Bikesrepublic

BM

Juara Superbike Dunia (WorldSBK) enam kali, Jonathan Rea, telah mengumumkan bahawa beliau akan bersara daripada perlumbaan motosikal sepenuh masa pada akhir musim 2025.

“JR” yang berusia 38 tahun dan berasal dari Ireland Utara itu menyiarkan sebuah video di halaman Instagramnya untuk mengumumkan berita tersebut sambil menjelaskan sebab di sebalik keputusannya. Beliau juga membayangkan bahawa beliau akan masih terlibat dalam sukan permotoran namun dalam cara yang berbeza. Memandangkan Rea menyatakan beliau bersara daripada perlumbaan ‘sepenuh masa’, ini mungkin bermakna peranan sebagai pelumba ujian mungkin menantinya.

Rea adalah pelumba WorldSBK yang paling berjaya dalam sejarah setelah memenangi enam kejuaraan berturut-turut antara 2015 dan 2020 untuk Kawasaki, dan memegang rekod dengan 119 kemenangan sepanjang kerjaya WorldSBK beliau. Beliau juga mempunyai jumlah podium terbanyak – sebanyak 264.

Malangnya, dua musim terakhir amat mencabar setelah beliau bertukar ke Yamaha. Rea hanya sekali menjejakkan kaki ke podium pada tahun 2024, sebelum mengalami kecederaan semasa sesi ujian pra-musim tahun ini. Beliau mengalami pelbagai fraktur (patah) pada kaki kirinya dan terlepas tiga pusingan pertama.

“Sudah lama aku memikirkan tentang hari ini dan aku telah memutuskan untuk menarik diri daripada perlumbaan sepenuh masa dan bersara,” kata Rea di media sosial. “Sukan ini adalah segalanya buat aku sejak membesar sebagai kanak-kanak di Ireland Utara yang bermimpi untuk berumba motosikal, sehingga berdiri di tangga teratas Kejuaraan Dunia WorldSBK, memenangi perlumbaan dan kejuaraan dunia.

“Sepanjang kerjaya aku, aku hanya mempunyai satu matlamat, iaitu untuk menang. Mentaliti itu mentakrifkan siapa aku. Aku tidak pernah berumba sekadar untuk mencukupkan bilangan, aku berumba untuk menjadi yang terbaik. Tetapi tiba masanya untuk aku mendengar tubuh badanku, fikiranku, dan yang paling penting, naluriku.

R65,

“Jika aku tidak boleh berlumba untuk menang, maka tiba masanya untuk aku menarik diri. Aku masih mempunyai cinta yang sama terhadap sukan ini seperti hari pertama, sehingga ke hari ini. Aku amat berbangga dengan apa yang telah aku capai sepanjang kerjaya aku yang panjang; enam kejuaraan dunia, lebih daripada 100 kemenangan perlumbaan dan banyak lagi pencapaian lain sepanjang perjalanan ini.

“Ini adalah beberapa rekod yang tidak pernah aku bayangkan boleh terjadi, tetapi bukan rekod, trofi, atau kemenangan perlumbaan yang utama, tetapi orang-orang dan memori yang aku bawa bersama selama-lamanya. Aku mempunyai penghormatan untuk bekerja dengan beberapa pasukan, penaja dan jurutera yang hebat sepanjang kerjaya aku. Kalian semua adalah sebahagian daripada perjalanan ini dan aku amat bersyukur kerana kalian membiarkan aku hidupkan impian aku.”

“Kepada keluarga aku, ibu dan ayah, adik-beradik, terima kasih banyak atas segala pengorbanan kalian pada peringkat awal kerjaya aku. Kepada isteri aku Tatia dan anak-anak kami, Jake dan Tyler, terima kasih banyak kerana menjadi penyokong dan kekuatan aku semasa waktu senang dan susah,” sambung Rea.

“Kepada semua saingan dan pesaing aku sepanjang kerjaya aku, terima kasih kerana membuatkan aku menggali lebih dalam. Aku menjadi pelumba yang lebih baik kerana kalian. Kepada semua peminat aku, terima kasih atas sokongan dan kesetiaan luar biasa kalian. Semua sokongan semasa senang dan susah benar-benar membantu aku dan memberikan aku kerjaya yang aku impikan.

“Walaupun aku menarik diri daripada perlumbaan sepenuh masa, ini bukan selamat tinggal. Aku akan sentiasa menjadi sebahagian daripada sukan ini, cuma dalam cara yang berbeza. Jadi, dari lubuk hati aku, terima kasih untuk segalanya. Ianya merupakan satu perjalanan yang hebat. Jumpa di paddock.”

Gabungan e-Hailing Malaysia (GEM) memberi sokongan penuh dan menyambut baik Rang Undang-Undang (RUU) Pekerja Gig 2025 yang memberi perlindungan serta mengiktiraf peranan 1.2 juta pekerja sektor berkenaan yang dibentang untuk bacaan kali pertama di Dewan Rakyat, semalam.

GEM berkata RUU itu menjadi detik bersejarah apabila buat pertama kali lebih 1.2 juta pekerja gig diiktiraf secara rasmi dalam undang-undang.

Tambahnya, langkah berkenaan membuka lembaran baharu dalam melindungi hak dan kebajikan pekerja, sekali gus mewujudkan ekosistem pekerjaan yang lebih adil, mampan dan inklusif.

Antara fokus yang diketengahkan ialah definisi rasmi pekerja gig yang akan menghapuskan kekaburan status pekerja.

