Bikesrepublic

Proton

Pasukan Mellors Elliot Motorsport (MEM) berjaya menjuarai rali Woodpecker Stage 2019 hujung minggu lalu yang merupakan perlumbaan peringkat keenam bagi siri rali BTRDA.

MEM menggunakan Proton Iriz R5 – selepas melepasi piawaian FIA – yang dipandu Ollie Mellors bersama Ian Windress.

Mereka berjaya menamatkan lima peringkat perlumbaan dengan catatan masa 43 minit 34 saat, 20 saat dipisahkan dengan George Lepley yang memandu Mitsubishi Lancer Evolution X.

Sementara tempat ketiga jadi milik Stephen Petch yang memandu Ford Fiesta WRC.

Menariknya, Mellors bersama Iriz R5 berjaya merekodkan masa terpantas bagi empat peringkat perlumbaan meskipun mengalami sedikit kemalangan.

Proton Iriz R5 ini dibina khas oleh MEM – bagi menepati peraturan dan piawaian pertandingan R5 – menggunakan enjin Mitsubishi 4B11T 1.6 liter.

Dalam perkembangan lain, bagi mereka yang mahu merasai pengalaman pemanduan Iriz R5, anda boleh mendapatkan permainan konsol/PC World Rally Championship 8 (WRC8) yang akan turut menampilkan Proton Iriz R5.

Saksikan trailer WRC8 Dibawah:

 

Sempena dengan sambutan Hari Kemerdekaan, Bosch Automotive Aftermarket Malaysia (Bosch AA) dengan kerjasama Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga Dan Masyarakat  (KPWKM) dengan sokongan daripada PROTON, Petron dan Jabatan Keselamatan Jalan Raya (JKJR) telah meganjurkan bengkel penyelenggaraan kereta bagi wanita. 

Objektif utama bengkel ini adalah untuk memperkasakan wanita dengan ilmu untuk menjaga kenderaan serta keselamatan diri sendiri dan anak-anak.

Dilancarkan oleh Timbalan KPWKM, YB Hannah Yeoh, bengkel ini turut menyaksikan penglibatan lebih 60 staf Jabatan Pembangunan Wanita.

Bengkel ini memfokuskan terhadap menyuntik ilmu penjagaan kenderaan serta kepentingan Child Restraint System (CRS) dan juga cara pemasangan yang betul.

Hannah Yeoh turut mengetengahkan kepentingan bengkel ini susulan keputusan kajian yang membimbangkan oleh Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya (MIROS).

“Menurut kajian oleh MIROS, 58 peratus kematian membabitkan kanak-kanak dan bayi berpunca daripada kemalangan jalan raya yang boleh dielakkan dengan penggunaan kerusi kanak-kanak.

“Jadi saya amat teruja kerana bengkel ini memfokuskan terhadap kepentingan penjagaan kenderaan termasuk penggunaan CRS yang akan diwajibkan bermula tahun depan.

“Penggunaan CRS dapat mengurangkan kadar kemalangan maut yang menyumbang kepada kematian kanak-kanak dan bayi,” jelasnya.

Sementara itu, menurut kajian Bosch AA yang dijalankan pada 2018 mendapati hanya 1 peratus wanita yang tahu apa yang perlu dilakukan ketika kereta rosak.

Bengkel ini turut menyaksikan Bosch mengajar teknik mudah kepada peserta bagi penjagaan kenderaan yang melibatkan bateri, pengelap cermin, minyak enjin dan tayar.

Pengurus Bosch Automotive Aftermarket Malaysia, Pang Yoon Kong yakin ilmu penjagaan kereta mampu merendahkan risiko kereta rosak dan kemalangan jalan raya.

“Penjagaan kereta dan keselamatan jalan raya adalah fokus utama kami kerana kami percaya dua faktor ini amat penting dalam memperkasakan golongan wanita di Malaysia.

“Sempena sambutan Hari Kemerdekaan, bengkel ‘Heels & Wheels’  akan memberi inspirasi pada wanita untuk menjaga kereta tanpa perlu bantuan daripada orang lain,” katanya.

Bengkel ini turut menyaksikan sesi penyampaian keselamatan kenderaan oleh PROTON serta Petron Malaysia dan JKJR.

