Bikesrepublic

Arkib

Pengeluar kereta dari China, Great Wall, bakal mengorak langkah sulung dalam penghasilan jentera dua roda berdasarkan beberapa ’spy shot’ yang mula berlegar di internet. 

Menariknya, berdasarkan gambar dikongsikan jelas model prototaip itu menerapkan chasis Honda GL1800 Gold Wing. Chasis itu digunakan ekoran dianggap sesuai bagi memegang enjin yang didakwa bersesaran lebih 2,000cc. 

Bahagian enjin juga jelas menampakkan penggunaan 8-silinder sekaligus memberi bayangan enjin tersebtu bukan hanya besar malah berkuasa. 

Jika enjin tersebut juga dibangunkan daripada enjin 6-silinder 1800cc daripada Gold Wing maka dengan kiraan nisbah bore-strok 73mm X 73mm, enjin yang dipamerkan itu bersesaran 2,444cc dengan 8-silinder dan 32-valve. 

Menurut laporan media antarabangsa, berkemungkinan besar jentera prototaip dibangunkan Great Wall itu menawarkan sekitar 168hp dan 226Nm. 

Selain daripada enjin dan chasis, suspensi depan dan swingarm juga mirip dengan GL1800 Gold Wing. 

Senario itu secara tidak langsung memberi bayangan mungkin terdapat kerjasama (yang belum diumumkan) antara Honda dan Great Wall sehinggakan terdapat banyak persamaan antara model prototaip itu dengan Gold Wing. 

Apa yang pasti, Great Wall jelas sedang merangka pelan untuk terlibat dalam penghasilan motosikal pada masa akan datang. 

Husqvarna bakal menghidupkan semula model ikonik Nuda tidak lama lagi setelah jentera prototaip tersebut dilihat sedang menjalani ujian di Eropah. 

Berdasarkan gambar ‘spy shot’ yang dikongsikan media Jerman, Motorrad, generasi terbaru Nuda itu dilihat dikuasakan enjin LC8c 890cc milik KTM. 

*sumber: Motorrad

Mengambil kira jenama Husqvarna kini dibawah kendalian KTM AG, maka bukan satu kejutan bahawa model serba baharu itu meminjam beberapa kelengkapan daripada jentera KTM. 

Pertamanya, penggunaan kerangka trellis yang mirip dengan KTM 890 DUKE R namun dipadankan dengan suspensi yang lebih premium. Juga boleh dilihat adalah swingarm aluminium yang juga diambil dari KTM. 

Bagaimanapun, lampu ikonik Nuda jelas kelihatan pada model prototaip tersebut sekaligus menjadi perbezaan utama antara jentera Husqvarna dan KTM. 

Jika ada yang berasa kurang yakin bahawa prototaip tersebut merujuk kepada jentera Husqvarna, lihat sahaja pada jaket kulit yang dipakai penunggang uji dalam gambar tersebut sebagai bukti. 

Untuk rekod, Husqvarna memperkenalkan Nuda 900R pada 2012 dan dibina ketika jenama motosikal Sweden itu masih dibawah BMW. Ketika itu, model tersebut dikuasakan enjin sama dengan BMW F800 dan menghasilkan sekitar 100hp. 

Ekoran daripada pengeluaran Nuda diberhentikan tidak lama selepas itu, motosikal naked dengan gaya ‘supermoto’ itu bingkas menjadi antara permata dalam dunia dua roda.

Apa yang pasti, Husqvarna Nuda bakal kembali dan melihat kepada keadaan jentera yang hampir siap sepenuhnya pastinya model itu akan membuat penampilan rasmi tidak lama lagi sebagai model keluaran 2024. 

Jenama kereta elektrik popular Amerika Syarikat, Tesla Motors sah akan memasuki pasaran Malaysia tidak lama lagi. 

Perkara itu disahkan Menteri Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), Tengku Zafrul dalam satu perkongsian di media sosial.

Menurut siaran media MITI, Tesla akan menubuhkan pejabat bersama Tesla Experience dan pusat servis serta rangkaian ‘supercharger’. 

Menariknya, Tesla Motors merupakan pemohon pertama bagi inisiatif BEV Global Leaders yang ditubuhkan MITI. 

