Bikesrepublic

BM

Triumph merancang untuk melancarkan 29 model motosikal dalam tempoh 6 bulan akan datang. Pengeluar berpusat di Hinckley itu menyatakan ini adalah program pelancaran terbesar dalam sejarah mereka.

Pelancaran ini menyusul tahun jualan rekod yang menyaksikan mereka menghantar 141,683 unit motosikal ke seluruh dunia antara Julai 2024 dan Jun 2025. Angka ini menunjukkan peningkatan jualan sebanyak 136% sejak 2019, dengan Triumph kini beroperasi melalui 950 pengedar di 68 negara.

Pengumuman model baru akan bermula pada 21 Oktober dengan kempen ‘True Originals Never Settle’ yang membayangkan perubahan dalam rangkaian klasik moden mereka, diikuti dengan pelancaran kedua bertajuk ‘Made to Upstage’ hanya seminggu kemudian.

Ketua Pegawai Komersial, Paul Stroud, berkata: “Daya momentum yang kami capai dalam tahun-tahun kebelakangan ini adalah luar biasa. Jualan rekod, pengembangan ke segmen baharu, dan jumlah pelancaran produk yang akan datang mencerminkan keyakinan kami terhadap masa depan.”

“Kami komited untuk menyampaikan pelbagai motosikal yang menarik, inovatif, dan dibina mengikut piawaian kualiti tertinggi untuk pelanggan di seluruh dunia.”

Daripada 29 model yang dirancang, tujuh telah diketahui, termasuk rangkaian motosikal elektrik belia TXP, TF 450-X, dan dua model merentas desa. Baki 22 model akan terdiri sama ada model baru sepenuhnya atau kemas kini kepada platform sedia ada.

Pengedar di seluruh dunia juga akan menganjurkan acara pratonton dari sekarang sehingga suku pertama tahun depan.

Yamaha NMAX adalah salah satu skuter 150cc yang paling popular, dan kelihatan di mana-mana sejak pelancarannya di Malaysia pada 2016. Sejak itu, ia telah dikemaskini hingga ke tahap sekarang, Yamaha NMAX (2025).

NMAX popular kerana ciri-cirinya yang mudah, mesra pengguna, ringan dikendalikan, dan prestasi enjin yang agak baik terutamanya bermula versi kedua. Selain itu, terdapat juga kemudahan yang ditawarkan oleh skuter iaitu ruang penyimpanan di bawah pelana yang agak besar.

Namun, kami tidak boleh mengabaikan isu yang begitu ketara, iaitu cabaran daripada skuter-skuter China yang mempunyai reka bentuk futuristik, lebih banyak peralatan elektronik, dan ditawarkan pada harga yang lebih rendah.

Jadi, dapatkah NMAX mempertahankan kedudukannya?

Apakah Yamaha NMAX (2025)?

Motosikal ini berada dalam segmen skuter automatik ‘twist-and-go’ 150-160cc. Segmen ini amat kompetitif di  kalangan pengeluar dan pengedar, kerana ianya paling mampu milik untuk orang ramai.

Berbanding model sebangsanya, Yamaha NVX, NMAX dipasarkan sebagai varian yang lebih utiliti dan mesra, manakala NVX ialah skuter ‘sporty’. Oleh itu, NMAX menawarkan lebih banyak ruang penyimpanan dan keselesaan.

Ciri-ciri utama
  • Model 2025 menampilkan reka bentuk lampu depan dan belakang yang baharu berbanding model sebelumnya. Reka bentuk baharu ini menjadikan skuter tersebut kelihatan lebih ‘sporty’ dan futuristik.
  • Versi Malaysia tidak sama dengan Yamaha NMAX “Turbo” yang dilengkapi ciri Yamaha Y-Shift yang sedang dijual di Malaysia.
  • Enjinnya kekal sebagai enjin Blue Core, penyejuk cecair, 155cc, satu silinder, SOHC, 4 injap dengan VVA (variable valve actuation). Ini adalah enjin yang sama seperti yang digunakan pada model NVX dan Y16ZR.

