Boon Siew Honda (BSH) memperkenalkan tiga warna pilihan baharu bagi skuter popular, Honda Vario 150.
Tiga warna baharu ini masih lagi mengekalkan warna merah, kuning dan biru namun telah dikemaskini dengan grafik futuristik dan elemen heksagon sekaligus membawakan imej moden.
Tiga warna tersebut merangkumi Force SIlver Metallic, Pearl Magellanic Black dan Sword Silver Metallic dan bagi yang mencari kelainan, BSH turut menawarkan pilihan warna Repsol yang diinspirasikan daripada pasukan Repsol Honda di MotoGP.
Honda Vario 150 menawarkan enjin 150cc yang menghasilkan 13.1hp dan 13.4Nm dengan ruang letak barang bawah tempat duduk berkapasiti 18 liter.
Model ini turut menawarkan sistem tanpa kunci (HOnda SMART Key System) dengan fungsi idling stop di samping kluster digital LCD sepenuhnya.
Vario juga menawarkan penjimatan minyak terbaik menerusi teknologi Honda Enhanced Smart Power (eSP) dan Honda Combi Brake System (CBS).
Honda Vario 150 dengan pilihan warna baharu ini masih lagi ditawarkan pada harga RM7,499 manakala varian Repsol ditawarkan pada RM7,699 dan merangkumi waranti dua tahun atau 20,000km.
Triumph Motorcycles bakal mengembalikan model Trident pada 2021 sejak kali terakhir diperkenalkan lebih 20 tahun lalu.
Seperti model sulung yang dilancarkan pada 1968, Trident 2021 akan terus dikuasakan dengan enjin tiga silinder dan bakal sertai barisan Street Triple dan Speed Triple tahun depan.
Pengedar rasmi jenama Triumph di Malaysia, Fastbikes turut memuat naik pengumuman mengenai model baharu ini di laman Facebook mereka.
Meskipun menggunakan nama Trident namun model baharu ini tidak mengikut acuan sama – retro klasik – yang dipaparkan pada model Trident sebelumnya bagaimanapun, rekaan lampu ikonik berbentuk bulat itu masih lagi dikekalkan.
Mereka di Hinckley buat julung kalinya mendedahkan model baharu ini menerusi jentera prototaip yang ditayangkan hari ini di Muzium Rekaan London.
Prototaip ini memberi bayangan terbaik akan model pengeluaran sebenar yang akan dilancarkan tahun depan di samping harga yang kompetitif.
Pada masa sama, Triumph menjelaskan pemilihan enjin tiga-silinder berbanding silinder berkembar adalah berdasarkan permintaan pasaran yang kini condong ke arah tersebut.
Meskipun dijangka berada dalam lingkungan harga ‘mampu milik’namun Triumph mendakwa model ini akan didatangkan dengan ciri moden seperti yang terdapat pada model sedia ada.
Polis Diraja Malaysia (PDRM) Sarawak telah membuka kertas siasatan terhadap anggota Cawangan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah Sibu yang dilihat menendang seorang penunggang motosikal dalam rakaman yang tular di media sosial, hari ini.
Perkara itu disahkan Pesuruhjaya Polis Sarawak, Datuk Aidi Ismail.
“Setakat ini, kita masih menjalankan siasatan namun tindakan akan diambil jika dia didapati cuai atau bertindak agresif ketika menjalankan tugas,” katanya kepada Harian Metro.
Difahamkan, sekatan jalan tersebut merupakan sebahagian daripada pemeriksaan mengejut ‘Op Motosikal’ yang dijalankan.
Berdasarkan rakmaan video berdurasi 15 saat itu, seorang penunggang motosikal telah membuat pusingan ‘U’ dalam percubaan melarikan diri daripada sekatan jalan raya oleh polis.
Bagaimanapun, seorang anggota yang turut berada di situ telah bertindak menendang penunggang motosikal terbabit lalu menyebabkannya terjatuh.
Difahamkan, pemeriksaan mendapati penunggang motosikal tersebut menunggang tanpa lesen memandu di samping memiliki cukai jalan tamat tempoh.
Rakaman tersebut turut mengundang pelbagai reaksi daripada netizen dengan ada yang menyokong tindakan anggota terbabit dan sebaliknya. – HM
Helmet merupakan elemen penting bagi penunggang motosikal tak kira kapcai mahupun berkuasa tinggi.
Bagaimanapun, masih ada segelintir yang sanggup mengambil risiko dengan membeli helmet tidak berkualiti dan paling membimbangkan helmet tiruan yang tidak diketahui tahap keselamatan yang ditawarkan.
