Bikesrepublic

Berita Terkini

Dalam satu kajian yang dijalankan oleh Majlis Pengurangan Kecurian Kenderaan dan Kemalangan (Vehicle Theft and Accident Reduction Council/VTREC) mendapati bahawa 70 peratus daripada kemalangan jalan raya melibatkan motosikal. Namun, hanya 13 peratus daripada jumlah itu disebabkan oleh penunggang motosikal itu sendiri, manakala 87 peratus disebabkan oleh pemandu kenderaan lain.

Daripada itu, 67 peratus kemalangan motosikal yang melibatkan kenderaan lain disebabkan oleh kenderaan persendirian, dan 20 peratus lagi disebabkan oleh kenderaan komersil.

Penunggang dan pembonceng motosikal merupakan golongan yang paling berisiko tinggi di atas jalan raya. Secara purata, seramai 6,000 pengguna jalan raya terkorban setiap tahun, dan daripada angka tersebut, 4,200 orang merupakan pengguna motosikal

Menurut Penyelaras VTREC Cik Mas Tina Abdul Hamid lagi, statistik menunjukkan bahawa jumlah kemalangan motosikal ialah 12 kali ganda daripada kemalangan yang melibatkan kereta.

“Selalunya penunggang motosikal disalahkan apabila terlibat di dalam kemalangan, namun kami telah mendapat tahu bahawa pemandu kereta perlulah meningkatkan kesedaran mengenai keselamatan jalan raya serta terdapat keperluan pendidikan pemanduan berjaga-jaga,” katanya lagi.

“Purata tahunan kematian kekal membimbangkan. Kematian tahunan akibat kemalangan boleh memenuhi kubur yang memerlukan ruang sebesar enam padang bola.

“Secara purata, seorang pengguna jalan raya terbunuh setiap 80 minit.

“Kesilapan manusia merupakan punca utama kemalangan jalan raya, menyumbang kepada lapan daripada 10 faktor yang menyebabkan kemalangan lalu lintas,” tambah Mas Tina.

Industri insurans kenderaan mencatatkan 266,716 tuntutan kemalangan pada 2024 yang merupakan penurunan sebanyak 11% berbanding 299,657 kes pada tahun 2023.

**Nota daripada Pengarang: Data VTREC dikumpulkan melalui tuntutan insuran. Oleh yang demikian, ia tidak dapat merangkumi kes-kes kemalangan yang tidak dilaporkan dan dituntut. Maksudnya angka kemalangan sebenarnya lebih tinggi daripada yang dilaporkan oleh pihak berkuasa.

BMW R 12 nineT (2025) yang terbaru telah tiba di Malaysia dengan harga bermula dari RM124,500. R 12 nineT merupakan pengganti kepada model asal R nineT yang dilancarkan pada 2014.

Walaupun ia mengekalkan enjin yang sama seperti model sebelumnya, motosikal baharu ini telah melalui banyak penyempurnaan dan dilengkapi dengan pelbagai ciri terkini. Oleh itu, ia dianggap sebagai model yang benar-benar baharu.

Daripada Siaran Media BMW Motorrad

BMW R 12 nineT Serba Baharu mengekalkan kuasa dan karakter enjin boxer ikonik yang sememangnya sinonim dengan keunggulan jenama ini, digabungkan dengan pesona abadi motosikal klasik. Pada masa yang sama, ia menawarkan reka bentuk modular yang pelbagai untuk penyesuaian peribadi mengikut cita rasa penunggang. Antara sorotan utama model ini adalah rangka keluli tiub berstruktur jambatan yang direka semula  sepenuhnya, menghapuskan keperluan terhadap sambungan-sambungan terdahulu, sekali gus menghasilkan struktur yang lebih ringan serta penampilan yang lebih kemas dan klasik. Rangka belakang yang turut diperbuat daripada keluli tiub, dipasang dengan kemas dan bersambung terus pada rangka utama.