  • Ia menghasilkan 15.2 hp (11.3 kW) pada 8,000 RPM dan tork 14.2 Nm pada 6,500 RPM.
  • Transmisi yang digunakan ialah CVT (Transmisi Terus Berubah), dengan pacuan akhir menggunakan tali-sawat.
  • Beralih kepada bahagian casis, suspensi hadapan terdiri sepasang fork teleskopik yang dikemaskini, manakala bahagian belakang disokong oleh sepasang penyerap hentakan.
  • Tugas brek dikendalikan oleh cakera tunggal 230mm, di hadapan dan belakang.

  • ABS dwi-saluran merupakan ciri standard.
  • Ciri-ciri elektronik termasuk skrin LCD tunggal bersaiz besar dengan ciri Y-Connect; sistem penghidup tanpa kunci, fungsi henti enjin semasa berhenti (‘idle stop’), port pengecasan USB, serta pencahayaan LED.
  • Tinggi tempat duduk disenaraikan sebagai 775mm.

  • Ruang penyimpanan bawah tempat duduk yang lebih besar, kini pada 25 liter.
  • Tangki bahan api mempunyai kapasiti 7.1 liter.
  • Yamaha mendakwa bahawa motosikal ini mempunyai berat basah 131 kg.
Pengalaman menguji Yamaha NMAX (2025)

Apabila menaikinya, kami mendapati ergonomiknya masih sama dengan model-model sebelumnya, dengan badan dan tempat duduk yang tirus, jarak dekat ke hendal, serta tempat duduk yang rendah. Kaki kami terletak dengan selesa di atas papan lantai di kedua-dua belah, dengan ruang yang lebih daripada cukup untuk menggerakkannya.

Span pelana terasa lembut dan selesa, walaupun kami tidak dapat mengingati sama ada ianya sama seperti sebelumnya. Terdapat ruang yang mencukupi untuk bergerak ke hadapan dan belakang, di samping ruang yang baik untuk penumpang kedua.

Hendalnya sempit dengan sudut stereng yang luas, dan ini amat baik untuk menunggang di dalam kesesakan trafik.

Membuka tempat duduk mendedahkan ruang penyimpanan yang lebih besar, dan boleh memuatkan sebuah beg sandang berserta komputer riba 15 inci di dalamnya. Walau bagaimanapun, beg tersebut seolah-olah ‘terapung’ meninggalkan lebih ruang di bawahnya untuk baju hujan dan kasut. Malangnya, kami cuba menyimpan helmet jenis jet tetapi tidak berjaya. Namun, ia mungkin boleh memuatkan helmet jenis MS88.

Enjinnya hidup dengan pantas setiap kali, sambil mengeluarkan bunyi yang biasa bagi mana-mana skuter satu silinder. Ia juga berputar laju dengan agak pantas, tetapi tanpa sebarang bunyi kasar.

Membuka pendikit menyebabkan skuter memecut dengan lancar tanpa hejutan kuat seperti NVX. Malah, gabungan enjin dan CVT memberikan respons yang sangat lancar sepanjang julat putaran enjin. Menutup pendikit secara mendadak tidak menyebabkan motosikal tersebut perlahan secara mengejut, atau sebaliknya, meluncur ke depan seolah-olah anda tersilap memasukki neutral pada motosikal transmisi manual. Ini menunjukkan Yamaha telah melakukan tugas yang cemerlang dalam mengimbangi pemberat ‘roller’ dengan ciri-ciri tork enjin.

Dengan itu disebut, enjin memang memberikan ‘oomph’ yang banyak ketika dipacu pada kelajuan lebuh raya. Ia terus memecut (walaupun secara lancar) sehingga ke kelajuan maksimumnya hampir 130 km/j tanpa rasa seperti enjin akan meletup. Begitu juga, membuka pendikit dari 80 km/j menyebabkannya memecut dengan rancak tanpa kehabisan nafas – hasil daripada VVA.

