Bikesrepublic

Ujian Dan Ulasan Helmet HJC RPHA 70

 

  • Helmet HJC RPHA 70 ini merapatkan jurang antara helmet sukan sepenuhnya dan helmet touring.
  • Ianya telah dibina berdasarkan prinsip helmet HJC RPHA 11.
    Ringan, selesa, selamat, pada harga yang hebat.
  • HJC Helmet Malaysia juga telah memperkenalkan beberapa buah model yang lain selain dari model RPHA 70 ini – TEKAN SINI untuk melihatnya.

Rasanya ianya tidak perlu dinyatakan yang helmet motosikal telah melalui satu proses evolusi yang berterusan sehinggalah ke zaman sekarang. Di sepanjang proses berkenaan, helmet motosikal telah pun dibahagikan kepada beberapa buah kategori yang berbeza untuk kegunaan yang berbeza. Pupus sudah hari di mana seorang penunggang hanya menggunakan sebuah helmet untuk setiap keadaan yang berbeza (kecuali untuk penunggangan tanah merah).

Pada masa kini, anda boleh mendapati helmet-helmet yang khusus untuk kegunaan atas litar, sport touring, adventure-touringtouring, sport klasik, cafe racer, buatan khas, penunggangan dalam bandar, serta lain-lain jenis penunggangan yang ada.

Kami pilih dua yang pertama.

Sebuah helmet perlumbaan secara idealnya perlulah ringan, stabil pada kelajuan tinggi, dan muat dengan baik sekali. Keselesaan bukanlah keutamaannya, kerana sebagai sebuah helmet perlumbaan ianya perlu melekap rapat pada kepala dan muka penunggang, jika tidak pastinya ia akan bergegar dengan kuat apabila memecut laju di atas jalan litar lurus SIC pada kelajuan tertinggi.

Helmet sport-touring pula, perlulah memberikan keselesaan sepanjang hari, pengudaraan yang baik, dan juga kestabilan yang utuh pada kelajuan tinggi. Terpenting bagi sebuah helmet sport-touring adalah keselesaan, sesuatu yang dikompromikan dalam helmet perlumbaan.

Merapatkan jurang berkenaan bukanlah sesuatu yang mudah, kerana helmet yang terhasil sering kali terpaksa membuat pengorbanan pada salah satu ciri berkenaan. Jadi bagaimana? Anda perlukan kedua-duanya. Yang mana perlu anda korbankan?

Perlukah anda korbankannya?

Dibina di atas asas kukuh helmet perlumbaan HJC RPHA 11 (TEKAN SINI untuk mengetahui dengan lebih lanjut), helmet HJC RPHA 70 dibina dengan tujuan untuk menyatukan dua konsep berkenaan ke dalam sebuah pakej berprestasi tinggi.

Seperti mana yang boleh didapati pada RPHA 11, tempurung RPHA 70 ini telah diperbuat daripada apa yang dinamakan oleh HJC sebagai material “Premium Integrated Matrix Plus (PIM+)”, yang terdiri daripada bahan-bahan seperti karbon fiber, Aramid, gentian kaca, dan Kevlar; menghasilkan sebuah tempurung yang ringan serta kukuh. EPS-nya mempunyai ketumpatan berbeza di sekeliling helmet berkenaan.

Kesan-kesan falsafah rekaan RPHA 11 dapat dilihat pada RPHA 70 ini pada palang dagunya yang tinggi, rekaan tempurung yang aerodinamik, pelindung muka yang tepat secara optikal 2D beserta dengan kunci yang terletak di tengah (yang mana ia kongsi bersama dengan RPHA 11), dan pad dalaman, dan juga pad pipi yang boleh ditanggalkan semasa kecemasan.

Ciri-ciri sport-touring pula termasuklah pelindung matahari dalaman ‘drop-down‘ dan lubang udara yang besar pada palang dagu serta di atas kepala. Terdapat juga keratan yang dalam untuk keselesaan telinga anda, yang dikedapkan dengan pad. Tanggalkan pad berkenaan dan anda akan dapat satu pad velcro dalaman yang boleh anda lekapkan speaker Bluetooth anda (satu ciri yang dinantikan penulis).

Pad pipinya tebal dan panjang. Terdapat alur cermin mata pada kedua-dua belah sisinya – sesuatu yang pastinya amat dihargai oleh pemakai cermin mata. Pad atas kepalanya juga tebal dan seakan-akan terapung beberapa milimeter di atas lapisan EPS dalaman.

Peluang pertama yang kami dapat untuk menguji helmet RPHA 70 ini adalah ketika satu tunggangan ke Pulau Pinang bagi meliputi acara BMW Motorrad Nightfuel (TEKAN SINI untuk membaca laporan kami mengenai acara berkenaan). Kami telah menunggang pelbagai jenis motosikal termasuklah tiga varian R nineT, sebuah motosikal lumba naked S 1000 R, sebuah motosikal tourer K 1600 GT, dan sebuah motosikal roadster ringan G 310 R. Ini bermakna kebanyakan motosikal yang kami tunggangi tidak mempunyai reraup untuk perlindungan angin.

