Bikesrepublic

PDRM

Seorang remaja yang ditahan ketika berlumba dengan sekumpulan penunggang motosikal di Gunung Keriang, Kedah, mengaku pernah dikenakan tujuh saman dua tahun lalu.

Namun begitu, pelajar tingkatan empat itu masih tidak serik untuk menunggang motosikal secara berbahaya dan terbabit dengan lumba haram.

Dalam Op Samseng Jalanan oleh Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Setar itu, remaja 16 tahun berkenaan dikenakan saman untuk beberapa kesalahan termasuk tiada lesen memandu.

Selain remaja itu, operasi turut memeriksa 77 motosikal dan 30 kereta di sekitar Muzium Padi dan Gunung Keriang.

Terdahulu, Inspektor Mohd Hilmi Sauti dan Inspektor Jasmizar Jamiran mengetuai pasukannya melakukan intipan selama 30 minit terhadap kegiatan lumba haram itu yang turut disaksikan ‘penonton’.

Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Ahmad Shukri Mat Akhir berkata, sejumlah 126 saman dikeluarkan menerusi operasi itu atas kesalahan yang termasuk tiada lesen, cukai tamat tempoh dan penunggang bawah umur.

“Selain Muzium Padi dan Gunung Keriang, kita turut mengenal pasti beberapa lokasi lagi yang menjadi tumpuan lumba haram termasuk Jalan Pegawai dan Lebuhraya Darulaman.

“Kita kerap melakukan operasi di beberapa kawasan itu namun mereka ini tidak serik untuk terbabit dalam aktiviti tidak sihat,” katanya ketika ditemui malam tadi.

Ahmad Shukri berkata, sebanyak 13 motosikal disita kerana kesalahan ubah suai, cukai jalan tamat tempoh, tidak mempunyai cermin sisi dan lain-lain.

Katanya, mereka yang ditahan berusia antara 16 hingga 30-an yang menjadi penunggang, pembonceng dan penonton.

Beliau menasihati ibu bapa agar mengawasi anak masing-masing supaya tidak terjebak dengan aktiviti tidak sihat dan melanggar peraturan.

Tindakan sekumpulan remaja menunggang motosikal secara berbahaya sewaktu berkonvoi untuk bersiar-siar di Pantai Sura, Dungun menerima padah apabila ditahan polis pada kelmarin.

Mereka diekori sepasukan polis sejauh kira-kira 29 kilometer dari Kampung Jambu Bongkok di sini sebelum ditahan di Jalan Pantai Sura, Dungun.

Ketua Polis Daerah Marang, Deputi Superintendan Mohd. Zain Mat Dris berkata, sembilan remaja lelaki yang berkonvoi itu dikesan melakukan aksi berbahaya oleh sepasukan polis yang sedang melaksanakan Op. Samseng Jalan di Jalan Kuala Terengganu – Kuantan di sini.

“Mereka didapati bersaing sesama sendiri sambil melakukan aksi zig zag dan ‘superman’ dengan motosikal masing-masing.

“Ia yang jelas membahayakan bukan sahaja keselamatan diri sendiri malah pengguna jalan raya lain,” katanya di sini hari ini.

Mohd. Zain berkata, kesemua remaja bermotosikal berkenaan telah diekori sebelum ditahan sewaktu mereka berhenti di sebuah stesen minyak di Jalan Pantai Sura.

Tambah beliau, sembilan remaja telah dibawa bersama motosikal masing-masing ke Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah Marang di sini untuk tindakan lanjut.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang memperuntukkan hukuman denda antara RM5,000 dan RM15,000 dan penjara maksimum lima tahun serta lesen memandu digantung bagi tempoh sama jika sabit kesalahan.

Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) sedang mempertimbangkan hukuman yang lebih berat terhadap pelumba motosikal haram atau ‘mat rempit’ susulan kedegilan golongan itu yang suka menjadikan jalan raya sebagai litar lumba sehingga menyebabkan kematian.

Menurut Timbalan Ketua Pengarah (Perancangan dan Operasi) JPJ Aedy Fadly Ramli perkara tersebut akan diputuskan dalam masa terdekat.

“Kita telah mendapat arahan daripada pihak Kementerian Pengangkutan untuk meneliti semula dan memperketatkan tindakan-tindakan ke atas penunggang yang melakukan kesalahan membahayakan keselamatan orang awam di jalan raya.