Skuter kecil seperti ini sering menghadapi masalah jarak pergerakan suspensi yang pendek. Ini bukanlah perkara khusus kepada NMAX sahaja, tetapi merupakan satu sifat semula jadi untuk semua skuter seumpamanya. Oleh itu, suspensi belakang terasa keras ketika melalui bonggol tajam, tetapi bahagian hadapan kini terasa jauh lebih baik. Yamaha menyatakan mereka telah menyemak semula kadar redaman (damping rates), justeru ia tidak terasaterlampau keras ketika melanggar bonggol dan lubang. Kemaskini ini juga memberikan rasa yang lebih baik terhadap tayar hadapan dan tingkah lakunya, sekaligus meningkatkan keyakinan kami di selekoh. Bahagian hadapan motosikal ini juga stabil tanpa berolak-olak di selekoh seperti dahulu. Bagus!

Sudah tentu, motosikal ini tidak direka untuk didorong sehingga ke 10/10 had kemampuannya, memandangkan ia menggunakan tayar berdiameter kecil. Melakukan sedemikian bukanlah tujuan memiliki motosikal ini. Sebaliknya, ia direka untuk penungganan mudah dengan tork tambahan untuk memotong kenderaan lain.

Bergantung pada tahap kemahiran anda, tayar standard yang disediakan memberikan cengkaman yang mencukupi dalam cuaca kering dan hujan. Kami tidak berasa sebarang keraguan untuk ‘menghayunkan’ motosikal ini di selekoh yang basah, apatah lagi ketika cuaca cerah.

Penungganan melalui kesesakan trafik adalah ketika NMAX benar-benar bersinar. Saiznya yang kompak dan sudut stereng yang luas bekerjasama untuk melenyapkan trafik dan ruang sempit, sekaligus membuktikan bahawa menunggang motosikal kecil di bandar adalah jauh lebih menyeronokkan.

Hong Leong Yamaha Motor meminjamkan kami Yamaha NMAX (2025) selama 7 hari dan kami menikmati setiap detik menunggangnya. Kami menggunakannya untuk berulang-alik ke tempat kerja, menjalankan urusan harian, dan menghantar anak-anak ke sekolah. Hei, terlupa membeli sesuatu di pasar raya? Hanya perlu mengeluarkan motosikal dan pergi.

Sebagai satu titik tambah, kami tidak berjaya menghabiskan walau satu tangki petrol, walaupun mematikan fungsi ‘idle stop’ sepanjang tempoh ujian kami.

Satu perkara yang perlu kami sebutkan adalah mengenai kualiti binaan motosikal ini, yang baik seperti biasa. Tiada panel yang tidak sejajar atau wayar dan kabel yang terjulur di mana-mana bahagian. Lampu hadapannya juga cukup terang untuk sebuah motosikal bersaiz ini.

Penutup

Kami lega mendapat tahu Yamaha NMAX (2025) meneruskan tradisi model NMAX pertama dengan menyediakan platform yang mudah dan sesuai untuk penungganan santai, sambil mengekalkan keselesaan dan kemudahannya.

Yang perlu diberi perhatian ialah kenaikan harga jualan disyorkannya yang meningkat sebanyak RM1,700 daripada RM9,798 kepada RM11,498. Ini adalah disebabkan oleh kemasukan sistem ABS, tetapi ia adalah sistem dwi-saluran yang berfungsi untuk kedua-dua roda.

Namun, walaupun harganya jauh lebih tinggi berbanding kebanyakan skuter dalam kelasnya pada masa kini, Yamaha NMAX (2025) ini tetap mewakili nilai yang baik. Anda memperoleh enjin yang telah teruji, disokong oleh bekalan alat ganti yang melimpah – sama adayang tulen, daripada pengeluar asal (OEM), atau pasaran lepas jualan – untuk ketenangan fikiran yang menyeluruh.

Chear Motorrad, salah satu rakan pengedar berpengalaman BMW Motorrad di Malaysia, hari ini secara rasminya mengumumkan pemindahan pusat pengedarannya ke Shah Alam, sekali gus menandakan pelancaran sulung Pengalaman Penjualan Baharu BMW Motorrad yang pertama di negara ini. Pencapaian signifikan ini membuka lembaran baharu dalam perjalanan Chear Motorrad untuk terus memberikan perkhidmatan terbaik kepada komuniti BMW Motorrad yang semakin berkembang, melalui keterlibatan pelanggan yang lebih mendalam serta peluasan titik interaksi dalam aspek jualan, servis, dan sokongan.

