Bikesrepublic

Berita Terkini

Sebelum ini, Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump telah membuat keputusan untuk mengadakan sekatan terhadap Huawei kerana menganggap pengeluar telefon pintar itu sebagai satu ancaman kepada keselamatan negara.

Kini, presiden Amerika Syarikat ke-45 itu beranggapan pengeluar kereta Jepun dan Eropah sebagai ancaman baharu negara itu lantas bertindak memberhentikan hubungan perdagangan dengan mereka buat sementara waktu.

Tindakan tersebut mencetuskan rasa kecewa Presiden Toyota Motor selaku pengerusi Persatuan Pengilang Automobil Jepun (JAMA), Akio Toyoda.

Sumber: Automotive News

“Kami kecewa apabila diberitahu sumbangan dan pelaburan termasuk peluang pekerjaan yang disediakan di Ameriaka Syarikat tidak disambut dengan baik.

“Saya cukup kecewa dengan Trump. Sekatan perdagangan ini bukan sahaja akan memberi impak negatif terhadap industri automotif di A.S malah ekonomi,” jelasnya.

Data terbaru menunjukkan syarikat pengeluar Jepun telah melabur lebih USD51 bilion di A.S dan telah menghasilkan lebih 94,000 peluang pekerjaan.

“Data ini jadi bukti sumbangan ahli JAMA kepada A.S. Kami juga yakin kenderaan dan serta sektor pengilangan tidak mengancam keselamatan negara itu,” tambah Toyoda.

Ahli JAMA – Honda, Mazda, Mitsubishi, Nissan, Subaru dan Toyota – memiliki lebih 24 pusat pengilangan dengan 45 pusat penyelidikan dan 39 pusat pengedar di seluruh A.S.

Pada 2018 sahaja, JAMA telah mengeluarkan lebih 3.7 juta kenderaan dan 4.4 juta enjin. Lebih daripada 420,000 kenderaan telah dieksport dari A.S pada tahun sama.

Sejak 1982, pengeluar kenderaan Jepun telah menghasilkan lebih 84 juta kenderaan di AS sahaja.

Sementara itu, Pengarah Urusan JAMA Amerika Syarikat, Manny Manriquez berkata kenderaan Jepun menjadi popular di negara itu disebabkan kualiti pembinaan.

“Pengeluar kereta Jepun terkenal dengan pembinaan kenderaan yang berkualiti dan mampu milik,” katanya.

Sebelum ini, Trump telah memberi tempoh enam bulan kepada Jepun dan Kesatuan Eropah untuk merunding semula perjanjian perdagangan dua hala dengan A.S agar industri kereta Amerika Syarikat dilindungi.

Sempena sambutan Hari Raya yang semakin menghampiri, Polis Diraja Malaysia (PDRM) menggesa agar orang ramai mengisi borang keselamatan sebelum memulakan perjalanan balik kampung.

Borang tersebut yang boleh dimuat turun di SINI, akan memudahkan pihak polis membuat pemantauan di kawasan perumahan agar dapat mengelakkan daripada kejadian jenayah berlaku.

Inisiatif Borang Maklumat Balik Kampung itu sedikit sebanyak dapat mengurangkan kebimbangan orang ramai terhadap rumah dan kenderaan yang ditinggalkan ketika di kampung halaman.

Sumber: Casey Stoner @ Twitter

Menurut pelumba KTM, Johan Zarco, prestasi semasa rakan sepasukan Pol Espargaro menyamai era Casey Stoner ketika bersama Ducati pada 2007.

Espargaro, yang menyertai KTM pada 2017, merupakan pelumba utama di samping rakan sepasukan Bradley Smith selama dua tahun bersama jentera RC16.

Bagi tahun ini, kedudukan Smith kemudiannya digantikan dengan nama besar, Zarco – yang dicanang bakal mengangkat nama KTM ke peringkat lebih tinggi.

Namun sebaliknya berlaku apabila Espargaro yang bertanggungjawab mengutip 31 mata bagi kategori pengeluar musim ini di samping menduduki tempat keenam di GP Le Mans – catatan terbaik KTM musim ini.

“Jika cara saya membawa kebaikan kepada pelumba lain, saya gembira dengan situasi itu.

“Saat seperti ini mengingatkan saya kepada era Casey Stoner. Hanya dia yang berjaya melakar keputusan baik bersama Ducati pada 2007. Ketika ini, Pol (Espargaro) yang berada di depan berbanding pelumba lain.

“KTM juga gembira dengan keadaan semasa tetapi sudah tentu mereka lebih gembira jika kesemua pelumba dapat memberikan keputusan yang lebih baik,”jelas Zarco.

Sumber: Casey Stoner @ Twitter

Stoner menghabiskan masa empat tahun bersama Ducati di MotoGP dan muncul pelumba terbaik dihadapan rakan sepasukan lain – Loris Capirossi, Marco Melandri dan Nicky Hayden.

Dia merekodkan kejuaraan pertama Ducati di MotoGP pada 2007 dan merekodkan 23 daripada 24 kemenangan Ducati ketika itu.

Sementara itu, pelumba muda KTM Tech 3, Miguel Oliviera berkata, pencapaian Espargaro musim ini adalah dalam jangkaan.

“Dia telah bersama jentera KTM selama tiga tahun jadi keputusan yang dilakarnya ketika ini bukan satu kejutan.

