Bikesrepublic

kemalangan

Polis telah mengenal pasti pemandu Toyota CH-R yang tular baru-baru ini selepas dirakam terlibat dalam kes langgar lari sebuah motosikal di dua lokasi berbeza.

Perkara itu disahkan Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Asisten Komisioner Dzulkhairi Mukthar yang memaklumkan pihaknya sedang mengesan suspek untuk siasatan lanjut.

Dzulkhai turut menjelaskan terdapat dua laporan polis telah dibuat berhubung kejadian.

“Kejadian pertama membabitkan kes langgar lari di Kilometer 16 Jalan Johor Bahru – Air Hitam dan kes kedua berlaku di Persiaran Ledang, Iskandar Puteri pada 11 April lalu, jam 9.30 malam.

“Satu kertas siasatan dibuka mengikut Seksyen 42 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 iaitu memandu secara melulu dan membahayakan.

“Kes ini masih dalam siasatan lanjut polis,” jelasnya.

Kes Langgar Lari Sebuah suv jenis Toyota C-HR no pendaftaran JTE1827 terlibat 2 kes langgar lari pada 11 April 2022…

Posted by Inforoadblock on Wednesday, 13 April 2022

Sementara itu, dua rakaman video – berdurasi 33saat dan 21 saat – memaparkan pemandu kereta jenis Toyota CH-R tersebut telah melanggar seorang penunggang motosikal dan terus melarikan diri dan dikejar orang awam yang merakam kejadian tersebut. – HM

Pemandu wanita yang sebelum ini dihadapkan ke mahkamah ekoran menyebabkan kematian lapan remaja berbasikal lajak telah dijatuhi hukuman penjara enam tahun bermula hari ini.

Sam Ke Ting, 27, sebelum ini telah pun dibebaskan daripada tuduhan memandu secara melulu namun Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Abu Bakar Katar memutuskan perkara itu setelah pihak pendakwaan berjaya memutuskan kes prima facie di akhir pendakwaan.

Ke Ting uga telah dikenakan denda RM6,000 dan perlu dibayar sekiranya mahu mengelak daripada pertambahan hukuman penjara enam bulan.

Tertuduh juga telah hilang kelayakan lesen memandu selama tiga tahun sebaik tempoh hukuman berakhir.

Menyentuh keputusan pembebasan oleh Mahkamah Majistret sebelum ini, Abu Bakar memaklumkan bahawa mahkamah telah terkhilaf.

““Mahkamah bicara turut terkhilaf apabila menerima pembelaan responden yang tidak mengetahui adanya aktiviti basikal lajak pada malam kejadian sebagai alasan untuk memandu kereta secara berbahaya sehingga mengorbankan mangsa.

“Responden seharusnya memandu kereta dengan lebih berhati-hati dan bukannya memandu laju kerana mengambil kira pencahayaan tidak begitu terang dan jarak penglihatan ke depan terhad,” ujar Abu Bakar.

Sementara itu, KeTing kelihatan tenang sebaik keputusan penjara dan denda dibacakan.

Mahkamah Majistret Johor Bahru sebelum ini memutuskan tertuduh dibebaskan daripada tuduhan berkenaan berkaitan dengan kejadian pada 18 Februari 2017.

Ke Ting, yang ketika itu berusia 22 tahun, didakwa memandu secara melulu di Jalan Lingkaran Dalam lalu menyebabkan kematian lapan penunggang basikal lajak pada pukul 3.20 pagi. – Utusan

Meskipun berusaha keras untuk pulih sepenuhnya sempena aksi pembukaan MotoGP musim 2022 dua minggu lalu di Qatar, Marc Marquez disahkan kembali alami kecederaan susulan kemalangan di Litar Mandalika, baru-baru ini.

Marquez telah disahkan tidak cergas untuk pusingan kedua di Litar Mandalika pada Ahad selepas mengalami ‘highside’ di Turn 7 sewaktu sesi pemanas badan.