Khabar angin mengenai kemasukan Tesla ke Malaysia mula berlegar bulan lalu menerusi semakan di SSM yang mendedahkan Tesla Services Sdn Bhd telah ditukar nama kepada Tesla Sdn Bhd. 

Berikut siaran media dikeluarkan MITI:

Untuk rekod, 100 peratus pegangan Tesla Sdn Bhd adalah milik sepenuhnya Tesla International BV. 

GPX Malaysia dengan rasminya memperkenalkan GPX Legend 250 Twin II 2023 yang telah dikemas kini dengan pilihan warna baharu. 

Bagi tahun 2023, Legend 250 Twin II ini datang dengan pilihan warna Forest Green yang sertai warna Gray dan Black yang diperkenalkan sebelum ini. Model 2023 ini juga ditawarkan pada harga RM13,888. 

Untuk rekod, GPX Legend 250 Twin II telah pun memasuki pasaran tempatan pada Ogos tahun lalu menerusi pengedar rasmi, GPX Malaysia. 

Jenama motosikal Thailand itu memperkenalkan GPX Legend 250 Twin II secara rasmi di pasaran negara itu pada September 2020 namun ekoran faktor logistik dan pandemik yang melanda dunia ketika itu berlaku kelewatan terhadap pengenalan model itu disini. 

GPX Legend 250 Twin II dikuasakan enjin dua silinder 234cc dengan suntikan bahan api (GPX FI) yang berupaya menghasilkan sekitar 19hp dan 15Nm pada 6,500rpm. 

Meskipun bergaya retro, GPX Legend 250 Twin II ini masih dilengkapi ciri moden antaranya cakera brek berkembar 276mm depan dan cakera brek tunggal 220mm di belakang. Sistem brek pula hadir menerusi kaliper brek 4-pot depan dan 1-pot belakang. 

Selain itu, kelengkapan suspensi pula hadir menerusi fork USD depan dan penyerap hentakan berkembar belakang dari YSS. 

Ciri menarik lain ditawarkan termasuk:

  • panel meter digital LCD 
  • lampu LED penuh dengan DRL di depan
  • tangki 14.5L
  • ‘tank pad’ 

Dua individu telah berjaya diberkas pihak polis setelah dikenal pasti antara yang terlibat dengan aktiviti lumba haram di Lebuhraya Damansara-Shah Alam (DASH), pada Isnin. 

Perkara itu disahkan Ketua Polis Daerah Shah Alam, Aissten Komisioner Mohd Iqbal Ibrahim. 

Memetik laporan Sinar Harian, aktiviti lumba haram itu berlangsung antara jam 12.30 malam hingga 1.30 pagi Ahad. 

“Siasatan dijalankan mendapati enam buah Proton Satria melakukan aksi berlumba bermula dari Plaza Tol Denai Alam sehingga susur ke Pulau Angsa Lebuhraya DASH dan berpatah balik melawan arus sehingga ke Plaza Tol Denai Alam.

“Dua suspek berumur antara 20 sehingga 29 tahun dipercayai terlibat dalam perlumbaan ini telah diberkas selain kereta yang dimiliki kedua-dua suspek dirampas,” jelasnya. 

Dalam pada itu, polis sedang berusaha untuk mengesan individu lain yang terlibat dalam aktiviti lumba haram itu. 

Kebelakangan ini Lebuhraya DASH menjadi tumpuan dikalangan peminat kereta sebagai tapak pertemuan dengan pemilik kereta lain namun ada segelintir yang mengambil peluang dengan melakukan aktiviti dilarang termasuk lumba haram dan drift. – Sinar Harian

Jenama jam tangan Jepun, Kentex telah berkolaborasi dengan Suzuki bagi menghasilkan dua jam tangan edisi terhad yang diinspirasikan daripada jentera GSX-R dan Katana. 

Terhad kepada 300 unit (bagi setiap edisi), dua jam tangan tersebut dibina berdasarkan jam tangan Kentex MOTO-R yang telah pun dihasilkan sejak 2018. 

Bagaimanapun, peminat Suzuki yang mahukan jam tangan tersebut perlu menjalani proses cabutan bertuah terlebih dahulu sebelum berpeluang membelinya dengan harga JPY45,900 (RM1.6k). 

Menurut Kentex, setiap jam tangan tersebut turut didatangkan dengan ukiran nombor unit penghasilan. 

