Bikesrepublic

Berita Terkini

Seperti yang kami terbitkan sebelum ini, Aprilia Tuareg 660 telah mengejutkan semua orang apabila ia memenangi rali Africa Eco Race tahun lepas dalam percubaan sulungnya. Oleh itu, kilang itu berazam untuk mempertahankan gelaran itu dengan Aprilia Tuareg 660 Rally pada tahun ini.

Akhirnya, pelumba Itali Jacopo Cerutti yang menunggang Aprilia telah menewaskan Alessandro Botturi yang menunggang Yamaha Ténéré 700 dengan hanya 26 saat. Pertarungan itu mendebarkan apabila kedua-dua pelumba itu mara ke peringkat terakhir dengan hanya 9 saat memisahkan mereka untuk kedudukan keseluruhan. Kedua-dua pelumba Itali itu bertarung untuk setiap kilometer tetapi Botturi, selain kesilapan navigasi, mendapati motosikalnya tersangkut dalam jaring yang diseretnya ke garisan penamat.

Cerutti bukan sahaja telah menaklukki perlumbaan yang melelahkan itu, tetapi juga beberapa cabaran seperti virus usus, masalah dengan ‘mousse‘ di dalam tayar belakangnya, dan peralatan navigasi yang tidak berfungsi. Akhirnya, Cerutti mempertahankan gelarannya sehingga ke kilometer terakhir, dan meraih lima kemenangan peringkat dan dua lagi podium.

Dia berkata, “Memenangi Africa Eco Race untuk tahun kedua berturut-turut adalah suatu impian. Kami mempunyai kelebihan yang luar biasa dalam pasir, kerana gaya tunggangan saya dan prestasi Tuareg Rally, dan saya dapat mengeksploitasinya sepenuhnya. Ia adalah edisi di mana strategi adalah asas dan, dalam dua hari lepas, saya mencapai satu cabaran yang saya fikir tidak mungkin. Tahniah juga kepada Alessandro Botturi, ia sangat bagus untuk mempunyai lawan seperti dia dan berjuang hingga ke akhir.

Rakan sepasukan Cerutti, Marco Menichini, meraih kemenangan dalam kelas Junior Bawah 25 dan keenam keseluruhan, serta tempat ketiga dalam kelas berbilang silinder, pada Aprilia Tuareg 660 yang lain. Ia merupakan perlumbaan yang pertama di dalam Africa Eco Race bagi Menichini.

Bintang Yamaha, Pol Tarres turut bertanding dalam Africa Eco Race tahun ini tetapi terhempas di Kilometer 111 Peringkat 2 ketika berjuang untuk kemenangan. Dia tidak sedarkan diri selama beberapa minit dan terpaksa dibawa ke hospital dengan menaikki helikopter. Dia selamat dan sedang pulih daripada kecederaannya.

Edisi keenam belas ini bermula di Monaco dan menyeberang ke landskap Maghribi, Mauritania dan Senegal yang menakjubkan. Perlumbaan ini sebenarnya mengikut laluan Paris-Dakar Rally yang asli dan legasi Thierry Sabine, dan oleh itu, ia telah dikenali sebagai “Perlumbaan Sebenar ke Dakar” dalam beberapa tahun kebelakangan ini. Menjangkau 14 hari dan 12 peringkat yang mencabar, ia meliputi kira-kira 6,000 km rupa bumi yang amat sukar.

Suzuki Malaysia Sdn. Bhd., dengan kerjasama Persatuan Pengedar Motosikal dan Skuter Malaysia (MMSDA), hari ini melancarkan Kempen Keselamatan Jalan Raya AMI-Suzuki 2025 di Dataran Ilmu, Stadium Selayang.

Majlis perasmian disempurnakan oleh Yang Berhormat Datuk Haji Hasbi bin Haji Habibollah, Timbalan Menteri Pengangkutan Malaysia, bersama barisan tetamu kehormat.

Kempen yang bertemakan “Kongsi Jalanraya, Tunggang Berhemah” pada tahun 2025 ini dianjurkan buat kali ke-2 oleh Suzuki Malaysia dan kali ke-8 oleh AFY Mobility Industries (AMI). Ia bertujuan meningkatkan kesedaran mengenai keselamatan jalan raya dalam kalangan penunggang motosikal, pemandu kenderaan, dan masyarakat umum.

Dalam ucapannya, YB Datuk Haji Hasbi bin Haji Habibollah menekankan statistik kemalangan jalan raya yang membimbangkan: “Berdasarkan statistik terkini daripada Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik, Polis Diraja Malaysia (PDRM), sebanyak 5,939 kematian direkodkan daripada 585,729 kes kemalangan yang dilaporkan sehingga November 2024. Daripada jumlah tersebut, 67% atau 4,014 kematian melibatkan penunggang dan pembonceng motosikal, dengan majoritinya terdiri daripada golongan belia berusia 16 hingga 35 tahun. Golongan ini kini menjadi penyumbang terbesar kepada angka kematian akibat kemalangan jalan raya.

