Bikesrepublic

Berita Terkini

Sumber: Alex Marquez @ Twitter

Pendahulu kejuaraan Moto2, Alex Marquez tidak akan ke MotoGP musim depan apabila bersetuju untuk kekal bersama Marc VDS di Moto2.

Difahamkan, Petronas SRT Moto2 telah pun membentangkan tawaran bagi pelumba berusia 23 tahun itu tetapi urusan tersebut tidak menjadi ekoran Yamaha keberatan untuk menyerahkan slot dalam pasukan satelit musim berikutnya.

“Saya gembira untuk mengumumkan bahawa saya akan kekal bersama Marc VDS dalam kategori Moto2 musim depan.

“Dengan struktur teknikal baharu, saya akan menggunakan tempoh setahun itu untuk memperbaiki skil saya sekaligus menyiapkan diri untuk beraksi di MotoGP,” jelas Marquez.

Meskipun pengurus Marquez, Emilio Alzamora turut mengadakan perbincangan dengan Pramac Ducati, Marquez menegaskan dia masih mahu keka di Moto2 semusim lagi.

Kontrak baharu ini menyaksikan Marquez akan beraksi dengan Marc VDS untuk musim keenam berturut-turut.

(SUMBER: Autosport)

Mereka yang memiliki pemikiran waras pastinya akan berasa bersyukur jika ibu bapa kesayangan membelikan sebuah kereta BMW M3 sebagai hadiah hari jadi tetapi tidak bagi seorang remaja berusia 22 tahun di India.

Remaja bernama Akash itu bertindak menolak hadiah pemberian ibu dan bapanya ke dalam sungai gara-gara tidak berpuas hati kerana tidak mendapat kereta Jaguar yang dipinta.

Menurut laporan Daily Mail, kereta Jaguar dimintanya itu bernilai 5 juta rupee (RM294 ribu) sementara BMW tersebut sekitar 3.5 juta rupee (RM206 ribu).

Setelah membuang BMW tersebut ke dalam sungai, dia kemudiannya mengambil video tindakannya itu lalu menghantar ke ibu bapanya sebelum memuat naik ke laman sosial.

Rata-rata netizen mengecam tindakannya itu yang disifatkan tidak bersyukur.

Difahamkan, remaja tersebut kemudiannya seakan menyesali tindakannya itu apabila dia turut sama terjun ke dalam sungai untuk membantu mengeluarkan kereta itu.

Agak-agak apa perasaan ibu bapa si remaja “bertuah” itu?

(SUMBER: Daily Mail)

MINI Malaysia memperkenalkan MINI edisi terhad bagi menyambut ulang tahun ke-60 kereta ikonik itu.

Hanya 60 unit ditawarkan bagi pasaran Malaysia yang menampilkan ciri dan rekaan eksklusif bagi meraikan 60 tahun MINI.

Pengarah Urusan BMW Group Malaysia, Harald Hoelzl menyifatkan model edisi terhad ini menyingkap kembali kewujudan MINI sepanjang 60 tahun ini.

“Sepanjang 60 tahun ini MINI telah memikat hati jutaan peminat. MINI Edisi 60 Tahun ini diserlahkan lagi dengan pilihan warna ‘British Green’ sebagai penghargaan kepada MINI British Racing.

“MINI Edisi 60 Tahun ini menonjol dengan rekaan penuh gaya dan berperwatakan namun masih mengekalkan sentuhan asli MINI,” jelasnya.

Model edisi terhad ini didatangkan dengan pelbagai ciri eksklusif antaranya:

  • Bonnet Stripes
  • Logo Projection
  • Door Sill
  • Walknappa Leather Steering Wheel
  • Leather Lounge in Dark Moon
  • Rim 17 inci dengan spoke dua tona

MINI edisi terhad ini didatangkan dengan varian MINI Cooper S 3 Pintu yang turut dilengkapi pakej kelengkapan 60 Years Chili yang terdiri daripada:

  • Lampu depan LED
  • Lampu fog LED
  • Lampu isyarat putih
  • Lampu belakang LED dengan rekaan Union Jack
  • Spoiler

Model khas ini turut didatangkan dengan enjin dua liter empat silinder MINI TwinPower Turbo yang menghasilkan 192hp dan 280NM dan mampu mencapai kelajuan maksima 235km/j.