Benjamin Nagel, Pengarah Urusan BMW Group Malaysia berkata, “Janji kami di BMW Motorrad adalah jelas, iaitu memastikan setiap peringkat perjalanan penunggang motosikal menjadi mudah, mengujakan dan premium. Ia bukan sahaja merangkumi rangkaian motosikal berkuasa yang pelbagai, tetapi juga setiap titik interaksi pelanggan dengan jenama kami, demi memberikan Pengalaman Pemilikan Premium di setiap langkah. Bilik pameran baharu Chear Motorrad di Shah Alam merupakan manifestasi ini, menerusi tawaran pengalaman penjualan yang melangkaui aspek jualan dan perkhidmatan, sekali gus mewujudkan ruang yang lebih dinamik untuk komuniti penunggang. Sejak tahun 2011, Chear Motorrad telah memainkan peranan penting dalam rangkaian pengedar kami, dan kami amat teruja menyaksikan pertumbuhan mereka dalam membawa pengalaman BMW Motorrad lebih dekat kepada para pelanggan di Lembah Klang dan sekitarnya.”

Dato’ Chear Kin Keong, Pengarah Urusan Chear Motor Group, berkata, “Sepanjang lebih sedekad, perjalanan kami telah didorong oleh kepercayaan serta semangat para pelanggan, dan kami berbangga dapat memberikan perkhidmatan kepada mereka. Pelancaran bilik pameran baharu di Shah Alam ini merupakan satu pencapaian yang bermakna, khususnya kerana ia memperkenalkan Pengalaman Penjualan Baharu BMW Motorrad yang pertama di Malaysia. Langkah ini mencerminkan dedikasi kami untuk memberikan pengalaman yang terbaik kepada komuniti motosikal di Malaysia, Malaysia terutamanya para pemilik BMW Motorrad. Seiring dengan pertumbuhan pesat komuniti BMW Motorrad, kami juga terus berkembang – dengan pasukan yang lebih kukuh dan berdedikasi serta fokus baharu terhadap penjagaan pelanggan. Kami teruja untuk mencipta pengalaman yang lebih bermakna buat para penunggang BMW Motorrad, sambil membawa semangat ‘Make Life a Ride’ ke masa hadapan.”

Terletak di No. 33 & 35, Jalan 15/23, Taman Perindustrian Tiong Nam, Chear Motorrad seluas 540 meter persegi yang berpindah dari Puchong ini, direka sebagai sebuah hab bagi para penunggang untuk meneroka portfolio luas BMW Motorrad, mendapatkan khidmat penyelenggaraan motosikal, serta berhubung dengan komuniti penunggang yang semakin berkembang. Pusat ini merupakan pengedar pertama di Malaysia yang melaksanakan sepenuhnya Pengalaman Penjualan Baharu BMW Motorrad, dengan menawarkan ruang kontemporari yang mencerminkan semangat jenama terhadap prestasi, gaya hidup dan perkhidmatan peribadi. Ruang pengedar ini turut menampilkan kaunter servis khusus yang baharu serta bar kopi, mewujudkan suasana mesra untuk pelanggan berehat dan berinteraksi, sekali gus memperkayakan keseluruhan Pengalaman Pemilikan Premium.

Selain itu, bengkel dengan susun atur moden yang menempatkan 10 ruang kerja direka untuk
menyokong penyelenggaraan yang lebih efisien, memastikan pemilik BMW Motorrad menerima tahap penjagaan tertinggi untuk motosikal mereka dengan ketenangan fikiran sepenuhnya. Dengan kekuatan pasukan seramai 40 orang merangkumi jualan, servis, pemasaran dan sokongan, Chear Motorrad Shah Alam menawarkan pengalaman lengkap Jualan, Servis dan Alat Ganti (Sales, Service & Spare Parts – 3S) di bawah satu bumbung, memenuhi keperluan pemilik BMW Motorrad baharu mahupun sedia ada.

Chear Motorrad beroperasi setiap hari dari Isnin hingga Sabtu, jam 9.00 pagi hingga 6.00 petang. Untuk maklumat lanjut mengenai pengedar ini, sila layari: https://www.bmw-motorrad.com.my/chearmotorrad-puchong/en/home.html.