Selain itu, RUU berkenaan turut menjamin pendapatan serta kadar bayaran adil melalui mekanisme perundingan,” katanya.

Fokus lain termasuk penubuhan tribunal penyelesaian pertikaian bagi melindungi pekerja gig daripada eksploitasi.

RUU itu juga memperkenalkan perlindungan sosial mandatori untuk memperkukuh jaringan keselamatan pekerja gig dan keluarga mereka,” katanya.

GEM dalam kenyataan sama turut merakamkan penghargaan kepada Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) yang melaksanakan lebih 37 sesi libat urus bersama semua pihak termasuk pekerja gig, penyedia platform, kesatuan sekerja, agensi kerajaan dan kerajaan negeri.

Katanya, pendekatan inklusif itumencerminkan semangat Malaysia Madani yang menegakkan prinsip keadilan sosial dan keterangkuman.

Selain itu, sebanyak 487 kesatuan, persatuan dan badan bukan kerajaan (NGO) yang mewakili lebih 1.42 juta pekerja turut menyatakan sokongan penuh terhadap pembentangan berkenaan.

Malaysia kini bakal muncul antara 15 negara terawal di dunia yang memberikan definisi jelas kepada pekerja gig,” katanya.

Semalam Harian Metro melaporkan, Rang Undang-Undang (RUU) Pekerja Gig 2025 bagi memberi perlindungan dan mengiktiraf peranan 1.2 juta pekerja sektor berkenaan dibentang untuk bacaan kali pertama di Dewan Rakyat, hari ini.

Menteri Sumber Manusia, Steven Sim ketika membentangkan RUU itu berkata, bacaan kali kedua dan ketiga akan dibuat pada persidangan kali ini.

Polis mengesahkan bahawa anak lelaki seorang bekas Perdana Menteri telah ditahan selepas sejumlah dadah ditemui dalam kereta miliknya di Lebuh Raya Sprint, Kuala Lumpur, semalam.

Ketua Polis Selangor, Datuk Shazeli Kahar, ketika dihubungi mengesahkan tangkapan lelaki berusia lingkungan 20-an itu.

“Ya, saya sahkan (penahanan itu),” katanya tanpa mengulas lanjut ketika dihubungi.

Berdasarkan maklumat, tangkapan itu dibuat ketika operasi pencegahan jenayah bersepadu oleh anggota dan pegawai Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya di sekitar Damansara, dekat sini.

Dalam operasi itu, kereta milik suspek diperiksa dan polis turut menemukan sejumlah kecil heroin bersama beberapa peralatan dipercayai digunakan untuk penyalahgunaan dadah.

Suspek difahamkan turut mempunyai rekod kes lampau berkaitan dadah.

Oleh kerana pihak polis tidak mendedahkan identiti orang yang ditangkap itu, netizen sedang bergiat untuk mencari maklumat siapakah sebenarnya suspek tersebut. Ada juga yang berkata dia ditangkap ketika membawa kereta Ferrari-nya secara berundur pada kelajuan tinggi, dan sebab itulah yang membuatkan polis curiga.

Menunggang BMW R 12 nineT (2025) merupakan satu pengalaman yang menarik pada beberapa tahap. Bukan sahaja disebabkan faktor mekanikal, malah faktor luaran juga. Tambah lagi dengan melayan banyak soalan daripada orang lain. Mungkin soalan daripada anda juga, para pembaca kami.

Apakah BMW R 12 nineT (2025) ini?

Ia bermula pada tahun 2014, apabila BMW Motorrad memperkenalkan R nineT bagi memperingati ulang tahun ke-90 motosikal BMW. Direka bersama oleh BMW Motorrad dan legenda motosikal custom, Roland Sands, R nineT mempunyai rekabentuk moden klasik yang jelas dengan menghubungkannya kepada keturunan “R” Boxer BMW.

Yang pertama dihasilkan ialah R nineT, diikuti oleh beberapa varian berdasarkan platform yang sama: Urban GS, Racer, Scrambler, dan Pure.

Jadi, 10 tahun kemudian, BMW memperkenalkan platform R 12 baharu sebagai kesinambungan legasi R nineT. Mengikut jejak pendahulunya, varian nineT merupakan yang pertama diperkenalkan.

R12 nineT adalah sebuah roadster/standard/naked, berasaskan enjin Boxer 1170cc yang sama, tetapi membawa beberapa ciri baharu. Persamaan dengan model sebelumnya hanya setakat enjin.

Ciri-ciri utama
  • Enjin 1170cc, yang disejukan udara/minyak, berkembar berlawanan mendatar (Boxer), yang menghasilkan kuasa maksimum 109 hp pada 7,000 RPM dan tork puncak 115 Nm pada 6,500 RPM.
  • Sistem ekzos baharu direka dengan peredam krom berkembar.

  • Kuasa enjin disalurkan melalui klac kering dengan camera tunggal, dan kemudian melalui kotak gear enam kelajuan.
  • Fork terbalik Marzocchi 45mm di depan, boleh dilaras untuk prabeban spring, peredaman mampatan, dan peredaman lantunan.

  • Monoshok dengan spring progresif di belakang, boleh dilaras untuk prabeban spring, peredaman mampatan, dan peredaman lantunan.
  • Seperti semua model berenjin Boxer BMW, R 12 nineT menggunakan lengan ayun Paralever sebelah, tetapi kini lebih kukuh.

  • Cakera brek depan 310mm berkembar, dicengkam oleh dua kaliper empat omboh.
  • Satu cakera brek 265mm di bahagian belakang.