Penggunan tetapan Sports Suspension turut menjanjikan pengalaman pemanduan mengujakan.

Bagi meraikan ulang tahun ke-60 MINI, pelanggan ang mendaftar MINI Edisi 60 Tahun ini dari sekarang hingga 31 Ogos 2019 berhak menikmati program Servis + Baiki MINI 60 Bulan.

Tawaran ini menjanjikan pelanggan perlindungan servis percuma selama 60 bulan atau 80,000km (mana yang sampai dulu).

Menerusi MINI Financing ditawarkan BMW Group Financial Services Malaysia, pelanggan boleh menikmati MINI edisi terhad ini dengan bayaran bulanan bermula RM3,358!

MINI Edisi 60 Tahun ini ditawarkan pada harga RM255,888.

Desas-desus mengenai kerjasama di antara Triumph dan Bajaj telah timbul sejak 2017 namun penggabungan itu dijangka akan direalisasikan seawal suku ketiga 2020.

Menurut Pengarah Eksekutif Bajaj, Rakesh Sharma – yang memaklumkan Money Control – kedua-dua syarikat tersebut akan menandatangani kontrak formal sekitar suku ketiga 2020.

Sharma menjelaskan segala perkara penting telah pun dimuktamadkan dan kini hanya menanti proses formal.

“Segala persefahaman di antara Bajaj Auto dan Triumph telah dicapai. Semua ini telah pun diserapkan ke dalam kontrak formal yang kini telah memasuki peringkat akhir.

“Bagaimanapun, kami telah pun berbincang mengenai proses pengeluaran dan R&D,” jelas Sharma.

Menurut Money Control, kerjasama ini akan menyaksikan kilang Bajaj di Chakan akan menghasilkan jentera KTM, Husqvarna, Bajaj dan Triumph dari 125cc ke atas.

Bajaj sebelum ini pernah menjalinkan kerjasama dengan Kawasaki namun hubungan itu terlerai apabila mereka beralih ke KTM. Tatkala kerjasama dengan Triumph telah disahkan, Bajaj bakal mampu menawarkan pelbagai pelbagai jenis jentera dengan saiz enjin berbeza.

(SUMBER: Money Control)

Pelumba KTM MotoGP, Johann Zarco mengumumkan dia tidak lagi akan mewakili pasukan berpangkalan di Austria itu selepas menerusi kenyataan yang dikongsi di laman Facebook miliknya.

Zarco mengakui bukan mudah untuknya membuat keputusan tersebut namun memberi jaminan untuk terus berikan yang terbaik untuk baki saingan yang ada.

Beberapa minggu lalu, KTM mengumumkan keputusan membawa masuk Brad Binder dari Moto2 bagi menggantikan wakil tunggal negara, Hafizh Syahrin di KTM Tech3.

Semalam, timbul desas-desus pelumba Pramac Ducati, Jack Miller, akan menggantikan Zarco di KTM dan pengumuman daripada pelumba Perancis itu seakan menguatkan lagi khabar angin tersebut melainkan Pramac bertindak menawarkan kontrak lanjutan kepada Miller.

Toyota Motor Corporation bercadang untuk memperkenalkan ciri keselamatan baharu tahun ini bagi mengelakkan kemalangan yang berpunca daripada kesilapan menekan pedal.

Fungsi terbaru ini direka bagi mengelakkan kenderaan daripada memecut secara tiba-tiba apbila pemandu tersilap menekan pedal minyak.

Perdana Menteri Jepun, Shinzo Abe turut menggesa pengeluar kereta agar mencari jalan untuk mengurangkan kadar kemalangan yang sering berlaku berpunca daripada kesilapan ini terutamanya melibatkan pemandu warga emas.

Tahun lalu, seramai 460 kemalangan direkodkan melibatkan pemandu berusia 75 tahun keatas – menurut data oleh National Police Agency – dengan rata-rata tertekan pedal minyak ketika cuba membrek.

Menurut laporan Bloomberg, Toyota berkemungkinan akan memperkenalkan ciri baharu ini menerusi kereta hibrid yang menjadi pilihan warga emas.

Toyota bercadang untuk mengekalkan kos ciri baharu itu dibawah ¥50,000 (RM1,985).

(SUMBER: Bloomberg)

Arkib

Ikuti Kami di Facebook

Ikuti Kami di YouTube