Seperti yang telah kami maklumkan sebelum ini, beberapa jalan raya utama dan lebuh raya akan ditutup atau dilencongkan trafik bagi Sidang Kemuncak ASEAN ke-47, yang akan berlangsung dari 26 hingga 28 Oktober 2025.

Sebanyak 6 lebuh raya utama dan 14 jalan utama akan terjejas, seperti yang disenaraikan di bawah.

Lebuh raya utama yang terjejas:
  • Lebuhraya Maju (MEX);
  • Lebuhraya Utara-Selatan (dari Sungai Buloh ke Jalan Duta);
  • Lebuhraya ELITE (dari KLIA ke Putrajaya);
  • Lebuhraya Baru Lembah Klang (NKVE) (dari Subang ke Jalan Duta);
  • Lebuhraya Guthrie;
  • Lebuhraya KL–Seremban (dari Sungai Besi ke pusat bandar).
Jalan utama KL yang terjejas:
  • Jalan Ampang;
  • Jalan Sultan Ismail;
  • Jalan P. Ramlee;
  • Jalan Pinang;
  • Jalan Binjai;
  • Persiaran KLCC;
  • Jalan Bukit Bintang;
  • Jalan Imbi;
  • Jalan Perak;
  • Jalan Parlimen;
  • Jalan Damansara;
  • Jalan Istana;
  • Jalan Tun Razak;
  • Jalan Kuching.

Kuala Lumpur Command and Control Centre (KLC3) menyatakan bahawa kawasan ‘Segi Tiga Emas’ di sekitar KLCC dijangka mengalami gangguan trafik yang paling ketara. Orang ramai dinasihatkan agar mengelak laluan ini dan menggunakan pengangkutan awam seperti MRT, LRT, Monorel dan bas sepanjang sidang kemuncak ini.

KLC3 menambah, kenderaan berat tidak dibenarkan memasuki pusat bandar semasa waktu puncak sidang kemuncak.

Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 dijadualkan berlangsung dari 26 hingga 28 Oktober, menandakan kemuncak Pengerusi ASEAN Malaysia bagi tahun 2025.

Sidang kemuncak itu akan menghimpunkan kesemua 10 pemimpin negara anggota ASEAN bersama-sama rakan dialog dan pemimpin dunia yang dijemput, termasuk Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump.

Kebimbangan utama kami adalah mengenai gangguan trafik ke dan dari acara MotoGP Malaysia yang diadakan di Litar Antarabangsa PETRONAS Sepang dari 24 hingga 26 Oktober. KLC3 belum memberikan masa penutupan jalan tersebut, terutamanya untuk dua lebuh raya utama yang menghubungkan ke SIC, iaitu Lebuhraya MEX dan Lebuhraya ELITE.

“Saya bayar RM2.60 seliter untuk RON95, walaupun saya layak mendapat subsidi RM1.99,” kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim semasa perhimpunan bulanan Kementerian Kewangan, semalam.

Beliau mengatakan bahawa beliau berbuat demikian walaupun layak mendapat subsidi RM1.99 seliter di bawah program BUDI95 kerajaan untuk warga tempatan.

Beliau bertambah, ini mencerminkan pendekatan kerajaan dalam memastikan subsidi diagihkan secara adil dan disasarkan kepada mereka yang benar-benar memerlukan, bukannya diberikan secara menyeluruh, termasuk kepada mereka yang mampu.

Turut hadir Timbalan Menteri Kewangan Lim Hui Ying dan Ketua Setiausaha Perbendaharaan Datuk Johan Mahmood Merican.

Anwar berkata, mengekalkan subsidi RM1.99 untuk warga tempatan manakala RM2.60 kepada warga asing menunjukkan komitmen kerajaan terhadap keadilan sosial dan pengurusan fiskal yang berkesan.

Menurutnya lagi, kerajaan sentiasa berhati-hati dalam melaksanakan rasionalisasi subsidi bagi mengelakkan kekeliruan atau kemarahan awam, dengan memetik contoh lalu seperti penstrukturan semula subsidi elektrik dan ayam.

Beliau yang juga Menteri Kewangan berkata, keputusan untuk menarik balik subsidi ayam telah menjimatkan kerajaan sebanyak RM1 bilion setahun, tanpa menjejaskan kestabilan harga pasaran.

