Bikesrepublic

Arkib

Susulan peningkatan harga minyak, kerajaan UK dikatakan sedang pertimbang beberapa pilihan bagi mengawal kenaikan tersebut.

Antara aspek yang sedang dinilai ketika ini adalah menguatkuasakan larangan memandu di bandar besar pada setiap hari Ahad.

Negara itu juga sedang menilai impak keberkesanan dengan menurunkan had kelajuan jalan raya dari 110km/j kepada 100km/j.

Setakat ini terdapat 10 cadangan telah dikemukakan oleh Agensi Tenaga Antarabangsa (IEA).

Antara cadangan lain yang turut dikemukakan adalah kerja dari rumah (WFH) selama tiga hari setiap minggu, berkongsi kereta ke pejabat, guna kereta api berbanding kapal terbang, elak perjalanan udara jika ada pilihan lain dan promosikan penggunaan kenderaan elektrik.

Bagaimanapun, buat masa ini tiada pengesahan sama ada larangan pemanduan pada Ahad itu juga melibatkan penunggang motosikal. – Visordown

Litar Antarabangsa Sepang (SIC) telah pun memaklumkan bahawa Malaysia akan kembali dalam kalendar MotoGP bermula musim ini setelah dua tahun menyepi ekoran pandemik Covid-19.

CEO SIC, Azhan Shafriman turut mendedahkan bahawa kontrak penganjuran MotoGP juga telah disambung sehingga 2024 dengan perbincangan dilanjutkan sehingga 2026 bersama Dorna Sports telah pun berjalan.

Dalam pada itu, SIC turut mengumumkan Petronas sebagai penaja utama (title sponsor) GP Malaysia kali ini yang akan berlangsung dari 21 hingga 23 Oktober tahun ini.

Ini sekaligus menyaksikan Petronas menggantikan Shell Malaysia yang sudah beberapa tahun menjadi penaja utama GP Malaysia.

Sementara itu, Pengarah Urusan Group Strategic Communication PETRONAS, Datin Anita Azrina Abdul Aziz, turut menyatakan keterujaan pihaknya memeriahkan GP Malaysia kali ini.

“Petronas amat berbangga menjadi penaja utama GP Malaysia yang selama ini dianggap sebagai acara sukan utama di Malaysia dan rantau Asia.

“Sebagai penaja utama memberikan peluang pada Petronas untuk berhubung dengan peminat sukan ini di samping mengetengahkan jenama dan produk Petronas.

“Lebih penting, kerjasama strategik dengan Dorna Sports diharapkan dapat menyuntik kembali pelancongan sukan di Malaysia untuk sama-sama bangkit dari pandemik,” jelasnya.

Tidak dinafikan, Honda RSX 150 – lebih dikenali sebagai Winner X di Vietnam – merupakan motosikal moped yang cukup popular di Asia Tenggara.

Ini kerana rekaan keseluruhan yang tampak moden menjadikan RSX 150 antara moped yang mempunyai ikutan tersendiri termasuk di Malaysia.

Ketika ini motosikal tersebut juga dipasarkan di Kemboja, Singapura dan Burkina Faso yang dibawa masuk oleh pengimport bebas.

Mei tahun lalu, Winner X juga telah dipasarkan di Jepun dengan dua versi ditawarkan, Standard dan ABS.

Memahami permintaan terhadap moped tersebut semakin meningkat naik, sebuah syarikat motosikal di China telah menghasilkan klon RSX 150 untuk ditawarkan di pasaran negara itu.

Sekali imbas, model tersebut sememangnya tampak sama seperti model yang sebenar oleh Honda.

Bagaimanapun selepas beberapa penelitian terdapat aspek yang ternyata berbeza antaranya penggunaan sistem penyejukan udara, cakera brek dan enjin.

Walaupun tidak dapat dipastikan sama ada versi klon itu turut bernadikan enjin 150cc namun apa yang pasti rekaan panel badan termasuk lampu depan dan belakang menyamai model Honda RSX 150 yang sebenar.

Litar Antarabangsa Sepang (SIC) sah kembali menganjurkan Kejuaraan Dunia MotoGP bermula tahun ini selepas dua tahun menyepi ekoran pandemik Covid-19.

Perkara itu disahkan pihak SIC dalam satu kenyataan dikeluarkan hari ini.

Lebih menggembirakan, Dorna juga mengesahkan SIC juga bakal menganjurkan MotoGP hingga 2024 dengan semua pihak telah pun berbincang untuk melanjutkan hingga 2026.

Sementara itu, Petronas juga diumumkan sebagai penaja utama MotoGP di Malaysia bermula tahun ini menggantikan penaja terdahulu Shell Malaysia.

