Bikesrepublic

Arkib

Baru beberapa hari dilantik Menteri Pengangkutan, YB Anthony Loke terus bergegas menjalankan tugas apabila merasai sendiri kepayahan ditanggung rakyat yang menaiki LRT pada waktu puncak.

Anthony Loke dalam satu perkongsian di Facebook, telah menaiki LRT Laluan Kelana Jaya pada jam 5 hingga 7 petang.

Menariknya, beliau menaiki LRT tersebut secara sendiri dan bukannya sebagai acara rasmi. 

Sambil mengenakan topi dan pelitup muka serba hitam, Loke akui mahu merasai kesulitan orang ramai. 

“Saya tidak memaklumkan kepada pihak pengurusan Prasarana dan pihak media kerana saya nak mengalami sendiri keadaan sebenar seperti penumpang-penumpang biasa untuk merasai apa  yang mereka perlu lalui setiap hari.

“Saya memahami kesulitan yang dihadapi oleh penumpang LRT. Saya akan mengadakan mesyuarat dengan pengurusan tertinggi Prasarana dalam minggu ini juga untuk membincangkan halatuju dan cara untuk menambahbaik perkhidmatan pengangkutan awam kita,” jelasnya di Facebook.

Sementara itu, tindakan secara senyap-senyap itu mendapat pujian netizen yang membanjiri ruangan komen. 

Sebanyak 87 kes kecurian motosikal yang dilaporkan di Pulau Pinang dan Kedah berjaya diselesaikan dengan tangkapan dua lelaki di Butterwoth, Pulau Pinang dan Padang Besar, Perlis, baru-baru ini.

Suspek berusia 41 dan 46 tahun itu berjaya diberkas menerusi Op Lejang Wave Alpha yang diadakan pada hujung November lalu. 

Menurut Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah Asisten Komisioner Tan Cheng San, kedua-dua suspek menjadikan tapak letak motosikal di stesen kereta api Bukit Mertajam dan Bukit Tengah sebagai sasaran utama.

“Melalui siasatan yang dijalankan, suspek akan hantar sendiri motosikal curi ke negara jiran menggunakan nombor plat pendaftaran miliknya bagi mengaburi mata pihak berkuasa melalui jalan sah,” jelasnya.

Berdasarkan petikan HMetro, suspek menjadikan Honda Wave Alpha sebagai sasaran utama dan menjual motosikal tersebut di negara jiran, Thailand ekoran terdapat permintaan tinggi.

Difahamkan, pihak polis juga berjaya mengenal pasti orang tengah yang terlibat menjual motosikal curi kepada pembeli di Thailand. – HMetro

Baru-baru ini, MV Agusta mencuri tumpuan apabila disahkan telah menjalinkan kerjasama erat dengan pengeluar motosikal Austria, KTM. 

KTM menerusi syarikat induk, Pierer Mobility telah membeli saham MV Agusta sebanyak 25.1 peratus. 

Perkembangan itu menyaksikan KTM akan membantu meluaskan jaringan pengedar MV Agusta di Eropah dan pasaran Amerika Utara.

Sebelum itu, MV Agusta juga telah memeterai kerjasama dengan QJMotor bagi pembangunan motosikal ADV, Lucky Explorer 5.5 yang mengguna pakai enjin Benelli TRK502. 

Namun, dalam perkembangan terbaru, MV Agusta turut berminat menerjah pasaran motosikal elektrik apabila menjalinkan kerjasama dengan pengeluar skuter Taiwan, Kymco.

Sewaktu pameran motosikal EICMA berlangsung di Milan, MV Agusta dan Kymco memperkenalkan Ampelio sebuah skuter elektrik prototaip.

Meskipun hanya prototaip, namun pembangunan skuter elektrik itu telah pun dilakukan sejak dua tahun yang lalu sekaligus memberi bayangan bahawa MV Agusta serius dalam menceburi pasaran itu.

Dibina berasaskan skuter Kymco S7, Mv Agusta Ampelio menawarkan 9.7hp yang dikuasakan dua bateri berkuasa 1.7kWh yang boleh dicas di rumah.