“Kalau cerita pasal ‘mat rempit’ memang sekarang ini isu yang sangat hangat, jadi JPJ sedang meneliti dan kita akan ambil tindakan dan kita akan maklumkan dalam masa terdekat,” katanya selepas hadir meninjau Ops Lejang Fasa 1 di sini hari ini.

Beliau berkata ini bertujuan memastikan kumpulan ‘mat rempit’ ini tidak sewenang-wenangnya melakukan kesalahan undang-undang ketika di atas jalan raya.

Selain itu pihak JPJ juga mengalu-alukan maklumat daripada orang ramai yang tahu kawasan-kawasan yang sering menjadi tumpuan kumpulan tersebut untuk melakukan aktiviti lumba haram.

“Kita minta kepada orang ramai untuk maklumkan kepada kita melalui saluran aduan trafik.

“Kita tahu ada kawasan-kawasan panas tertentu dan memang kita tengah pantau.

“JPJ dan PDRM sedang memerhatikan mereka dan kita akan ambil tindakan,” katanya lagi.

Menurutnya, buat masa ini kesalahan-kesalahan utama yang masih dikesan dalam kalangan penunggang motosikal termasuk tiada lesen memandu dan juga cukai jalan tamat tempoh.

Pihak JPJ berkata ia tidak akan sama sekali berkompromi dengan kesalahan tersebut malah akan memastikan denda maksimum akan dikenakan terhadap pelakunya.

Dalam pada itu, JPJ juga memberi amaran kepada semua penunggang motosikal berkuasa tinggi yang sering menjadikan laluan lebuh raya Karak sebagai litar lumba hari minggu dan bakal berdepan dengan tindakan undang-undang.

Jelasnya, JPJ akan terus memastikan laluan tersebut selamat digunakan oleh pengguna jalan raya yang lain daripada sebarang masalah yang mungkin ditimbulkan oleh kumpulan tersebut.

Ops Lejang Fasa 1 ini akan diteruskan ke seluruh negara bagi mengesan dan mengambil tindakan khusus kepada penunggang motosikal di negara ini.

Dalam operasi yang dijalankan di sepanjang laluan Gombak menghala Bentong hari ini, JPJ telah memeriksa lebih 3,000 buah motosikal dengan hampir 800 daripadanya telah dikenakan tindakan saman dan sita atas pelbagai kesalahan.

“Kesalahan paling tinggi hari ini adalah tidak memiliki lesen memandu dan tidak memilik cukai jalan yang sah.

“Ini kesalahan utama yang tidak sepatutnya berlaku.

“JPJ akan memperketatkan kaedah dan juga tindakan bagi penunggang-penunggang motosikal yang melakukan kesalahan jalan raya dan kita akan bekerjasama dengan agensi penguatkuasa yang lain,” katanya kepada media.

Selain itu sejak 2018 hingga Jun 2022, sebanyak 3.7 juta motosikal telah diperiksa di mana 1.3 juta motosikal telah diambil tindakan.

Antara kesalahan tertinggi yang direkodkan adalah tiada Lesen Memandu (471,665 kesalahan), LKM tamat tempoh (313,174 kesalahan) dan tiada perlindungan insuran (299,772 kesalahan).

Belum habis isu Haqiem Stopa dijemput untuk memberi ceramah motivasi di sekolah, timbul pula isu tular lagi, dengan tersebarnya gambar menunjukkan sekeping kertas saman yang menunjukkan kesalahan memandu tanpa lesen.

Haqiem sudah pun mengaku kesilapan tersebut dan bersedia menanggung akibatnya.

Dia juga menjelaskan bahawa dia disaman kerana tiada lesen memandu kereta, bukan tiada lesen motosikal.

“Selesai makan malam, saya dan pemandu peribadi terus bergerak untuk pulang ke pejabat saya di Sungai Buloh.

“Kebetulan pemandu peribadi saya tidak larat, jadi saya pandu kereta sendiri namun ditahan polis kira-kira pukul 11 malam ketika melalui satu sekatan jalan raya di ibu kota,” jelasnya.

Setelah gambar kertas saman itu tular, Haqiem telah tampil membuat laporan polis kerana tertera nama penuh dan alamatnya di kertas itu.

