Bikesrepublic

kemalangan

Pemandu BMW 330E yang didakwa melarikan diri selepas mengakibatkan kemalangan membabitkan bayi empat bulan pada Isnin sudah tampil memberi keterangan.

Ketua Polis Muallim Hasni Mohd Nasir berkata, pemandu berusia 30 tahun itu tampil membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gombak semalam dan diminta hadir ke IPD Muallim bagi membantu siasatan kes.

“Lelaki itu hadir ke IPD Muallim pada 10 malam tadi (Selasa) untuk direkod keterangan. Kes kini disiasat bawah Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya, menurut Sinar Harian.

Katanya, dalam kejadian di KM385.6 Lebuhraya Utara-Selatan arah selatan dekat Tanjung Malim pada kira-kira 7.30 malam itu, sepasang suami isteri yang menaiki Proton Inspira cedera, sementara bayi mereka parah.

Bagaimanapun, pemandu BMW terbabit tidak mengalami sebarang kecederaan.

Hasni berkata, siasatan awal mendapati kemalangan berlaku apabila BMW tersebut secara tiba-tiba masuk di hadapan laluan Proton Inspira dari lorong tengah ke lorong kanan.

“Keadaan itu menyebabkan pemandu Proton Inspira hilang kawalan dan terlanggar bahagian sisi belakang kenderaan BMW sebelum terbabas sehingga merempuh besi pembahagi jalan,” katanya.

Pemandu Proton Inspira berusia 30 tahun itu mengalami luka di bahagian tangan kanan sementara isterinya retak pergelangan kaki kiri.

Bayi lelaki mereka berusia empat bulan pula patah tulang paha dan pinggul serta mengalami pendarahan di otak.

Seorang lagi penumpang, iaitu lelaki berusia 20 tahun, tidak mengalami sebarang kecederaan.

Kejadian itu tular di media sosial sejak semalam setelah seorang wanita mendakwa pemandu BMW itu melarikan diri selepas menyebabkan kenderaan dinaikinya terbabas.

Wanita yang dikenali dengan nama Natasya Nadia itu memaklumkan bayinya, Aqasha Alhaq, tercampak ke tengah jalan akibat kemalangan tersebut.

Motosikal yang ditunggang seorang peniaga telah merempuh sebuah Perodua Myvi yang membuat pusingan U di Lebuh Alor Gajah-Melaka Tengah-Jasin (AMJ) Melekek, menyebabkan peniaga itu maut. 

Dalam kejadian kira-kira pukul 4.50 petang itu, mangsa Mazlan Mohamed, 57, meninggal dunia di lokasi akibat kecederaan parah di kepala. 

Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintenden Arshad Abu berkata, kejadian berlaku ketika mangsa yang menunggang motosikal jenis Yamaha Y16 dalam perjalanan dari Alor Gajah menghala ke Simpang Ampat. 

“Hasil siasatan, kemalangan dipercayai berlaku ketika Myvi tersebut yang dipandu seorang lelaki warga emas berusia 69 tahun sedang membuat pusingan U ke Simpang Ampat. 

“Mangsa yang menuju arah sama bagaimanapun gagal mengelak kereta berkenaan dan telah merempuh bahagian kiri pintu belakang kenderaan terbabit,” katanya dalam satu kenyataan akhbar dikeluarkan di sini, hari ini.

Tambahnya, akibat rempuhan itu mangsa telah disahkan meninggal dunia di lokasi oleh pegawai perubatan. 

Mengulas lanjut beliau memberitahu, pemeriksaan pegawai penyiasat di lokasi bagaimanapun mendapati kawasan itu adalah dibenarkan untuk membuat pusingan U.

“Mayat mangsa telah dihantar ke Unit Forensik Alor Gajah untuk proses bedah siasat dan setakat ini kes disiasat mengikut Seksyen 4(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

Seorang lelaki telah memandu secara melulu dan berbahaya hingga mengakibatkan kemalangan di Lebuhraya Pasir Gudang, menyebabkannya dipukul tiga individu.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Raub Selamat berkata, dalam kejadian itu, kereta dipandu seorang lelaki bekerja sebagai mekanik yang berusia 24 tahun telah melanggar sebuah motosikal ditunggang seorang lelaki berusia 30-an.

Beliau menjelaskan kejadian ini telah menyebabkan tiga orang lelaki menaiki kereta yang telah menyaksikannya berhenti dan membelasah pemandu yang menyebabkan kemalangan itu.

“Pada masa sama tiga lelaki yang menaiki sebuah kereta berada di belakang kenderaan yang dipandu lelaki terbabit menyaksikan kejadian itu.

