri sidang akhbar GWM di Auto Shanghai. Langkah ini telah memberikan pemahaman yang lebih komprehensif kepada para pengedar tentang Ekosistem Hutan. Para pengedar telah menzahirkan pengiktirafan mereka terhadap keupayaan GWM dalam pembuatan kenderaan yang hebat dan produk bertenaga baharu pintar.

Seorang rakan pengedar baharu turut berkongsi, “Lawatan ke GWM telah memberikan saya peluang untuk merasai solusi tenaga baharu mereka yang cemerlang dan saya harap dapat membawa kenderaan-kenderaan bertenaga baharu kepada lebih ramai pelanggan tempatan secepat mungkin.”

Para pengedar dari Australia, Afrika Selatan dan Brazil juga optimis tentang prestasi pasaran GWM pada masa depan. Wakil-wakil pengedar percaya bahawa kualiti cemerlang, ciri-ciri mewah dan kelebihan tenaga baharu GWM diiktiraf oleh pengguna dan ia semakin mendapat reputasi yang baik. Kerjasama dengan GWM akan menjadi langkah yang penting dalam menuju masa depan yang lebih baik.

Ketika ini, GWM terus memperluas jualan global dan susun atur pasarannya. Pada tahun 2022, jumlah jualan luar negara GWM melebihi 170,000 unit, dengan peningkatan sebanyak 21.28% berbanding tahun sebelumnya, sekaligus mencatat rekod yang tinggi. Sejak pengeksportannya pada tahun 1997, GWM mempunyai lebih 700 saluran jualan luar negara yang meliputi lebih daripada 170 negara dan wilayah seluruh dunia, dengan jumlah jualan mencecah lebih daripada satu juta kenderaan.

GWM menyasarkan perlaksanaan semua rantaian industrinya di luar negara termasuk produk, teknologi dan perkhidmatan di masa hadapan. GWM juga dijangka mengukuhkan Ekosistem Hutan bagi mencapai hasil yang saling menguntungkan semua dan menggalakkan transformasi strategi tenaga baharu global GWM bersama rakan-rakan kongsi pengedar global.

Pameran automotif terbesar di Malaysia, Malaysia Autoshow 2023 akan kembali berlangsung pada 4 hingga 7 Mei ini di MAEPS, Serdang. 

Antara jenama automotif yang akan turut meriahkan pameran kali ini adalah Kawasaki Malaysia. 

Berdasarkan perkongsian ‘teaser’ terbaru di media sosial, Kawasaki Malaysia akan memperkenalkan beberapa model baharu. Melihat kepada ‘teaser’ yang dikongsikan, model yang bakal ditayangkan itu membabitkan keluarga KLX dan Z. 

Jika ‘teaser’ tersebut adalah benar maka kita akan menyaksikan tiga model KLX diperkenalkan dan satu model naked ‘Z’. 

Kami menjangkakan tiga model KLX itu membabtikan varian 150cc hingga 250cc sementara model ‘Z’ pula berkemungkinan besar merujuk pada Z900 terbaru. 

Apa pun segala jawapan akan didedahkan di Malaysia Autoshow 2023. 

Dalam perkembangan sama, Kawasaki Malaysia juga menyediakan pelbagai aktiviti untuk pengunjung yang hadir ke Malaysia Autoshow 2023. Antara aktiviti disediakan termasuk tunggang uji model terbaru, permainan khas dan cenderamata istimewa Kawasaki.

Meskipun belum dipasarkan di Malaysia namun Kawasaki kembali mencuit hati peminat sejak memperkenalkan Ninja ZX-25R dan terbaru, Ninja ZX-4R di pasaran global. 

*Kawasaki Ninja ZX-25RR

Kawasaki Ninja ZX-25R dan ZX-4R merupakan motosikal platform 250cc dan 400cc yang disuntik dengan enjin 4-inline sekaligus menyumbang kepada angka kuasa yang tinggi dengan masing-masing menawarkan 50hp dan 79.1hp. 

Menariknya, Kawasaki tidak akan berhenti disitu kerana timbul laporan di Jepun bahawa mereka sedang membangunkan Ninja ZX-9R. Pendedahan itu dibuat menerusi Young-Machine melalui majalah keluaran bulan Mei. 

*Kawasaki Z900

Meskipun maklumat yang dikongsikan tidak banyak namun perkembangan terbaru itu secara tidak langsung merancakkan lagi tawaran Kawasaki. Pada masa sama, dijangkakan ZX-9R itu akan dikuasakan enjin 900cc yang sama terdapat pada Kawasaki Z900. 

Namun begitu, pastinya enjin tersebut akan ditala semula bagi menghasilkan kuasa yang lebih tinggi dibantu sistem Ram-Air. 