Katanya, gambar dan maklumat peribadi tidak sepatutnya dihebahkan kerana ianya melibatkan privasi.

Dalam pada itu, orang ramai turut menyokong tindakan yang dilakukan oleh Haqiem dengan membuat laporan polis dan berharap orang ramai juga tidak lagi sesuka hati mendedahkan maklumat peribadi orang lain.

“Bagus lah Haqiem buat laporan, sebab netizen kita kalau bab dedah dan sebar maklumat orang ni memang cepat.

“Cuba la fikir kalau terkena dekat batang hidung sendiri, pasti malu,” ujar Faizul Jo.

“Buat laporan polis satu tindakan bijak, jangan buat tindakan sesuka hati sudah lah.

“Kalau bab dedah maklumat untuk buatkan orang lain malu itu memang tugas nombor satu netizen kita,” jelas Mat Luq Mache.

Polis telah mengesahkan iklan promosi tawaran saman hingga 20 Julai yang tersebar melalui aplikasi WhatsApp adalah palsu.

Setiausaha Polis, Noorsiah Mohd Saaduddin berkata, iklan itu yang mempromosikan tawaran 50% diskaun saman PDRM dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) turut memaparkan nombor individu yang boleh dihubungi bagi mendapatkan diskaun tersebut.

“Siasatan sedang dijalankan bagi mengesan individu yang bertanggungjawab dalam menyebarkan berita dan iklan palsu berkenaan.

“Orang ramai yang menerima iklan promosi tersebut diminta tidak terpengaruh atau berhubung dengan penama yang dinyatakan,” katanya dalam kenyataan.

Beliau turut menasihatkan orang ramai supaya menyemak kesahihan berita, terutama mengenai tawaran pengurangan saman melalui saluran media rasmi PDRM bagi mengelakkan diri menjadi mangsa penipuan.

Polis tidak menolak kemungkinan kemalangan melibatkan beberapa buah motosikal di Lebuh Raya Tun Dr. Lim Choong Eu, yang mengorbankan empat nyawa mempunyai kaitan dengan aktiviti lumba haram.

Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Sophian Santong berkata, Bilik Gerakan Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Timur Laut berkata, setakat ini tujuh mangsa dikenal pasti terlibat dalam kemalangan terbabit dengan tiga maut di tempat kejadian manakala seorang lagi meninggal dunia di Hospital Pulau Pinang (HPP).

Jelas beliau, seramai tiga lagi mangsa masih menerima rawatan di HPP iaitu seorang lelaki yang berada di Zon Merah manakala dua lagi dirawat di Zon Kuning.

“Siasatan awal mendapati kemalangan yang berlaku kira-kira pukul 4 pagi itu melibatkan beberapa buah motosikal disyaki terlibat dalam aktiviti ‘lumba haram’.

“Semasa di lokasi kejadian dipercayai beberapa penunggang motosikal telah hilang kawalan dan merempuh antara satu sama lain.

“Dalam kejadian tersebut, dua buah kereta jenis Perodua Myvi dan Proton Waja turut dirempuh dari arah belakang oleh kumpulan penunggang motosikal berkenaan,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Menurut Soffian, sebelum kejadian, pihak polis dari Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Ibu pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pulau Pinang dan pasukan trafik dari Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik IPD Timur Laut telah membuat rondaan awal sebagai tindakan pencegahan aktiviti lumba haram tersebut.

“Perancangan untuk menangkap individu-individu yang terlibat dalam lumba haram tersebut juga telah diatur.

“Pihak PDRM menasihati orang ramai tidak melibatkan diri dalam aktiviti lumba haram. Ini bukan sahaja boleh membahayakan nyawa sendiri malah keselamatan pengguna jalan raya lain,” tambahnya.

Jelas beliau, kes tersebut akan disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. 

Dua penunggang motosikal berkuasa tinggi disaman ketika Ops Khas Motosikal (HRAA) 2022 Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) setelah didapati tidak memiliki lesen kelas B (penuh).

Pengarah JPJ negeri, Adenan Md Isa berkata, dalam operasi tersebut, seorang lelaki berusia dalam lingkungan 30-an ditahan bersama isteri semasa dalam perjalanan menikmati makan malam di George Town dari Sungai Petani, Kedah.