Selepas memperkenalkan kemaskini baharu bagi model Proton Persona, Iriz dan Exora sebelum ini, pengeluar kereta nasional itu melancarkan Proton Saga edisi baharu di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa (MITEC), hari ini.

Model pilihan utama rakyat Malaysia itu masih kekal dengan enjin 1.3 liter namun telah ditambah baik dengan transmisi empat kelajuan Hyundai Powertech – menggantikan CVT –  yang dijamin menyuntik pemanduan lancar dan selesa serta paling penting, jimat minyak.

Seperti Iriz, Persona dan Exora, model ‘facelift’ Saga ini turut didatangkan dengan rekaan gril depan yang tampak moden dan lebih segar sesuai dengan peredaran masa.

Saga baharu ini turut menampilkan lampu LED di bahagian bumper depan bagi menyerlahkan lagi kehadiran di waktu siang dan malam.

Bagi mewujudkan rupa keseluruhan yang lebih sporty, Proton turut melengkapkan Saga dengan rekaan rim baharu.

Selain daripada perubahan di bahagian luar, bahagian dalam turut mendapat perubahan drastik terutamanya di bahagian ‘dashboard’.

Orang ramai kini disajikan dengan paparan hiburan terapung dan panel meter baharu.

Proton Saga 2019 turut dilengkapi pelbagai ciri keselamatan bertaraf tinggi antaranya:

  • Airbag SRS depan
  • ABS
  • Electronic Brake Distribution (EBD)
  • Brake Assist
  • Electronic Stability Control (ESC)
  • Traction Control System
  • Hill Hold Assist
  • Rear Seat ISOFIX
  • Front Parking Sensor
  • Rear Parking Sensor
  • Reverse Camera
  • Anti-Theft Alarm/Immobilizer

Proton Saga ‘facelift’ ini juga dijangka bakal menarik pembeli dengan harga mampu milik seperti berikut:

  • 1.3L STANDARD MT – RM32,800
  • 1.3L STANDARD AT – RM35,800
  • 1.3L PREMIUM AT – RM39,800

Menteri Pembangunan Usahawan, Redzuan Yusof berkata Bahrain telah meluahkan minat untuk mengimport Proton X70.

Perkara itu disampaikan kepadanya ketika dia berkunjung ke negara tersebut dan telah pun menyampaikan hasrat Bahrain kepada PROTON.

Sementara itu, PROTON sebelum ini telah pun mendedahkan bahawa dua negara jiran, Thailand dan Indonesia bakal menjadi destinasi eksport sulung bagi Proton X70.

Dalam perkembangan lain, Redzuan menjelaskan bahawa sebarang keputusan mengenai pembinaan kereta nasional ketiga terletak di tangan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Menurut laporan FMT, Redzuan menjelaskan bahawa pendirian Perdana Menteri cukup jelas dengan model prototaip akan siap menjelang 2020.

Sebelum ini, dilaporkan bahawa terdapat dua pengeluar kereta telah disenarai pendek bagi projek pembinaan kereta nasional ketiga.

(SUMBER: FMT)

Pengeluar kereta tempatan, PROTON dan Perodua bingkas muncul sebagai peneraju pasaran kereta negara tatkala orang ramai kini beralih kepada kenderaan mampu milik.

Menurut laporan AmInvestment Bank Research, kebangkitan jenama tempatan berpunca terhadap kejayaan penjualan model Perodua Myvi generasi ketiga (2017) dan Proton X70 yang kini semakin popular.

“Sejak 2014, margin keuntungan jenama antarabangsa telah mengatasi jenama tempatan terutamanya daripada segi pasaran saham dalam tempoh setahun.

“Bagaimanapun, pada April 2019, kami menyaksikan perubahan radikal bagi sektor ini buat julung kalinya sejak 2014 dengan saham pasaran kereta tempatan mengatasi jenama antarabangsa – 56 peratus lwn 44 peratus,”kata laporan itu.

Pertumbuhan penjualan Proton tahun ini diterajui model yang dilengkapi dengan ciri-ciri canggih dengan pelancaran model SUV pertama, Proton X70 menjadi penyumbang terbesar.

Pasaran kereta tempatan telah didominasi Proton dan Perodua untuk satu tempoh yang panjang sehinggalah pada 2014 apabila jenama kereta luar memperkenalkan model baharu dengan harga kompetitif dan ciri-ciri menarik.