  • Brek disokong oleh sistem BMW Motorrad Integral ABS Pro.
  • Rangka keluli tiub baharu.

  • Tangki bahan bakar aluminium.
  • Ketinggian tempat duduk 795mm.

  • Tiga mod menunggang iaitu RAIN, ROAD, dan DYNAMIC.
  • Bantuan elektronik penunggang termasuk Dynamic Engine Brake Control, Dynamic Traction Control, Hill Hold Control.
Pra Tunggangan

Menatapi motosikal ini buat pertama kali, rupanya kelihatan serupa tetapi berbeza. BMW berjaya mengekalkan penampilan R nineT sebelumnya sambil melengkapkan model baharu ini dengan banyak kemaskini.

Setelah diperiksa dengan lebih teliti, kami perhatikan bahawa paip pengambilan udara yang menyerupai belalai siput telah dialihkan. Tempat duduk juga jelas lebih rendah, dengan bahagian belakang motosikal berada lebih rendah di atas roda belakang, memberikan rupa yang agak panjang dan rendah.

Roda motosikal ujian kami adalah tuangan aluminium, berbeza dengan roda jejari dawai dalam gambar rasmi BMW. Roda belakang menarik banyak perhatian, kerana kelihatan seperti shuriken.

Tangki bahan bakar sebahagiannya dicat, sementara bahagian sisinya dibiarkan dalam aluminium digilap. Ya, model R nineT sebelumnya mempunyai ciri ini, tetapi entah bagaimana ia kelihatan lebih cantik pada motosikal baharu ini.

R 12 nineT yang baharu ini merupakan motosikal yang tampan apabila dilihat dari sebarang sudut. Gambar memang tidak dapat menggambarkan kecantikannya dengan sepenuhnya.

Ia dilengkapi dengan meter bulat berkembar sangat cantik yang ada skrin LCD. Skrin ini mungkin kecil, tetapi aksara yang dipaparkan cukup besar untuk mudah dibaca. Menukar data yang dipaparkan dan penetapan dilakukan melalui alat suis pada hendal dan BMW Multi-Controller.

Ulasan tunggang uji

Menghidupkan enjin Boxer ini membuatkannya terhenjut ke satu sisi. Membuka pendikit juga menghasilkan sensasi sedemikian. Inilah sebenarnya cara enjin Boxer berfungsi, yang mengingatkan kami bahawa ia masih ‘hidup’. Sensasi sebegini telah lama hilang sejak pengenalan enjin Boxer “Water Head” (berpenyejuk cecair).

Sistem ekzos baharu ini kedengaran sedikit lebih lembut berbanding model sebelumnya, memandangkan kotak peredam dengan mangkin terletak di bawah kotak gear, yang menggantikan injap pengawal bunyi lama. Namun, dentuman unik enjin Boxer masih cukup kedengaran.

Berduduk di atas motosikal ini terus mengejutkan kami. Dibandingkan berjinjit-jinjit pada motosikal lama, kedua-dua kaki kini menyentuh tanah dengan mudah. Jangkauan ke hendal agak jauh bagi penulis yang bertangan dan berkaki pendek, tetapi masih terasa semula jadi. Hendal yang lebar itu menjadikan jangkauan lebih terbentang ketika membelok pada kelajuan rendah.

Dengan mod ROAD dipilih, kami memasukkan gear pertama – dan ia masuk dengan tepat, termasuk daripada segi bunyi.

Kami melepaskan tuas klac tarikan lembut dan terus bergerak, ‘meluncur’ di atas gelombang tork Boxer.

Maka bermulalah keseronokan menunggang

Dengan serta-merta, jelas bahawa perbincangan tentang kuasa kuda (hp) berbanding tork akan timbul apabila membincangkan motosikal ini. Walaupun kebanyakan orang menganggap angka kuasa kuda sesuatu yang paling penting, penggerak sebenar adalah tork enjin. Torklah yang menggerakkan motosikal (atau mana-mana kenderaan), memecutkannya, dan membina RPM untuk mencapai kuasa kuda maksimum.

Dan inilah masanya anda perlu memberi kredit kepada BMW kerana kekal dengan enjin Boxer. Motosikal ini terus meluru melalui mana-mana gear, sambil ‘bernyanyi’ dengan bunyi Boxer yang tersendiri. Kami tahu, ada yang mungkin mengatakan enjin “Oilhead” ini adalah “berteknologi rendah” berbanding enjin Boxer 1300cc, berpenyejuk cecair dan dilengkapi ShiftCam siri R, tetapi semua tanggapan itu hilang setiap kali kami membuka pendikit. Enjin ini mempunyai karakter.

Tidak lama kemudian, kami mendapati diri kami “meluncur” di Lebuhraya MEX pada kelajuan 140 km/j (dan ke atas) dengan kawalan pelayaran, sementara enjin hanya berdentum dengan gembira di antara kaki kami.

Bermain di selekoh

Kami biasanya berhati-hati di selekoh dengan motosikal yang rendah dan panjang. Biasanya, motosikal sebegini tidak gemar terjah selekoh, sebaliknya lebih suka dikemudikan dengan lancar ke dalam selekoh yang panjang dan lebar.

Walaubagaimanapun, mengemudikan R 12 nineT ke selekoh kanan dan kiri yang tajam di susur keluar ke Bukit Jalil membuatkan casis motosikal seolah-olah memberitahu kami yang kami terlalu perlahan, kerana motosikal ini dengan bersemangat mengemudi ke bahagian dalam selekoh-selekoh tersebut.

