Next Bike Sdn Bhd, selaku pengedar Ducati di Malaysia telah memeterai perjanjian kerjasama dengan Lenovo Malaysia.
Lenovo merupakan rakan teknologi bagi pasukan MotoGP Ducati.
Susulan kerjasama ini, Lenovo Malaysia menyerahkan tiga unit Lenovo Ducati 5 edisi terhad kepada pusat pameran Ducati Malaysia untuk digunakan oleh pengunjung.
Ducatisti yang singgah ke pusat pameran boleh menikmati Lenovo Ducati 5 seperti yang ditawarkan kepada pasukan Ducati MotoGP sewaktu menunggu jentera siap diservis.
“Next Bike sentiasa mengutamakan keperluan pelanggan kami bagi menjaminkan perkhidmatan terbaik kepada Ducatisti di Malaysia.
“Kami percaya kerjasama ni akan terus meningkatkan pengalaman pelanggan di pusat pameran kami di Petaling Jaya,” jelas Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Automotif, Kumpulan Naza, Nik Hamdan Nik Hassan.
Ducati telah pun menjalinkan kerjasama denga Lenovo sejak April 2008 yang turut membawa kepada penghasilan Lenovo Ducati 5 edisi terhad yang diperkenalkan di CES 2020 awal tahun ini di Las Vegas, Amerika Syarikat.
Seperti Ducati, Lenovo Ducati 5 merupakan laptop yang menawarkan ciri pantas, berprestasi tinggi serta inovasi baharu.
Orang ramai boleh mendapatkan Lenovo Ducati 5 ini dengan harga RM3,999 menerusi laman sesawang http://www.lenovo.com/my/en namun pelanggan Ducati dan ahli Desmo boleh mendapatkan laptop ini pada harga istimewa, RM3,519.
Volkswagen Passenger Car Malaysia (VPCM) melancarkan tiga model baharu di One Utama, hari ini.
Tiga model tersebut membabtikan Arteon R-Line serta Passat R-Line dan SUV 7-tempat duduk, Tiguan Allspace.
Volkswagen Arteon R-Line – dari RM220,043
Arteon R-Line merupakan model fastback lima pintu yang menawarkan rekaan avant-garde dengan pemanduan dinamik di samping mencerminkan nama ‘Art’ menerusi kesinambungan rekaan sekaligus mencerminkan model premium.
Meskipunt tampil sporty namun Arteon R-Line ini menawarkan ciri praktikal antaranya ruang letak barang berkapasiti 563 liter yang mudah diakses menerusi Easy Open.
Beberapa ciri ditawarkan antaranya:
Dynamic Chassis Control (DCC) dengan Driving Mode Selection
Digital Cockpit – Apple CarPlay
Sistem audio premoum Dynaudio
Arteon R-Line dilengkapi enjin turbo 2.0TSI dan kotak gear klac berkembar basah direct shift 7-kelajuan (DSG) yang telah ditambah baik yang mampu menghasilkan 190hp dan 320Nm untuk pengalaman pemanduan dinamik.
Sementara itu, Pengarah Urusan VPCM, Erik Winter turut berkongsi rasa teruja dengan pelancaran model ini.
“Arteon yang mengagumkan ini tidak perlu diperkenalkan lagi. Inilah model yang sememangnya ditunggu-tunggu oleh rakyat Malaysia.
“Sebagai model utama kami yang baru, Arteon nyata menaikkan lagi jenama Volkswagen kerana ia memiliki rekaan yang cantik, berprestasi tinggi dan memiliki fungsi terbaik. Pada masa yang sama menawarkan eksklusiviti. Dengan pakej R-Line, ia membuatkan Arteon lebih sporty,” jelasnya.
Tiguan Allspace merupakan SUV 7-tempat duduk yang kini didatangkan dengan dua varian; TIguan Allspace Highline 1.4TSI dan Allspace R-Line 2.0TSI.
Model yang dipasang di Pekan, Pahang ini tampil dengan ‘wheel base’ yang lebih panjang sekaligus menjaminkan keluasan yang lebih baik berbanding model sebelumnya.
