Bikesrepublic

Berita Terkini

Bermaz Auto Berhad melancarkan Mazda 3 2019 serba baharu di One Utama,  hari ini.

Mazda menyifatkan model ini menandakan era baharu jenama itu dalam menghasilkan kereta yang benar-benar direka untuk anda.

Rekaan Mazda 3 mendapat suntikan Kodo ‘Soul Of Motion’ sekaligus menjadikan model ini lebih sporty dan mengujakan berbanding sebelum ini.

Mazda 3 didatangkan dengan tiga varian; SkyActiv-G 1.5L, SkyActiv-G 2.0L (High) , SkyActiv-G 2.0L (High Plus).

Rekaan paling menonjol terletak di bahagian lampu depan dan belakang serba baharu.

Ruang dalam turut dinaik taraf terutamanya bahagian konsol. Sistem Apple Carplay dan Android Auto juga kini didatangkan secara standard menerusi paparan 8.8 inci Mazda Connect Infotainmen.

Mazda turut meningkatkan pengalaman pemanduan dengan G-Vectoring Control Plus yang memastikan kelancaran pemanduan secara keseluruhan.

Antara ciri keselamatan lain yang terdapat pada Mazda 3:

  • 7 SRS Airbag
  • ABS
  • Dynamic Stability Control (DSC)
  • Traction Control System (TSC)
  • Emergency Stop Signal (ESS)
  • Hill Launch Assist (HLA)

Varian Mazda 3 High Plus turut dilengkapkan dengan ciri ‘advanced’ ACTIVSENSE antaranya:

  • Driver Attention Alert (DAA)
  • Adaptive Front-Lightning System (AFS)
  • High Beam Control (HBC)
  • Blind Spot Monitoring (BSM)
  • Rear Cross Traffic Alert (RCTA)
  • Front & Rear Brake Support (SBS)
  • Mazda Radar Cruise Control (MRCC)

Orang ramai boleh memiliki Mazda 3 1.5L (liftback dan sedan) dari RM139,620.

  • Mazda3 1.5L – RM139,620
  • Mazda3 2.0L High – RM150,059
  • Mazda3 2.0 High Plus – RM160,059

Setiap pendaftaran model baharu dari 1 Januari 2019 akan mendapat Waranti 5 Tahun dan Servis Penyelenggaraan 5 Tahun percuma (kecuali Mazda BT-50).

 

Malaysia merekodkan 281,527 kemalangan bagi tempoh enam bulan pertama tahun ini menurut Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman.

Angka tersebut sekaligus menandakan peningkatan sebanyak 2.5 peratus berbanding tahun lalu – 274, 556.

Selangor muncul sebagai negeri penyumbang tertinggi kes kemalangan dengan 83,607 diikuti Johor 41,161 dan Kuala Lumpur dengan 36,288.

Menurut Pengarah JSPT Bukit Aman, Datuk Azisman Alias, Selangor dan Johor turut muncul sebagai negeri penyumbang tertinggi kes kemalangan maut dengan 482 kematian diikuti Perak dengan 302 kematian.

Sementara itu, penunggang motosikal kekal sebagai mangsa utama kemalangan maut dengan 1,984 kematian dicatatkan diikuti pemandu kereta, 580 kematian dan pejalan kali, 220 kematian.

(SUMBER: Bernama)

Menteri Pembangunan Usahawan, Redzuan Yusof berkata Bahrain telah meluahkan minat untuk mengimport Proton X70.

Perkara itu disampaikan kepadanya ketika dia berkunjung ke negara tersebut dan telah pun menyampaikan hasrat Bahrain kepada PROTON.

Sementara itu, PROTON sebelum ini telah pun mendedahkan bahawa dua negara jiran, Thailand dan Indonesia bakal menjadi destinasi eksport sulung bagi Proton X70.

Dalam perkembangan lain, Redzuan menjelaskan bahawa sebarang keputusan mengenai pembinaan kereta nasional ketiga terletak di tangan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Menurut laporan FMT, Redzuan menjelaskan bahawa pendirian Perdana Menteri cukup jelas dengan model prototaip akan siap menjelang 2020.

Sebelum ini, dilaporkan bahawa terdapat dua pengeluar kereta telah disenarai pendek bagi projek pembinaan kereta nasional ketiga.

(SUMBER: FMT)

Demam MotoGP kembali di Malaysia dengan Litar Antarabangsa Sepang (SIC) sekali lagi menerima kunjungan saingan MotoGP buat kali ke-20 pada 1 hingga 3 November ini.