Motosikal BMW S 1000 R memang laju! Anda sedang bersiar di atasnya pada tahap kelajuan 60km/j dalam gear keenam, dan apabila anda pulas pendikitnya, secara tiba-tiba anda telah berada di tahap kelajuan 180km/j! Tetapi anda tiada perlindungan angin. Di sinilah masanya helmet RPHA 70 ini menunjukkan kebolehannya. Ia kekal stabil tanpa sebarang goyangan, dan juga ianya tidak terasa seperti ingin mencabut kepala sewaktu kami menyelekoh. Selain itu, ia melawan rintangan yang menolaknya ke atas mahu pun bawah.

Sep telah menguji motosikal BMW G 310 R di sepanjang perjalanan ke Pulau Pinang (dengan kelajuan tertingginya menghampiri tahap 170km/j) dan dia juga telah melaporkan yang helmet RPHA 70 ini stabil.

Helmet HJC RPHA 70 ini juga agak senyap pada kelajuan tinggi walaupun tanpa menggunakan plag telinga, dan ini bermakna saya tidak perlu meninggikan bunyi alat komunikasi Bluetooth saya, dan ianya sememangnya pengalaman yang menyenangkan dengan plag tersisip kemas di telinga.

Pelindung matahari dapat diturunkan dan dinaikkan dengan pantas apabila diaktifkan menggunakan satu suis di bahagian bawah sebelah kiri palang dagu. Seperti pelindung muka utama, pelindung matahari itu tepat secara optikal, dan ini bermakna ia tidak akan membuatkan anda pening kepala akibat terpaksa menyesuaikan mata dengan perubahan optik. Satu-satunya rungutan yang saya ada dengan pelindung matahari ini adalah bahagian bawahnya terjatuh kembali sedikit apabila dinaikkan, tetapi Sep tidak menghadapi masalah ini.

Aliran udara menggunakan Advanced Channelling System (ACS) boleh digambarkan sebagai baik dan mencukupi. Udara yang masuk melalui lubang udara dagu dihalakan ke atas ke arah pelindung muka. Lubang udara dagu tambahan yang lebih kecil menghalakan aliran udara terus ke dagu dan mulut pemakai (suisnya di bahagian dalam). Dengan lubang udara atas tengah terbuka, pemakai akan dapat merasai aliran udara yang sejuk menghembusi di atas kepalanya.

Kami telah bertembung dengan hujan sewaktu dalam perjalanan ke Pulau Pinang, dan kami rasakan tiada yang lebih teruk daripada ini yang akan kami lalui.

Pada petang yang sama, Kami menunggang dari hotel kami di Gurney Drive ke tapak acara bersebelahan dengan Jambatan Pulau Pinang yang baru, dan di sinilah kami dibadai dengan ribut hujan yang paling teruk pernah kami alami. Tidak sempat kami tutup lubang udaranya tetapi nasib kami baik, tiada air yang masuk dan pelindung mukanya kekal jelas kerana kami telah pasangkan lensa anti-kabus yang disertakan dengan kotaknya.

Semenjak itu, ka mana sahaja kami gunakan helmet berkenaan, termasuklah tunggangan di dalam bandar dalam semua keadaan cuaca dan pada setiap masa dalam satu hari. Seperti kebanyakan helmet ‘fullface‘, udara di dalamnya boleh terasa agak menyesakkan pada hari yang panas namun apa yang perlu dilakukan hanyalah membuka sedikit pelindung muka atau pun tungganglah dengan lebih laju.

Berkenaan dengan penggunaan di atas litar pula; Bukan sahaja helmet HJC RPHA 70 ini patuh piawaian ECE 22.05, tepai ianya juga diperakui oleh FIM. Perakuan FIM bermakna pemakainya boleh menggunakan helmet ini untuk acara perlumbaan yang diluluskan oleh FIM. Ianya belum pernah berlaku sebelum ini, kerana kebanyakan, jika tidak ke semuanya, helmet perlumbaan yang dibenarkan FIM merupakan helmet yang tiada pelindung matahari binaan dalaman.

Ianya benar-benar helmet dua dalam satu pada nilai yang hebat sekali.

Ciri-Ciri:
  • Pembinaan PIM+ (Premium Integrated Matrix Plus)tercanggih: karbon fiber, Aramid, fabrik hibrid karbon-kaca untuk rintangan hentakan yang dipertingkatkan.
  • Pelindung matahari anti-kabus bertinta kelabu yang boleh digunakan dengan pantas.
  • Sistem RapidFire untuk pemasangan dan penanggalan pelindung muka yang pantas dan tanpa alatan.
  • Pad pipi boleh ditanggalkan semasa kecemasan.
  • Bahagian dalaman pelbagai warna dengan fabrik anti-bacteria canggih menawarkan penyejatan lembapan yang dipertingkatkan dan pengeringan pantas.
  • Pad pipi dan atas kepala boleh ditanggalkan dan dibasuh.
  • Pelindung yang tersedia dengan lensa anti-kabus.
  • Dilengkapkan dengan lensa sisipan anti-kabus.
  • Rekaan EPS yang mesra cermin mata.
  • Diperakui ECE 22.05 dan FIM

Galeri Gambar

Co-founder of Bikes Republic and a motoring journalist by night. He is a self described enthusiasts with a passion for speed but instead rides a Harley and a J300. A man of contradictions, he is just as passionate about time off in the quiets as he is about trail braking into turn one at Sepang Circuit on two or four wheels.

Artikel Berkaitan

Arkib

Ikuti Kami di Facebook

Ikuti Kami di YouTube