“Kita mahu tingkatkan hasil, tetapi jika rakyat terbeban, apa gunanya? Ini bukan teori ekonomi di awangan – ini adalah ekonomi yang memberi kesan kepada kehidupan sebenar rakyat,” tegasnya.

Anwar berkata, dasar subsidi bersasar ini bukan sahaja memastikan rakyat berpendapatan rendah dilindungi, tetapi juga menjadikan sistem kewangan negara lebih mampan dan berintegriti.

Versi siap untuk pengeluaran KTM 990 RCR telah didedahkan. Pemasangan kilang akan bermula untuk pelanggan Eropah pada Oktober ini, dan dijangka tiba di pengedar mulai November.

Harga yang dijangkakan di UK adalah dari £13,499 (RM75,840.10). Versi khas litar sahaja akan dilancarkan pada Februari 2026.

Harga tersebut meletakkannya di tengah-tengah segmen supersport semasa, dengan Yamaha YZF-R9 berharga dari £12,254 (RM68,845.44) dan Ducati Panigale V2 bermula dari £15,395 (RM86,492.20). Honda CBR600RR dan Kawasaki ZX-6R pula diharga di bawah £11,000 (RM61,800.21), manakala Ducati Panigale V2S berada di puncak dengan harga dari £17,395 (RM97,728.61).

990 RCR dikuasakan oleh enjin kembar selari 947cc, yang dikongsi dengan model bogel 990 Duke. Prestasi akhir yang didakwa ialah 128.2 hp pada 9,500 RPM, dan tork 103.1 Nm pada hanya 6,750 RPM.

Motorsikal ini mempunyai berat kira-kira 195 kg dalam keadaan siap berkenderaan dengan tangki minyak berkapasiti 15.7 liter.

Tugas suspensi dikendalikan oleh fork WP 48 mm jenis katrij terbuka dengan 30 klik untuk redaman mampatan dan lantunan, ditambah tiga putaran lagi untuk prapemuatan. Di bahagian belakang, satu monoshock WP menyediakan tiga pelarasan untuk mampatan kelajuan tinggi, dan 30 pelarasan untuk kelajuan rendah.

Kadar lantunan monoshok belakang juga menawarkan 30 klik pelarasan, ditambah 10 tingkat pelarasan prapemuatan sebagai pelengkap. Kesemua komponen ini disambungkan kepada satu set rim 17-inci yang diambil daripada model 1390 Super Duke R, dan dilengkapi dengan tayar litar Michelin Power Cup 2.

Kuasa brek di depan disediakan oleh kaliper Brembo Hypure generasi terkini. Motosikal ini juga menyediakan kemudahan untuk pembonceng.

Ketinggian pelana agak tinggi pada 845 mm, tetapi pemijak boleh dilaraskan dalam tiga kedudukan. Bar clip-on tidak boleh dilaraskan, tetapi dipasang secara lurus untuk keselesaan – dengan empat mod ABS dilengkapi sebagai peralatan standard. Agihan berat depan/belakang yang didakwa ialah 52.5% / 47.5%.

Bagi sistem elektronik, mod penunggaan terdiri daripada Rain (Hujan), Street (Jalanan), Sport (Sport), Custom (Suai) – ditambah dengan tetapan Track (Litar) sebagai pilihan. Tetapan Track ini merangkumi dua set-up peribadi tambahan.

Seperti kebanyakan motosikal KTM moden, terdapat juga Mod Demo jenama tersebut yang kontroversial, yang memberikan suite penuh elektronik untuk 1500km pertama, sebelum pelanggan perlu membeli pakej teknologi pilihan mereka untuk mengekalkannya.

MotoGP merupakan antara acara dan tarikan terbesar di Malaysia. Antara kemudahan yang disediakan ialah kawasan parkir kenderaan percuma dan dihubungkan oleh bas pengantara. Namun, kini pihak pengurusan Litar Antarabangsa Sepang PETRONAS (Sepang International Circuit/SIC) memaklumkan bahawa parkir percuma telah dimansuhkan untuk MotoGP Malaysia 2025.