Tiguan Allspace ini menawarkan ruang letak barang seluas 700L ketika tempat duduk baris ketiga dilipat dan 1,775L sekiranya barisan kedua juga turut dilipat.
Sementara itu, varian R-Line didatangkan dengan rim aloi Sebring berukuran 19 inci di samping menawarkan kuasa dan tork paling tinggi dalam kelasnya, malah model ini turut dilengkapi sistem pacuan empat roda 4Motion.
Tiguan Allspace Highline menggabungkan enjin turbo pancitan terus 1.4TSI dengan kotak gear klac basah direct shift 6-kelajuan (DSG) yang menjana kuasa 150hp dan 250Nm.
SUV ini juga menawarkan penggunaan bahan api sekitar 7.3L/100km.
Ruang dalam juga tidak kurang hebat dengan ciri Digital Cockpit dan sistem infohibur Discover Pro infotainment 9.2 inci.
Volkswagen Passat R-Line (diantara RM200,000 hingga RM210,000)
Sementara itu, VPCM turut mendedahkan Passat R-Line serba baharu yang kini dibuka untuk tempahan.
Passat R-Line tampil dengan kemasan yang sporty hasil daripada rekaan bampar hadapan dan belakang R-Line baharu, lencana sisi R-Line, kemasan krom dan rim aloi Verona bersaiz 19 inci.
Ruang dalaman disajikan dengan kemasan R-Line dapat dilihat dengan jelas menerusi penggunaan kulit Nappa hitam gayaan karbon pada tempat duduk, stereng dan pedal sports aluminium.
Model ini dikuasakan oleh enjin turbo 2.0TSI baharu yang mampu menjana 190hp dan 320Nm.
Enjin itu juga dipadankan dengan kotak gear klac berkembar basah direct shift (DSG) 7-kelajuan yang telah ditambah baik.
Passat R-Line juga dilengkapi dengan ciri keselamatan yang telah dipertingkat menerusi ciri Side Assist dengan jarak pengesanan lebih 180 darjah di samping Rear Traffic Alert.
Model ini juga dilengkapi dengan Discover Pro Volkswagen bersama skrin sentuh bersaiz 9.2 inci.
Orang ramai yang berminat boleh mula membuat tempahan di pengedar sah Volkswagen seluruh negara atau layari www.volkswagen.com.my untuk maklumat lanjut.
Thailand dijangkakan akan terus menutup sempadan negara itu daripada kunjungan pelancong sehingga 2021.
Perkara itu didedahkan sendiri Timbalan Gabenor Badan Pelancongan Thailand (TAT), Chattan Kunjara Na Ayudhya.
Menurutnya, kerajaan negara itu belum mengadakan sebarang perbincangan mengenai pembukaan semula sempadan negara (keluar dan masuk) ketika mesyuarat mingguan Covid-19.
“Tiada tanda-tanda daripada kerajaan bahawa kami akan membuka sempadan tahun ini. Senario ini memberi kesan terhadap industri pelancongan,” jelasnya.
Bulan lalu, Thailand bercadang untuk memperkenalkan ‘travel bubbles’ – beri fokus pada sesetengah pelancong sahaja – namun perancangan itu tidak dilaksanakan susulan negara yang menjadi sasaran terjejas teruk dengan Covid-19.
Sementara itu, Thailand yang dilihat menjadi destinasi pelancong di Malaysia terutamanya penunggang motosikal yang sering ke negara itu perlu membatalkan sebarang perancangan dalam masa terdekat.
Setakat ini kebenaran memasuki sempadan Thailand hanya diberikan kepada diplomat dan pegawai petugas Bangsa-Bangsa Bersatu (UN), ahli perniagaan, pelabur berdaftar, kru filem, pekerja asing, petugas pameran dan pemegang visa Thailand Elite.
Bagaimanapun, kumpulan ini harus menjalani kuarantin wajib selama 14 hari. – TheThaiger
Pelumba Ducati Factory, Andrea Dovizioso meluahkan rasa tidak puas hati terhadap prestasi jenteranya apabila sekadar menamatkan aksi GP Republik Czech di kedudukan ke-11.
