Bikesrepublic

Marc Marquez Juara Dunia MotoGP 2018!

  • Penunggang Repsol Honda, Marc Marquez telah ditabalkan sebagai juara dunia MotoGP 2018 di Motegi, Jepun.
  • Penunggang berusia 25 tahun dari Sepanyol itu telah berjaya memenangi takhta dunia buat kali ke-tujuhnya setelah Andrea Dovizioso terkeluar dari persaingan berbakikan dua pusingan.
  • Ianya satu pertarungan yang cukup mengujakan di mana Marquez berjaya menggondoli kejuaraan di halaman Honda di Motegi.

Dengan jurang sebanyak 77 mata di hadapan pencabar terdekatnya pada tahun ini (iaitu Andrea Dovizioso dari pasukan pengilang Ducati Team), dan juga dengan kedudukan kelayakan yang paling teruk pada musim ini di atas grid di P6, Marc Marquez dari pasukan Repsol Honda telah dinobatkan sebagai juara dunia MotoGP 2018 di Motul Grand Prix of Japan!

Selepas memenangi 8 perlumbaan dan 5 tempat atas podium yang lain, ianya hanyalah sekadar menunggu masa sebelum penunggang muda dari Sepanyol itu menggondoli takhta kejuaraan dunia yang ke-tujuhnya. Dan ianya lebih membawa makna untuk merangkuli kejohanan tahun ini di halaman Honda di Litar Twin Ring Motegi di hadapan penyokong Jepun dengan takhta kelas premier yang ke-limanya.

Dengan Litar Motegi, halaman Honda ini sebagai tirainya pada hujung minggu, tampak jelas sekali yang tekanan untuk menggondoli kejuaraan dunianya yang berikutnya telah memberi kesan terhadap Marquez. Dia yang sering kali tampak gembira dan sentiasa ceria, nampak lebih ‘pasif’ selepas sesi Q2 petang semalam setelah melayakkan diri di tempat terakhir di barisan kedua.

Ianya jelas sekali bahawa dia perlu melakukan sesuatu yang menakjubkan bagi membolehkannya mengatasi para penunggang yang lain di atas grid, terutamanya Andrea Dovizioso yang berada di P1, diikuti dengan para pesaing hebat yang lain, Johann Zarco (Monster Yamaha Tech 3), Jack Miller (Alma Pramac Racing), Cal Crutchlow (LCR Honda CASTROL), dan Andrea Iannone (Team Suzuki Ecstar) yang melayakkan diri di hadapan penunggang utama pasukan pengilang Honda ini

Dovizioso bermula dengan baik sekali sebaik sahaja lampu merah dipadamkan, namun, Marquez telah berjaya berada di belakang pencabar terdekatnya pada musim ini dalam pusingan pertama perlumbaan ini. Seperti mana yang telah dijangka oleh kebanyakan peminat, ianya satu lagi pertarungan antara jentera Ducati Desmosedici GP18 kendalian Andrea Dovizioso, dan jentera Honda RC213V kendalian Marc Marquez.

Bahagian awal perlumbaan menyaksikan Dovizioso berjaya mengekalkan kedudukan di tempat pertama diikuti oleh Marquez dan Crutchlow. Ia tampak seperti penunggang pasukan pengilang Honda telah bergelut untuk mengekalkan rentak bersama dengan penunggang Ducati dan ada satu ketika di mana Marquez jatuh ke tempat ketiga setelah Crutchlow berjaya memintasnya. Marquez bagaimana pun telah berjaya mendapatkan tempatnya semula dan terus memberikan semula tekanan kepada penunggang Itali yang berada di hadapannya.

Berbakikan 11 pusingan, Marquez telah mengorak langkahnya tetapi hampir kehilangan segalanya sewaktu dia tersasar di Selekoh 9, Dovizioso dengan pantas merebut peluang daripada situasi ini dan mendapat semula tempat pertama pada selekoh yang seterusnya. Aksi ini berterusan sehinggalah pada 4 pusingan terakhir sewaktu Marquez melakukan ‘block pass’ ke atas Dovizioso.

Kejohanan ini akhirnya telah berjaya dirangkul oleh Marquez setelah Dovizioso terbabas dengan baki dua pusingan. Tekanan untuk merapatkan jurang dengan juara dunia MotoGP 2018 ternyata amat membebankan bagi penunggang dari Itali tersebut. Ia menjadi lebih sukar kerana tayar hadapan jentera Ducati Desmosedici GP18-nya adalah pilihan tayar lembut berbanding pilihan tayar medium yang dibuat oleh Marquez.

Walau apa pun jua, ini adalah satu lagi musim yang bersejarah buat Marquez dan Repsol Honda, dan ianya bertepatan sekali mereka meraikan kejohanan 2018 ini di halaman Honda sendiri. Tahniah diucapkan buat Marq Marquez dan Repsol Honda!

https://www.facebook.com/MotoGP/videos/2047769295243411/

Honda Teruja Untuk Pelajari Tentang Ducati Dari Jorge Lorenzo

Sumber imej: MotoGP

Co-founder of Bikes Republic and a motoring journalist by night. He is a self described enthusiasts with a passion for speed but instead rides a Harley and a J300. A man of contradictions, he is just as passionate about time off in the quiets as he is about trail braking into turn one at Sepang Circuit on two or four wheels.

Artikel Berkaitan

Arkib

Ikuti Kami di Facebook

Ikuti Kami di YouTube