Pasukan perubatan kemudiannya mengesahan Marquez alami gegaran di kepala (concussion) sekaligus memaksa pasukan Repsol Honda merehatkan enam kali juara dunia MotoGP itu.

Bagaimanapun, sebaik pulang ke Sepanyol, Marquez akui alami ketidakselesaan di matanya lantas melalui satu pemeriksaan di Hospital Barcelona yang mengesahkan dia kembali alami diplopia selepas mengalami kecederaan sama November lalu.

Namun, pemeriksaan lanjut juga membebaskan pelumba itu daripada sebarang kecederaan serius lain.

Status semasa Marquez ketika ini secara tak langsung menjejaskan persiapan musim ini dengan saingan MotoGP kembali bersambung 3 April ini di Argentina.

Polis Johor akan memanggil 10 pemandu konvoi kereta mewah yang bertindak memberhentikan kenderaan di Kilometer 34 Lebuhraya Utara Selatan, Jumaat lalu.

Perkara itu dimaklumkan Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat yang menjelaskan kesemua individu terlibat dipanggil bagi bertujuan merakam kenyataan susulan insiden yang tular di media sosial baru-baru ini.

Difahamkan, sekumpulan pemilik kereta mewah yang berkonvoi telah bertindak menyekat jalan dan sebuah trak pikap jenis Ford Ranger yang dipandu seorang wanita yang didakwa berada dalam keadaan mabuk.

Wanita berusia 28 tahun tersebut juga telah pun ditahan di perkarangan IPD Kulai pada jam 1 pagi, semalam dan akan direman tiga hari.

Menurut Kamarul, pemandu wanita tersebut turut membuat laporan polis dan mengadu dipukul individu yang sertai konvoi kerta mewah tersebut.

“Seramai 10 individu akan dipanggil untuk memberi kenyataan petang ini berikutan pemeriksaan menerusi kamera litar tertutup (CCTV) di lokasi kejadian mendapati terdapat antara 10 atau lebih individu terbabit dalam insiden kekecohan selain menghalang lalu lintas di lebuh raya berkenaan Jumaat lalu.

“Polis akan membuka tiga kertas siasatan mengikut kesalahan iaitu merusuh, menghalang lalu lintas serta memandu secara melulu,” jelas Kamarul.

Difahamkan, pemandu wanita tersebut telah melanggar sebuah kereta jenis Lamborghini ketika cuba memotong kenderaan konvoi lain.

Kamarul Zaman berkata, siasatan awal mendapati punca insiden tersebut berlaku kerana wanita itu didapati telah panik sebelum berlakunya perlanggaran. – BH

Dua penunggang motosikal disahkan meninggal dunia selepas dirempuh sebuah lori dalam kejadian yang berlaku di Kilometer 92.8 Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) Arah Selatan, petang tadi.

Menurut laporan, kejadian tersebut berlaku sekitar jam 3.30 petang ketika semua mangsa sedang berteduh bawah jambatan ekoran hujan lebat.

Bagaimanapun, mangsa kemudiannya dirempuh lori yang dikatakan hilang kawalan ekoran kerosakan.

Beberapa juga telah tercampak ke longkang berhampiran.

Video kejadian juga tular di media sosial yang memaparkan mangsa sedang nazak sejurus selepas dirempuh lori terbabit.

Sejak kecil, kita sering diajar untuk melihat kiri dan kanan jalan sebelum melintas apatah lagi ketika keluar dari kenderaan.

Nampaknya ada individu yang terlupa nasihat tersebut menyebabkan dia tanpa segan-silu membuka pintu dalam keadaan trafik yang sibuk sehingga menyebabkan kemalangan kecil.

Menurut video yang kini berlegar di media sosial, insiden ini dikatakan berlaku pada 6 Februari 2022 di sebuah jalan di Melaka.

Menerusi rakaman video tersebut, insiden berkenaan jelas sekali berpunca apabila penumpang hadapan sebuah kereta jenis Toyota Vios yang berada di sebelah kanan Perodua Axia tiba-tiba membuka pintu keretanya secara mengejut.

