Bikesrepublic

Berita Terkini

Pelumba Ducati, Andrea Dovizioso, akan meninggalkan jentera dua roda buat sementara waktu  untuk beraksi dalam Deutsche Tourenwagen Masters (DTM) bersama Audi RS 5 dalam dua perlumbaan DTM di Misano, Itali pada 8 dan 9 Jun ini.

Ketua Audi Motorsport, Dieter Gass tidak dapat menyembunyikan keterujaannya mengenai berita ini.

“Saya amat teruja kerana kami berjaya mendapatkan bintang sukan permotoran sebagai pelumba jemputan di DTM. Pelumba MotoGP dianggap wira di Itali. Andrea juga berasal dari Misano, dia juga menjuarai GP Misano tahun lalu sekaligus kehadirannya akan menarik lebih ramai peminat.

“Kami juga tidak sabar untuk menyaksikan penampilan sulungnya di DTM. Apatah lagi dia sanggup mencuri masa di antara dua perlumbaan MotoGP untuk beraksi. Saya ingin mengucapkan setinggi terima kasih kepada Ketua Pegawai Pemasaran Ducati, Claudio Domenicali dan Pengurus Besar Ducati Corse, Luigi Dall’Igna yang bersetuju dengan penyertaan Andrea.

“Ini adalah satu penghargaan yang besar buat DTM dan sukan permotoran secara keseluruhan,” jelasnya.

Dovizioso bakal mengikut jejak pelumba motosikal terkenal lain antaranya, John Surtess, Mike Hailwood dan Johnny Cecotto.

“Saya memang meminati kereta jadi saya berasa bertuah kerana dapat berlumba bersama Audi RS 5 DTM.

“Bukan mudah untuk mencari masa untuk menyertai perlumbaan seperti ini apatah lagi ketika saingan MotoGP sedang berlangsung tetapi saya tidak sabar untuk beraksi. Apa yang pasti, perlumbaan jentera empat roda membawa cabaran berbeza jika dibandingkan dengan Desmosedici saya.

“Misano merupakan litar yang istimewa bagi semua pemandu Itali dan saya juga mennjuarai saingan di litar sama musim lalu. Saya berbesar hati dengan peluang yang diberikan,” jelas Dovizioso.

Dovizioso akan mewakili pasukan WRT Team Audi Sport menggantikan Peitro Fittipaldi yang terpaksa melupakan DTM buat seketika ekoran jadual perlumbaan bercanggah dengan Formula 1 di Kanada.

Difahamkan, Kawasaki sedang dalam proses membangunkan jentera motosikal dengan enjin berkapasiti kecil bagi pasaran Asia.

Menurut laporan Zigwheels, jentera terbaru itu akan dijana dengan enjin 250cc in-line empat silinder dan berkemungkinan akan dinamakan Ninja ZX25R. Desas-desus mengatakan Kawasaki telah pun memiliki sebuah jentera prototaip di sebuah fasiliti di Indonesia.

Pelbagai spekulasi timbul dan antaranya mengatakan bahawa jentera baharu ini akan menghasilkan 49hp!

Angka tersebut ternyata lebih tinggi jika dibandingkan dengan Ninja 300 yang hanya menghasilkan 38hp sementara Ninja 400, 48hp.

Dijangkakan model baharu ini akan mendapat tetapan yang bersesuaian dengan litar lumba meskipun diklasifikasikan sebagai jentera ‘entry-level’.

Bukan itu sahaja, motosikal ini turut akan memaparkan ciri premium antaranya lampu LED, konsol digital serta teknologi ‘ride-by-wire’ selain daripada ‘upside down fork’ dan ‘linked monoshock’.

Model baharu ini turut dijangka akan dipamerkan di Tokyo Motor Show hujung tahun ini dan akan dilancarkan di Asia sekitar tahun depan.

Keputusan Kementerian Pengangkutan untuk meminda peraturan cermin gelap dalam satu sidang media yang diadakan semalam mengundang pelbagai reaksi daripada orang ramai termasuk pihak berkuasa.

Meskipun rata-rata menerima baik pindaan baharu itu – yang membenarkan cermin sisi kiri dan kanan bahagian penumpang termasuk cermin belakang boleh digelapkan tanpa had – namun sebaliknya bagi pihak polis.

Menurut laporan Harian Metro, Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (SPT) Bukit Aman, Datuk Azisman Alias meskipun pihaknya menghormati keputusan kerajaan bagaimanapun dia tidak berselindung meluahkan rasa gusar.

Baginya, pengumuman yang dibuat Menteri Pengangkutan YB Anthony Loke akan menyebabkan tugas pihak polis menjadi sukar di samping mengharapkan pihak kerajaan mengambil kira pandangan pihak berkuasa terlebih dahulu.

Dia turut bimbang akan keselamatan anggota polis yang bertugas ekoran kesukaran untuk melihat bahagian penumpang selain daripada menyukarkan pihak berkuasa mengesan kesalahan kecil antaranya menggunakan telefon pintar ketika memandu dan tidak memakai tali pinggang keledar.

Aplikasi e-wallet terbesar di Malaysia, Boost bersama Shell Malaysia dengan rasminya mengumumkan kerjasama yang melibatkan 800 cawangan di seluruh negara.

Kerjasama ini dilihat dapat meningkatkan lagi pengalaman pengguna di setiap stesen minyak Shell dengan menyediakan pilihan alternatif dalam membuat pembayaran.

Gandingan ini – yang telah pun bermula awal April 2019 – boleh didapati di lebih 80 peratus stesen minyak Shell di seluruh negara.