Dengan ini, caj parkir baharu sebanyak RM20 untuk kereta dan RM10 untuk motosikal akan dikenakan, setiap kali masuk sepangjang minggu perlumbaan akan dikenakan. Pihak penganjur berkata peningkatan ini menandangkan caj penganjuran yang bertambah, serta bagi mengurus kawalan trafik dan menambah baik kawasan-kawasan parkir kenderaan.

Pihak SIC turut menasihatkan penonton agar meletakkan kenderaan hanya di kawasan yang  diwartakan. Kenderaan yang diletakkan di luar kawasan rasmi berisiko dikenakan tindakan seperti saman atau ditunda.

Perubahan ini telah mengundang pelbagai reaksi daripada peminat yang sudah terbiasa dengan kemudahan parkir percuma. Ada yang memahami kenapa langkah tersebut dijalankan, dan pada masa yang sama juga terdapat mereka yang meluahkan rasa tidak puas hati kerana ia menandakan pertambahan kos mengunjungi MotoGP Malaysia yang sudah agak tinggi.

Pasukan JDT Racing Team dan pasukan Honda Racing Malaysia mengambil pendekatan profesional dengan tidak memanjangkan insiden kemalangan membabitkan dua pelumba negara, Hafizh Syahrin Abdullah dan Md Zaqhwan Zaidi, ketika Perlumbaan 2 kategori ASB1000 dalam Kejuaraan Motosikal Asia (ARRC) di Litar Antarabangsa Sepang (SIC), semalam.

Dalam satu kenyataan rasmi, pasukan yang disertai Hafizh itu memaklumkan bahawa insiden berkenaan diteliti sepenuhnya oleh pihak penganjur ARRC, dan penalti sewajarnya sudah pun dikenakan mengikut peraturan kejohanan.

“Insiden itu diklasifikasikan sebagai tidak disengajakan, berpunca daripada suasana perlumbaan yang sengit dan kompetitif, satu elemen yang lazim dalam dunia sukan permotoran,” kata kenyataan itu.

Hafizh Zahqwan incident

Menurut JDT Racing Team, kedua-dua pasukan – JDT Racing dan Honda Racing Malaysia sudah menyelesaikan perkara itu secara baik, sekali gus mengekalkan prinsip saling menghormati dan profesionalisme antara pelumba serta pasukan.

“Integriti dan semangat kesukanan kekal sebagai keutamaan kami. Kami akan terus bekerjasama rapat dengan penganjur untuk memastikan piawaian tertinggi ditegakkan pada setiap masa,” tambah kenyataan itu.

Sementara itu, Honda Racing Malaysia memaklumkan bahawa mereka telah menggantung tugas kru pasukan yang telah “bertingkah laku tidak senonoh” berhubung insiden tersebut. Pasukan itu turut menekankan kepentingan nilai serta tingkah laku yang profesional yang di dalam pasukan ini.

Berita ini telah disiarkan di dalam laman Facebook Honda Racing Malaysia.

Polis Kedah melupuskan 1,385 aksesori motosikal yang diubah suai dan dirampas bernilai RM131,000 sejak 2024 hingga bulan lalu.

Ketua Polis Kedah Datuk Adzli Abu Shah berkata, semua komponen dilupuskan itu merangkumi ekzos diubah suai, aksesori tambahan tidak mengikut spesifikasi dan komponen lain yang dikategorikan tidak selamat untuk digunakan di jalan raya.

“Pelupusan ini membabitkan 546 unit ekzos, 574 unit lengan ayun, 15 unit karburetor, tiga Unit Kawalan Elektronik (ECU), 109 unit fork dan 138 unit lain-lain item selepas mendapat arahan dari majistret di bawah Seksyen 407 Kanun Prosedur Jenayah dengan kaedah pelupusan menggunakan jentera penggelek jalan.

“Kesemua aksesori motosikal ini dirampas dan disita di bawah Seksyen 64(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

“Terdapat banyak lagi barang dirampas yang menunggu arahan mahkamah untuk dilupuskan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Adzli berkata, polis sebelum ini membuat sitaan terhadap 21,811 komponen motosikal yang diubah suai dengan tidak mengikut spesifikasi dengan barangan terbanyak adalah ekzos sebanyak 9,575 unit.