Ini sekaligus menamakan GP Malaysia sebagai ‘Petronas Grand Prix of Malaysia’.

“Saya dengan sukacitanya mengumumkan bahawa perbincangan pertama bagi melanjutkan kontrak penganjuran bersama Dorna Sports telah selesai dan saya mahu mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang terlibat menjayakannya.

“Dengan corak kehadiran peminat yang semakin meningkat saban tahun, kami tidak sabar untuk kembali menyambut peminat ke Litar Antarabangsa Sepang selepas dua tahun berehat ekoran pandemik.

“Selaras dengan tema #WelcomeHome, tahun ini adalah tentang menghidupkan semula sukan permotoran antarabangsa di Malaysia,” jelas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) SIC, Azhan Shafriman Hanif.

Pada masa sama, CEO Dorna Sports, Carmelo Ezpeleta turut gembira menyaksikan Malaysia akan kekal dalam kalendar MotoGP hingga 2024.

“Kami teruja GP Malaysia akan terus menganjurkan MotoGP hingga 2024. Malaysia merupakan pasaran penting bagi MotoGP dan kami berbesar hati untuk berlumba di Sepang bersama peminat yang sentiasa bersemangat memenuhi grandstand.

“Selepas ujian pra-musim di SIC tahun ini, kami tak sabar untuk kembali untuk perlumbaan sebenar,” ujarnya.

Berdasarkan kalendar semasa MotoGP, SIC dijadualkan menganjur MotoGP pada 21 hingga 23 Oktober 2022.

Cadangan menurunkan had laju kenderaan daripada 50km/j kepada 30km/j di beberapa kawasan di pusat bandar akan dibentangkan kepada Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) bulan hadapan.

Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Jalaluddin Alias ​​berkata Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (Miros) masih dalam proses menetapkan butiran cadangan itu.

“Pengumpulan dan analisis data akan dijalankan dan jika dipersetujui maka ia akan dilaksanakan pada September tahun ini. Kawasan yang terlibat dalam kajian Miros ini adalah kawasan yang mempunyai had laju 60km/j dan 40km/j.

“Manakala jalan raya yang telah diwartakan dengan had laju 70km/j dan 80km/j tidak termasuk dalam kajian,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Negara pada Isnin (21 Mac).

Beliau menjawab soalan Senator Datuk Mohd Hisamudin Yahaya yang ingin tahu pendirian DBKL berhubung cadangan Miros menurunkan had laju di kawasan terpilih mengikut jejak Kota Paris yang mewartakan had laju itu pada Ogos tahun lepas.

Jalaluddin berkata DBKL juga berpandangan menurunkan had laju adalah langkah yang baik kerana ia akan meningkatkan keselamatan pengguna jalan raya lain seperti penunggang basikal dan pejalan kaki.

Astra Honda Motor (AHM) dengan rasminya melancarkan generasi terbaru skuter Honda Genio 2022.

Bagi tahun ini, kemas kini terbesar adalah penggunaan rim 12-inci dengna tayar ‘tubeless’ berukuran 100/90-12 depan dan 110/90-12 belakang.

Selain itu, terdapat juga slot pengecas USB yang ditempatkan di ruang sebelah kanan di bahagian depan yang memudahkan penunggang mengecas telefon pintar sewaktu menunggang.

Pada masa sama, Honda juga menaik taraf rekaan lampu depan dan lampu isyarat agar tampil lebih segar berbanding model sebelumnya.

Walaupun ditawarkan sebagai skuter kompak namun rekaan sisi mewujudkan rupa bentuk yang agar besar.

Seperti generasi sebelumnya, Genio 2022 terus dikuasakan enjin satu silinder 110cc yang berupaya menghasilkan 8.5hp sekaligus menjadikan skuter ini sesuai untuk kegunaan di kawasan bandar.

Antara ciri lain ditawarkan termasuk:

  • lampu LED penuh
  • paparan digital LCD
  • combi-brake system (CBS)
  • idling stop system
  • port USB
  • ruang letak barang 14L

Di pasaran Indonesia, Honda Genio 110 2022 ini ditawarkan pada harga IDR18,050,000 (RM5,300).

MotoGP dengan rasminya mengemukakan larangan penggunaan ‘front ride-height device’ bermula 2023.

Bagaimanapun, penggunaan sistem ‘holeshot’ yang berfungsi merendahkan bahagian depan dan belakang sewaktu permulaan perlumbaan terus dibenarkan.

‘Front ride-height device’ merupakan sistem yang berfungsi dengan merendahkan bahagian depan jentera MotoGP agar dapat keluar dari selekoh dengan lebih laju dari kebiasaan.