Jadi, daripada membelok ke Seri Petaling, kami mengambil keputusan untuk menguji dua selekoh yang menuju ke Plaza Tol Sungai Besi. Mengemudi ke selekoh pertama, sebuah selekoh kiri yang panjang, menyebabkan suspensi menurun ke perjalanan mampatan awalnya, membenarkan tayar mencengkam jalan dengan kuat. Dengan keyakinan yang diperoleh, kami menyongsang motosikal ke selekoh kanan berjejari mengecil di bawah terowong dengan pendikit ditutup melalui apex, sebelum membukanya kuat-kuat semasa keluar. Percayalah, R 12 nineT meletupkan selekoh itu setanding mana-mana motosikal sport naked moden.

Ini merupakan satu kejutan sepenuhnya bagi kami kerana motosikal ini tidak sepatutnya memiliki pengendalian sehebat ini, memandangkan ketinggian tempat duduknya yang rendah dan jarak roda yang panjang!

Ya, ya, enjin Boxer memainkan peranan besar dalam kelincahannya. Pencerca BMW sering memperolok-olokkan silinder yang terjuntai di sisi, tetapi kerana itulah pusat graviti enjin menjadi lebih rendah. Pusat graviti yang lebih rendah ini juga memberikan banyak kestabilan, terutamanya ketika menunggang pada kelajuan rendah. Inilah sebabnya pemilik BMW GS tidak mengeluh tentang tempat duduk yang tinggi ketika melalui kesesakan lalu lintas.

Apa pun, kami mengambil keputusan untuk melakukan lebih banyak ujian selekoh dan tempat terbaik adalah Lebuhraya SUKE dari Bukit Jalil ke Genting Klang, sebelum membelok ke SPE, kemudian ke Lebuhraya Kesas dan mendaki “Gunung”.

Lebuhraya SUKE merupakan laluan yang sesuai untuk menguji bagaimana casis motosikal mengendalikan selekoh yang berbonggol-bonggol dan beralun. Sementara motosikal lain melantun-lantun atas bonggolan, R 12 nineT ini sangat lancar. Ini dicapai TANPA sistem suspensi elektronik BMW Dynamic ESA.

Sebaliknya, SPE mempunyai beberapa selekoh yang tajam dan sempit, yang diselesaikan motosikal ini tanpa sekali pun menunjukkan kecenderungan untuk terbabas.

Lebuhraya Karak sememangnya sesuai untuk mengekalkan kelajuan melalui selekoh yang panjang, dan kami bertukar ke mod menunggang DYNAMIC, yang setara dengan mod Sport. Kini, enjin terasa benar-benar hidup, membolehkan kami merasai setiap detik lejang kuasa dan keagresifannya. Pada saat ini, motosikal terasa lebih seperti power cruiser apabila ia meluncur melalui selekoh sementara kami mengawal pendikit, dan menggunakan tork enjin untuk brek dan pecutan. Sudah tentu kami tidak mengejar superbike 1000cc, tetapi penunggang motosikal naked yang lebih ringan dan berkuasa ditunjukkan manfaat menunggang secara lancar.

Ketika mendaki gunung, kami sangat seronok memanfaatkan sepenuhnya brek yang hebat, stereng yang responsif, dan tork enin Boxer, sambil kami menderu dari satu selekoh ke selekoh seterusnya. Kami hampir tidak perlu menukar gear dan mengekalkan gear keempat melalui kebanyakan selekoh, sambil memilih gear kedua dan ketiga hanya sekali-sekala.

Satu-satunya perkara yang menghalang kami untuk menjadi lebih agresif ialah kebimbangan untuk menggesel kepala silinder di atas. Malah, aksesori pertama yang akan kami pasang jika memiliki motosikal ini (andai kata kami tiba-tiba mendapat panggilan bahawa seorang jutawan mewariskan harta kepada kami) ialah pelindung kepala silinder.

Berbicara tentang kotak gear, itulah satu-satunya kelemahan BMW R 12 nineT (2025). Melepaskan klac terlalu tergesa-gesa atau menggunakan Shift Assist (quickshifter) pada RPM yang agak rendah menyebabkan gear berbunyi berketuk ketika penukaran, dan boleh didengar oleh semua. Walaupun kami agresif, kami juga ingin memaparkan motosikal ujian dalam cahaya yang baik, jadi kami belajar untuk melepaskan tuas klac dengan lebih progresif, dan menggunakan quickshifter hanya di atas RPM pertengahan.

Penutup

Secara jujur, kami berasa sedih untuk memulangkan motosikal ini kerana sudah lama kami tidak merasai perasaan sebegini terhadap motosikal ujian. Malah, secara terus terang, kadangkala kami berasa jemu setelah menguji begitu banyak motosikal. Tidak, kami tidak mengatakan bahawa motosikal-motosikal itu tidak baik, malah hampir setiap motosikal yang kami uji dalam tempoh 5 tahun kebelakangan ini adalah cemerlang dalam hampir setiap aspek. Sebaliknya, apa yang membuatkan kami menyayangi BMW R 12 nineT adalah karakternya.

Dan oh, jangan lupa tentang banyaknya renungan dan pertanyaan yang kami terima ketika menguzi motosikal ini.

Harga BMW R 12 nineT (2025) bermula dari RM124,500.

Oh ya, tampang tanya: Berapakah harga buah pinggang di pasaran gelap sekarang…? (Sekadar bertanya untuk kawan.)

Galeri foto

Ducati Multistrada V2 (2025) baharu telah tiba di Malaysia.