“Ketiga-tiga lelaki itu yang berusia antara lingkungan 25 hingga 31 tahun kemudian keluar dari kereta sebelum memukul pemandu kereta tersebut,” katanya.

Tiga lelaki berkenaan dikatakan berang dengan perbuatan pemandu kereta tersebut yang memandu secara berbahaya.

Kata Raub, tiga suspek berkenaan tidak mengenali penunggang motosikal atau pemandu kereta berkenaan.

“Pihak Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Johor Bahru Selatan meminta individu yang terbabit supaya tampil ke IPD berkenaan untuk diambil keterangan.

“Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian tersebut boleh terus menghubungi talian hotline IPD tersebut 07-2182323 atau Pegawai Penyiasat Inspektor S Sivakumaran menerusi talian 019-5127410,” katanya.

Kes kemalangan disiasat mengikut Peraturan 10 Kaedah-Kaedah Lalulintas Jalan 1959 (Peraturan 10 LN 166/59), manakala kes pukul mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan, jika sabit kesalahan boleh dipenjara setahun atau denda RM2,000 atau kedua-duanya.

Seseorang telah merakam kejadian itu dan memuat naiknya di Facebook, di mana video itu telah tular.

Menerusi video terbabit kelihatan tiga lelaki dewasa memukul suspek di tengah jalan Lebuh raya Pasir Gudang, sehingga menyebabkan kesesakan lalu lintas.

Seorang lelaki maut ketika menunggang motosikal selepas motosikalnya dilanggar dari belakang dalam kejadian langgar lari di Kilometer 270 Lebuh Raya Utara Selatan, Arah Selatan dekat Nilai.

Pemangku Ketua Polis Daerah Nilai, Deputi Superintendan Mat Ghani Lateh berkata, kejadian berlaku lebih kurang pukul 2.40 pagi melibatkan sebuah motosikal dengan sebuah kenderaan yang tidak dikenal pasti.

“Motosikal ditunggang oleh seorang lelaki berumur 22 tahun dari Shah Alam, Selangor menuju ke Segamat, Johor dan sampai di tempat kejadian telah dilanggar belakang oleh sebuah kenderaan tidak pasti.

“Akibat kemalangan, penunggang motosikal disahkan meninggal dunia di tempat kejadian manakala kenderaan lain yang terlibat telah melarikan diri dari tempat kejadian. Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987,” katanya dalam sebuah kenyataan.

Pihak polis memohon orang ramai yang menyaksikan kejadian supaya menghubungi pegawai penyiasat Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Nilai, Inspektor Sharveen Raj di talian  011-26176424 bagi membantu siasatan yang masih berterusan.

Akibat sebuah kereta yang membrek secara tiba-tiba, seorang suri rumah maut selepas motosikal berkuasa tinggi yang ditunggang suaminya terbabas akibat mengelak sebuah kereta itu.

“Insiden itu menyebabkan Asmiran mengelak kereta tersebut sebelum motosikal yang ditunggangnya terbabas ke bahu kiri jalan.

“Mangsa dipercayai telah jatuh dari motosikal sebelum mukanya tersembam ke atas permukaan jalan,” kata Ketua Polis Daerah Tanah Merah, Superintendan Wan Zulfikri Wan Othman.

Kejadian berlaku di lampu isyarat di Kilometer 80.5 Jalan Kota Bharu-Machang-Jeli dekat Jabatan Pengangkutan Jalan, Bukit Bunga semalam.

Mangsa, Sharipah Saad, 48, dan suaminya, Asmiran Dahari, 50, dipercayai sedang dalam perjalanan menuju ke acara Terengganu Bike Week di Pantai Batu Burok, Terengganu ketika kejadian jam 11.30 pagi itu.

Siasatan awal mendapati Asmiran yang merupakan pemandu bas membonceng mangsa dengan menunggang motosikal jenis Kawasaki GTR 1400 dari Bayan Lepas, Pulau Pinang menuju ke Kuala Terengganu.

Menurut Wan Zulfikri, pasangan suami isteri itu mengalami kecederaan dan mereka dibawa ke Hospital Jeli sebelum Sharipah disahkan meninggal dunia semasa menerima rawatan di hospital berkenaan kira-kira tiga jam selepas kejadian.

Katanya, siasatan awal turut mendapati, kemalangan tersebut berpunca daripada kegagalan penunggang motosikal berkuasa tinggi itu untuk menjaga jarak pemanduan sehingga menyebabkan hilang kawalan.

