Bikesrepublic

Berita Terkini

Baru beberapa hari dilantik Menteri Pengangkutan, YB Anthony Loke terus bergegas menjalankan tugas apabila merasai sendiri kepayahan ditanggung rakyat yang menaiki LRT pada waktu puncak.

Anthony Loke dalam satu perkongsian di Facebook, telah menaiki LRT Laluan Kelana Jaya pada jam 5 hingga 7 petang.

Menariknya, beliau menaiki LRT tersebut secara sendiri dan bukannya sebagai acara rasmi. 

Sambil mengenakan topi dan pelitup muka serba hitam, Loke akui mahu merasai kesulitan orang ramai. 

“Saya tidak memaklumkan kepada pihak pengurusan Prasarana dan pihak media kerana saya nak mengalami sendiri keadaan sebenar seperti penumpang-penumpang biasa untuk merasai apa  yang mereka perlu lalui setiap hari.

“Saya memahami kesulitan yang dihadapi oleh penumpang LRT. Saya akan mengadakan mesyuarat dengan pengurusan tertinggi Prasarana dalam minggu ini juga untuk membincangkan halatuju dan cara untuk menambahbaik perkhidmatan pengangkutan awam kita,” jelasnya di Facebook.

Sementara itu, tindakan secara senyap-senyap itu mendapat pujian netizen yang membanjiri ruangan komen. 

Sebanyak 87 kes kecurian motosikal yang dilaporkan di Pulau Pinang dan Kedah berjaya diselesaikan dengan tangkapan dua lelaki di Butterwoth, Pulau Pinang dan Padang Besar, Perlis, baru-baru ini.

Suspek berusia 41 dan 46 tahun itu berjaya diberkas menerusi Op Lejang Wave Alpha yang diadakan pada hujung November lalu. 

Menurut Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah Asisten Komisioner Tan Cheng San, kedua-dua suspek menjadikan tapak letak motosikal di stesen kereta api Bukit Mertajam dan Bukit Tengah sebagai sasaran utama.

“Melalui siasatan yang dijalankan, suspek akan hantar sendiri motosikal curi ke negara jiran menggunakan nombor plat pendaftaran miliknya bagi mengaburi mata pihak berkuasa melalui jalan sah,” jelasnya.

Berdasarkan petikan HMetro, suspek menjadikan Honda Wave Alpha sebagai sasaran utama dan menjual motosikal tersebut di negara jiran, Thailand ekoran terdapat permintaan tinggi.

Difahamkan, pihak polis juga berjaya mengenal pasti orang tengah yang terlibat menjual motosikal curi kepada pembeli di Thailand. – HMetro

Baru-baru ini, MV Agusta mencuri tumpuan apabila disahkan telah menjalinkan kerjasama erat dengan pengeluar motosikal Austria, KTM. 

KTM menerusi syarikat induk, Pierer Mobility telah membeli saham MV Agusta sebanyak 25.1 peratus. 

Perkembangan itu menyaksikan KTM akan membantu meluaskan jaringan pengedar MV Agusta di Eropah dan pasaran Amerika Utara.

Sebelum itu, MV Agusta juga telah memeterai kerjasama dengan QJMotor bagi pembangunan motosikal ADV, Lucky Explorer 5.5 yang mengguna pakai enjin Benelli TRK502. 

Namun, dalam perkembangan terbaru, MV Agusta turut berminat menerjah pasaran motosikal elektrik apabila menjalinkan kerjasama dengan pengeluar skuter Taiwan, Kymco.

Sewaktu pameran motosikal EICMA berlangsung di Milan, MV Agusta dan Kymco memperkenalkan Ampelio sebuah skuter elektrik prototaip.

Meskipun hanya prototaip, namun pembangunan skuter elektrik itu telah pun dilakukan sejak dua tahun yang lalu sekaligus memberi bayangan bahawa MV Agusta serius dalam menceburi pasaran itu.

Dibina berasaskan skuter Kymco S7, Mv Agusta Ampelio menawarkan 9.7hp yang dikuasakan dua bateri berkuasa 1.7kWh yang boleh dicas di rumah.