Tangki bahan api aluminium dengan panel sisi berkemasan logam berus dan salutan lutsinar, digabungkan dengan tempat duduk serta bonggol belakang, membentuk garis dinamik yang menaik dan menyerlahkan profil motosikal yang ramping. Fork jenis terbalik (upside-down) bukan sahaja menyumbang kepada penampilan yang bergaya, malah menawarkan kawalan pengendalian yang cemerlang. Angkup brek jenis radial bersama brek cakera berkembar di hadapan memastikan kuasa pemberhentian yang mantap. Ciri menonjol lain termasuk paip ekzos dengan kemasan krom serta roda aloi ringan bersaiz 17 inci, yang menambah karakter berani pada motosikal ini. Bagi meningkatkan keselesaan ergonomik, kedudukan penunggang direka lebih hampir ke hendal, membolehkan sentuhan lutut yang lebih baik dan postur tunggangan yang lebih ke hadapan. Dua instrumen bulat analog memaparkan kelajuan dan putaran enjin (RPM), dilengkapi dengan port USB-C di sebelah kiri dan soket 12V di sebelah kanan.

Menjadi nadi kepada BMW R 12 nineT Serba Baharu adalah enjin Boxer 2-silinder, 4-lejang, 1,170cc yang disejukkan dengan air, mampu menghasilkan kuasa hebat sebanyak 109 hp (80kW) pada 7,000 rpm dan tork 115 Nm pada 6,500 rpm. Kuasa ini disalurkan secara lancar menerusi transmisi 6-kelajuan jenis claw-shift dan klac kering yang dikendalikan secara hidraulik. Ia mampu memecut dari 0 ke 100 km/j dalam hanya 3.6 saat, dengan kelajuan maksimum melebihi 200 km/j, serta penggunaan bahan api sekitar 5.1 liter setiap 100 km (mengikut piawaian WLTP).

BMW R 12 nineT Serba Baharu hadir dengan kelengkapan standard merangkumi set ciri
keselamatan yang komprehensif, direka untuk meningkatkan keselamatan sepanjang penunggangan. Antara ciri utama termasuklah Kawalan Cengkaman Dinamik (DTC) bagi memastikan kestabilan dan kawalan di pelbagai permukaan jalan, serta BMW Motorrad ABS Pro yang memberikan prestasi brek cemerlang walaupun ketika motosikal berada pada sudut condong.

Lampu Hadapan LED dan Lampu Siang turut memastikan tahap penglihatan yang jelas, manakala sistem Lampu Hadapan Pro Adaptif melaras secara automatik mengikut keadaan pencahayaan, menawarkan pencahayaan unggul sama ada dalam cahaya terang mahupun dalam persekitaran pencahayaan rendah.

Untuk pengalaman tunggangan yang lebih intuitif dan terhubung, ciri Tunggangan Tanpa Kunci dan Kawalan Tunggangan Terhubung disediakan sebagai standard bagi BMW R 12 nineT Serba Baharu. Di samping itu, Pakej Comfort merangkumi pelbagai kemudahan seperti Kawalan Penunggangan, Kawalan Permulaan Curam, serta Pemanas Pemegang, memastikan perjalanan jarak jauh kekal selesa dan menyeronokkan. Dengan kehadiran pilihan mod Rain, Road, dan Dynamic, setiap tunggangan boleh disesuaikan mengikut keadaan dan gaya penunggangan peribadi.

BMW R 12 nineT Serba Baharu ditawarkan dalam satu warna eksklusif iaitu Black Storm Metallic.

​Servis Kewangan​

Dengan Pelan Pembiayaan daripada BMW Group Financial Services Malaysia, pemilikan bagi BMW R 12 nineT Serba Baharu bermula daripada RM 1,738.00 sebulan, (berdasarkan anggaran Pelan Pembiayaan Straight Line dengan pinjaman sebanyak 90 peratus bagi tempoh tujuh tahun). Pemilik juga boleh menikmati faedah tambahan menerusi Program Minyak Enjin Premium Terkemuka dalam Industri, Servis Inklusif, dan Lanjutan Waranti oleh BMW Motorrad Malaysia.

Harga jualan (atas jalan, dengan Program Waranti Tiga Tahun dan Program Bantuan Tepi Jalan Tiga Tahun BMW Motorrad Malaysia yang baharu, tanpa insurans) bagi BMW R 12 nineT Serba Baharu adalah BMW R 12 nineT Serba Baharu RM 124,500.00.

Untuk maklumat lanjut mengenai BMW R 12 nineT (2025) Baharu, sila layari laman web BMW Motorrad Malaysia.

BMW F 900 XR (2025) telah tiba di Malaysia, dengan harga jualanRM82,500 (bukan di atas jalan).

BMW F 900 XR merupakan varian sport-tourer dalam keluarga F 900, manakala F 900 GS ialah jenis adventure, dan F 900 R ialah roadster.