Hakikatnya, helmet jenama SHARK menawarkan pelbagai jenis rekaan yang sesuai untuk jua keadaan dan jenis motosikal dan paling penting selamat dengan piawaian ECE22.05 dan SIRIM di samping ditawarkan pada harga mampu milik.
Ini enam helmet SHARK yang kami rekomen untuk penunggang motosikal di Malaysia.
SHARK Ridil Harga: RM650
SHARK Ridil merupakan helmet segmen entry-level yang disyorkan bagi semua jenis motosikal tak kira kapcai mahupun berkuasa besar.
Helmet ini ringan (sekitar 1.5kg bagi saiz L) dan didatangkan dengan sun visor yang boleh diakses dengan mudah menerusi mekanisme di bahagian atas helmet.
Helmet diperbuat dengan bahan polikarbonat (polycarbonate) ini turut didatangkan dengan waranti 5 tahun oleh SHARK dan juga ditawarkan dengan aksesori tambahan seperti iridium visor.
SHARK Ridil juga didatangkan dengan pelbagai warna pilihan jika ada yang mahu padankan dengan warna jentera masing-masing!
SHARK Nano Harga: RM500
SHARK Nano merupakan helmet jenis ‘jet’ yang ditawarkan jenama dari Perancis ini.
Helmet ini mengambil kira segala aspek keselesaan bagi menjaminkan pemakaian yang sedap bagi si penunggang.
Meskipun berkonsepkan ‘open face’ helmet ini juga didatangkan dengan ‘sun visor’ dengan visor luar yang luas dan panjang untuk perlindungan terbaik.
Inovasi unik pada SHARK Nano terletak pada corong udara di bahagian muncung visor luar yang membenarkan angin masuk agar tidak berlakunya ‘kabus’ terutamanya sewaktu menunggang dalam hujan.
Peminat MotoGP juga boleh mendapatkan SHARK Nano edisi Johann Zarco!
SHARK Skwal 2.2 Harga: RM850
SHARK Skwal merupakan helmet jenis ‘full-face’ segmen pertengahan paling unik dalam pasaran.
Ini kerana, helmet ini dilengkapi dengan lampu LED di bahagian depan dan belakang! Ciri ini menjadikan SHARK Skwal cukup menonjol terutamanya ketika menunggang di waktu malam dan mudah dilihat pengguna jalan raya lain.
Helmet ini menggunakan bahan ‘thermoplastic’ sekaligus menjaminkan berat yang ringan di samping didatangkan dengan spoiler aerodinamik di bahagian belakang.
Setiap pembelian SHARK Skwal 2.2 turut didatangkan dengan Pinlock MaxVision secara standard!
SHARK Spartan Carbon merupakan antara helmet SHARK yang paling popular tatkala sesuai untuk kegunaan apa jua keadaan daripada tunggangan harian (kapcai atau berkuasa tinggi), jarak jauh (touring) mahupun di litar.
SHARK Spartan Carbon menawarkan berat hanya sekitar 1.39kg (bagi saiz L) hasil bantuan penggunaan bahan jenis gentian karbon.
Seperti helmet SHARK lain, helmet ini turut didatangkan dengan ‘sun-visor’, visor luar anti-calar termasuk penggunaan fabrik anti-bakteria.
Bukan itu sahaja, helmet ini turut menawarkan SHARK Easy-Fit yang memudahkan pemakaian kaca mata bagi penunggang motosikal, ciri ini sebenarnya sangat penting dan jarang sekali ada helmet yang mengambil kira faktor pemakaian kaca mata.
Malah, setiap pembelian SHARK Spartan Carbon turut akan didatangkan dengan Pinlock anti-fog secara standard!
SHARK Evo One 2 Harga: RM1,800
Helmet modular merupakan helmet pilihan bagi penunggang motosikal di Malaysia kerana bahagian ‘dagu’ helmet boleh dibuka ke atas untuk memudahkan minum air atau makan tanpa perlu membuka helmet.
Bagaimanapun, bagi SHARK Evo One 2, bahagian ‘dagu’ tersebut boleh ditolak sehingga ke bahagian belakang sekaligus tampak seperti sebuah helmet ‘open-face’!
Menariknya, mekanisme terdapat pada Evo One 2 menjaminkan tunggangan yang lebih selesa berbanding helmet modular yang hanya boleh ditolak ke atas.
Setiap pembelian Evo One 2 turut didatangkan dengan Pinlock Max-Vision.
SHARK Race R Pro Harga: RM2,000 hingga RM3,000
SHARK Race R Pro merupakan helmet yang dibina untuk kegunaan litar lumba dan merupakan helmet kepercayaan pelumba MotoGP seperti Jorge Lorenzo, Miguel Oliviera (KTM Tech3) dan Johann Zarco (Avintia Ducati).
