Sekumpulan mat motor mencetuskan rasa tidak senang pengguna jalan raya apabila sewenang-wenangnya bertindak melalui lorong tol berpalang di Sitiawan, Perak.
Kejadian itu turut dirakam pemandu kereta yang melalu jalan terbabit dan telah dimuat naik ke laman Facebook Info Roadblock JPJ/POLIS.
Video berdurasi 30 saat itu memaparkan sekumpulan penunggang motosikal telah menggunakan laluan tol berpalang bagi mengelakkan dari menggunakan laluan motosikal.
Berang dengan kejadian itu, seorang pegawai keselamatan yang bertugas menghempuk helmet salah seorang daripada penunggang terbabit sebelum menyuruh penunggang lain untuk tidak menggunakan laluan terbabit.
Video tersebut turut menerima pelbagai reaksi daripada netizen dengan rata-rata menyokong tindakan ‘pak guard’ terbabit di samping menyelar kelakuan kumpulan mat motor itu.
PROTON membuka tirai tahun 2020 dengan langkah kanan apabila merekodkan penjualan lebih 8,506 unit sekaligus mempamerkan 20.2 peratus peningkatan berbanding tahun lalu.
Ini juga merupakan angka penjualan tertinggi direkodkan PROTON dalam tempoh empat tahun.
Kedudukan PROTON dalam pasaran turut meningkat kepada 19.5 peratus, naik 4.9 peratus berbanding tempoh sama tahun lalu.
Menariknya, penjualan PROTON kekal kukuh meskipun bulan Januari menyaksikan sambutan Tahun Baharu Cina lantas berjaya mengekalkan posisi penjualan kedua tertinggi.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif PROTON, Dr Li Chunrong, berpuas hati dengan kejayaan PROTON pada Januari.
“Ini merupakan permulaan baik bagi menyambung kejayaan pada 2019. Januari menjadi bulan yang sukar tetapi kami masih melakukan yang terbaik,” jelasnya.
Proton X70 kekal terajui segmen SUV dengan 1,366 unit telah didaftarkan sementara Saga kekal sebagai model popular dengan 3,871 unit dijual.
Penjualan Proton Persona turut meningkat dua kali ganda berbanding tahun lalu dengan 2,109 unit telah pun diserahkan kepada pelanggan sementara Proton Iriz merekodkan 785 penjualan sekaligus menandakan peningkatan lebih 456 peratus.
Saingan Formula E yang dijadualkan berlangsung di Sanya, China, bulan depan telah dibatalkan susulan kebimbangan penularan wabak coronavirus.
FIA dalam satu kenyataan mendedahkan tarikh baharu akan diumumkan kelak seandainya situasi di negara itu pulih seperti sedia kala.
Setakat ini, angka kematian telah pun mencapai 300 dengan lebih 14,000 disahkan menghidapi wabak coronavirus ini sejak kes pertama disahkan pada hujung tahun lalu.
Sementara itu, keputusan pembatalan ini dibuat bersama dengan FIA dan persekutuan automobil China bagi menjaga keselamatan dan kesihatan setiap individu yang terlibat dengan kejohanan Formula E.
Sekiranya wabak coronavirus berlarutan, tumpuan akan terarah kepada penganjuran Formula 1 yang dijadualkan berlangsung pada 19 April ini.
Sukan F1 mempunyai daya tarikan lebih tinggi dengan lebih 100,000 pengunjung dijangka hadir.
Difahamkan, FIA akan memantau keadaan di China sebelum sebarang keputusan rasmi diumum.
Ketika Dato’ Razlan Razali merekrut Franco Morbidelli bagi pasukan Petronas Yamaha Sepang Racing Team (SRT), dia dilihat sebagai masa depan baharu MotoGP dan Yamaha.
Bagaimanapun, ketika tahun 2019 sepatutnya menjadi milik Morbidelli, sebaliknya yang berlaku apabila pelumba berusia 25 tahun itu tenggelam di sebalik bayang-bayang rakan sepasukan, Fabio Quartararo, yang lima tahun lebih muda.
Fabio Quartararo
Meskipun mendapat jentera YZR-M1 dengan spesifikasi kelas A berbanding kelas B yang diguna pakai Quartararo, Morbidelli gagal memberi saingan malah dibezakan 77 mata dengan rakan sepasukannya di akhir musim 2019.
Quartararo merekodkan tujuh podium dan enam petak pertama di samping menamatkan musim lalu dikedudukan kelima keseluruhan.