Dengan beberapa peningkatan visual dan teknikal, BMW Motorrad menyatakan bahawa motosikal ini “menawarkan keseimbangan sempurna antara prestasi dan keserbagunaan untuk mereka yang menginginkan pengendalian dinamik dan keselesaan jarak jauh.”

Sorotan Utama:

  • Fork baharu jenis terbalik dengan tiub 43mm yang lebih tegar.
  • Redaman lantunan dan mampatan, serta pra-beban spring kini boleh dilaras.
  • Roda aluminium tuangan 17 inci baharu lebih ringan sebanyak 1.8 kg berbanding model sebelumnya. Digabungkan dengan bateri 0.8 kg lebih ringan, jumlah pengurangan berat model ini ialah 3 kg.

  • Penambahan spoiler enjin menonjolkan ciri berorientasikan prestasi dan meningkatkan kecekapan aerodinamik.
  • Aerodinamik baharu untuk fairing depan, penghadang angin dan pelindung tangan yang direka semula.
  • Ciri Headlight Pro sebagai standard, manakala bahagian belakang direka semula dengan lampu penunjuk arah terintegrasi.
  • Port pengecasan USB-C di sebelah kanan cockpit dengan arus maksimum 2.4 A.
  • Pemanas pemegang handel.

  • Dilengkapi enjin 2-silinder sebaris 895cc, penyejukan cecair, 4-lejang yang menghasilkan 105 hp (77 kW) pada 7,500 RPM dan tork 93 Nm pada 6,750 RPM.
  • Mencapai 0-100 km/j dalam hanya 3.6 saat.
  • Kelajuan maksimum melebihi 200 km/j.
  • Dynamic Brake Control (DBC) menghalang pecutan tidak sengaja semasa brek.
  • BMW Motorrad ABS Pro meningkatkan keselamatan ketika membelok dengan membenarkan brek berbantu ABS pada sudut condong.
  • Digabungkan dengan Dynamic ESA, memberikan rasa keselamatan baharu ketika menunggang.

  • Gear Shift Assistant Pro membolehkan penukaran gear tanpa klac dengan lancar.
  • Tyre Pressure Control (TPC) memantau tekanan tayar dan memberi amaran kepada penunggang.
  • Keyless Ride menghapuskan keperluan kunci fizikal.
  • Sistem Cruise Control meningkatkan keselesaan untuk perjalanan jarak jauh.
  • Pemegang kotak simpanan barang di bahagian belakang memudahkan pemasangan bagasi.
  • BMW F 900 XR (2025) boleh didapati dalam warna-warna Racing Blue/Lightwhite uni yang memaparkan pelana hitam, spoiler enjin di dalam warna Racing Blue Metallic, rim berwarna Racing Red, dan enjin berwarna Avus Black.
Perkhidmatan Kewangan

Dengan Pelan Pembiayaan dari BMW Group Financial Services Malaysia, pemilikan BMW F 900 XR 2025 bermula dari RM1,158 sebulan (berdasarkan anggoran pembiayaan 90% untuk tempoh 7 tahun). Pemilik juga boleh menikmati faedah tambahan seperti Premium Engine Oil Inclusive, Service Inclusive, and Warranty Extension Programmes oleh BMW Motorrad Malaysia.

Harga jualan (di atas jalan, dengan Waranti 3 Tahun dan Program Bantuan Jalan Raya 3 Tahun BMW Motorrad Malaysia, tanpa insurans): RM82,500.00.

Jenama motosikal Amerika yang satu lagi, dan tidak kurang terkenal, ialah Indian Motorcycle, dan mereka kembali ke Malaysia.

Kini, jenama ini di bawah naungan Spirit Lake Motor Sdn. Bhd., yang merupakan anak syarikat AFY Mobility Industries—syarikat yang juga pengedar rasmi motosikal Suzuki dan MODA.

Walaupun laman web menyenaraikan semua model pengeluar tersebut, hanya tiga model yang kini tersedia:

  1. Scout ABS Icon;
  2. Scout Bobber ABS;
  3. Scout Rogue ABS.

Sila kunjungi laman web rasmi Indian Motorcycle Malaysia di https://www.indianmotorcycle.com.my.

Pada masa yang sama, showroom rasmi Indian Motorcycle Malaysia terletak di:

2, Lorong 51A/227A,
Seksyen 51A,
46100 Petaling Jaya, Selangor.