Ducati Malaysia telah menganjurkan pratonton eksklusif untuk Multistrada V2 dan Panigale V2 2025 yang sangat dinanti-nantikan di ruang pameran utama Ducati, menandakan permulaan bab baharu dalam julat pertengahan Ducati. Acara yang diadakan sebelum hujung minggu Naza Automania Vol.3 itu, mengalu-alukan kehadiran Ducatisti terkemuka yang dijemput, ahli-ahli DOC Malaysia dan wakil-wakil rangkaian pengedar untuk melihat secara dekat evolusi terkini dua model yang paling terkenal dari Ducati.

Barisan Panigale V2 dan Multistrada V2 merangkumi keseimbangan sempurna inovasi, prestasi dan gaya, sekali gus mengukuhkan komitmen kami untuk menjadikan pengalaman Ducati lebih mudah diakses oleh para penunggang motosikal di Malaysia. Kami amat menghargai sokongan daripada pengedar kami dan komuniti penunggang motosikal Malaysia seiring kami terus berkembang bersama,” kata Rizal Jailan, Ketua Pegawai Eksekutif Naza Automotive Holdings.

Sebagai ikhtisar, Multistrada V2 (2025) menampilkan enjin V-Twin 90° baharu (Ducati memanggilnya “L-Twin”) yang menggantikan Superquardro.

Engine highlights
  • The new 890cc V2 (90º V-Twin) engine it entirely new, producing 115 hp at 10,750 RPM and 92 Nm at 8,250 RPM.

  • Sistem injapnya menampilkan injap jenis spring yang serupa dengan enjin Granturismo V4, berbeza dengan sistem injap Desmo yang menjadi sinonim Ducati.
  • Oleh yang demikian, selang penyelenggaraan kelegaan injap (valve clearance interval) telah dipanjangkan kepada 45,000 km.

  • Transmisi 6-kelajuan yang lebih ringan dilengkapi Ducati Quick Shift 2.0.
  • Langkah-langkah ini menjadikan enjin baharu itu hanya seberat 54.4 kg, iaitu 9.4 kg lebih ringan berbanding enjin Superquardro.

Ciri-ciri motosikal

Ducati Multistrada V2 (2025) mentakrifkan semula motosikal dua-alam saiz pertengahan Ducati dengan tumpuan yang lebih tajam terhadap kelincahan, keselesaan, dan kebolehcapaian. Dengan berat kering kini 18 kg lebih ringan pada hanya 199 kg, ia menggabungkan karakter enjin kembar dengan kepelbagaian sejati untuk kegunaan seharian.

Rekabentuk baharu memperhalus siluet Multistrada yang ikonik dengan “muncung” (beak) yang lebih pendek, aerodinamik bersepadu, dan ergonomik yang lebih baik. Manakala tempat duduk yang direka bentuk semula dan ketinggian boleh laras (serendah 790 mm pada model V2 S) memastikan keselesaan untuk setiap penunggang.

Pencahayaan Full-LED yang agresif, proporsi yang lebih ramping, dan penginapan penumpang yang dipertingkatkan menjadikannya bergaya dan praktikal untuk berkomuter, melancong, atau meneroka jalan-jalan kecil.

Casis monocoque aluminium dan suspensi panjangnya mengimbangi ketepatan di jalan raya dengan keupayaan off-road. Model V2 S memperkenalkan Suspensi Skyhook separa-aktif, pelarasan pramuat elektronik, serta pakej elektronik premium yang merangkumi pelbagai Mod Menunggang, Mod Maklumat yang boleh disesuaikan, ketersambungan telefon pintar, dan sistem bantuan keselamatan termaju seperti Cornering ABS, Kawalan Traksi Ducati (DTC), Kawalan Wheelie Ducati (DWC), dan Lampu Brek EVO. Secara keseluruhan, semua peningkatan ini menjadikan Multistrada V2 sebagai motosikal adventure-sport Ducati yang paling diperhalusi, intuitif dan serba boleh setakat ini.

Harga

Harga Ducati Multistrada V2 (2025) bermula daripada RM112,000 (untuk versi standard).

Galeri foto

Ducati Panigale V2 (2025) baharu sudah tiba di Malaysia.

Ducati Malaysia telah menganjurkan pratonton eksklusif untuk Panigale V2 dan Multistrada V2 2025 yang sangat dinanti-nantikan di ruang pameran utama Ducati, menandakan permulaan bab baharu dalam julat pertengahan Ducati. Acara yang diadakan sebelum hujung minggu Naza Automania Vol.3 itu, mengalu-alukan kehadiran Ducatisti terkemuka yang dijemput, ahli-ahli DOC Malaysia dan wakil-wakil rangkaian pengedar untuk melihat secara dekat evolusi terkini dua model yang paling terkenal dari Ducati.

Barisan Panigale V2 dan Multistrada V2 merangkumi keseimbangan sempurna inovasi, prestasi dan gaya, sekali gus mengukuhkan komitmen kami untuk menjadikan pengalaman Ducati lebih mudah diakses oleh para penunggang motosikal di Malaysia. Kami amat menghargai sokongan daripada pengedar kami dan komuniti penunggang motosikal Malaysia seiring kami terus berkembang bersama,” kata Rizal Jailan, Ketua Pegawai Eksekutif Naza Automotive Holdings.

Sebagai ikhtisar, Panigale V2 (2025) menampilkan enjin V-Twin 90° (Ducati memanggilnya “L-Twin”) baharu yang menggantikan Superquardro.