Susulan tindakan cuai penumpang Vios itu, sebuah motosikal yang dinaiki dua wanita terpaksa mengelak sebelum gagal dikawal dan akhirnya merempuh bahagian kanan Axia.

Walaupun impak dari perlanggaran tersebut tidaklah terlalu kuat, kedua-dua wanita berkenaan nyaris tersungkur malah kotak yang dipegang si pembonceng turut terjatuh dan bertaburan di atas jalan raya.

Menerusi ruangan komen di media sosial, rata-rata netizen berpendapat penumpang Vios tersebut cuai malah tidak menggunakan cermin sisi kenderaan sebelum membuka pintu sehingga membahayakan nyawa orang lain.

Malah ramai yang mengarahkan penunggang motosikal dan pemandu Axia terbabit untuk menuntut insurans ke atas Vios tersebut.

Pemandu treler yang sebabkan 10 kematian termasuk sembilan sekeluarga maut dalam tragedi menyayat hati mengaku tidak bersalah ketika dihadapkan ke Mahkamah Majistret Shah Alam, hari ini.

Mohd Rafi Jaafar, 37 tahun, membuat pengakuan tidak bersalah itu ketika pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Nur Faizah Abdul Sani.

Ketika insiden, Mohd Rafi didakwa memandu treler jenis Hanvan secar berbahaya dan menyebabkan kematian sembilan penumpang sebuah kereta termasuk seorang pemandu yang berada dalam sebuah lagi kereta di Kilometer 8.3 Lebuhraya ELITE dari arah Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) menghala ke arah Shah Alam.

Sembilan sekeluarga yang maut adalah Norul Naziah Buyong, 37, dan lapan beradik, Mohd Raid Fathi Abdul Razak, 10 bulan; Puteri Nur Ain Shalwana, 3; Mohd Hidayat Hakimie, 7; Mohd Rokaizat Rezky, 9; Mohd Aizat Syazwan, 10; Puteri Hidayah, 12, Razatul Aliah, 16 dan Mohd Razarul Amin, 17.

Sementara, itu pemandu sebuah lagi kereta yang maut ialah Muhammad Rahimi Rolex, 27 tahun.

Mohd Rafi dituduh mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang membawa hukuman penjara hingga 10 tahun dan denda maksimum RM50,000 jika disabit bersalah. – BH

Malaysia semakin hampir untuk memintas Thailand dengan kadar kemalangan maut motosikal tertinggi dunia.

Menurut statistik oleh Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman, lebih 70.2 peratus daripada sejumlah 2,954 kemalangan maut di Malaysia membabitkan penunggang motosikal dari bulan Januari hingga Ogos tahun ini.

Sementara itu, sejak 2015 pula, sejumlah 26,316 penunggang motosikal dan pembonceng telah terbunuh dengan kadar purata berada di antara 62.7 peratus hingga 67.3 peratus.

Menurut Pengarah Pusat Kejuruteraan Keselamatan Jalan Raya dan Alam Sekitar, Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS), Muhammad Marizwan Abdul Mana, data terbaru oleh PDRM itu ternyata membimbangkan.

“Data terbaru ini ternyata mengejutkan kerana pada awalnya kami jangkakan kemalangan maut motosikal akan mencapai 70 peratus pada 2025,” jelasnya.

Ketika ini, Libya merupakan negara paling membahayakan untuk penunggang motosikal diikuti Thailand di tempat kedua namun sejak 2015, negara jiran itu merekodkan kes kemalangan maut motosikal tertinggi.

Mengikut laporan 2018 oleh WHO, 74 peratus daripada jumlah kemalangan maut 22,491 babitkan penunggang motosikal. – FMT

Berita kemalangan membabitkan sebuah lori muatan berat yang merempuh lima kenderaan telah mengejutkan orang ramai semalam.

Dalam kejadian yang berlaku petang semalam, lori yang dipandu seorang lelaki berusia 25 tahun telah hilang kawalan lalu menghentam lima kenderaan lain di lampu isyarat Jalan Ipoh.