Yang Berhormat Datuk Haji Hasbi turut menegaskan kepentingan memiliki lesen memandu yang sah bagi penunggang motosikal: “Saya ingin menarik perhatian semua pihak tentang keperluan kritikal untuk memiliki lesen memandu yang sah sebelum dibenarkan menunggang motosikal di atas jalan raya. Langkah asas ini adalah penting untuk memastikan keselamatan semua pengguna jalan raya.

Beliau juga mengulangi komitmen kerajaan melalui agensi keselamatan dan penguatkuasaan di bawah Kementerian Pengangkutan Malaysia dalam usaha menangani cabaran ini dan meningkatkan keselamatan jalan raya untuk semua pengguna.

Aktiviti Dan Program Kempen

Kempen ini turut menawarkan pelbagai aktiviti menarik kepada pengunjung, termasuk:

  • Pemeriksaan motosikal percuma – ‘16-point check’ oleh mekanik bertauliah Suzuki Malaysia.
  • Penukaran 400 unit topi keledar baharu kepada penunggang motosikal.
  • Pemberian topi keledar kanak-kanak sebagai simbolik langkah perlindungan penumpang muda.
  • Pameran motosikal dan aksesori keselamatan.

Yang Berbahagia En. Ahmad Faez Bin Tan Sri Yahaya, Pengerusi Eksekutif Kumpulan Suzuki Malaysia Sdn. Bhd. dalam ucapannya menekankan komitmen Suzuki Malaysia untuk terus menyokong inisiatif keselamatan jalan raya terutama penunggang motosikal demi kesejahteraan masyarakat.

Perasmian Kempen

Majlis gimik perasmian disempurnakan dengan acara simbolik pukulan gong oleh Yang Berhormat Datuk Haji Hasbi bin Haji Habibollah, bersama Yang berusaha Encik Yap Kiew San, Pengerusi MMSDA, dan Yang Berbahagia En. Ahmad Faez Bin Tan Sri Yahaya.

Penutup Dan Harapan

Kempen Keselamatan Jalan Raya AMI-Suzuki 2025 menyediakan pelbagai aktiviti dan peluang pendidikan untuk meningkatkan kesedaran keselamatan jalan raya. Dengan kerjasama semua pihak, kempen ini diharapkan dapat menyumbang kepada pengurangan kadar kemalangan dan membentuk budaya jalan raya yang lebih selamat di Malaysia.

Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) menyita 21 kenderaan perdagangan menerusi pemeriksaan di 37 Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (Puspakom) sejak 30 Disember lalu.

Ketua Pengarah JPJ Datuk Aedy Fadly Ramli berkata, JPJ menjalankan Operasi Khas Puspakom sebagai salah satu elemen khas menerusi Operasi Khas Gempur Teknikal bagi tindakan penguatkuasaan lebih tegas terhadap kenderaan perdagangan yang gagal mematuhi peraturan mengikut Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333) dan Kaedah-Kaedah di bawahnya.

Menurutnya, pelaksanaan Ops Khas Puspakom adalah untuk memastikan keselamatan kenderaan dan membendung kesalahan teknikal pada kenderaan perdagangan sebelum, semasa, dan selepas melakukan pemeriksaan berkala atau awalan di Puspakom.

Sepanjang operasi yang dilaksanakan sejak 30 Disember lalu, pihak JPJ mengadakan pemeriksaan di 37 Puspakom di seluruh negara dan hasil daripada itu, sebanyak 21 kenderaan disita.

Pihak JPJ mengesan kesalahan kenderaan yang disita membabitkan Lesen Perdagangan Kenderaan Motor palsu, guna kenderaan tidak berdaftar, Lesen Kenderaan Motor (LKM) tamat tempoh, Insurans tamat tempoh dan menggunakan Lesen Perdagangan Kenderaan Motor syarikat lain,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, daripada jumlah sitaan itu, JPJ turut mengesan sebuah lori diluluskan oleh pihak Puspakom sedangkan keadaan fizikal kenderaan itu tidak mengikuti piawaian standard keselamatan kenderaan.

Tindakan sitaan terhadap kenderaan itu diambil mengikut Seksyen 64(1) Akta 333 bagi mengelakkan berlakunya kesalahan berterusan.

Berikutan daripada kes itu, JPJ mengadakan kerjasama strategik dengan pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi kes-kes membabitkan penyelewengan terhadap keputusan pemeriksaan kenderaan di Puspakom,” katanya.

Aedy Fadly berkata, pihak JPJ juga akan mengadakan penguatkuasaan secara berterusan dan bersepadu dengan agensi penguat kuasa lain.

JPJ sentiasa komited memastikan keselamatan semua pengguna jalan raya dan berusaha meminimumkan kadar kemalangan dan kematian akibat nahas jalan raya terutamanya membabitkan kenderaan perdagangan,” katanya.

Seorang pemandu lori direman tiga hari bagi membantu siasatan kemalangan yang mengorbankan penunggang motosikal di Jalan Kulim beberapa hari lepas.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah Asisten Komisioner Helmi Aris, berkata, dalam kemalangan itu, lelaki tempatan berusia 40-an meninggal dunia kerana tidak sempat mengelak kabel telekomunikasi yang terjatuh atas jalan.