Ciri-ciri enjin
  • Enjin V2 (V-Twin 90º) baharu berkuasa 890cc ini adalah keseluruhannya baharu, menghasilkan 120hp dan 93.6Nm berbanding 148hp dan 104.4Nm.
  • Ia dilengkapi dengan sistem Intake Variable Timing (IVT), yang melaraskan masa kemasukan sehingga 52°, untuk memberikan tork yang lancar pada RPM rendah, tindakbalas yang kyat dalam julat RPM pertengahan, dan prestasi yang mengujakan pada RPM tinggi.

  • Lebih 70% daripada tork maksimum tersedia bermula dari 3,000 rpm, dengan lebih daripada 80% dikekalkan antara 3,500 dan 11,000 rpm.
  • Penghantaran tork RPM julat rendah dan pertengahan yang gemuk membawa kembali ciri penghantaran tork V2 yang tradisional.

  • Sistem injap menampilkan injap berspring seperti dalam enjin Granturismo V4, berbeza dengan sistem injap Desmo yang sinonim dengan Ducati.
  • Oleh itu, selang pelarasan injap (valve clearance interval) dilanjutkan kepada 45,000 km.

  • Garpu injap bersalut DLC, kam berantai, dan injap kemasukan berongga menjimatkan tambahan 5% berat.
  • Seperti Granturismo V4, pelongsor silinder L-Twin (V-Twin) baharu ini diperbuat daripada aluminium.

  • Langkah-langkah ini bermakna enjin baharu ini hanya seberat 54.4 kg, iaitu 9.4 kg lebih ringan daripada Superquardro.
  • Pakej sistem ekzos perlumbaan menaikkan kuasa maksimum kepada 126hp dan mengurangkan lagi 4.5kg.

Ciri-ciri motosikal
  • Ducati Panigale V2 2025 adalah model supersport bersilinder kembar paling ringan Ducati. Dengan mengambil inspirasi daripada legasi silinder kembar Ducati, ia menggabungkan kelajayan yang mengujakan dengan usaha yang berkurangan, membolehkan penunggang pelbagai peringkat menunggang dengan lebih pantas dan yakin.
  • Gaya baharunya diilhamkan oleh Panigale V4, dengan lampu LED yang tajam, aerodinamik yang terukir, dan ekor yang diilhamkan oleh MotoGP yang menggabungkan keanggunan dengan sikap agresif.

  • Penambahbaikan ergonomik, termasuk tangki yang dibentuk semula dan pengurusan aliran udara yang lebih baik, meningkatkan keselesaan sambil mengekalkan feel bahagian hadapan yang tepat.
  • Casis monocoque aluminium baharu, ayunan berganda (dual-sided swingarm), dan suspensi boleh laras sepenuhnya mengimbangi kelincahan dengan kestabilan.

  • Manakala V2 S menaikkan lagi tahap dengan suspensi Öhlins, brek Brembo M50, dan berat kering 176 kg.
  • Unit pengukuran inersia (IMU) enam-paksi menyokong elektronik termaju (Cornering ABS, DTC, DWC, EBC dan Quick Shift 2.0) yang dikawal melalui empat Mod Menunggang dan dipaparkan melalui skrin TFT 5” baharu dengan antara muka terinspirasi daripada perlumbaan.

  • Hasilnya adalah sebuah Panigale yang lebih agresif, ringan dan mudah didekati yang memberikan keseronokan menunggang motosikal superbike di jalan raya dan litar.

Harga

Harga Ducati Panigale V2 (2025) bermula daripada RM125,000 (untuk V2 standard).

Galeri foto

Kami telah berkali-kali menegaskan: Jangan sekali-kali, SECARA MUTLAK, berkompromi dalam hal komponen dan produk berkaitan keselamatan. Ini terutama benar apabila memesan bahagian murah dari penjual dalam talian. Sebagai bukti, Persekutuan Persatuan Penunggang Motosikal Eropah (FEMA) telah menemui pad brek yang mengandungi asbestos dijual melalui AliExpress.

Pad brek dan kasut brek (untuk brek dram) tersebut dihasilkan oleh Tanaki dan Zhangxingyue. Semua produk yang dinyatakan dalam tindakan itu dihasilkan di China, dan kesemuanya gagal mematuhi peraturan REACH (Pendaftaran, Penilaian, Kebenaran dan Sekatan Bahan Kimia). Garis panduan ini bertujuan untuk melindungi pengguna daripada terdedah kepada bahan berbahaya dan untuk melindungi alam sekitar.

Bahan ini sangat baik untuk menyerap haba, sebab itulah ia digunakan dalam pad brek, dan ia juga tahan api, menjadikannya sesuai untuk pakaian kebakaran. Namun, debunya sangat berbahaya jika disedut kerana boleh menyebabkan mesothelioma dalam paru-paru. Mesothelioma adalah sejenis kanser yang bermula sebagai pertumbuhan sel abnormal pada lapisan tisu nipis yang meliputi banyak organ dalaman. Debu asbestos tidak boleh disingkirkan dari badan, justeru ia akan kekal dalam paru-paru untuk tempoh yang lama.