YB Anthony Loke, kembali menerajui Kementerian Pengangkutan setelah namanya tersenarai dalam kabinet baharu yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, pada Jumaat.

Ini bermakna, jawatan tersebut kembali ke pangkuan Loke yang pernah memegang portfolio sama selepas Pilihanraya Umum Ke-14 pada 2018.

Pelantikan Loke sebagai Menteri Pengangkutan turut disambut baik di laman sosial yang rata-rata berpendapat beliau melaksanakan tugas dengan baik sebelum ini. 

Namun, terdapat juga individu yang mengharapkan beberapa perubahan dilaksanakan antaranya berkaitan lesen B2 dan B (full) motosikal, semakan semula cukai jalan kenderaan serta subsidi minyak bagi golongan yang memerlukan.

MODENAS buat julung kalinya menerima penarafan lima bintang MyMAP daripada Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya (MIROS) bagi motosikal MODENAS Ninja 250 ABS dan Z250 ABS.

Penarafan itu diberikan susulan kedua-dua model tersebut berjaya mencapai standard keselamatan yang ditetapkan MIROS termasuk sistem ABS, fungsi klac assist/slipper serta chasis yang ringan. 

Menurut MODENAS, MyMAP secara rasmi memberi penarafan

lima bintang kepada kedua-dua model ini sebaik proses penilaian dan audit selesai dijalankan pada Oktober lalu. 

Pada masa sama, Ketua Pegawai Eksekutif MODENAS, Roslan Roskan, kongsi rasa teruja dengan penarafan tersebut.

“Kami di MODENAS amat berbangga dengan pengiktirafan yang telah dianugerahkan pada kedua-dua model Modenas Ninja 250 dan Modenas Z250 versi ABS. 

“Kedua model ini merupakan motosikal pertama yang menerima penarafan 5 bintang MyMAP bagi segmen Naked Bike dan Sports Bike bersasaran 250cc. 

“Dengan itu, kami amat berharap para pembeli akan lebih cakna dalam membuat keputusan ketika membeli motosikal dana lebih mementingkan teknologi keselamatan yang ditawarkan pada setiap motosikal mereka,” jelasnya.

Untuk rekod, MODENAS Ninja 250 ABS dan Z250 ABS antara model yang dijenamakan semula daripada Kawasaki dan dipasang sepenuhnya kilang MODENAS di Gurun, Kedah.

MODENAS Ninja 250 ABS dan Z250 ABS dikuaskan platform ‘parallel-twin’ 249cc DOHC, dengan penyejukan cecair yang menghasilkan 36hp pada 12,500rpm dan 23Nm pada 10,000rpm.

Kedua-dua model ini dipasarkan pada harga RM20,500 dan RM19,500

Jurutera dari Massachusetts Institute of Technology (MIT) berjaya menghasilkan pembesar suara senipis kertas yang berupaya menukar sebarang permukaan kepada sumber audio aktif.

Pembesar suara nipis itu menghasilkan bunyi dengan gangguan minima dengan menggunakan sedikit sahaja tenaga berbanding pembesar suara konvensional.

Berdasarkan video yang dikongsikan, pembesar suara yang dipamerkan itu hanyalah sebesar tapak tangan dan lebih ringan daripada syiling satu sen.

Bagaimanapun, filem nipis itu boleh menghasilkan bunyi berkualiti tinggi tidak kira dengan bahan apa yang digabungkan. 

Ini secara tidak langsung memungkinkan teknologi baharu itu diaplikasikan pada sektor lain terutamanya automotif. 

Untuk rekod, filem yang digunakan bagi menghasilkan bunyi tersebut bergantung pada bulatan kecil yang terdapat pada lapisan ‘piezoelectric’. Bulatan kecil itu akan bergetar secara individu ketika aliran elektrik disalurkan sekaligus menghasilkan bunyi. 

Sementara itu, projek pembangunan oleh MIT ini sebahagiannya ditaja oleh Ford Motor Company sekaligus memberi bayangan bahawa teknologi pembesar suara baharu ini akan diguna pakai pada kenderaan pada masa akan datang. 