Showroom ini beroperasi pada hari Isnin hingga Sabtu, dari pukul 9:00 pagi hingga 6:00 petang.

Indian Motorcycle merupakan salah satu jenama motosikal tertua, malah lebih awal daripada jenama motosikal Amerika yang lain. Indian bermula pada tahun 1901 sebagai Hendee Manufacturing Company, berpusat di Springfield, Massachusetts. Namanya kemudian ditukar kepada Indian Motorcycle Company pada tahun 1923.

Pengeluar ini terkenal selepas memenangi lumba Isle of Man Tourist Trophy pada tahun 1911, menjadi pengeluar pertama yang menduduki ketiga-tiga tempat teratas.

Walaubagaimanapun, syarikat ini berhenti beroperasi pada tahun 1953.

Pada tahun 2011, Polaris Industries memperoleh jenama ini dan memasarkannya bersama jenama sedia ada mereka, Victory. Victory kemudian dihentikan apabila Polaris menumpukan semua sumber mereka kepada Indian.

Boon Siew Honda Sdn. Bhd. telah memperkenalkan beberapa warna baharu untuk Honda ADV160 (2025).

Honda ADV160 ialah skuter ‘adventure‘ (kembara) berkapasiti kecil dan ringan yang mencatatkan jualan cemerlang di seluruh negara. Warna-warna baharu ini menyegarkan semula model yang telah dijual sejak 2023.

Terdapat dua kategori warna untuk motosikal ini – satu ialah edisi standard, manakala satu lagi ialah edisi khas.

Edisi Standard

Terdapat dua pilihan warna baharu di sini: Matte Black (Hitam) dan Red (Merah), yang dijual bersama warna White (Putih) sedia ada. Warna-warna baharu ini menampilkan reka bentuk jalur yang elegan bagi menyerlahkan penampilan advan skuter ini. Ketiga-tiga pilihan ini dijual pada harga bermula dari RM13,249.00 (harga jualan asas, bukan di atas jalan).

Edisi Khas

Honda menggambarkan edisi khas ini sebagai penampilan yang lebih elegan untuk Honda ADV160. Warna baharu ini dipanggil Grey (Kelabu), sebagai tambahan kepada warna Matte Green (Hijau) sedia ada. Warna edisi khas ini dijual pada harga bermula dari RM13,549.00 (bukan atas jalan), iaitu tambahan RM300.00.

Ketersediaan

Honda ADV160 2025 dengan warna-warna baharu ini akan tersedia di semua showroom IMPIAN X dan pengedar Honda yang berautoriti di seluruh negara, dijangka mulai 8 Mei 2025.

Mengenai Honda ADV160

Honda ADV160 dikuasakan oleh enjin 157cc dengan ciri Enhanced Smart Power Plus (eSP+), yang menawarkan kecekapan bahan api yang cemerlang, prestasi lebih lancar, dan pelepasan lebih rendah melalui rekabentuk pembakaran termaju dan suntikan bahan api PGM-FI yang tepat.

  • Keselamatan diberi keutamaan dengan ciri seperti Honda Selectable Torque Control (HSTC), Sistem Brek Anti-Kunci (ABS), dan Isyarat Berhenti Kecemasan (ESS) – semuanya direka untuk memastikan kestabilan optimum dan keyakinan penunggang dalam pelbagai keadaan.

  • Kemudahan dan keselamatan ditingkatkan dengan Honda Smart Key, yang dilengkapi ciri penggera anti-kecurian, dan fungsi answer-back (jawab balik).

  • Kebolehgunaan harian dipertingkat dengan pengecas USB terbina dalam, petak penyimpanan luas 30L di bawah tempat duduk, dan meter LCD pelbagai fungsi untuk maklumat perjalanan penting.

  • Keselesaan penunggang diperhalusi lagi dengan skrin penahan angin boleh laras dua peringkat, jarak tanah yang lebih rendah, dan tangki bahan api besar 8.1L yang memberikan perjalanan lebih jauh tanpa gangguan.

  • Inovasi tambahan seperti Idling Stop System (ISS) dan pencahayaan LED penuh melengkapkan motosikal yang bukan sahaja pintar dan cekap, tetapi juga sedia untuk mengembara.