Satu-satunya nasihat yang boleh kami berikan buat masa ini adalah untuk sentiasa menuntut pad brek dan kasut brek yang bebas asbestos apabila anda menukarnya. Selain itu, elakkan dan jangan sedut debu brek ketika mekanik atau anda sendiri membersihkan brek motosikal dengan udara mampat.

brake-pads
Pad brek SBS bebas asbestos

Asbestos telah diharamkan di banyak negara di seluruh dunia, termasuk Kesatuan Eropah dan Malaysia sejak tahun 1999. Walaubagaimanapun, pengharaman ini meliputi aspek penggunaan asbes yang berbeza. Sebagai contoh, walaupun penggunaan asbestos telah diharamkan di A.S. dan Eropah, Malaysia hanya mengharamkan bahan tersebut daripada bahan binaan di hospital, klinik, sekolah, dan bangunan kerajaan. Sehingga 2025, pihak berkuasa Malaysia masih berusaha ke arah pengharaman sepenuhnya.

Seramai 600 pegawai dan anggota polis akan dikerahkan untuk mengawal aliran trafik dan keselamatan ketika program RXZ Members 7.0 di Litar Permotoran Gong Badak di Kuala Nerus pada 22 dan 23 Ogos ini.

Ketua Polis Terengganu Mohd. Khairi Khairuddin berkata jumlah peserta tahun ini dijangka bertambah kepada melebihi 100,000 orang berbanding 60,000 orang pada tahun lepas.

Beliau berkata anggota dan pegawai terlibat akan ditempatkan di lokasi terpilih di seluruh negeri bagi memastikan tidak berlaku kesesakan yang akan menganggu aktiviti harian orang ramai.

“Sebanyak 600 anggota dan pegawai polis akan ditempatkan di lokasi terpilih, bukan hanya di Kuala Terengganu tetapi di semua daerah termasuk Besut, Marang, Dungun, Setiu dan Kemaman.

“Bagi memastikan keselamatan, Unit Rondaan Bermotosikal (URB) dan Unit Kereta Peronda (MPV) akan bertugas membuat rondaan di kawasan penginapan dan rumah inap,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Terengganu di sini hari ini.

Mohd. Khairi berkata tahun lepas tiga kes kemalangan maut melibatkan peserta RXZ Members 6.0 direkodkan manakala 89 saman dikeluarkan atas pelbagai kesalahan.

Selain itu, terdapat juga tiga kes penipuan melibatkan rumah inap tidak wujud dengan jumlah kerugian RM1,400.

Sehubungan itu, beliau mengingatkan semua peserta RXZ Members 7.0 mematuhi peraturan jalan raya dan tidak membuat bising di tempat awam hingga boleh mengganggu ketenteraman.

“Kepada peserta himpunan jangan bawa barang terlarang kerana pihak polis sentiasa memantau aktiviti yang mencurigakan…pastikan juga penginapan yang ditempah benar-benar wujud bagi mengelak menjadi mangsa penipuan rumah inap palsu,” katanya.

Kementerian Belia dan Sukan (KBS) akan memohon dana tambahan khas daripada Kementerian Kewangan (MOF) bagi membantu pelumba muda negara, Hakim Danish Ramli untuk meneruskan program perlumbaan di Eropah.

Langkah itu diambil selepas permohonan geran daripada Kumpulan Wang Amanah Sukan Negara (KWASN) tidak dapat dipenuhi berikutan dana sedia ada terhad dan menerima permohonan tinggi daripada pelbagai pihak.

Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh berkata pihaknya sedar negara mempunyai ramai bakat sukan yang perlu disokong, namun mengakui dana sedia ada tidak mencukupi untuk menampung semua keperluan terutama sukan permotoran yang memerlukan pelaburan besar.

“Jadi untuk Hakim, kita akan memohon kepada MOF untuk dapatkan lebih banyak dana,” katanya.

Mengulas lanjut, Hannah menjelaskan dana KWASN tidak mencukupi kerana menerima terlalu banyak permohonan yang melebihi peruntukan sedia ada, sekali gus memaksa kementerian mencari alternatif lain.

“Sebab itu kita telah mohondan kita juga akan terus membuat susulan dengan Kementerian Kewangan untuk tengok bagaimana kita boleh bantu Hakim.

“Saya tahu MAM (Persatuan Sukan Permotoran Malaysia) juga sedang berusaha untuk bantu Hakim,” katanya.

Hakim Danish menerusi pengurusannya, ZK Racing memohon geran KWASN bagi menampung perbelanjaan pelumba itu di Eropah termasuk mendapatkan jentera terbaik untuk bersaing dalam Red Bull MotoGP Rookies Cup (RBMRC) dan Kejuaraan Dunia FIM JuniorGP.

Pelumba muda itu sedang mendahului kedudukan pungutan keseleruhan dengan 154 mata, di hadapan penyaing terdekatnya, Brian Uriarte yang telah memungut 141. Musim Red Bull Rookies Cup 2025 tinggal hanya empat lagi perlumbaan daripada dua pusingan, oleh itu menawarkan 100 mata maksimum untuk direbut.

Dua pengarah dan syarikat mereka didakwa di Mahkamah Sesyen Sepang di atas pertuduhan menggunakan pelekat SIRIM (Institut Piawaian dan Penyelidikan Perindustrian Malaysia) palsu pada 107 tayar celup.

Syarikat Yik Woh Tyre Enterprise Sdn. Bhd. yang diwakili pengarah, Yip Wei Leong, 44, dan Yip Wing Kee, 70, bagaimanapun mengaku tidak bersalah terhadap ketiga-tiga pertuduhan itu selepas ia dibacakan di hadapan Hakim Ahmad Fuad Othman.

Kedua-dua Orang Kena Sama merupakan ayah dan anak, serta selaku pengarah dan Syarikat Yik Woh Tyre Enterprise Sdn Bhd didakwa membuat tuntutan palsu dengan menggunakan pelekat logo MS 224:2005 pada 107 unit tayar celup pelbagai jenama dan saiz. Tayar-tayar tersebut tidak mempunyai kelulusan oleh SIRIM.