Pernah diangkat sebagai ‘pengganti’ Valentino Rossi, lagenda MotoGP itu turut melabelkan Morbidelli sebagai protege yang mampu menggugat kedudukannya musim lalu.
Valentino Rossi
“Dia menunjukkan aksi yang mantap ketika penampilan pertama bersama jentera Yamaha. Saya yakin tahun depan dia mampu memberi saingan.
“Dia cukup gemar dengan Yamaha, kerana jentera ini mesra penunggang,” katanya dalam satu temubual bersama Autosport pada 2018.
Memasuki tahun 2020, tugas berat menanti Morbidelli apatah lagi Quartararo disahkan akan ke pasukan factory Yamaha bergandingan dengan Maverick Vinales pada 2021.
Persoalannya, apakah nasib Morbidelli?
Jika Rossi membuat keputusan untuk bersara hujung musim 2020 bersama Yamaha, kedudukan Morbidelli di Petronas SRT mungkin terselamat namun jika Rossi memutuskan untuk kekal semusim lagi di MotoGP, Petronas Yamaha SRT menjadi destinasi paling relevan.
Luca Marini
Tambahan pula, terdapat desas-desus Luca Marini daripada SKY Racing Team VR46 Moto2 mungkin akan ke Petronas Yamaha bagi musim 2021.
Tidak hairan jika bagi 2021, Petronas Yamaha mempertaruhkan Rossi-Marini.
Melainkan, Morbidelli membuka diari 2020 dengan prestasi meyakinkan sepertimana dilakukan Quartararo musim lalu.
Peluang pertama Morbidelli akan hadir ketika ujian pra-musim rasmi MotoGP di Litar Antarabangsa Sepang pada 7 hingga 9 Februari ini.
Jenama motosikal yang pernah terkenal pada suatu ketika, Cagiva, akan kembali semula dengan memperkenalkan beberapa jentera baharu.
Bagaimanapun, Cagiva akan dilahirkan semula sebagai syarikat motosikal elektrik seperti yang dilaporkan electrek.co.
Ditubuhkan pada 1978, Cagiva menempah nama selaku pengeluar motosikal Itali yang popular namun beberapa kali melalui penstrukturan semula sebelum menjadi anak syarikat milik MV Agusta.
Tahun 2012 merupakan tahun akhir Cagiva menghasilkan model baharu.
Sementara itu, MV Agusta sendiri turut bergelut dengan masalah kewangan namun kembali stabil dibawah pimpinan Presiden Timur Sardarov.
Tatkala masa depan MV Agusta tampak positif, mereka kini bercadang untuk melibatkan diri dalam penghasilan motosikal elektrik dan berniat menghidupakan jenama Cagiva sebagai pelopor utama syarikat dalam arena itu.
Difahamkan, Cagiva akan memperkenalkan jentera elektrik baharu dalam tempoh 12 bulan akan datang.
Baru-baru ini, Sardarov mendedahkan pihaknya akan menjalinkan kerjasama dengan syarikat berpangkalan di China, Loncin, dalam menghasilkan jentera MV Agusta 350cc.
VOGE ER 10
Pada masa sama, Loncin turut memperkenalkan sebuah jentera elektrik, VOGE ER 10 yang diperkenalkan kepada umum di EICMA 2019.
Mungkin kerjasama ini sedikit sebanyak akan menyumbang kepada penghasilan jentera elektrik oleh Cagiva? Kongsikan pendapat anda.
Sempena ujian pra-musim rasmi ‘Winter Test’ yang akan membuka tirai pada 7 Februari ini, Aprilia mendedahkan jentera RS-GP 2020 ketika sesi ujian awal di Litar Antarabangsa Sepang (SIC).
RS-GP 2020 bakal menjalani sesi ujian awal di SIC pada 2-4 Februari sebelum ujian pra-musim rasmi berjalan pada 7 hingga 9 Februari ini.
Sumber: Aprilia
Menariknya, jentera ini turut memaparkan nama kesemua lelaki dan wanita daripada Noale Racing Department.
Perubahan paling ketara berada di sebalik fairing dengan enjin V4 90 darjah serba baharu di samping tampil lebih aerodinamik dan ringan di tambah dengan dua winglet di bahagian depan.
Sumber: Aprilia
Jentera RS-GP 2020 ini akan menerjah SIC menerusi dua pelumba, Aleix Espargaro dan Bradley Smith.