Sempena dengan ulangtahun ke-20 MotoGP di Malaysia, SIC berazam untuk memberikan pengalaman terbaik kepada orang ramai dan pelumba yang bakal bertandang ke Sepang nanti.

Litar sepanjang 5.543 kilometer itu – yang lahir daripada buah fikiran Perdana Menteri,Tun Dr Mahathir Mohamad pada tahun 1999 – kini telah pun menjadi antara tumpuan utama bagi sukan permotoran di rantau Asia Tenggara.

Litar Sepang berjaya melahirkan ramai pelumba tempatan bertaraf dunia bermula dengan Shahrol Yuzy, Zulfahmi Khairuddin, Adam Noordin dan Azlan Shah Kamaruzaman.

Jumlah pengunjung yang hadir turut menampakkan peningkatan mendadak sekaligus menyaksikan edisi MotoGP di Sepang tahun lalu merekodkan kunjungan lebih 169,827 penonton!

Acara tahun ini dijangka lebih hebat tatkala selaras dengan sambutan ulangtahun ke-70 MotoGP.

Pengerusi SIC, Tan Sri Azman Yahya menyifatkan pusingan MotoGP di Sepang tahun ini akan mengukir sejarah baharu.

“SIC amat berbesar hati kerana dapat menjadi saksi kepada sambutan ulangtahun ke-20 GP Malaysia dan ulangtahun ke-70 MotoGP.

“Kami telah bekerja keras selama 20 tahun ini bagi memastikan kualiti GP Malaysia berada di tahap tertinggi dan anugerah GP Terbaik bagi tahun 2012 dan 2017 merupakan bukti komitmen kami,” jelasnya.

Pada masa sama, tahun ini juga menyaksikan Shell kekal menjadi penaja utama GP Malaysia buat kali ke-10.

“Kami berbesar hati kerana mendapat penaja yang setiap seperti Shell yang telah bersama kami sejak 2009. Pelbagai kejayaan telah kami capai bersama-sama,” tambah Tan Sri Azman.

Terdahulu, SIC dan Shell Malaysia mengumumkan pelbagai aktiviti menarik menanti peminat MotoGP antaranya MalaysianGP Superfan Contest dengan pemenang akan mendapat dua tiket menyaksikan Shell Malaysia MotoGP di Sepang dengan pengalaman belakang tabir eksklusif!

Sementara itu, promosi Shell Biker Chop Chop yang telah pun berjalan sejak Jun lalu hingga Ogos menawarkan peluang untuk membeli tiket MotoGP Shell Hillstand dengan harga diskaun termasuk peluang untuk memenangi cenderamata rasmi Ducati. Untuk melayakan diri, orang ramai hanya perlu mengumpul setem digital menerusi aplikasi WeChat dengan membeli Shell Advance AX5, AX7 atau Ultra atau mengisi minyak bernilai RM6 ke atas dalam satu resit.

Bagi mereka yang tinggal di luar Kuala Lumpur, terutamanya di Kuantan, Pahang, Shell Malaysia bakal membawakan sesi siaran langsung MotoGP! Ikuti perkembangan lanjut di laman sosial Shell.

Menurut Tan Sri Azman lagi, harga tiket tahun ini kekal seperti tahun lalu bagaimanapun, terdapat cukai hiburan sebanyak 25 peratus dikenakan oleh kerajaan pusat.

“Saya mengesyorkan agar orang ramai untuk cepat mendapatkan tiket sebelum habis,” tambahnya.

Tiket boleh didapati di www.sepangcircuit.com.

Kemalangan maut yang menimpa Carlin Dunne ketika perlumbaan Pikes Peak International Hill Climb (PPIHC) memberi kesan yang mendalam terhadap sukan itu dan peminat jentera dua roda di seluruh dunia.

Kini peminat jentera dua roda bakal menerima satu lagi tamparan apabila dikhabarkan perlumbaan melibatkan motosikal di Pikes Peak akan diharamkan pada edisi seterusnya.

Menurut laporan Colorado Gazette, Pengarah Eksekutif perlumbaan PPIHC, Megan Leatham dalam e-melnya berkata, “Saya berasakan ini adalah petanda bahawa berakhirnya kategori motosikal di Pikes Peak.”

Sementara itu, orang ramai masih mempersoalkan pihak berwajib yang telah memutuskan kematian Dunne berpunca daripada insiden ‘high sided’. Rata-rata menyoal bagaimana keputusan tersebut di buat dalam masa singkat?