Rakan sepasukan, Danilo Petrucci juga mempamerkan tunggangan hambar apabila sekadar mendapat tempat ke-12 di Brno.
Bagaimanapun, nasib lebih baik menimpa pelumba pasukan satelit Ducati, Johann Zarco yang mendapat tempat ketiga setelah bermula di petak pertama.
Johann Zarco
Jack Miller, dari pasukan Pramac Racing turut menamatkan perlumbaan di kedudukan ke-9 sekaligus menandakan keputusan lebih baik berbanding pasukan Factory Ducati.
Jack Miller
Situasi itu membuatkan Dovizioso seakan tidak berpuas hati dengan jenteranya.
“Kami perlu cuba memahami apa yang berlaku, kami perlu mendapatkan seseorang yang boleh mengenal pasti apa yang sedang berlaku.
“Pecco (Bagnaia) cukup laju ketika di Jerez dan kali ini giliran Zarco, kami perlu mengkaji data mereka dan cuba mengesan apa yang perlu kami lakukan.
“Harapnya sebelum aksi di Austria kami akan menjumpai jawapan,” jelasnya.
Andrea Dovizioso
Namun, Dovizioso tidak berselindung daripada kekecewaanya dengan apa yang menimpa setakat ini.
“Ini merupakan kali kedua (selepas Bagnaia) seorang pelumba Ducati yang menggunakan tetapan berbeza menamatkan perlumbaan di kedudukan lebih baik berbanding kami.
“Kami telah mengambil segala pengalaman dalam tempoh tiga tahun ini untuk mencapai keputusan yang baik. Kami telah melakukan pelbagai perubahan dan mendapat keputusan yang disasarkan namun kali ini tiada apa yang menjadi,” tambahnya.
Aksi MotoGP kembali bersambung hujung minggu ini di Austria.
Penggunaan telefon bimbit semasa memandu kereta atau menunggang motosikal merupakan satu kesalahan dan boleh dikenakan tindakan kompaun RM300.
Bagaimanapun, menerusi perkongsian terbaru Polis Diraja Malaysia (PDRM) di Facebook, mana-mana individu yang didapati menggunakan telefon bimbit semasa memandu akan dihadapkan terus ke mahkamah.
Ini kerana, bermula 6 Julai 2020, kesalahan di bawah kaedah 17A, LN166/59 telah dikategorikan sebagai saman tidak boleh dikompaun dan kes perlu diselesaikan di mahkamah.
Pelaku juga akan berdepan denda sehingga RM1,000 atau penjara tiga bulan bagi kesalahan pertama manakala sabitan kali kedua akan dikenakan denda RM2,000 atau penjara tidak melebihi enam bulan atau kedua-duanya sekali.
MotoGP mengumumkan Litar Portimao, Portugal menjadi venue pusingan akhir aksi MotoGP musim 2020.
Desas-desus mengenai Portugal menjadi tuan rumah pusingan akhir musim 2020 mula bertiup minggu lalu.
Perkara itu bagaimanapun disahkan sendiri Presiden FIM, Jorge Viegas yang akan menganjurkan perlumbaan tersebut pada 20 hingga 22 November ini.
“Kami dengan bangganya mengumumkan MotoGP akan kembali ke negara saya (Portugal) lapan tahun selepas penganjuran terakhir di Litar Estoril pada Mei 2012.
“Saya mahu berterima kasih kepada Dorna, Autodromo Internacional do Algarve dan Persekutuan Motosikal Portugal kerana berjaya mencapai syarat untuk menjadikan Portugal venue perlumbaan akhir MotoGP musim 2020,” jelasnya.
Ini merupakan kali pertama kejuaraan MotoGP kembali ke Portugal sejak 2012.
Litar Portimao menghadirkan pengalaman unik bagi pelumba tatkala menawarkan permukaan seakan naik dan turun bukit susulan susun atur yang ‘old-school’.
Portimao telah berada dalam senarai simpanan MotoGP sejak 2017 dan telah pun menjadi tuan rumah WorlSBK sejak 2008 sekaligus menjadikan venue ini sesuai untuk perlumbaan MotoGP.