Kesalahan itu dilakukan di premis syarikat di Meranti Jaya Industrial Park, Puchong kira-kira pukul 11.30 pagi, 13 Februari lalu.

Berikutan itu, syarikat tersebut didapati melakukan kesalahan di bawah Seksyen 21 Akta Perihal Dagangan 2011 [Akta 730] kerana melanggar Seksyen 16(1) akta sama dan boleh dihukum di bawah Seksyen 21 (a) akta yang sama, manakala Wei Leong dan Wing Kee selaku pengarah syarikat didakwa di bawah Seksyen 21 (b) akta sama.

Syarikat mereka berdepan dengan saman sehingga RM500,000 bagi kesalahan pertama, dan sehingga RM1,000,000 bagi kesalahan kedua dan selanjutnya. Kedua-dua Orang Kena Saman pula boleh disaman sehingga RM250,000 dan/atau penjara tiga bulan bagi kesalahan pertama, dan saman sehingga RM500,000 dan/atau penjara sehingga lima tahun.

Mahkamah kemudian membenarkan jaminan RM10,000 bagi setiap seorang dengan seorang penjamin warganegara serta menetapkan 25 September depan untuk tarikh sebutan semula kes dan serahan dokumen.

QJMotor pastinya semakin melonjak naik dalam beberapa tahun kebelakangan ini dengan memperkenalkan lebih banyak motosikal terkini. Barisan skuter mereka juga telah dikemas kini sepenuhnya untuk menawarkan produk-produk berkualiti seperti AX200s dan Fort 250 (dan tidak terhad kepada itu). Kini, mereka menuju ke pasaran skuter premium dengan QJMotor QJ700-8K.

Sebelum kita pergi lebih jauh, masih ingat Italjet Dragster 700 Twin? Motosikal itu direka di Itali dan dilengkapi komponen premium seperti brek Brembo, suspensi Öhlins, sistem ekzos Akrapovič, kotak gear manual 6-kelajuan, dan enjin satu silinder 70 hp. Namun, ramai tidak sedar bahawa sebenarnya ia menggunakan banyak komponen yang dibangunkan dan dihasilkan oleh QJMotor. Jadi, tidak, QJ700-8K bukanlah sekadar tiruan Italjet Dragster 700.

Kini, giliran QJMotor memasarkan motosikal dengan reka bentuk dan spesifikasi yang serupa (tidak sama sepenuhnya) dengan motosikal Italjet tersebut. Pengeluar mendakwa ia memiliki 75 kuasa kuda, berat 205 kg, klac manual dikendalikan tangan, kotak gear 6-kelajuan, dan kelajuan maksimum sekitar 200 km/j. Seperti versi Itali, QJ700-8K menggunakan kaliper Brembo, tetapi dengan fork Marzocchi.

Sebagai produk QJMotor, harganya mungkin akan jauh lebih rendah.

Oh, akhir sekali, walaupun prestasi enjinnya setanding dengan X-ADV, QJ700-8K adalah skuter sport yang lebih cenderung ke penggunaan di jalan raya. Dan ya, ia tetap dikategorikan sebagai skuter kerana reka bentuk rangkanya—walaupun mempunyai kotak gear manual.

QJMotor AX200s (2025) – Tunggang Uji & Ulasan

BMW Motorrad International GS Trophy 2026 yang diadakan dua tahun sekali akan berlangsung di Romania. Sudah tentu, sebahagian laluannya merangkumi istana terkenal Count Dracula, iaitu Istana Bran.

Menurut kenyataan media BMW Motorrad, “Setelah mengharungi banyak kawasan berpasir dan stepa, acara ini kembali ke kawasan pergunungan.” “Hutan tebal, jalan berbatu, lintasan sungai, serta pendakian dan penurunan yang curam akan menjadi ciri utama International GS Trophy 2026 di Romania.”

Negara ini “kaya dengan sejarah dan budaya serta memiliki banyak istana zaman pertengahan, kubu, dan gereja, termasuk Istana Bran yang sering dikaitkan dengan legenda Dracula,” tambah kenyataan media itu. “Secara keseluruhan, Romania menawarkan gabungan unik keindahan alam, kekayaan budaya, dan pengembaraan, menjadikannya destinasi ideal untuk peserta International GS Trophy 2026.”

Sejak 2008, GS Trophy diadakan setiap dua tahun, dan pada 2026, acara ini akan memasuki edisi kesepuluh. Lokasi sebelumnya termasuk Namibia (2024), Albania (2022), New Zealand (2020), dan Mongolia (2018).

Kira-kira 15 pasukan akan menyertai acara tahun depan, terdiri daripada peserta dari seluruh dunia. Untuk menyertai pasukan ini, penunggang motosikal perlu melalui latihan navigasi GPS, peringkat khas off-road, dan ujian teknikal. BMW menyatakan akan ada sembilan pasukan lelaki dan enam pasukan wanita.

Tarikh tepat acara ini belum disahkan.

Model rasmi kali ini bukanlah R 1300 GS atau F 900 GS, sebaliknya R 12 G/S. Berdasarkan platform Boxer 1170cc yang disejukkan udara dan minyak, motosikal ini merupakan penghormatan kepada R80G/S yang dilancarkan pada 1980. R80G/S merupakan asal-usul semua motosikal dwi-fungsi/pengembara moden.

Arkib

Ikuti Kami di Facebook

Ikuti Kami di YouTube