Persoalan tersebut mungkin timbul kerana Dunne merupakan ikon dan idola di medan Pikes Peak. Bagaimanapun, tidak dinafikan ramai pihak mendakwa pihak PPIHC terlalu cepat membuat rumusan kemalangan maut tersebut kerana bimbang terpalit dengan unsur negatif.

Apa yang lebih memeranjatkan, pasukan Dunne sendiri terpaksa menunggu masa yang lama sebelum dimaklumkan mengenai apa yang telah menimpa pelumba mereka.

Sementara itu, pengurus Pikes Peak America Mountain, Jack Glavan turut menanti laporan oleh US Forest Service kerana dia masih tidak berpuas hati dengan rumusan sedia ada sebelum membuat keputusan sama ada Pikes Peak selamat untuk penunggang motosikal pada masa akan datang.

Pengembaraan Modenas Dominar ‘Explore the Unexplored’ akhirnya sampai ke penghujung yang menyaksikan 16 pemilik Dominar 400 memulakan perjalanan dari Juru, Pulau Pinang menuju ke Rimba Valley Motocamp, Janda Baik.

Pengembaraan kali ini menyaksikan konvoi menempuh lebih 500km dengan menyelusuri Juru, Simpang Pulai, Cameron Highlands, Sungai Koyan sebelum berhenti di Rimba Valley Motocamp di Janda Baik yang merupakan destinasi perhentian terakhir.

Perjalanan bermula seawal 6.30 pagi hari Sabtu di Restoran Nasi Kandar Pelita, Juru Auto City, Prai yang diselia oleh dua marshall, Wahid Ooi dan Sep Irran bagi memastikan konvoi bergerak lancar.

Konvoi kemudiannya berhenti di Simpang Pulai untuk sesi isi minyak dan menarik nafas sebelum menyambung perjalanan menuju ke Kafe Banjaran untuk sesi bergambar.

Sejurus selepas itu, konvoi dibawa merentasi terowong ala ‘Monaco’ sebelum konvoi dilepaskan buat sementara waktu agar mereka dapat mencari ilham dan pemandangan terbaik untuk sesi ‘motography’agar dapat dikongsikan di sosial media bersama pemilik Dominar seluruh dunia.

Konvoi kemudiannya bertemu di Ringlet dan meneruskan perjalanan melalui Pos Betau dan Sungai Koyan yang merupakan syurga bagi peminat jentera dua roda.

Peserta turut menyaksikan beberapa jentera kapcai sedang beraksi ala CubPrix ketika melalui laluan yang berlatarbelakangkan Empangan Hidroelektrik Ulu Jerai itu.

Konvoi kemudiannya berdepan situasi ‘sesat terkawal’ apabila GPS membawa mereka melalui beberapa laluan yang tiada dalam perancangan namun masih menyajikan pengalaman menarik kepada peserta terlibat.

Pengembaraan Modenas Dominar akhirnya menamatkan perjalanan lebih 500km di Rimba Valley Motocamp, Janda Baik yang merupakan tuan rumah Rimba Raid 2019 tahun ini!

Datuk Kapten Nik Huzlan Nik Hussain

Selepas bermalam sambil ditemani air sungai yang seakan menyuntik ketenangan setelah seharian di atas jalan raya, peserta kemudiannya diberi peluang untuk menimba pengalaman menempuh tunggangan ‘off-road’ keesokan harinya dengan tunjuk ajar Datuk Kapten Nik Huzlan Nik Hussain (gambar), pemilik Rimba Valley Motocamp.

Rata-rata peserta teruja kerana diberi peluang tersebut yang boleh dianggap tidak ternilai apatah lagi dapat menguji jentera Dominar di atas permukaan berbeza.

Menariknya, meskipun dengan penggunaan tayar ‘street’ setiap peserta berjaya menempuh perjalanan naik turun bukit tanpa seorang pun yang jatuh! “Terima kasih Kapten Nik!” merupakan perkataan yang diutarakan setiap peserta sebaik selepas sesi ‘off-road’.

 

Sebaik selesai, masing-masing terus terjun ke dalam sungai sekaligus menandakan pengakhiran kepada pengembaraan penuh epik edisi terakhir Modenas Dominar ‘Explore the Unexplored’.

 

Arkib

Ikuti Kami di Facebook

Ikuti Kami di YouTube