Sementara itu, pembangunan Ninja ZX-9R juga bukanlah satu kejutan kerana Kawasaki sebelum ini mendedahkan akan memperkenalkan 30 model baharu menjelang 2025. 

Polis telah menahan empat remaja lelaki yang dipercayai terlibat dalam kejadian baling objek keras ke arah kereta yang bergerak di KM53, Jalan Kuala Kangsar-Gerik-Pengkalan Hulu, pada Selasa. 

Memetik laporan Berita Harian, keempat-empat suspek itu berusia antara 15 hingga 17 tahun. 

Menurut Timbalan Ketua Polis Daerah Gerik, Deputi Superintendan Mohd Rahimi Zainol, suspek menaiki motosikal lalu membaling objek keras kepada kereta yang datang dari arah bertentangan. 

Polis bertindak selepas menerima laporan daripada mangsa yang menggunakan laluan tersebut daripada Kota Bharu, Kelantan menghala ke Kuala Kangsar. 

Difahamkan, polis telah menerima tiga lagi laporan yang menceritakan perihal sama.

“Hasil maklumat yang diperolehi, polis berjaya membuat tangkapan terhadap empat remaja lelaki itu,” jelas Mohd Rahimi, pada Selasa. – Berita Harian

Pengeluar motosikal China dan syarikat induk kepada jenama Benelli, QJ Motor disahkan sedang membangunkan enjin berkuasa serba baharu berdasarkan paten terbaru yang difailkan di negara itu. 

Menurut paten tersebut, QJ Motor kini sedang giat menghasilkan platform V4 moden dengan kapasiti sekitar 1,000cc dengan konfigurasi 90-darjah dan DOHC serta 4-valve bagi setiap silinder. 

*lakaran paten tersebut mendedahkan enjin V4 dengan sudut 90-darjah.

Melihat kepada lakaran yang dikongsikan, jelas platform V4 yang dibangunkan itu tampak moden namun tidak kompak seperti enjin V4 yang ada pada Aprilia RSV4 dan Ducati Panigale V4. 

Meskipun dokumen tersebut tidak mendedahkan model apakah yang akan digerakan enjin V4 tersebut namun, mengambil kira QJ Motor sentiasa berkongsi platform dengan Benelli maka tidak hairan jika platform baharu itu akan turut melahirkan model Benelli serba baharu. 

Pada masa sama, selepas pengeluaran Benelli Tornado 1130 dihentikan pada 2014, jenama motosikal Itali-China itu ketandusan jentera berkuasa tinggi. 

*Benelli Tornado 1130

Namun, kami juga menjangkakan bahawa platform V4 itu akan turut menguasakan model QJ Motor sendiri, kemungkinan besar dinamakan SRK1000RR. 

Sebaik projek V4 ini siap sepenuhnya, ini bermaka QJ Motor akan memiliki kepelbagaian enjin yang luas bermula dengan enjin satu silinder, parallel-twin, tiga-inline, dan empat-inline dengan kapasiti dari 50cc hingga 1,000cc. 

*QJ Moto SRK1000RR yang didedahkan awal tahun ini hasil kerjasama dengan MV Agusta.

Menariknya, QJ Motor ada mendedahkan jentera ‘superbike’ 1,000cc awal tahun ini yang dikuasakan enjin MV Agusta 1000. Ini kerana MV Agusta telah menjalinkan kerjasama dengan QJ Motor bagi pembangunan motosikal ADV, Lucky Explorer 5.5 yang berkongsi platform sama dengan Benelli TRK 502. 

Namun begitu, kami menjangkakan bahawa kerjasama itu sudah tergendala ekoran sebanyak 25.1 peratus saham MV Agusta telah berjaya diperolehi KTM. Mengambil kira KTM mempunyai kerjasama erat dengan CFMoto (yang merupakan pesaing QJ Motor di China dan pasaran global), maka kemungkinan besar segala usahasama antara QJ Moto dan MV Agusta yang dirancang sebelum ini menjadi lebih rumit. 

Pada masa sama, mengambil kira keputusan QJ Motor untuk membangunkan platform V4 sendiri, adalah satu indikator utama bahawa kerjasama dengan MV Agusta telah pun terhenti. 

*MV Agusta Lucky Explorer 5.5

Tidak cukup dengan itu, segala rujukan mengenai Lucky Explorer 5.5 yang terdapat pada laman web rasmi MV Agusta sebelum ini telah pun dipadam sekaligus menguatkan lagi sangkaan kami. 

Apa pun, pembangunan platform V4 oleh QJ Motor membuktikan mereka tidak perlu bantuan MV Agusta dalam menghasilkan trenkuasa baharu. Apa yang pasti, kami tidak sabar untuk menyaksikan model berkuasa tinggi tersebut pada masa akan datang. 

Arkib

Ikuti Kami di Facebook

Ikuti Kami di YouTube