Ketika ini, hanya Ducati yang mengguna pakai ‘front ride-height device’ terhadap jentera GP22 sementara pasukan lain telah pun menyatakan ketidak setujuan terhadap teknologi itu.

“Sewaktu mesyuarat Suruhanjaya pada 4 Mac lalu di Lusail (Qatar), delegasi telah diminta pertimbang dua cadangan yang diketengahkan mengenai isu ‘ride-height device’ tersebut.

“Kedua-dua cadangan tersebut adalah menyekat daripada meningkatkan prestasi jentera sedia ada di samping kos pembangunan yang tinggi.

“Selepas pertimbangan, kedua-dua cadangan itu secara sebulat suara telah diluluskan.

“Sebarang pengunaan alat yang mengubah ketinggian depan jentera sewaktu dalam keadaan bergerak adalah dilarang sama sekali.

“Bagaimanapun, alat yang beroperasi dalam keaadaan pegun – sewaktu permulaan perlumbaan – adalah dibenarkan,” demikian kenyataan oleh Suruhanjaya Grand Prix.

Baru-baru ini, enam kali juara dunia MotoGP, Marc Marquez turut menyifatkan ‘front ride-height device’ itu sebagai alat yang melampau di samping membahayakan.

Pengendali Yamaha, Lin Jarvis juga menyatakan keengganan pasukan itu untuk menggunakan pakai sistem tersebut yang disifatkan sebagai membahayakan nyawa penunggang yang kini telah pun berdepan pelbagai risiko.

Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Negeri Sembilan yakin nombor siri pendaftaran ‘NDU’ bakal menghadirkan kutipan lebih RM1.3 juta.

Menurut Pengarah JPJ Negeri Sembilan, Hanif Yusabra Yusuf, antara nombor yang dijangka dapat sambutan adalah NDU 8, NDU 88, NDU 8055, NDU 333 dan NDU 999.

“Kami menyasarkan kutipan hasil untuk siri bidaan nombor pendaftaran ‘NDU’ adalah sebanyak RM1.3 juta berbanding kutipan RM1.1 juta yang diperoleh sebelum ini. 

“Sasaran ini diyakini dapat dicapai dengan keadaan ekonomi ketika ini apabila pendaftaran dan pengeluaran kereta baharu meningkat di Negeri Sembilan

Setakat ini JPJ Negeri Sembilan telah pun mengutip RM6.89 juta menerusi Sistem Bidaan Nombor Pendaftaran Kenderaan Dalam Talian (JPJeBid) yang diperkenalkan sejak April 2019 bermula dengan siri ‘NDN hingga ‘NDT’.

Setakat ini, nombor pendaftaran ‘NDT 1’ memegang rekod bidaan tertinggi yang mencatatkan nilai RM140,100.

Sementara itu, siri pendaftaran ‘NDU’ telah pun dibuka 20 Mac lalu dan boleh dibida hingga 24 Mac 2022. – Utusan

Benelli didakwa sedang membangunkan enjin parallel-twin 400cc bagi menggantikan platform 300cc sedia ada.

Perkara itu didedahkan menerusi dokumen paten terbaru yang difailkan di China yang turut memaparkan sebuah jentera Benelli BJ400J.

BJ400J merupakan motosikal jenis ‘touring’ yang bakal dirasmikan penguatkuasa polis di negara itu menggantikan jentera 300cc yang memaparkan rekaan sama dan telah digunakan sejak 2018.

Ini kerana di China, jentera polis sentiasa mendapat versi yang dinaik taraf terlebih dahulu sebelum diperkenalkan kepada orang awam.

Menariknya, Benelli juga dikhabarkan akan menggantikan kesemua platform 300cc sedia ada termasuk pada model 302S dan 302R dengan enjin 400cc terbaru itu.

Benelli membesarkan bore dan stroke kepada 70mm x 52mm sekaligus berupaya menghasilkan nadi terbaru yang mampu menjana sekitar 45hp.

Sementara itu, membesarkan enjin dari 300cc ke 400cc juga membolehkan komponen lain dikekalkan antaranya kerangka, suspensi, rim dan brek.

Enjin sama juga pernah didedahkan syarikut induk Qianjiang menerusi QJMotor 400RR sebelum ini.

Sementara itu, langkah terbaru ini juga membuka pasaran yang lebih luas bagi Benelli yang bakal meletakkan jentera 400cc terbaru itu dikalangan jenama lain antarnaya Kawasaki Z400.

Dalam perkembangan sama, dokumen tersebut turut mendedahkan Benelli BJ400J itu menawarkan komponen premium antaranya brek Brembo, cakera brek dan fork USD.