“Selain itu, seorang lagi penunggang motosikal berkuasa tinggi berusia dalam lingkungan 20-an dari Kuala Ketil menuju ke tempat kerjanya di kawasan pulau turut ditahan atas kesalahan sama,” katanya semasa operasi yang dijalankan bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK).

Mengulas lanjut beliau berkata, sepanjang empat hari operasi itu dijalankan, sebanyak 4,902 kenderaan telah diperiksa manakala 1,005 saman meliputi pelbagai kesalahan telah dikeluarkan.

Pemandu BMW 330E yang didakwa melarikan diri selepas mengakibatkan kemalangan membabitkan bayi empat bulan pada Isnin sudah tampil memberi keterangan.

Ketua Polis Muallim Hasni Mohd Nasir berkata, pemandu berusia 30 tahun itu tampil membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gombak semalam dan diminta hadir ke IPD Muallim bagi membantu siasatan kes.

“Lelaki itu hadir ke IPD Muallim pada 10 malam tadi (Selasa) untuk direkod keterangan. Kes kini disiasat bawah Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya, menurut Sinar Harian.

Katanya, dalam kejadian di KM385.6 Lebuhraya Utara-Selatan arah selatan dekat Tanjung Malim pada kira-kira 7.30 malam itu, sepasang suami isteri yang menaiki Proton Inspira cedera, sementara bayi mereka parah.

Bagaimanapun, pemandu BMW terbabit tidak mengalami sebarang kecederaan.

Hasni berkata, siasatan awal mendapati kemalangan berlaku apabila BMW tersebut secara tiba-tiba masuk di hadapan laluan Proton Inspira dari lorong tengah ke lorong kanan.

“Keadaan itu menyebabkan pemandu Proton Inspira hilang kawalan dan terlanggar bahagian sisi belakang kenderaan BMW sebelum terbabas sehingga merempuh besi pembahagi jalan,” katanya.

Pemandu Proton Inspira berusia 30 tahun itu mengalami luka di bahagian tangan kanan sementara isterinya retak pergelangan kaki kiri.

Bayi lelaki mereka berusia empat bulan pula patah tulang paha dan pinggul serta mengalami pendarahan di otak.

Seorang lagi penumpang, iaitu lelaki berusia 20 tahun, tidak mengalami sebarang kecederaan.

Kejadian itu tular di media sosial sejak semalam setelah seorang wanita mendakwa pemandu BMW itu melarikan diri selepas menyebabkan kenderaan dinaikinya terbabas.

Wanita yang dikenali dengan nama Natasya Nadia itu memaklumkan bayinya, Aqasha Alhaq, tercampak ke tengah jalan akibat kemalangan tersebut.

Seorang lelaki telah cuba untuk menyogok seorang anggota polis dengan wang tunai RM200 dan akibatnya telah diberkas di Kemaman.

Dia telah cuba memberi rasuah itu sebagai dorongan melepaskan diri daripada pemeriksaan.

Suspek berusia 41 tahun yang berasal dari Pekan, Pahang tersebut didakwa melakukan perbuatan tersebut pada pukul 4.10 petang.

Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintendan Hanyan Ramlan berkata, sebelum kejadian, lelaki telah ditahan seorang anggota polis berpangkat Lans Koperal di lokasi kejadian.

Beliau memberitahu, pemeriksaan itu dilakukan setelah suspek kelihatan dalam keadaan mencurigakan bersama sebuah motosikal Honda Dash 125.

“Dia gagal mengemukakan lesen memandu dan cukai jalan motosikal tersebut apabila diminta anggota polis terbabit.

“Pemeriksaan menerusi dokumen pengenalan dirinya pula mendapati lelaki itu memiliki rekod jenayah lampau berkaitan dadah,” katanya.

Hanyan berkata, sewaktu hendak dibawa untuk menjalani ujian urin, suspek telah menghulurkan wang tunai RM200 dipercayai sebagai rasuah untuk menyelesaikan kes.

Cemburu terhadap hubungan bekas isteri dengan salah seorang pemilik motosikal disyaki punca  suspek bertindak membakar motosikal milik mangsa yang diparkir di bawah Blok G, PPR Kampung Muhibbah, Bukit Jalil.

Tindakan membakar salah sebuah motosikal itu menyebabkan 34 buah motosikal pelbagai jenis yang berada di lokasi turut hangus terbakar. 

Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Muhammad Idzam Jaafar berkata, bertindak atas maklumat, lebih kurang pukul 2.30 pagi, sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah (D7) daerah telah membuat risikan dan tangkapan ke atas tiga lelaki tempatan. 

“Kesemua suspek yang berusia antara 31 hingga 43 tahun diberkas di kawasan perumahan PPR Kampung Muhibbah, Bukit Jalil, di sini. 

“Semakan mendapati kesemua suspek memiliki beberapa rekod lampau berkaitan kes jenayah dan kes dadah,” ujarnya dalam kenyataan sebentar tadi. 

Jelas beliau, reman ke atas suspek telah dibenarkan selama enam hari bermula hari ini sehingga 12 Julai bagi membantu siasatan dibawah Seksyen 435 Kanun Keseksaan.

Kementerian Wilayah Persekutuan bersama Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan unit siasatan polis trafik Kuala Lumpur kini dalam perbincangan untuk menentukan kebolehlaksanaan menggunakan kamera lalulintas sekitar bandar untuk menyaman pemandu yang melakukan kesalahan.

Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Jalaludin Alias ​​berkata kementerian akan membincangkan perkara ini dengan Datuk Bandar Kuala Lumpur Datuk Seri Mahadi Che Ngah mengenai idea itu, sambil menambah datuk bandar telah dimaklumkan mengenai menaik taraf semua kamera trafik bandar raya di Kuala Lumpur.

“Kami akan berbincang dengan polis trafik KL serta penasihat undang-undang kami dan pejabat Peguam Negara untuk menyemak isu kesahihan mengeluarkan saman trafik menggunakan bukti yang diambil daripada imej CCTV,” katanya.

“Kamera kami boleh menangkap imej masa nyata dengan tepat. Oleh itu, kami berharap kami boleh mengeluarkan saman menggunakan imej tersebut kepada peraturan lalu lintas yang melanggar peraturan tersebut. Kami percaya ini akan mendidik mereka yang melanggar peraturan jalan raya secara berterusan dan membantu mengurangkan kesesakan,” tambah Jalaludin.

Jalaludin berkata kamera itu mempunyai ciri-ciri untuk merakam aktiviti haram seperti parkir haram, parkir di laluan kuning dan lorong bas termasuk penjaja yang beroperasi di kawasan yang tidak dibenarkan.

“Sesetengahnya mungkin membawa isu itu kepada mahkamah apabila kami memanggil mereka menggunakan rakaman ini, jadi sebab itu kami perlu menyelesaikan isu undang-undang sebelum melaksanakannya,” katanya.

Jalaludin bercakap kepada pemberita di Jalan Istana pagi ini selepas operasi trafik bersepadu untuk menahan kenderaan berat melebihi 7.5 tan daripada memasuki pusat bandar dari 6.30 pagi hingga 9.30 pagi dan 4.30 petang hingga 7.30 malam setiap hari.

Ini adalah sebahagian daripada pasukan petugas yang ditubuhkan bulan lepas untuk menyelia dan mengkaji aliran trafik di Kuala Lumpur, satu langkah yang bertujuan mengurangkan kesesakan yang semakin teruk di bandar itu.

Pihak polis kini sedang memburu buli jalanan yang memandu Perodua Myvi secara melulu di Jalan Taman Selayang Jaya, Selayang.

Sebuah video kejadian berdurasi 1 minit 14 saat yang telah tular itu menunjukkan kereta tersebut menukar lorong dan membrek secara tiba-tiba berkali-kali.

Segmen # Hebahan Trafik ‼️‼️‼️ PEMANDU MYVI NO. WQX 6397 DICARI 6 Julai 2022 – Tular di media sosial Facebook…

Posted by Jabatan Siasatan Dan Penguatkuasaan Trafik PDRM on Tuesday, 5 July 2022

Ketua polis daerah Gombak Zainal Mohamed Mohamed berkata pihaknya sedang mencari suspek berikutan laporan polis yang dibuat mengenai pemandu itu.

Kes ini sedang disiasat bawah Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan untuk memandu secara melulu dan berbahaya.

Zainal mengujar orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kes ini untuk menghubungi pegawai penyiasat trafik Mohd Shaifuddin Mohd Nor di 017-6645812 atau ibu pejabat polis daerah Gombak di 03-61262222.

Archive

Follow us on Facebook

Follow us on YouTube