Tambahnya, siasatan lanjut masih dijalankan dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. 

Seorang pengawal keselamatan disahkan maut apabila motosikal ditunggangya bergesel dengan sebuah motosikal berkuasa tinggi di Jalan Kuala Terengganu-Kuantan, pada Ahad.

Mangsa, Shahril Samad, 41 yang menunggang motosikal jenis Yamaha Y16ZR telah terlibat kemalangan dengan sebuah motosikal BMW K1600 GT sebelum meninggal dunia sewaktu dirawat di Hospital Dungun.

Menurut Ketua Polis Daerah Dungun, Superitendan Baharudin Abdullah, mangsa sedang dalam perjalanan ke rumah di Kampung Baru Kuala Abang.

Difahamkan, mangsa telah bertembung dengan penunggang motosikal BMW yang sedang dalam perjalanan pulang ke Sabak Bernam, Selangor selepas menghadiri Terengganu Bike Week.

“Penunggang motosikal berkuasa tinggi itu dalam perjalanan pulang ke Sabak Bernam, Selangor selepas menghadiri program perhimpunan permotoran di Kuala Terengganu.

“Impak pergeseran tersebut menyebabkan kedua-kedua mangsa terjatuh dari motosikal masing-masing,” jelasnya.

Bagaimanapun, penunggang motosikal BMW tersebut hanya mengalami cedera ringan di bahagian tangan. – KOSMO

Pelumba Moto2, Pedro Acosta tidak akan beraksi di GP Belanda hujung minggu ini di Litar Assen selepas mengalami kecederaan patah kaki.

Perkara itu disahkan pasukan Red Bull KTM Ajo yang menjelaskan bahawa Acosta mengalami patah tulang femur kiri dan akan menjalani pembedahan pada Rabu.

Menurut laporan, pelumba berusia 18 tahun itu mengalami kecederaan tersebut ketika sesi latihan motocross dan ketika ini telah pun berada di Barcelona untuk jalani pembedahan.

Ketika ini, KTM Ajo tidak memberikan tempoh pelumba Sepanyol itu akan diketepikan namun memandangkan kejuaraan dunia Moto2 akan berehat selama lima minggu selepas GP Belanda sebelum kembali bersambung di Silverstone pada 7 Ogos, jarak waktu tersebut akan memberi peluang pada Acosta untuk kembali pulih.

Acosta ketika ini menghuni kedudukan kelapan dalam kejuaraan dunia Moto2 dan menamatkan saingan minggu lalu di tempat kedua.

Tahun lalu, Acosta menjadi pelumba ‘rookie’ pertama untuk menjuarai Moto3 selepas kali terakhir dilakukan Loris Capirossi.

Mahkamah Majistret Kulai telah menjatuhkan hukuman denda RM2,000 kepada pemandu Ford Ranger yang terlibat dalam kemalangan dengan sebuah Lamborghini dalam insiden yang berlaku Mac lalu.

Pemandu Ford Ranger, seorang wanita berusia 28 tahun telah di denda sebanyak RM2,000 atas kesalahan memandu secara melulu sehingga menyebabkan kemalangan.

Sementara, pengawal peribadi yang merupakan penumpang dalam kereta jenis Lamborghini turut dikenakan denda RM2,000 susulan tindakannya menampar pemandu wanita berkenaan.

Pemandu wanita terbabit akan berdepan penjara sebulan jika gagal membuat bayaran manakala pengawal berusia 44 tahun itu berdepan penjara dua bulan jika gagal membayar denda tersebut.

Insiden kemalangan pada Mac itu turut tular di media sosial yang memaparkan Ford Ranger tersebut dipandu secara melulu sehingga berlakunya kemalangan dengan sebuah Lamborghini berwarna hijau.

Insiden itu turut menyebabkan konvoi beberapa kereta mewah memberhentikan kenderaan di tengah-tengah lebuh raya untuk bersemuka dengan pemandu wanita tersebut. – Utusan Online

Bayangkan senario apabila kita terlibat dalam kemalangan di jalan raya terutamanya apabila dilanggar kenderaan lain.

Jalan penyelesaian paling ideal, si pelaku (yang melanggar) akan menanggung kerosakan dan kecederaan yang dialami mangsa (yang dilanggar) menggunakan perlindungan insurans kenderaan sedia ada.

Tetapi, pernah tak terbayang dilanggar oleh kenderaan yang tiada insurans?

Lebih teruk, yang melanggar enggan membayar satu sen pun malah menuduh yang dilanggar pula sebagai yang bersalah.