Suzuki telah mengesahkan punca utama disebalik penamatan program MotoGP dan seangkatan dengannya adalah bagi memberi fokus pada pembangunan teknologi hijau.

Perkara itu didedahkan Pengurus Kumpulan Pemasaran Suzuki Eropah, Amerika Utara dan Oceania, Nobuo Fujii kepada MCN. 

Jelas, Fujii keputusan melabur dalam program karbon neutral  antara faktor penarikan diri Suzuki daripada sebarang kejuaraan dunia. 

“Neutraliti karbon tidak hanya melibatkan elektrifikasi. Buat masa ini kami sedang pertimabngkan pelbagai kemungkinan, bergantung pada kapasiti enjin,” jelasnya.

Sementara itu, Pengarah Motosikal Suzuki Great Britain pula menjelaskan pelaburan selepas ini adalah memfokuskan pada jenis motosikal yang akan dibangunkan. 

“Pelaburan kami adalah membangunkan motosikal yang akan membarisi barisan jentera Suzuki pada masa hadapan dan memastikan ianya selaras dengan keadan perundangan semasa (emisi),” ujarnya.

Penjelasan tersebut secara tidak langsung memberi bayangan bahawa Suzuki akan terus membangunkan motosikal untuk pasaran global namun dengan memberi penekanan pada neutraliti karbon agar tidak menjejaskan alam sekitar. 

Selaras dengan projek permotoran Suzuki yang dihentikan termasuk program MotoGP dan EWC, Suzuki dalam perkemabgan terbaru juga mengumumkan penutupan laman web Suzuki Racing.

Penutupan laman web tersebut secara langsung melengkapkan penarikan diri Suzuki daripada sebarang sukan permotoran yang selama ini sudah sinonim dengan pengeluar Jepun itu.

Laman web Suzuki Racing itu telah pun beroperasi sejak 1999 tetapi akan ditutup pada hujung Disember 2022 ini. 

Penarikan diri daripada segala sukan permotoran bermula pada Mei apabila Suzuki mengumumkan pengunduran daripada MotoGP sebaik musim 2022 berakhir.

Pada masa sama, Suzuki juga mengesahkan penarikan diri daripada program EWC meskipun menjuarai kejuaraan tersebut sebanyak dua tahun berturut-turut (2020 dan 2021).

Untuk rekod, laman web Suzuki Racing bukan hanya merangkumi MotoGP malah EWC, BSB dan AMA motocross serta MotoAmerica. 

Penutupan laman web itu juga mengesahkan pendirian Suzuki untuk tidak kembali dalam sebarang acara sukan permotoran selepas ini. 

Memahami permintaan terhadap skuter gaya retro klasik semakin meningkat, Benelli dengan rasminya melancarkan Benelli Panarea 125 untuk pasaran tempatan dengan harga jualan asas RM6,888. 

Meskipun rupa klasik, namun Panarea 125 ini tampil dengan ciri moden antaranya lampu LED penuh depan dan belakang serta panel meter analog dan digital.

Menariknya, Panarea 125 ini juga lengkap dengan sistem anti-kecurian yang boleh mengurangkan risiko dicuri. Bagaimanapun, kami tidak risau kerana Benelli bukanlah jenama yang sering terpalit dengan kes kecurian motosikal di Malaysia.

Untuk rekod, Benelli Panarea 125 dikuasakan enjin 124cc 4-stroke dengan suntikan bahan api yang berupaya menghasilkan 8.44hp pada 7,500rpm dan 9.2Nm pada 6,000rpm. 

Kuasa enjin pula disalurkan kepada tayar belakang dengan transmisi automatik CVT.

Tangki berkapasiti 4.6L pula memastikan skuter retro ini menawarkan penggunaan bahan api yang efisien untuk kegunaan harian. 

Antara ciri lain ditawarkan termasuk:

  • fork depan teleskopik
  • penyerap hentakan tunggal belakang
  • lampu LED
  • cakera brek 190mm depan
  • tayar 100/90-12 depan
  • tayar 110/90-12 belakang

Setiap pembelian Benelli Panarea 125 didatangkan dengan waranti pengeluar dua tahun atau 20,000km (mana yang sampai dahulu). 