Menurut Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Sarifudin Mohd Salleh, kesemua mangsa terlibat selamat dan hanya mengalami kecederaan ringan termasuk pemandu kereta jenis Perodua Myvi yang remuk dalam insiden tersebut.

Bagaimanapun, dalam perkembangan terbaru, polis mengesahkan bahawa pemandu lori tersebut positif dadah jenis methamphetamine dan amphetamin.

Kes ketika ini sedang disiasat mengikut Sekseyn 44 (1A) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987. – BH

Pelumba remaja Hugo Millán, 14, bertemu maut selepas berlaku kemalangan ketika perlumbaan di Sepanyol semalam.

Mendiang dilanggar setelah terbabas di tengah litar pada pusingan kedua European Talent Cup di MotorLand Aragón Circuit.

Beberapa pelumba berjaya mengelak dari terlanggar Millán, namun Oleg Pawalec yang menunggang motosikal No 5 tidak sempat mengelak, dan melanggarnya terus dari depan.

Millán, yang memulakan perlumbaan pada tempat kedua, baring tidak bergerak ketika pelumba lain berlalu.

Mendiang telah berjaya elakkan diri dari terjatuh pada awalnya, tetapi akhirnya hilang kawalan dan terbabas ketika di tempat kedua.

Millán terlibat dalam kejadian antara beberapa pelumba di Turn 5, dan sesi itu diangkat bendera merah secara serta-merta.

Kenderaan penyelamat tiba di tempat kejadian serta-merta, dan pelumba itu diperiksa atas litar sebelum dibawa ke pusat perubatan litar itu, dan kemudian dibawa pula ke hospital lain dengan menggunakan helikopter.

Meskipun petugas penyelamat cuba sedaya upaya untuk menyelamatkannya, malangnya Millán meninggal akibat kecederaan yang dialami.

Musim ini setakat itu yang paling berjaya dalam FIM CEV Repsol bagi Millán, yang telah beberapa kali mendapat tempat di podium, menunjukkan prestasinya yang konsisten.

Sementara itu, Pawelec tidak mengalami kecederaan teruk dan keluar dari litar dengan sendiri.

Seorang penunggang motosikal, Wong Christine, telah menjadi mangsa kepada insiden kes langgar lari sewaktu menunggang motosikal jenis Yamaha YZF-R15.

Berdasarkan perkongsian di Facebook oleh kenalan Christine, kejadian tersebut berlaku semalam (Rabu) sekitar jam 6 petang di Puchong menghala ke Subang Jaya di bawah jambatan sebelum stesen minyak Shell.

Difahamkan, sebuah kereta telah menukar laluan tanpa memberikan lampu isyarat lalu melanggar mangsa.

Christine meninggal dunia di tempat kejadian.

Rest In Peace Wong Christine ? Please share and circulate ?? 27/1/2021 Wednesday around 6pm‼️ ⚠️Hit and Run happen on…

Posted by Sam Welly on Wednesday, 27 January 2021

Pada masa sama, orang ramai yang menjadi saksi terhadap insiden berkenaan diminta untuk menghubungi kenalan mangsa terutamanya bagi yang mempunyai rakaman ‘dashcam’.

Beberapa motosikal dirakam alami kemalangan susulan permukaan jalan raya licin di Jalan Kuching menghala ke pusat bandar Kuala Lumpur.

Rakaman berdurasi 47 saat itu memaparkan dua buah motosikal hilang kawalan sebelum terjatuh di tengah-tengah jalan raya manakala terdapat beberapa lagi telah pun mengalami nasib sama.

Sementara itu, netizen mempersoal pihak berwajib yang tidak turun padang dan membuat pemeriksaan bagi memastikan kejadian sama tidak berulang.

Rata-rata turut membangkitkan isu ‘minta maaf’ oleh pihak Jabatan Kerja Raya Kuala Langat yang berlaku sewaktu Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Khairy Jamaluddin, kemalangan gara-gara jalan berlubang sewaktu berbasikal.

Archive

Follow us on Facebook

Follow us on YouTube