*gambar hiasan

Selain perlu menanggung kesakitan kesan daripada kemalangan, yang dilanggar pula perlu mengeluarkan duit sendiri untuk kos rawatan di hospital. Senario yang sangat tidak adil bagi si mangsa.

Sebenarnya, ada langkah yang boleh diambil mangsa sekiranya menjadi di langgar oleh kenderaan tanpa insurans yang enggan bertanggungjawab.

Mangsa boleh membuat tuntuan (claim) dengan Motor Insurers’ Bereau (MIB).

Bagi yang kurang jelas, MIB merupakan badan khas yang bertujuan melindungi pengguna jalan raya yang dilanggar kenderaan tanpa insurans.

Setiap tahun, semua syarikat insurans di Malaysia wajib mencarum ke dalam MIB, caruman itu kemudiannya akan disalurkan sebagai dana kepada pihak yang membuat tuntutan.

Namun, sebelum memfailkan tuntutan dari MIB, mangsa perlu mengambil tahu beberapa perkara terlebih dahulu:

  • tuntutan MIB boleh dilakukan sendiri atau melalui peguam.
  • MIB tidak terima kes langgar lari, mangsa wajib tahu nombor plat kenderaan yang melanggar.
  • tuntutan perlu dibuat dalam tempoh tiga tahun dari tarikh kejadian.
  • sekiranya mahu menyaman pihak yang melanggar, mangsa wajib maklumkan MIB 30 hari sebelum memfailkan saman.
  • MIB HANYA membayar kos perubatan kecederaan SAHAJA
  • jumlah bayaran akan ditentukan MIB sendiri

Sementara itu, berikut dokumen yang perlu disertakan sebelum menyerahkan kepada pihak MIB:

  • maklumat terperinci kejadian
  • laporan polis
  • laporan polis oleh kenderaan yang melanggar (jika ada)
  • laporan perubatan

Dokumen tersebut kemudiannya boleh diserahkan kepada pihak MIB yang beralamat berikut:

Motor Insurers’ Bureau of West Malaysia
Wisma PIAM
No.150-3, 3rd Floor
Jalan Tun Sambanthan, Brickfields
50782 Kuala Lumpur
Tel: 03-2274 7395
Fax: 03-2274 5910           

Sementara itu, tuntutan juga boleh dibuat sekiranya kemalangan tersebut berlaku di Sabah dan Sarawak. – Ask Legal

Kerajaan negeri Perak telah meluluskan pembinaan lebuh raya sepanjang 64 kilometer dari Gopeng ke Kuala Kangsar.

Lebuh raya tersebut akan memintas Terowong Menora di Lebuhraya Utara-Selatan.

Perkara itu disahkan Menteri Besar Perak, Saarani Mohamad yang turut memberitahu projek tersebut telah diluluskan pada April.

Meskipun laluan itu lebih panjang namun penggun jalan raya akan menempuh masa yang lebih singkat kerana lebuh raya tersebut akan mengelak daripada kawasan berbukit sekaligus mengurangkan risiko kemalangan.

Laluan di Terowong Menora sering menjadi tumpuan ekoran kekerapan berlakunya kemalangan di jalan tersebut.

Terbaru, lima pelajar universiti rentung selepas kereta dipandu terbabit kemalangan dengan dua lori berhampiran Kuala Kangsar.

Menurut laporan, pembinaan lebuh raya baharu itu akan menelan belanja RM5.75 bilion dan akan menempatkan tiga lorong utama dan satu laluan khas motosikal. – BERNAMA

Tidak dapat dinafikan pengguna dua roda paling terdedah dengan bahaya di jalan raya.

Jika melanggar orang lain pun sudah cukup untuk nyawa melayang apatah lagi jika dilanggar, risiko untuk terselamat daripada kecelakaan jalan raya amatlah tipis.

Saban minggu ada sahaja kes kemalangan maut babitkan penunggang motosikal yang diterbitkan berita tempatan dengan mangsa dilaporkan sebagai seorang ayah, ibu, suami, isteri dan anak.

Baru-baru ini, Datuk Kapten Nik Huzlan Nik Hussein berkongsi sedikit peringatan kepada pengguna dua roda di Malaysia.

*Datuk Kapten Nik Huzlan Nik Hussein

Tidak perlu diperkenalkan lagi, Datuk Kapten Nik merupakan antara individu penting sewaktu tragedi MH370. Merupakan Ketua Juruterbang untuk syarikat penerbangan negara sebelum bersara, beliau juga merupakan seorang ‘rider’ tegar.