Menariknya, setiap ciri pada jam tangan tersebut mengambil kira faktor penunggang motosikal termasuk mengalihkan butang pada jam ke sebelah kiri agar tidak menganggu operasi menunggang motosikal. 

Pemenang cabutan bertuah adakan diumumkan pada 1 Mac 2023 dengan hanya satu unit dibenarkan untuk dibeli bagi setiap pelanggan. 

Baru-baru ini tular satu video yang memaparkan sebuah kereta berwarna hitam membuat aksi membahayakan di sekitar Kawasan Rehat dan Rawat (RSA) Denai Alam. 

Sehubungan dengan itu, pihak Projek Lintasan Damansara-Shah Alam (PROLINTAS) yang merupakan pemegang konsesi Lebuhraya bertingkat Damansara-Shah Alam (DASH) telah bekerjasama dengan Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JST) PDRM bagi menyiasat kejadian tersebut. 

PROLINTAS dalam satu kenyataan juga memaklumkan terdapat kesan tayar kenderaan ditinggalkan dikawasan kejadian. 

Dalam pada itu, video tular di sosial media itu jelas menunjukkan sebuah kereta jenis Nissan 180SX membuat donut dan ‘drift’ di kawasan berkenaan. 

Difahamkan, sekitar kawasan RSA Denai Alam itu kini menjadi tumpuan peminat kereta berkumpul di sebelah malam. Tinjaun di ruangan komen juga mendapati penduduk di kawasan sekitar juga kurang senang dengan aktiviti itu ekoran terdapat segelintir yang gemar membuat aksi ‘pop’ dan ‘bang’ di kawasan berkenaan. 

Bagi memperkembangan jenama Royal Enfield di Malaysia, pengedar rasmi jenama itu, Didi Group telah merasmikan pembukaan pusat pameran Royal Enfield di Pulau Pinang. 

Terletak di Perai, pusat pameran serba baharu itu dijangka memenuhi permintaan peminat Royal Enfield di Utara. 

Menariknya, pusat pameran terbaru itu bukan sahaja menawarkan pelbagai model motosikal Royal Enfield malah turut lengkap dengan pelbagai aksesori. 

“Kami di Didi Group dengan bangganya mengumumkan bahawa kami berjaya mencapai peningkatan 500 peratus bagi pendaftaran Royal Enfield di Malaysia pada 2022. 

“Ini merupakan pusat pameran eksklusif kedua Royal Enfield dan dijangka lima lagi ‘pop-up store’ akan dibuka dari Selatan ke Utara. Sebuah lagi pusat pameran rasmi akan turut dibuka di Johor Baharu tahun ini. 

“Ini akan mendekatkan lagi jenama Royal Enfield kepada pelanggan,” jelas Pengerusi Didi Group, Rewi Hamid Bugo. 

Dalam pada itu, Rewi Hamid juga mendedahkan bahawa dua model baharu akan turut diperkenalkan tahun ini menerusi Hunter 350 dan Meteor 650. 

Boon Siew Honda memperkenalkan Honda X-ADV 750 yang telah dikemas kini dengan pilihan warna baharu bagi tahun 2023 dan ditawarkan pada harga RM68,899. 

Menurut pihak BSH, skuter ‘adventure’ itu kini datang dengan pilihan warna Shasta White yang meningkatkan lagi elemen ADV dan lasak pada X-ADV 750. 

Bagaimanapun, spesifikasi lain kekal sama termasuk enjin parallel-twin 745cc dengan penyejukan cecair itu yang menawarkan 58hp pada 6,750rpm dan 69Nm pada 4,750rpm. Kuasa enjin pula disalurkan kepada tayar belakang menerusi transmisi semi-automatik 6-kelajuan DCT (dual-clutch transmission).

Fungsi Throttle-by-Wire pula menawarkan empat mod tunggangan, Standard, Sport, Rain dan Gravel serta satu mod USER yang boleh diselaraskan mengikut kesesuaian.

Antara ciri lain ditawarkan:

  • Honda Selectable Torque Control (HSTC)
  • Honda Smartphone Voice Control (HSVCS)
  • lampu LED dengan DRL (daytime running light)
  • penghadang angin boleh laras
  • ruang letak baragn 22L
  • port pengecas USB

Honda X-ADV ini juga tampil dengan ciri premium antaranya ABS, fork depan jenis USD 41mm, swingarm Pro-Link dan Emergency Stop Signal (ESS).