Kedua-duanya dijangka akan terus mendominasi penjualan sehingga akhir tahun 2019 mengetepikan cabaran jenama kereta antarabangsa.

Perodua merekodkan penjualan 82,000 unit dalam tempoh empat bulan pertama 2019 – peningkatan sebanyak 9.7 peratus. Kenanga Research menjangkakan Perodua mampu mencapai sasaran 231,000 unit penjualan tahun ini.

“X70 telah menerima tempahan sebanyak 30,000 unit dengan 14,000 unit telah pun diserahkan kepada pelanggan sejak diperkenakan kepada orang ramai pada pertengahan 2018,” kata AmInvestment Bank.

Minggu lalu, Proton mengumumkan penjualan tertinggi selepas 46 bulan dengan 10,611 unit dijual pada bulan Mei 2019 sahaja – 53 peratus peningkatan berbanding bulan sebelumnya.

(SUMBER: The Star)

Sempena dengan Malaysia Tech Week 2019, anda berpeluang memenangi sebuah Proton Iriz 2019 edisi Razer jika anda menggunakan aplikasi Razer Pay untuk membuat sebarang pembelian.

Iriz Razer Edition ini didatangkan dengan warna ikonik hijau neon Razer yang kebiasaannya dikaitkan dengan produk ‘gaming’ Razer lain.

Hadiah utama ini pastinya bakal menarik perhatian orang ramai untuk sertai pertandingan ini lebih-lebih lagi para ‘gamers’ yang mahu melengkapkan aksesori Razer sedia ada.

Pelanggan boleh sertai pertandingan ini dengan mengunakan aplikasi Razer Pay untuk membuat pembelian di Starbucks, 7-Eleven, Celcom Xpax dan servis ganjaran Razer Gold, hari ini hingga 30 Jun 2019.

 

PROTON berjaya merekodkan penjualan sebanyak 10,611 unit kereta bagi bulan Mei sahaja sekaligus menandakan pencapaian terbaik dalam tempoh 46 bulan ini.

Catatan cemerlang tersebut menandakan pertumbuhan sebanyak 51 peratus berbanding bulan sebelumnya sekaligus mendorong pertumbuhan jualan keseluruhan bagi lima bula pertama tahun inin kepada lebih 70 peratus berbanding tempoh sama bagi 2018.

Pertumbuhan jualan tersebut dijana oleh model PROTON yang memiliki ciri-ciri pintar dengan Proton X70 menjadi tarikan utama bagi kelas SUV premium dan eksekutif apabila sebanyak 2,439 unit dijual pada bulan Mei. Kini, sebanyak 13,572 unit X70 telah pun diserahkan kepada pelanggan.

Proton Iriz dan Persona yang telah dikemaskini dengan pelbagai ciri pintar termasuk reka bentuk baharu turut memainkan perananan dalam menarik perhatian pembeli apabila sejumlah 3,912 unit dijual – penjualan tertinggi dalam tempoh dua tahun. Sehingga kini PROTON telah menerima lebih 10,000 tempahan bagi kedua-dua model ini.

Proton Saga turut memperlihatkan kenaikan penjualan apabila berjaya melepasi angka 3,000 unit untuk bulan kedua berturut-turut apabila sebanyak 3,610 unit terjual bagi bulan Mei sahaja lantas menandakan peningkatan sebanyak 41 peratus bagi lima bulan pertama tahun ini.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif PROTON, Dr Li Chunrong berharap prestasi semasa ini dapat diteruskan hingga hujung tahun.

“Dengan peningkatan jumlah jualan setakat ini sebanyak 70% pada tahun 2019, PROTON menerima hasil untuk
pelaburannya pada produk-produk, kakitangan serta cawangan-cawangan jualan. Syarikat berharap dapat
mengakhiri keseluruhan jualan di tempat kedua dalam bulan kedua berturut-turut apabila angka jualan industri keseluruhan dikongsi oleh Persatuan Automotif Malaysia (MAA) dan kami yakin dapat mengekalkan prestasi jualan yang mantap sepanjang tahun,”katanya.