Menuju ke hari pelancaran hari ini, Boost dan Shell Malaysia telah mendapat pelbagai maklumbalas positif sekaligus memacu Shell untuk memastikan aplikasi ini boleh diguna pakai diseluruh 915 cawangan seluruh negara, hujung bulan ini.

Ketua Pegawai Eksekutif Axiata Digital Services Sdn Bhd, Mohd Khairil Abdullah meluahkan keterujaan dalam kerjasama tersebut.

“Boost dilancarkan pada asalnya sebagai pilihan alternatif untuk memudahkan pengguna telefon mudah alih untuk menambah nilai kredi mereka bagaimanapun sejak kami mendapat lesen e-Money dari Bank Negara Malaysia, konsep e-wallet kami mendapat perhatian orang ramai.

“Kami teruja kerana menjadi antara tunggak dalam menuju ke arah masyarakat bebas tunai, selari dengan sasaran kerajaan.

“Kami mahu setiap pelanggan mampu membayar segala barangan dan servis dalam keadaan mudah dan selamat. Untuk itu kami melihat kerjasama ini lebih memudahkan pengguna,” jelasnya.

Sementara itu, Pengarah Urusan Shell Malaysia Trading Sdn Bhd dan Shell Timur Sdn Bhd, Shairan Huzani Husain turut menyambut baik kerjasama ini.

“Pelanggan kami adalah celik digital dan teknologi memainkan peranan penting dalam hidup mereka. Sekaligus, jalinan baharu ini bersama Boost dapat memberikan mereka pilihan dalam membuat pembayaran ketika di stesen minyak Shell.

“Kami di Shell sentiasa mencari jalan terbaik dalam memudahkan urusan peruncitan pelanggan,”ujarnya.

Bagi meraikan jalinan baharu ini, Boost dan Shell menawarkan promosi ekslusif dari 14 Mei hingga 14 Jun 2019 di mana pelanggan boleh menikmati dua kali ‘cashback’ RM5 jika mereka membelanjakan lebih RM40 menerusi Boost e-wallet di stesen Shell terpilih.

Aplikasi Boost boleh dimuat turun di Google Play Store (peranti Android) dan Apps Store (peranti Apple) untuk menikmati kemudahan ini.

Jika anda menghubungkan telefon pintar Android anda kepada sistem infotainment kenderaan dalam masa beberapa bulan akan datang, jangan terkejut sekiranya paparan skrin anda bertukar gelap.

Ini kerana Android Auto, paparan dalam kereta yang dihubungkan kepada telefon pintar anda akan menjalani proses ‘makeover’ pertengahan tahun ini.

Android Auto bekerjasama dengan lebih 500 model kereta daripada 50 jenama antaranya Toyota, yang akhirnya telah menambah aplikasi Android Auto bagi semua model mereka.

‘Interface’dipaparkan kelihatan sama seperti seperti kala bagaimanapun kali ini bar navigasi memaparkan arah, aplikasi lain dan kemampuan ‘quick access’.

Penambahbaikan baharu ini membenarkan anda untuk mengawal senarai lagu Spotify meskipun berada dalam Google Maps.

Sekiranya anda menghubungkan telefon pintar kepada kenderaan anda, Android Auto akan segera menyambung segala aplikasi yang sedang anda gunakan sebelum itu.

Paparan keseluruhan juga lebih gelap dengan tulisan berwarna putih bagi memudahkan pembacaan ketika pemanduan.

Perkembangan terbaru ini akan menjadi sebahagian topik yang akan dibincangan di Google I/O Conference, yang akan berlangsung hujung minggu ini.

(SUMBER: Mashable Asia)

Menteri Pengangkutan, YB Anthony Loke telah mengumumkan pindaan terhadap peraturan lapisan filem atau cermin gelap bagi setiap kenderaan dalam satu sidang media yang berlangsung di Kementerian Pengangkutan Malaysia, hari ini.

Peraturan sedia ada telah menetapkan bahawa ketelusan cahaya tampak bagi cermin hadapan adalah 70 peratus, cermin sisi (kiri dan kanan) bahagian pemandu 50 peratus dan cermin sisi kiri dan kanan bahagian penumpang termasuk belakang adalah 30 peratus.

Pindaan baharu ini membenarkan ketelusan cahaya bagi cermin sisi (kiri dan kanan) penumpang serta cermin belakang boleh dikurangkan daripada 70 peratus – atau dalam bahasa mudah, segelap mana yang dikehendaki.

Namun, ketelusan cahaya bagi cermin hadapan dan cermin sisi kiri dan kanan pemandu masih mengikut peraturan sedia ada – 70 peratus (bagi cermain hadapan) dan 50 peratus bagi cermin sisi kiri dan kanan bahagian pemandu.

Bagaimanapun, pindaan ini hanyalah melibatkan kenderaan milik persendirian sahaja sementara kenderaan berdaftar yang digunakan sebagai pengangkutan awam tidak boleh kurang daripada 70 peratus.

Sementara itu, pemilik kenderaan yang berminat membuat permohonan cermin yang lebih gelap daripada peraturan ditetapkan – atas faktor keselamatan atau kesihatan – akan dikenakan yuran RM50.

Yuran RM5,000 pula akan dikenakan bagi setiap permohonan yang lulus bagi tempoh dua tahun dengan yuran sama dikenakan sekiranya berminat untuk membuat permohonan semula.

Arkib

Ikuti Kami di Facebook

Ikuti Kami di YouTube