Royal Enfield bakal memperkembangkan tawaran model di pasaran Malaysia menerusi model terbaru, Royal Enfield Hunter 350 pada 9 Mac ini. 

Pengumuman pelancaran model itu dibuat sewaktu perasmian pembukaan pusat pameran Royal Enfield terbaru di Pulau Pinang. 

Untuk rekod, Royal Enfield Hunter 350 diperkenalkan pada pasaran global pada Ogos tahun lalu, menyertai Classic 350 dan Meteor 350. 

Seperti model 350 sebelum ini, Hunter 350 turut dikuasakan enjin satu silinder 349cc yang menghasilkan 20.2hp pada 6,100rpm dan 27Nm pada 4,000rpm. Kuasa tersebut disalurkan kepada tayar belakang dengan transmisi 5-kelajuan.

Royal Enfield mendakwa enjin J-series 349cc itu berupaya mencapai kelajuan maksima 114km/j sekaligus memberi bayangan Hunter 350 ini lebih sesuai untuk tunggangan santai.

Tampil dengan rekaan scrambler retro, Hunter 350 ini secara tidak langsung bakal memberi cabaran pada Honda H’ness CB350.

Hunter 350 Metro juga didatangkan rim sistem brek ABS dwi-saluran manakala Retro Factory pula hanya dilengkapi sistem ABS saluran tunggal dan dipadankan bersama cakera brek (tunggal) depan dan brek drum di bahagian belakang.

Pengeluar kapal terbang Korea, Korea Aerospace Industries Co (KAI) berjaya mendapatkan kontrak bernilai RM4.08 billion untuk membekalkan 18 jet pejuang kepada Malaysia. 

Memetik laporan The Star, penyerahan jet pejuang jenis A KAI FA-50 Figthing Eagle itu akan bermula tahun ini. 

KAI dalam satu kenyataan memaklumkan bahawa mereka telah pun menandatangani perjanjian itu bersama Kementerian Pertahanan bagi 18 unit FA-50 menewaskan pesaing lain dari India, Pakistan, Russia dan Turkey. 

Pencapaian itu sekaligus menyaksikan Malaysia menjadi negara keempat di Asia Tenggara yang memeterai perjanjian bersama KAI selepas Indonesia, Filipina dan Thailand. 

Sementara itu, KAI juga dijangka akan turut memenangi kontrak untuk menyediakan tambahan 18 unit lagi FA-50 untuk Malaysia dalam masa terdekat. – The Star

Juara dunia enam kali MotoGP, Marc Marquez menafikan dakwaan bahawa dia akan meninggalkan Honda dan menegaskan dia kekal komited dengan pasukan itu. 

Marquez menandatangi kontrak empat tahun sehingga 2024, beberapa bulan sebelum mengalami kecederaan serius di bahagian tangan kanan. 

Meskipun Marquez kembali pulih selepas menjalani pembedahan keempat pada Jun tahun lalu, pasukan Repsol Honda gagal memberi saingan terhadap perebutan kejuaraan dunia. 

Oleh sebab itu, timbul khabar angin bahawa Marquez akan meninggalkan Honda dengan mengaktifkan klausa dalam kontraknya pada 2024.

Bagaimanapun, Marquez menepis dakwaan tersebut dalam satu temu bual bersama MotoGP.com

“Saya ada baki dua tahun lagi dengan Honda dan impian saya adalah untuk kembali ke puncak bersama Honda. 

“Saya mempercayai mereka sepenuhnya, dan kami menghormati antara satu sama lain. Saya percaya kami akan keluar daripada situasi ini,” jelasnya. 

Dalam perkembangan sama, Repsol Honda turut mempersembahkan jentera dan warna yang akan diguna pakai pada musim 2023. Seperti dijangka, warna ikonik Honda dan Repsol dikekalkan pada jentera RC213V itu. 

Bagi musim 2023, Marquez akan beraksi dengan rakan sepasukan baharu, Joan Mir yang berhijrah dari Suzuki.

Arkib

Ikuti Kami di Facebook

Ikuti Kami di YouTube