YB Anthony Loke, kembali menerajui Kementerian Pengangkutan setelah namanya tersenarai dalam kabinet baharu yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, pada Jumaat.

Ini bermakna, jawatan tersebut kembali ke pangkuan Loke yang pernah memegang portfolio sama selepas Pilihanraya Umum Ke-14 pada 2018.

Pelantikan Loke sebagai Menteri Pengangkutan turut disambut baik di laman sosial yang rata-rata berpendapat beliau melaksanakan tugas dengan baik sebelum ini. 

Namun, terdapat juga individu yang mengharapkan beberapa perubahan dilaksanakan antaranya berkaitan lesen B2 dan B (full) motosikal, semakan semula cukai jalan kenderaan serta subsidi minyak bagi golongan yang memerlukan.

MODENAS buat julung kalinya menerima penarafan lima bintang MyMAP daripada Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya (MIROS) bagi motosikal MODENAS Ninja 250 ABS dan Z250 ABS.

Penarafan itu diberikan susulan kedua-dua model tersebut berjaya mencapai standard keselamatan yang ditetapkan MIROS termasuk sistem ABS, fungsi klac assist/slipper serta chasis yang ringan. 

Menurut MODENAS, MyMAP secara rasmi memberi penarafan

lima bintang kepada kedua-dua model ini sebaik proses penilaian dan audit selesai dijalankan pada Oktober lalu. 

Pada masa sama, Ketua Pegawai Eksekutif MODENAS, Roslan Roskan, kongsi rasa teruja dengan penarafan tersebut.

“Kami di MODENAS amat berbangga dengan pengiktirafan yang telah dianugerahkan pada kedua-dua model Modenas Ninja 250 dan Modenas Z250 versi ABS. 

“Kedua model ini merupakan motosikal pertama yang menerima penarafan 5 bintang MyMAP bagi segmen Naked Bike dan Sports Bike bersasaran 250cc. 

“Dengan itu, kami amat berharap para pembeli akan lebih cakna dalam membuat keputusan ketika membeli motosikal dana lebih mementingkan teknologi keselamatan yang ditawarkan pada setiap motosikal mereka,” jelasnya.

Untuk rekod, MODENAS Ninja 250 ABS dan Z250 ABS antara model yang dijenamakan semula daripada Kawasaki dan dipasang sepenuhnya kilang MODENAS di Gurun, Kedah.

MODENAS Ninja 250 ABS dan Z250 ABS dikuaskan platform ‘parallel-twin’ 249cc DOHC, dengan penyejukan cecair yang menghasilkan 36hp pada 12,500rpm dan 23Nm pada 10,000rpm.

Kedua-dua model ini dipasarkan pada harga RM20,500 dan RM19,500

Jurutera dari Massachusetts Institute of Technology (MIT) berjaya menghasilkan pembesar suara senipis kertas yang berupaya menukar sebarang permukaan kepada sumber audio aktif.

Pembesar suara nipis itu menghasilkan bunyi dengan gangguan minima dengan menggunakan sedikit sahaja tenaga berbanding pembesar suara konvensional.

Berdasarkan video yang dikongsikan, pembesar suara yang dipamerkan itu hanyalah sebesar tapak tangan dan lebih ringan daripada syiling satu sen.

Bagaimanapun, filem nipis itu boleh menghasilkan bunyi berkualiti tinggi tidak kira dengan bahan apa yang digabungkan. 

Ini secara tidak langsung memungkinkan teknologi baharu itu diaplikasikan pada sektor lain terutamanya automotif. 

Untuk rekod, filem yang digunakan bagi menghasilkan bunyi tersebut bergantung pada bulatan kecil yang terdapat pada lapisan ‘piezoelectric’. Bulatan kecil itu akan bergetar secara individu ketika aliran elektrik disalurkan sekaligus menghasilkan bunyi. 

Sementara itu, projek pembangunan oleh MIT ini sebahagiannya ditaja oleh Ford Motor Company sekaligus memberi bayangan bahawa teknologi pembesar suara baharu ini akan diguna pakai pada kenderaan pada masa akan datang. 

Arkib

Ikuti Kami di Facebook

Ikuti Kami di YouTube