Meskipun berusaha keras untuk pulih sepenuhnya sempena aksi pembukaan MotoGP musim 2022 dua minggu lalu di Qatar, Marc Marquez disahkan kembali alami kecederaan susulan kemalangan di Litar Mandalika, baru-baru ini.

Marquez telah disahkan tidak cergas untuk pusingan kedua di Litar Mandalika pada Ahad selepas mengalami ‘highside’ di Turn 7 sewaktu sesi pemanas badan.

Pasukan perubatan kemudiannya mengesahan Marquez alami gegaran di kepala (concussion) sekaligus memaksa pasukan Repsol Honda merehatkan enam kali juara dunia MotoGP itu.

Bagaimanapun, sebaik pulang ke Sepanyol, Marquez akui alami ketidakselesaan di matanya lantas melalui satu pemeriksaan di Hospital Barcelona yang mengesahkan dia kembali alami diplopia selepas mengalami kecederaan sama November lalu.

Namun, pemeriksaan lanjut juga membebaskan pelumba itu daripada sebarang kecederaan serius lain.

Status semasa Marquez ketika ini secara tak langsung menjejaskan persiapan musim ini dengan saingan MotoGP kembali bersambung 3 April ini di Argentina.

Polis Johor akan memanggil 10 pemandu konvoi kereta mewah yang bertindak memberhentikan kenderaan di Kilometer 34 Lebuhraya Utara Selatan, Jumaat lalu.

Perkara itu dimaklumkan Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat yang menjelaskan kesemua individu terlibat dipanggil bagi bertujuan merakam kenyataan susulan insiden yang tular di media sosial baru-baru ini.

Difahamkan, sekumpulan pemilik kereta mewah yang berkonvoi telah bertindak menyekat jalan dan sebuah trak pikap jenis Ford Ranger yang dipandu seorang wanita yang didakwa berada dalam keadaan mabuk.

Wanita berusia 28 tahun tersebut juga telah pun ditahan di perkarangan IPD Kulai pada jam 1 pagi, semalam dan akan direman tiga hari.

Menurut Kamarul, pemandu wanita tersebut turut membuat laporan polis dan mengadu dipukul individu yang sertai konvoi kerta mewah tersebut.

“Seramai 10 individu akan dipanggil untuk memberi kenyataan petang ini berikutan pemeriksaan menerusi kamera litar tertutup (CCTV) di lokasi kejadian mendapati terdapat antara 10 atau lebih individu terbabit dalam insiden kekecohan selain menghalang lalu lintas di lebuh raya berkenaan Jumaat lalu.

“Polis akan membuka tiga kertas siasatan mengikut kesalahan iaitu merusuh, menghalang lalu lintas serta memandu secara melulu,” jelas Kamarul.

Difahamkan, pemandu wanita tersebut telah melanggar sebuah kereta jenis Lamborghini ketika cuba memotong kenderaan konvoi lain.

Kamarul Zaman berkata, siasatan awal mendapati punca insiden tersebut berlaku kerana wanita itu didapati telah panik sebelum berlakunya perlanggaran. – BH

Hakikatnya ramai yang tidak berasa gerun dengan kehadiran kamera perangkap had laju di lebuh raya.

Ini kerana rata-rata hanya akan memperlahankan kereta dan motosikal ketika kamera sudah berada hampir dengan kenderaan masing-masing agar tidak melebihi had kelajuan ditetapkan.

Bagaimanapun, sejurus kamera telah dilintas, pemandu dan penunggang motosikal akan kembali memecut lju.

Bagaimanapun, bagi memastikan senario itu tidak lagi berlaku, kerajaan Sepanyol sedang menguji beberapa kamera yang mampu mengesan kenderaan brek mengejut sewaktu melintas.

Ini bagi memastikan setiap kenderaan yang melalui kamera perangkap had laju benar-benar mematuhi had laju ditetapkan dan bukan sekadar memperlahankan kenderaan di saat akhir bagi mengelak daripada disaman.

Menurut laporan, sistem terbaru itu menggunakan dua kamera yang diletakkan pada jarak yang dekat antara satu sama lain.

Kedua-dua kamera tersebut menawarkan fungsi yang berbeza dengan satu merakam gambar jalan sementara satu lagi jarak kenderaan. Kerajaan Sepanyol mendakwa kamera tersebut juga mampu merakam sekiranya kenderaan yang melintas kembali memecut.

Buat masa ini teknologi tersebut belum lagi kedengaran di negara lain namun dengan kadar kemalangan semakin meningkat di seluruh dunia, tidak hairan jika teknologi seumpama itu akan diperkenalkan di Malaysia tidak lama lagi.

Arkib

Ikuti Kami di Facebook

Ikuti Kami di YouTube