 

Seramai 258 kakitangan PROTON Shah Alam dan Tanjung Malim menerima Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) dalam satu majlis graduasi yang diserikan oleh Timbalan Ketua Pengarah Jabatan Pembangunan Kemahiran, Dr. Mohd Rashid Buyong Hamzah dan Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif PROTON, Dato Radzaif Mohamed.

Penganugerahan sijil tersebut menunjukkan komitmen PROTON dalam memastikan pembangunan pekerjanya di samping melahirkan lebih ramai pekerja mahir dalam industri automotif.

“Pekerja-pekerja kami merupakan aset utama untuk meningkatkan daya saing Syarikat di dalam industri. PROTON komited untuk membangun dan menghasilkan lebih ramai pekerja mahir dan sebagai pengeluar kereta kebangsaan, tugas kami bukan sekadar membina kereta tetapi menjadi pemacu utama dalam pembangunan modal insan.

“Selama bertahun yang lalu, kami telah melihat kesan positif latihan ini kepada kakitangan dari segi keberkesanan dan kualiti kerja mereka. Menerusi usaha berterusan untuk meningkatkan kemahiran para pekerja ini, Syarikat akan dapat menyediakan perkhidmatan yang lebih baik kepada pelanggan dan mampu menghasilkan produk yang lebih berkualiti untuk mereka,” katanya Dato Radzaif.

Ketika ini, PROTON turut menyediakan latihan dari semasa ke semasa bagi memastikan ilmu dan kemahiran pekerja selari dengan arus teknologi yang kini diterapkan ke dalam model PROTON X70 dan terbaru PROTON Persona dan Iriz.

Selepas julung kalinya Proton Persona dan Iriz ditayangkan kepada orang ramai di Pameran Auto Malaysia baru-baru ini, PROTON dengan rasminya melancarkan kedua-dua model dalam satu majlis gilang-gemilang yang diadakan di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC), malam tadi.

Kedua-dua model ini bukanlah model baharu, sebaliknya telah ditambah baik secara menyeluruh bagi memenuhi kehendak pelanggan PROTON.

Ini empat sebab kami berasakan anda wajib pertimbangkan untuk membeli Proton Persona dan Iriz tahun ini:

1) Ciri-ciri pintar

Tinggal beberapa bulan sahaja sebelum menuju ke Wawasan 2020 dan meskipun masih belum ada bayangan kereta terbang apa salah nya kalau kita memberi kepercayaan terhadap kereta pintar?

Kedua-dua unit varian Premium 1.6AT menawarkan kad eSIM yang memastikan pemandu sentiasa bersambung dengan internet!

Ini bermakna anda boleh melayari internet, akses penstriman muzik serta navigasi (WAZE, Google Maps) melalui skrin sentuh 7 inci, tidak kira di mana jua anda berada. Sekaligus tak perlu susah payah lepak mamak semata-mata mahukan sambungan WiFi!

Anda juga boleh mengakses segala kemudahan ini dengan hanya menggunakan suara tetapi jangan lupa untuk memulakan mukadimah dengan “Hi PROTON!”.

Cuba sebut “Hi Perodua” dalam ‘kereta paling laju di Malaysia’ tengok ada kesan tak?

2) Reka bentuk baharu

Kalau anda mahu tampak berlainan di atas jalan raya – sebab kalau semua beli ‘kereta paling laju di Malaysia’ dah tak nampak istimewa – rekaan baharu yang diterapkan Iriz (terutamanya) dan Persona pastinya akan menarik perhatian orang ramai.

Iriz paling mencuri tumpuan dengan rekaan gril hadapan ‘Ethereal Bow’ dan tulisan PROTON dengan kemasan hitam di bahagian belakang ala kereta Eropah!

Kalau berfesyen pun nak nampak huruf Tomi Hillfiker, Lui Viton dan Guschi, baru nampak bergaya dengan huruf PROTON di belakang.

Bukan itu sahaja, rekaan rim baharu serta antena sirip yu menyerlahkan lagi rupa ‘sporty’.

Meskipun rekaan baharu ini tidak terlalu ketara bagi model Persona namun ia tetap hadir dengan gril sama seperti Iriz dan reka bentuk bampar hadapan yang serba baharu.