Race R Pro turut ditawarkan dengan jenis gentian karbon dan Aramid sekaligus mengurangkan berat kepada hanya 1.39kg.
Visor luar pula merupakan Optical Class-1 (anti-calar) yang menawarkan penglihatan luas tanpa sebarang gangguan terutamanya ketika beraksi di litar.
Bahagian ‘padding’ dalam juga mudah ditanggal dan dibasuh dan terdapat slot untuk intercom SHARKTooth.
Helmet ini didatangkan dengan 5 corong udara dengan 7 pengekstrak udara sekaligus menjaminkan aerodinamik terbaik.
Helmet ini juga ditawarkan dengan pelbagai rekaan dengan terbaru Replika Lorenzo 2019 yang menampakkan elemen api antara pilihan kami di MotoMalaya.Net.
Kesemua helmet SHARK didatangkan dengan waranti 5 tahun dan mendapat piawaian ECE22.05 (UN) sekaligus menjaminkan keselamatan dan kualiti terbaik kepada si pemakai.
Bagi yang berminat untuk melihat dengan lebih dekat atau membuat pembelian boleh singgah di Modenas Power Store Kota Damansara yang merupakan antara concept store rasmi SHARK Helmet Malaysia.
Xiaomi dengan kerjasama Lamborghini memperkenalkan go-kart elektrik untuk orang dewasa, Ninebot GoKart Pro edisi Lamborghini.
Rekaan keseluruhan go-kart ini tampak sama seperti Segway Ninebot namun dengan beberapa ciri yang telah dinaik taraf.
Edisi Lamborghini ini menawarkan kelajuan sehingga 40km/j dengan tayar belakang boleh ditukar kepada tayar ‘drift’ bagi menawarkan pemanduan lebih ekstrim dan lasak.
Antara ciri lain yang turut ditawarkan adalah stering Ackerman, lampu depan, spoiler belakang yang Xiaomi mendakwa meningkatkan aerodinamik dan pemanduan.
Jentera ini juga didatangkan dengan empat corong udara bagi menyalurkan penyejukan ram-air kepada bateri 432Wh.
Bukan itu sahaja, bateri tersebut juga didakwa mampu menggerakan go-kart ini lebih 62 lap sekitar trak 400 meter atau 25km.
Antara ciri menarik lain ditawarkan termasuk pembesar suara yang boleh dimainkan secara Bluetooth atau pemandu boleh memainkan bunyi enjin Lamborghini V8 atau V12 jika bosan dengan bunyi yang dihasilkan motor elektrik terbabit.
Ninebot GoKart Pro Lamborghini Edition ini ditawarkan pada harga USD1,450 (RM6,050).
PROTON menggesa pemilik kereta jenis Proton Perdana untuk menukar beg udara Takata dengan kadar segera di pusat servis rasmi berdekatan.
Model yang terkesan adalah unit yang dihasilkan di antara 2012 hingga penghujung 2018 dan pertukaran bag udara ini adalah sebahagian daripada inisiatif global.
Tindakan ini adalah selaras dengan Laporan Maklumat Kerosakan (DIR) yang dikeluarkan Pentadbiran Keselamatan dan Trafik Lebuh Raya Kebangsaan Amerika (NHTSA) bagi mengganti beg udara.
Ketua Pegawai Eksekutif Proton Edar, Roslan Abdullah menjelaskan PROTON telah pun memulakan proses penggantian ini sejak Januari 2019.
“Dari usaha sama kakitangan dan pengedar PROTON, kami telah berjaya menghubungi pelanggan dan melakukan penggantian inflator beg udara.
“Sebanyak 6,342 kereta yang terjejas dan setakat 18 Ogos 2020, pusat servis kami telah melakukan penggantian untuk 5,625 unit atau 87.5% dari jumlah keseluruhannya,” jelasnya.
Ketua Pegawai Eksekutif Proton Edar, Roslan Abdullah
Bagaimanapun, perlu ditegaskan pertukaran ini tidak menjejaskan model Proton yag lain kerana menggunakan pembekal yang berbeza.
“Keselamatan pelanggan amat penting untuk PROTON. Walau bagaimana pun, kami tidak dapat menghubungi semua pemilik Proton Perdana sebab maklumat pemilik tidak lengkap. Oleh itu, kami ingin menyeru semua pemilik yang belum mengganti inflator beg udara mereka, hubungi pusat servis kami untuk membuat temu janji segera.
“Pertukaran inflator beg udara ini hanya mengambil masa kira-kira satu jam serta tidak akan dikenakan apa-apa bayaran. Kereta yang dikeluarkan selepas 31 Ogos 2018 pula tidak perlu menukar beg udara,” tambahnya.