Boon Siew Honda menawarkan waranti pembuatan dua tahun atau 20,000km, mengikut mana yang terdahulu. Untuk maklumat lanjut, sila layari https://boonsiewhonda.com.my/product/adv160 atau kunjungi Honda Impian X terdekat. Pelanggan juga boleh menghubungi BSH melalui nombor talian bebas tol 1-800-88-3993.

Galeri Foto

Seperti yang dijangkakan, setiap versi BMW R XXXX GS dan GS Adventure baharu akan diikuti oleh RT dan RS baharu, dengan menggunakan enjin yang sama. Oleh itu, BMW R 1300 RT dan BMW R 1300 RS yang terbaru dilancarkan mengikut jejak R 1300 GS. (R 1300 R baharu dilancarkan dua minggu lalu.)

Kedua-dua R 1300 RT dan R 1300 RS muncul pada masa yang sama kerana mereka berkongsi kebanyakan komponen dan ciri yang sama.

Ciri-ciri utama BMW R 1300 RT baharu

  • Enjin dua silinder mendatar (Boxer) dengan sesaran 1300cc, menggunakan dimensi gerek dan lejang 106.5 x 73mm.
  • Enjin ini menghasilkan 143 hp pada 7,750 RPM dan 149.2 Nm pada 6,500 RPM, menjadikannya enjin Boxer BMW pengeluaran paling berkuasa setakat ini.

  • Kerangka utama yang direka bentuk sepenuhnya menggunakan kerangka keluli lembaran baharu (seperti R 1300 R), ditambah dengan kerangka belakang aluminium tuang acuan.
  • Perbezaan utama antara R 1300 RT dan R 1300 RS ialah sistem suspensi depan: R 1300 RT dilengkapi dengan Telelever Evo baharu dari R 1300 GS, yang mengasingkan setang daripada gantungan dengan lebih efektif berbanding sebelum ini.

  • Di bahagian belakang, Evo Paralever menyediakan sambungan yang lebih kukuh melalui gantungan dalam kerangka, serta gandar sistem buka cepat pada lengan ayun.
  • Roda tuangan aluminium 17-inci baharu dengan reka bentuk jeriji berlubang mengurangkan berat sebanyak 1.4 kg.

  • Sistem brek terdiri daripada cakera brek berkembar di depan dengan kaliper empat piston dipasang secara radial.
  • Sebuah skrin warna TFT 10.25-inci turut disertakan, dilengkapi dengan navigasi peta bersepadu dan Connectivity Hub yang baru dibangunkan.

  • Sistem bantuan elektronik untuk penunggang termasuk mod standard Road, Rain, Eco serta Cornering ABS.
  • Dengan tambahan pilihan “Riding Modes Pro”, pengguna boleh menikmati mod tambahan seperti ‘Dynamic’ dan ‘Dynamic Pro’.

  • Peningkatan tambahan termasuk Riding Assistant yang dilengkapi dengan: Active Cruise Control (ACC), Front Collision Warning (FCW), Lane Change Warning (SWW).

  • Untuk warna, pilihan tersedia adalah:  Alpine White 3, Triple Black dalam kemasan Blackstorm metallic, Racing Blue metallic, dan 719 Camargue dalam kemasan Blue Ridge Mountain metallic
Ciri-ciri BMW R 1300 RS baharu

  • Model R 1300 RS merupakan varian ‘sport-touring‘ dalam barisan siri-R BMW.
  • Seperti yang dinyatakan sebelum ini, perbezaan utamanya terletak pada sistem gantungan depan yang menggunakan: Garpu teleskopik terbalik (upside-down) 47mm baharu berbeza dengan sistem Telelever Evo pada model RT

  • BMW R 1300 RS baharu boleh dilengkapkan dengan sistem brek sukan pilihan yang menampilkan kaliper brek berwarna titanium.
  • Terdapat juga varian prestasi tinggi yang merangkumi: Suspensi lebih berprestasi tinggi, tuas gear pendek, tapak kaki boleh laras dan dimesin, DTC-Shift (‘quickshifter‘). dua skrin sport tambahan, pelana sport, spoiler enjin, tayar sport.

  • Pilihan warna untuk BMW R 1300 RS termasuk: Racing Blue metallic, Triple Black dalam kemasan Blackstorm metallic, Performance berorientasikan sport dengan warna Lightwhite Uni, dan 719 Cuyamaca dalam kemasan Brooklyn Grey metallic.

Arkib

Ikuti Kami di Facebook

Ikuti Kami di YouTube