Seorang lelaki yang berniat untuk menjual kereta bagi mendapatkan kereta yang lebih besar demi keluarga berdepan nasib malang apabila dilarikan si pembeli.
Menurut laporan Harian Metro, mangsa yang hanya ingin dikenali sebagia Honn, memuat naik iklan untuk menjual kereta jenis Mercedes-Benz di Mudah.my pada 18 November lalu.
Dia kemudiannya dihubungi seorang lelaki yang kononnya ejen kepada pusat menjual kereta terpakai dan berminat untuk membeli kereta tersebut.
Mangsa dan ejen terbabit berjumpa di Bukit Jalil untuk sesi pandu uji sebelum ejen terbabit mengajaknya ke PUSPAKOM untuk membuat pemeriksaan ke atas kereta terbabit.
Bagaimanapun, sejurus tiba, lelaki tersebut terus menghunuskan pisau dan mengarahkan mangsa untuk keluar daripada kereta sebelum memecut meninggalkan tempat kejadian.
Mangsa membuat laporan polis di Balai Polis Setapak dan kes sedang disiasat mengikut 392/397 Kanun Keseksaan.
Kawasan Rehat dan Rawat (RnR) menjadi tapak perhentian bagi setiap pemandu dan penunggang di jalan raya namun sejak kebelakangan ini, RnR bukan hanya tidak selamat malah menjadi sarang bagi individu tidak bertanggungjawab untuk mengaut keuntungan.
Baru-baru ini seorang pengguna Twitter bernama Lisa, berkongsi pengalaman menakutkan apabila ditahan seorang lelaki di RnR Nilai Utara.
Dalam kejadian yang berlaku Khamis lalu, kereta jenis Perodua dipandu Lisa bergegar lalu memaksa dia dan rakannya berhenti di RnR berkenaan untuk periksa paras air radiator.
Ketika itu, tiada tanda yang menunjukkan suhu kereta meningkat lantas dia membuka bonet depan untuk menyejukkan kenderaan.
Kemudian, muncul seorang lelaki berusia 46 tahun dan mula bertanyakan tentang keadaan kereta terbabit.
Lelaki itu lalu meminta kain kotor dan mula meletakkan sesuatu ke dalam radiator sebelum menuang air tanpa bertanya terlebih dahulu.
Sejurus selepas itu, lelaki terbabit terus meminta bayaran sebanyak RM150 lantas membuatkan Lisa dan rakannya terkejut kerana menyangka lelaki terbabit ikhlas untuk membantu.
Selepas memaklumkan mereka tiada duit sebanyak itu, lelaki terbabit memaksa mereka melakukan pindahan duit secara atas talian dan mula memanggil beberapa lelaki lain untuk menghalang mereka meninggalkan RnR itu.
Kebanyakan motosikal moden ketika ini didatangkan dengan Anti-lock Braking System (ABS) tetapi masih ada segelintir daripada penungggang motosikal yang tidak tahu apakah fungsi ciri tersebut.
Bagi kami di MotoMalaya, sejak bertenggek di Modenas Powerstore Kota Damansara, rata-rata pelanggan yang masuk akan bertanyakan soalan ini, “Apa sebenarnya fungsi ABS?”
Pada masa sama, ada juga yang mempersoalkan mengapa harga sebuah motosikal yang mempunyai keupayaan ABS lebih mahal berbanding yang tiada ABS.
Sebagai contoh, harga bagi sebuah Modenas Pulsar NS200 sekitar RM9,300 namun Pulsar RS200 – yang memiliki ABS – berharga RM11,350 meskipun kedua-duanya mengguna pakai enjin yang sama.
Apa sebenarnya ABS?
‘Threshold braking’ merupakan teknik memperlahankan jentera dengan cara yang paling cepat sambil mengekalkan kuasa brek di tahan optimum.
Bagaimanapun, teknik ini sukar dicapai kerana memerlukan skil dan latihan yang kerap jika tidak tayar akan mudah terkunci.
Malah, setiap jentera mempunyai tahap ‘threshold braking’ yang berbeza jadi amat sukar untuk menentukan tahap membrek yang efisien agar tidak berlakunya kemalangan.
ABS berfungsi sebagai mekanisme keselamatan yang memastikan jentera membrek pada kadar selamat ketika sedang cuba memperlahankan kenderaan.
Menariknya, jentera dengan ABS akan memastikan cubaan membrek tidak akan membawa sehingga tayar terkunci.
Bagaimana ABS berfungsi?
Modenas Pulsar RS200 ABS
Sebagai penunggang motosikal, insiden terpaksa membrek dengan mengejut gara-gara berdepan pengguna jalan raya yang ‘tak sekolah’sudah menjadi senario harian di Malaysia.
Bagi jentera yang tiada ABS, tayar pasti akan terkunci ekoran menekan brek dengan kuat lalu boleh menyebabkan jentera hilang kawalan lalu terbabas namun, jentera dengan ABS dapat mengelakkan masalah tersebut berlaku.
ABS sentiasa memantau kelajuan dan keadaan tayar dan jika modul tersebut mengesan senario membrek yang tidak normal, ‘solenoid valve’ akan melepaskan tekanan piston pada pad brek – buka dan tutup tanpa henti – sehingga kelajuan tayar depan dan belakang kembali serasi.
Sebagai penunggang, anda hanya perlu menekan brek sekuat mungkin dan fokus mengawal jentera kerana insiden tayar terkunci tidak akan berlaku.
Penting atau tidak ABS?
Hakikatnya, ABS membolehkan jentera berhenti dan membrek dengan lebih efisien dan kelebihan ini sangat penting bagi setiap penunggang yang saban hari berdepan situasi jalan tak rata dan pemandu kereta yang gemar menukar laluan tanpa mengambil kira kehadiran motosikal lain.