3) Harga mampu milik

Proton Iriz 2019: 

HARGA OTR

VARIAN

SEMENANJUNG MALAYSIA

SABAH DAN SARAWAK

1.3L STANDARD MT RM36, 700 RM38, 700
1.3L STANDARD CVT RM39, 700 RM41, 700
1.3L EXECUTIVE CVT RM44, 700 RM46, 700
1.6L EXECUTIVE CVT RM46, 700 RM48, 700
1.6 PREMIUM CVT RM50, 700 RM52, 700

Proton PERSONA 2019: 

HARGA OTR

VARIAN

SEMENANJUNG MALAYSIA

SABAH DAN SARAWAK

1.6L STANDARD MT RM42, 600 RM44, 600
1.6L STANDARD CVT RM44, 600 RM46, 600
1.6L EXECUTIVE CVT RM49, 600 RM51, 600
1.6L PREMIUM CVT RM54, 600 RM56, 600

Harga yang ditawarkan bagi kedua-dua model memberi pilihan yang lebih banyak kepada pelanggan yang berminat untuk membuat tempahan.

Bukan itu sahaja kerana PROTON turut menawarkan beberapa pakej menarik dan luar biasa yang boleh buat anda semua terkesima!

4) Pakej menarik

PROTON menawarakan lima pakej menarik bagi pelanggan yang berminat untuk mendapatkan dua model ini antaranya, Pakej Cukai Jalan, Pakej Data, Pakej Kadar Pembiayaan Rendah, Pakej Servis dan Pakej Perlindungan Insurans.

Pakej Cukai Jalan

  • dua tahun percuma cukai jalan bagi kereta yang ditempah di hari pelancaran
  • dua tahun percuma cukai jalan bagi 1,000  unit pertama yang didaftarkan

Pakej Data

  • percuma DATA INTERNET 5 TAHUN (12GB setahun)

Pakej Kadar Pembiayaan Rendah

  • kadar faedah serendah 2.93 peratus!

Pakej Servis

  • kos upah percuma bagi tiga kali servis (sehingga 20,000 km)

Pakej Perlindungan Insurans

  • pengecualian perbaikan sehingga 10 tahun
  • perlindungan nilai dipersetujui sehingga 12 tahun
  • perlindungan penjagaan sehingga RM1,000
  • Elaun Perlindungan sehingga RM1,000
  • Perlindungan Pemandu tanpa caj
  • Perlindungan Kemalangan sehingga RM15,000

Empat sebab ini sudah cukup untuk membuatkan anda untuk terus bergegas ke pengedar PROTON dan membuat tempahan kerana 1,000 unit pertama yang didaftarkan melayakan anda untuk mendapat dua tahun percuma cukai jalan! Banyak boleh jimat kan?

Apa yang penting, kedua-dua model ini memastikan anda selamat dan selesa di atas jalan, tanpa perlu risau berlakunya kes ‘terbang’ seperti yang menimpa beberapa model ‘kereta terbang’ yang berlaku baru-baru ini.

 

 

 

 

 

Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berpeluang merasai jaringan 5G apabila dia menaiki kenderaan autonomi Proton Exora sambil ditemani Menteri Komunikasi dan Multimedia, Gobind Singh Deo, di Putrajaya, semalam.

Kereta tersebut kemudian membawa mereka dari Istana Kehakiman ke Kompleks Perbadanan Putrajaya dengan jarak 100 meter.

Perjalanan Tun Dr Mahathir dan Gobind turut ditemani drone dan kamera yang diletakkan di dalam kereta semasa dalam perjalanan menuju ke pameran 5G Malaysia.

Meskipun memandu dengan sendirinya, seorang pemandu telah pun diletakkan dibahagian hadapan sebagai langkah keselamatan bagaimanapun tangannya diletakkan di bahagian yang mudah kelihatan bagi membuktikan kereta tersebut memandu dengan sendirinya.

Menurut laporan SoyaCincau, kereta Exora tersebut telah dilengkapi dengan kamera, radar dan sensor LIDAR yang membenarkan kereta terbabit untuk mengesan keadaan sekeliling.

Sistem autonomi tersebut telah dihasilkan oleh eMooVit, syarikat permulaan yang memfokuskan dalam perisian kenderaan autonomi.

Proton Exora tersebut memiliki sistem autonomi kelas 4 yang bererti ia mampu berjalan dengan sendiri termasuk memusingkan stereng dan menekan pedal minyak.