GALERI: BENELLI PANAREA 125

KTM membuat keputusan untuk mengembalikan 790 Duke bagi tahun 2023 meskipun model itu sebelum ini telah digantikan dengan 890 Duke.

Difahamkan, keputusan hidupkan semula KTM 790 Duke itu dibuat setelah pengeluar motosikal Austria itu menerima banyak permintaan daripada pasaran global.

KTM sebelum ini menggantikan 790 Duke dengan 890 Duke ekoran mahu menghasilkan jentera yang lebih berkuasa di samping terpaksa mengikut standard emisi ketat di Eropah. 

Bagaimanapun, hak enjin parallel-twin LC8c 799cc itu bukan lagi milik KTM dan sudah berpindah tangan kepada CFMOTO bagi pembangunan 800MT. 

Oleh yang demikian, penghasilan semula KTM 790 Duke telah dijayakan bersama CFMOTO bagi tahun 2023.

Untuk rekod, enjin LC8c terbabit masih lagi menghasilkan 105hp pada 9,000rpm dan 82.37Nm @ pada 8,000rpm. 

Meskipun enjin yang sama namun model 2023 ini telah dinaik taraf dengan beberapa ciri baharu terutamanya pakej elektronik.

Menurut KTM, 790 Duke 2023 ini datang dengan mod ‘Track’ yang sertai mod sedia ada termasuk Sport, Street dan Rain. 

Model baharu ini juga dilengkapi dengan sistem ‘traction-control’ sembilan peringkat, fungsi ‘anti-wheelie’, ‘launch control’ dan tiga tetapan respon enjin.

Juga ciri baharu terdapat pada 790 Duke ini termasuk Motor Slip Regulation (MSR) dan mod Supermoto. 

Namun, spesifikasi lain termasuk bahagian suspensi masih sama seperti model terdahulu termasuk fork depan WP Apex 43mm. 

Polis mempunyai kuasa untuk menyita kenderaan termasuk motosikal yang didapati melakukan pengubahsuaian melampau.

Peringatan itu disampaikan Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT) IPD Ampang Jaya menerusi satu perkongsian di Facebook.

Menerusi siaran tersebut, orang ramai diingatkan bahawa sebarang pengubahsuaian terhadap struktur kenderaan boleh disebabkan motosikal disita mengikut Seksyen 64 Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Mengikut akta tersebut, polis juga boleh menahan kenderaan berkenaan sehingga pemilik mengambil langkah tertentu agar kesalahan sama tidak lagi berulang. 

Oleh itu, polis mengingatkan orang ramai untuk tidak ubah suai kenderaan sehingga mengubah bentuk asal agar tidak berdepan tindakan disita. 

Kes babitkan mat rempit di Kelantan mencatatkan peningkatan mendadak 49 peratus bagi bulan Januari hingga Oktober berbanding tempoh sama tahun lalu. 

Perkara itu didedahkan Ketua Polis Kelantan, Datuk Muhammad Zaki Harun.

Memetik laporan Sinar Harian,  remaja berusia 17 tahun ke bawah menjadi penyumbang terbesar kepada aktiviti tidak bermoral itu. 

“Setakat ini, seramai 61 remaja berusia 17 tahun ke bawah yang ditahan bersabit kes tersebut berbanding hanya 18 orang sahaja tahun lalu.

“Manakala 57 tangkapan melibatkan mat rempit berusia 18 hingga 39 tahun dan hanya empat tangkapan (40 tahun ke atas),” katanya.

Susulan daripada angka membimbangkan itu, Muhamad Zaki mengharapkan semua pihak termasuk ketua polis daerah, pengarah dan pegawai pendidikan memantau perkara tersebut. 

Pada masa sama, ibu bapa juga digesa untuk memberi contoh baik kepada anak-anak terutamanya mengenai pemakaian topi keledar dan memiliki lesen memandu. 

Sementara itu, polis Kelantan juga merekodkan 114 peratus tangkapan berbanding 65 peratus tahun lalu. – Sinar Harian

Arkib

Ikuti Kami di Facebook

Ikuti Kami di YouTube