Hasil siasatan awal mendapati wayar itu terjatuh apabila ia tersangkut pada palang kren di belakang lori yang dipandu suspek berusia lingkungan 20-an.

Pemandu lori ketika itu memandu dari arah Jalan Kulim ke Bukit Mertajam apabila palang kren di belakang kenderaannya tersangkut pada kabel telekomunikasi yang berada dalam keadaan melintang dan mengakibatkan ia (kabel) terjatuh.

Pada masa sama datang mangsa yang menunggang motosikal dari arah bertentangan, tidak sempat mengelak, lalu mengakibatkan kabel terbabit terkena pada lehernya,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menurutnya,mangsa terbabas dan jatuh di atas jalan sebelum meninggal dunia.

Katanya, mayatnya dibawa ke Unit Forensik Hospital Bukit Mertajam (HBM) untuk dibedah siasat, manakala pemandu lori sudah ditahan serta Mahkamah Majistret membenarkan reman tiga hari hingga Jumaat.

Siasatan akan dijalankan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

Orang ramai yang mempunyai maklumat boleh menyalurkannya kepada Pegawai Penyiasat Trafik Inspektor Mohd Ikhmal Mohd Shokri di talian 016-2500386 atau 04-5382222.

Edisi terhad Vespa 946 Snake baharu telah dilancarkan untuk meraikan perayaan Tahun Ular. Vespa juga telah mengeluarkan 946 Dragon untuk meraikan Tahun Naga pada 2024. Vespa 946 Snake ini terhad kepada 888 unit sahaja.

Vespa berkata reka bentuk itu “diilhamkan oleh landskap berais”: Ringkas namun menarik perhatian, model ini menampilkan satu siri aksesori, dan telah dicipta dengan perhatian khusus kepada reka bentuk dan kefungsian.

Butiran yang diilhamkan oleh ular dapat dilihat pada genggaman bar hendal dan tempat duduk, yang mencerminkan tekstur kulit ciri reptilia, manakala terdapat unsur krom yang ditampilkan pada tangki bahan api dan pelindung lumpur untuk melengkapkan estetika model.

Selain itu, Vespa mempunyai topi keledar dengan bahagian dalam boleh tanggal dan visor asap bersama jaket Bomber yang sangat bergaya yang dibuat khusus untuk disesuaikan dengan model. Sebaliknya, Naga 946 hanya mempunyai jaket.

Vespa merancang untuk melaksanakan strategi penjualan antarabangsa melalui kedai ‘pop-up‘ di pelbagai lokasi. Lawatan untuk 946 Snake akan bermula di Rom, di Rinascente Tritone, diikuti oleh Galeries Lafayette di Champs-Élysées di Paris. Ini sudah pun berlangsung dan akan berakhir pada 5 Februari. Jadual perjalanan juga termasuk persinggahan di kedai utama di Milan, Vienna, Beijing, Istanbul, Bangkok, Singapura, Hanoi dan Jakarta.

Prapesanan untuk Vespa 946 Snake baharu bermula pada 8 Januari dengan maklumat lanjut di laman web rasmi Vespa.

Sebuah kilang logam berusia 70 tahun di bawah naungan KTM telah diisytiharkan sebagai bankrap (muflis).

Kilang logam yang bertempat di Austria itu, yang dipanggil Vöcklabrucker Metallgießerei Dambauer GmbH (VMG) ialah sebuah perniagaan keluarga, dan Pierer Beteiligungs GmbH telah mengambil alih 70 peratus perniagaan itu pada 2022. Agensi berita OÖNachrichten (OON) melaporkan bahawa syarikat itu mempunyai 150 pekerja dan perolehan €32 juta pada masa pengambilalihan.

Separuh daripada jualan VMG adalah kepada KTM, manakala separuh lagi datang daripada pelanggan lain, termasuk daripada BMW.

OON selanjutnya melaporkan bahawa KTM Components AG telah berjanji kepada pengurusan VMG bahawa KTM akan mengekalkan kilang itu dengan menyediakan dana termasuk untuk gaji pekerja, walaupun KTM sendiri sedang bergelut dengan masalah kewangan.

Malangnya ia tidak menjadi kenyataan kerana nampaknya tiada rancangan untuk menyusun semula syarikat itu. Ia adalah tamparan hebat kepada kakitangan, yang dilaporkan masih dihutang gaji mereka, dan juga untuk keluarga yang membina syarikat itu. VMG dijadualkan meraikan ulang tahun ke-70 mereka pada tahun 2025.

Jurucakap persatuan perlindungan pemiutang KSV1870 berkata, “Kami mengandaikan bahawa syarikat penghutang akan ditutup di mahkamah muflis secepat mungkin selepas pemeriksaan awal oleh pentadbir insolvensi dan baki aset akan digunakan dengan cara yang terbaik.

Dalam erti kata lain, pemiutang hendak menuntut hutang mereka dengan secepat mungkin dan aset VMG akan dijual.

Arkib

Ikuti Kami di Facebook

Ikuti Kami di YouTube