PROTON telah melanjutkan usaha sama bersama PETRONAS Lubrincatns Marketing Malaysia Sdn Bhd (PLMM), anak syarikat PETRONAS Dagangan Berhad (PDB) dan PETRONAS Lubricants Intertional (PLI) selama 10 tahun sekaligus memastikan penghasilan dan penghantaran produk pelincir berlangsung dengan lebih lancar.

Perjanjian Pembekalan, Teknologi, Komersial dan Kerjasama Global (STCCA) telah disaksikan sendiri Ketua Wilayah bagi OEM APAC, Andrew Wong, Ketua Pegawai Perolehan PROTON, Lim Meng Jin dan Pengarah Kanan Strategi Korporat, Yusri Yusof.

Sementara itu, Perjanjian Pembekalan dan Kerjasama Komersial Tempatan (LSCCA) telah ditandangani oleh Ketua Pegawai Eksekutif PLMM, Hardeep Singh yang mewakili PETRONAS sambil disaksikan oleh Pengurus Besar Jualan B2C, Gan Kher Yang.

Sesi menandatangani perjanjian ini disaksikan oleh Dato’ Sri Syed Zainal Abidin, Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif PDB dan Pengerusi PLMM dan PLI serta Giuseppe D’Arrigo, Ketua Pegawai Eksekutif PLI. Pihak PROTON pula diwakili oleh Ketua Pegawai Eksekutif PROTON, Dr Li Chunrong dan Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif PROTON, Dato’ Radzaif Mohamed.

“PROTON dan PETRONAS telah bekerjasama sejak dahulu lagi, jadi tidak hairanlah sekiranya kami ingin melanjutkan tempoh perjanjian kerjasama ini. PROTON bakal menghasilkan pelbagai model baharu yang menarik dan kami sangat teruja untuk meneroka dengan lebih
mendalam cecair-cecair teknikal yang dihasilkan bersama PETRONAS yang akan memberi manfaat kepada pelanggan kami,” kata Dr Li Chunrong.

Sementara itu, Dato Sri Syed Zainal Abidin meluahkan keterujaan ekoran diberi kepercayaan untuk tempoh 10 tahun untuk terus menjadi pembekal rasmi PROTON.

“PETRONAS telah menjadi pembekal cecair rasmi kepada PROTON sejak 1989. Kami berbesar hati untuk mengembangkan lagi perkongsian ini kerana ini merupakan bukti jelas kepercayaan dan keyakinan PROTON terhadap produk dan perkhidmatan kami,” katanya.

PROTON menamatkan suku pertama 2019 dengan rekod kenaikan jualan baharu dengan 6,145 unit didaftarkan sekaligus mencatat kenaikan 2.6 peratus berbanding tempoh sama tahun lalu.

Meskipun model X70 baru sahaja dilancarakan namun jumlah pendaftaran dicatatkan amat memberangsangakan. Pada bulan Mac sahaja, sebanyak 2,979 unit telah didaftarkan sekaligus menjadikan X70 model SUV paling laris bagi bulan itu dan tiga bulan pertama tahun ini.

Bukan itu sahaja, angka yang direkodkan merupakan jumlah paling banyak pernah dicatat dalam industri automotif Malaysia bagi segmen SUV dalam tempoh satu bulan.

Proton X70 jelas semakin mendapat tempat sebagai SUV popular apabila telah pun menerima lebih 25,000 tempahan.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif PROTON, Dr Li Chunrong mengucapkan terima kasih kepada usaha yang dilakukan keluarga PROTON sepanjang tahun ini.

“Angka yang dicatatkan oleh PROTON pada tahun 2019 merupakan hasil daripada usaha padu yang dilakukan
oleh setiap pekerja kami selain daripada pembukaan cawangan 3S/4S, peningkatan kualiti produk, tumpuan penuh pada perkhidmatan pelanggan serta penambahbaikan pada bahagian-bahagian yang lain.

“Pada masa sama kami juga berharap dapat menyerahkan model X70 kepada pelanggan dengan lebih cepat di samping memastikan setiap unit yang diserah mengekalkan tahap kualiti yang tinggi,”katanya.

Archive

Follow us on Facebook

Follow us on YouTube