Memiliki pengalaman 50 tahun menunggang motosikal dan pernah memiliki lebih dari 200 buah jentera dua roda pelbagai ‘genre’.

Dalam perkongsian terbaru di akaun Facebook, Datuk Kapten Nik berkongsi beberapa poin penting sebagai peringatan kepada penunggang motosikal di Malaysia untuk menunggang dengan selamat.

  • Sentiasa ada jalan keluar
  • Kurangkan risiko kecederaan dengan memakai ‘riding gear’
  • Tetapi sentiasa beringat memakai ‘riding gear’ bukan menjadikan seseorang itu kebal.
  • Sentiasa menjaga jarak terutamanya menunggang bersama kumpulan yang kurang dikenali.
  • Jika tertinggal dibelakang sewaktu konvoi, TAK PERLU kejar. Kawan yang sebenar akan tunggu di depan.
  • Tak perlu beriya nak berada di depan, tiada trofi menanti.
  • Sentiasa pasang mata terhadap pemandu kereta/lori, kebanyakan pemandu adalah ‘buta’ dan ‘pekak’.
  • Sentiasa berjaga terhadap kenderaan yang bersaiz besar kerana terdapat banyak ‘blind spot’.
  • Berhati-hati di simpang atau pusingan ‘U’, walaupun anda berada di jalan yang betul.
  • Jangan ambil mudah Lampu Hijau, sentiasa berjaga-jaga.
  • Sentiasa periksa keadaan di belakang.
  • Perlahankan jentera sewaktu menghampiri kenderaan lain.
  • Jangan tunggang lebih laju daripada kemampuan untuk berhenti.
  • Berhati-hati di jalan raya utama dengan laluan dua hala.
  • Berjaga-jaga dengan kehadiran penghadang jalan raya yang hanya melindungi kereta tetapi boleh membunuh penunggang motosikal.
  • Lubang di jalan raya yang rata lebih bahaya dari lubang di jalan raya rosak.
  • Tumpahan minyak boleh berlaku di mana-mana sahaja.
  • Kemalangan pada 50km/j sudah cukup untuk membunuh.
  • Tiada adab menunggang sewaktu konvoi boleh membahayakan penunggang lain.
  • Keletihan dan tak cukup tidur adalah ‘silent killer’.
  • Sentiasa berjaga-jaga sepanjang masa.
  • Penyahidratan (tak cukup air) boleh cetuskan rasa ngantuk dan kurangkan tahap kesedaran.

Selain daripada poin penting yang dikongsikan, Kapten Nik turut memberi peringatan bahawa lima tahun pertama menunggang motosikal adalah tempoh yang paling membahayakan.

Pada masa sama, beliau juga mengingatkan bahawa jangan hanya melabur pada helmet yang mahal tetapi juga sertai kursus menunggang motosikal bertauliah.

Perkongsian panjang oleh Kapten Nik hanyalah bertujuan untuk memberi peringatan kepada penunggang motosikal di Malaysia yang sering berdepan bahaya bukan hanya berpunca dari orang lain malah diri sendiri.

“Selama 50 tahun menunggang motosikal, saya telah menyaksikan sendiri beberapa kawan saya kemalangan di depan mata (beberapa daripadanya maut), berada di kawasan kemalangan babitkan kawan-kawan dan mendengar kawan saya maut dalam kemalangan.

“Beberapa kali juga saya berada di rumah mayat menunggu ketibaan ahli keluarga, sesuatu yang saya harap tidak akan berlaku kepada sesiapa pun,” jelasnya dalam perkongsian tersebut.

Seorang pelajar Tingkatan Satu maut setelah motosikal yang ditunggangnya bertembung dengan sebuah lagi motosikal dalam satu kejadian di Kepala Batas, Pulau Pinang, tengah malam tadi.

Mangsa baru berusia 13 tahun sedang dalam perjalanan ke Kepala Batas dari arah Penaga dan cuba memintas kereta yang berada di depan lalu memasuki lorong bertentangan.

Bagaimanapun, terdapat sebuah lagi motosikal datang dari arah bertentangan yang ditunggang pelajar berusia 14 tahun.

Kegagalan memintas kereta tersebut telah menyebabkan kedua-dua motosikal bertembung lalu pelajar berusia 13 tahun itu disahkan meninggal di tempat kejadian manakala seorang lagi alami cedera parah di kaki dan badan.

Menurut Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Mohd Radzi Ahmad, kedua-dua motosikal tersebut adalah milik bapa masing-masing. – BH

Archive

Follow us on Facebook

Follow us on YouTube