Sementara itu, bagi yang berminat untuk mendapatkan Modenas Pulsar NS200 namun gusar kerana ketiadaan ABS, kami difahamkan Pulsar NS200 versi 2020 akan didatangkan dengan sistem ABS! Nantikan maklumat rasmi mengenai model baharu ini dari pihak Modenas dan Bajaj.
Peneraju minyak dunia, Castrol Malaysia melancarkan Hari Mekanik Malaysia sebagai penghargaan kepada semua mekanik.
Inisiatif ini dijalankan susulan kejayaan pertandingan ‘Castrol Super Mechanic’ yang dijalankan pada 2017 dan 2018 bagi mempertingkat skil setiap mekanik dengan memberikan mereka platform untuk bertanding antara satu sama lain.
Pengarah Pemasaran Castrol Malaysia & Singapura, Keow Mei-Shan menyifatkan Hari Mekanik Malaysia sebagai penghargaan terbesar kepada para mekanik di Malaysia.
“Mekanik memainkan peranan penting bukan sahaja dalam memulihkan kenderaan bahkan turut memastikan keselamatan pemandu dan penunggang berada dalam keadaan terbaik. Hari Mekanik Malaysia menghargai sumbangan mekanik dalam industri automotif negara,” jelasnya.
Pelbagai acara akan dijalankan sempena kempen ini yang berlangsung bulan ini hingga September 2020 antaranya melakukan persinggahan ke bengkel di seluruh negara.
Orang ramai boleh mencalonkan mekanik pilihan mereka menerusi proses pencalonan atas talian. Sekiranya calon bagi kategori kereta dan trak menang, pencalon akan turut memenangi servis satu tahun percuma sementara pencalon bagi kategori motosikal akan membawa pulang empat botol satu liter Castrol POWER1 10W-40.
Pada masa sama, Castrol menawarka promo ekslusif, diskaun RM30 daripada jumlah bil apabila menghantar kenderaan untuk diservis di sebarang bengkel Castrol Auto Service dan diskaun RM3 bagi pemilik motosikal yang servis di Castrol Bike Point.
Pelancaran Hari Mekanik Malaysia akan diadakan pada 18 Mac 2020.
Piaggio Group mengumumkan Didi Resources Sdn Bhd selaku pengedar rasmi baharu jenama Piaggio & Vespa menggantikan NAZA Premira Sdn Bhd, hari ini.
Menurut Pengarah Urusan Piaggio Vietnam selaku Naib Presiden Eksekutif Asia Pasifik 2 Wheeler, Gianluca Fiume, pelantikan Didi Resources merupakan strategi Piaggio untuk menyatukan semua jenama di bawah satu bumbung.
“Pelantikan Didi Resources merupakan strategi perniagaan kami untuk meningkatkan tahap efisien dengan menyatukan jenama Piaggio, Vespa, Aprilia dan Moto Guzzi di bawah payung yang sama.
“Penyatuan ini memudahkan kami untuk mencapai pelanggan baharu yang mencari jentera dua roda jenama Itali. Kami kami Didi Resources mampu mengangkat jenama ini ke peringkat lebih tinggi,” jelasnya.
Kenyataan Fiume disambut baik Pengerusi Didi Resources, Rew Hamid Bugo yang berkata, “Kami amat berbesar hati diberikan peluang untuk mengendalikan jenama Piaggio dan Vespa (di Malaysia).
“Dengan penggabungan ini, kami kini dapat menguruskan Piaggio, Vespa, Aprilia dan Moto Guzzi dibawah konsep Motoplex bagi pasaran Malaysia.
“Kami sangat komited untuk mengukuhkan kedudukan setiap jenama ini dengan menawarkan servis selepas jualan (aftersales), memperkuatkan komuniti dan sentiasa berhubung dengan setiap jenama dalam pasaran dua roda yang sangat kompetitif di Malaysia,” katanya.
Pelantikan Didi Resources selaku pengimport dan pengedar Piaggio serta Vespa akan berkuat kuasa 1 Januari 2020.
Terdahulu, NAZA Premira Sdn Bhd dalam satu kenyataan semalam – NAZA-Vespa Tamatkan Kerjasama Kuat Kuasa 1 Januari 2020 – mengumumkan keputusan untuk tidak lagi bertindak selaku pengedar jenama Piaggio dan Vespa di Malaysia bermula 1 Januari 2020.
NAZA Premira Sdn Bhd dalam satu kenyataan mengumumkan keputusan menamatkan kontrak selaku pengedar jenama Vespa di Malaysia, berkuatkuasa 1 Januari 2020.
Pengerusi Eksekutif Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) NAZA Corporation Holdings, SM Nasarudin SM Nasimuddin mendedahkan pihaknya telah pun mengadakan perbincangan dengan Piaggio Group mengenai keputusan untuk tidak lagi bergerak seiringan Julai lalu.
“Kami mengucapkan terima kasih pada mereka atas usahasama selama sembilan tahun ini dan kami mengucapkan selamat berjaya bersama rakan baharu,” jelasnya.
Sementara itu, NAZA Premira akan terus menawarkan perkhidmatan kepada pelanggan Vespa di pengedar terpilih sehingga 31 Disember ini.
Dalam perkembangan sama, berdasarkan dakwaan dalam industri automotif negara, difahamkan “rakan” baharu Piaggio Group merujuk kepada Didi Resources yang ketika ini bertindak selaku pengedar dua jenama lain di bawah payung Piaggio, Aprilia dan Moto Guzzi di Gasket Alley, Petaling Jaya.