“Ini adalah perkara positif buat kami semua dapat menyaksikan seorang pelumba yang berjaya ke depan. Ini membuktikan projek ini berada pada landasan yang betul,” ujarnya.

(SUMBER: Motorsport.com)

Penunggang motosikal yang bertindak menghentak cermin kereta seorang pembantu kedai dalam satu rakaman video ‘dashcam’ yang tular di laman sosial, telah pun ditahan pihak polis, hari ini.

Menurut laporan Harian Metro, suspek berusia 30 tahun itu telah ditangkap anggota Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Serdang, sekitar jam 3 petang.

Ketua Polis Daerah Serdang, Asisten Komisioner Asmadi Borhan berkata pihaknya turut merampas sebuah motosikal dan topi keledar yang digunakan ketika kejadian.

Semalam, tular sebuah rakaman video dashcam – berdurasi 3 minit – yang memaparkan dua lelaki menunggang motosikal sambil berbual. Keadaan itu memaksa kenderaan dipandu mangsa berusia 22 tahun membunyikan hon lalu memintas.

Bagaimanapun, gara-gara tidak berpuas hati, salah seorang lelaki telah mengejar kereta mangsa lalu memberhentikan motosikal dengan mengejut sebelum menghentak cermin bahagian depan milik kereta mangsa.

Saksikan video kejadian di bawah:

 

Ketua Pegawai Eksekutif KTM Industries AG, Stefan Pierer, meluahkan rasa teruja dengan penjualan jentera KTM di benua Eropah.

“Saya berasa amat terkejut. Pasaran Eropah sangat menakjubkan tahun ini,” ulas Pierer, yang menyaksikan penjualan KTM menignkat 10 peratus kepada 261,000 unit berbanding tahun lalu.

Meskipun pada awalnya berasa gusar dengan beberapa senario politik yang melanda benua itu terutamanya Brexit namun keadaan itu tidak menggugat peningkatan penjualan motosikal yang meningkat 21 peratus dalam suku pertama – dengan KTM mendahului pesaing lain.

Pierer menyifatkan data tersebut membuktikan peminat jentera dua roda di Eropah masih meletakkan keyakinan tinggi terhadap jenama KTM.

Sementara itu, Harley-Davidson yang mendominasi pasaran Amerika Utara, menyaksikan penurunan penjualan sebanyak 4.5 peratus dengan KTM merekodkan penurunan 1.1 peratus.

KTM – yang pada masa sama pemegang jenama Husqvarna – telah menggandakan penjualan unit tahunan dalam tempoh lima tahun ini.

Pierer menjangkakan KTM akan mencapai pertumbuhan pendapatan sekitar 1 hingga 5 peratus tahun ini dan tahun depan sebelum pengenalan model baharu yang dijangka akan meningkatkan lagi pertumbuhan kepada 10 peratus pada 2021.

Menjelang 2022, Pierer mensasarkan penjualan unit kepada 400,000 termasuk penjualan jentera KTM oleh rakan kongsi di India, Bajaj Auto Ltd.

Dalam perkembangan sama, Pierer mendedahkan bahawa KTM sedang mempercepatkan proses untuk mengambil alih Pexco, syarikat yang bertanggungjawab menghasilkan basikal dan motosikal elektrik menjelang 2021.

“Motosikal elektrik sedang berkembang pesat. Pasaran ini sedang meletup jadi kami sebagai pengeluar yang besar perlu berada dalam pasaran itu secepat mungkin,” tambahnya.

(SUMBER: Bloomberg)

BMW Malaysia turut memperkenalkan BMW X5 dan X2 M35i setelah selesai melancarkan BMW X4 di majlis berbuka puasa anjuran BMW Group Malaysia, malam tadi.

Versi baharu bagi Sports Activity Vehicles (SAV) dan Sports Activity Coupe (SAC) ini kini tampil lebih berkuasa dan bergaya bagi mereka yang mencari keterujaan tanpa perlu mengorbankan identiti BMW.

“Dalam tempoh empat bulan pertama tahun ini sahaja, kami telah pun membuat lebih 1500 penghantaran BMW X sekaligus membuktikan peningkatan terhadap permintaan model Sports Activity Coupe (SAC) dan Sports Activity Vehicles.

“Kami bertekad mahu memenuhi permintaan itu dengan memperkenalkan BMW X5 dan BMW X2 M35i serba baharu lantas menetapkan petanda aras baharu bagi segmen SAV dan SEC,” jelas Pengarah Urusan BMW Group Malaysia, Harald Hoelzl.

Dibahagian luar, BMW X5 kini tampil lebih sporty dengan chasis yang lebih rendah dan kidney gril yang lebih besar dikelilingi lampu depan Adaptive LED.

Pakej M Sport didatangkan dengan 20 inci rim aloi, M Sport kaliper brek dan logo BMW M bagi meningkatkan lagi gaya sporty keseluruhan.

Seperti X4, model X5 kini juga lebih panjang dan lebar bagi menempatkan ruang yang lebih luas bagi penumpang dan pemandu selain daripada untuk menempatkan enjin 3.0 liter enam silinder.

X5 mampu mencapai kelajuan maksima 243km/j dengan bantuan 340hp dan 450NM. Meskipun bersaiz besar, X5 hanya memerlukan 5.5 saat untuk mencatat kelajuan 0-100km.

BMW X5 xDrive40i M Sport kini boleh menjadi milik anda dengan harga RM640,000.

Arkib

Ikuti Kami di Facebook

Ikuti Kami di YouTube