Menurutnya, pemilik boleh menuntut semula motosikal yang disita dalam tempoh 24 jam dengan syarat mereka memasang semula aksesori asal.

Sebanyak 2.67 juta kenderaan dijangka menggunakan lebuh raya utama pada hari-hari puncak ketika sambutan Deepavali pada 20 Oktober ini, menurut Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM).

LLM dalam kenyataannya hari ini memaklumkan 2.2 juta kenderaan dijangka menggunakan lebuh raya di bawah PLUS Malaysia Berhad (PLUS), manakala Lebuhraya KL-Karak dijangka mencatatkan 170,000 kenderaan, Lebuhraya Pantai Timur Fasa 1 (90,000), Lebuhraya Pantai Timur Fasa 2 (40,000) dan Lebuhraya Persisiran Pantai Barat (170,000).

“LLM menjangkakan peningkatan trafik di lebuh raya utama seawal Khamis, 16 Oktober bagi pengguna yang menuju ke arah Utara, Selatan dan Pantai Timur,” katanya.

Bagi mendepani peningkatan trafik, LLM mengarahkan kesemua syarikat konsesi lebuh raya untuk melakukan persediaan rapi agar perjalanan pengguna lebuh raya adalah selamat dan lancar.

Antara langkah diambil termasuk memastikan tiada penutupan lorong bermula 17 hingga 23 Oktober kecuali bagi kerja kecemasan, mengaktifkan laluan ‘smart lane’ di 29 lokasi yang dikenal pasti di Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS), serta memastikan sistem kutipan tol berfungsi dengan baik bagi mengelakkan kesesakan di plaza tol.

LLM turut menyambut baik pengumuman Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim semasa pembentangan Belanjawan 2026 semalam mengenai pemberian diskaun tol sebanyak 50 peratus sempena sambutan Deepavali.

Lencongan trafik secara berperingkat bermula 23 Oktober ini bagi kelancaran Sidang Kemuncak ASEAN Ke-47 dan Sidang Kemuncak Berkaitan yang berlangsung di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) dari 26 ke 28 Oktober 2025.

Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Polis Diraja Malaysia (PDRM), Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri berkata, setakat ini perancangan pengurusan trafik awal membabitkan aktiviti raptai pergerakan motoked.

Katanya, ia akan dijalankan dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) ke hotel sekitar Kuala Lumpur dan ke KLCC pada 23 hingga 24 Oktober ini.

“Lencongan trafik sementara akan dilaksanakan di sepanjang lebuh daya dan jalan utama yang menghubungkan KLIA ke ibu negara serta kawasan sekitar KLCC.

“Manakala penugasan penuh anggota JSPT bermula pada 25 hingga 28 Oktober ini (tempoh berlangsung persidangan) dengan pelaksanaan lencongan jalan raya raya berperingkat akan dilakukan. Ia akan membabitkan kawasan sekitar satu kilometer (km) dari KLCC,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, lencongan jalan dan penyuraian trafik perlu dilakukan demi memastikan kelancaran pergerakan delegasi dan keselamatan semua pihak sepanjang acara berkenaan.

Katanya, maklumat lanjut mengenai laluan yang akan terbabit, pelan lencongan jalan tertentu dan jadual masa penuh lencongan akan dimaklumkan melalui hebahan dalam masa terdekat.

“Orang ramai diminta memberi kerjasama penuh kepada pihak berkuasa dan menyokong usaha kerajaan dalam menjayakan sidang kemuncak ini sekali gus meningkatkan martabat negara di persada antarabangsa,” katanya.

Selepas mendedahkan Honda CB1000F sebagai sebuah konsep semasa lumba*an Suzuka 8 Hour pada bulan Ogos, mereka kini mendedahkan produk yang sudah siap.

CB1000F adalah model terkini dalam sejarah keluarga CB yang berusia 65 tahun. Tetapi lebih khusus, CB1000F menyerupai model CB750F/CB900F dari era 80-an. Lebih signifikan lagi, ia menyerupai motosikal yang ditunggang oleh Freddie Spencer untuk meraih kemenangan di Daytona, sebelum beliau meneruskan kerjaya sebagai juara dunia 500cc.

Seperti yang kami sebutkan sebelum ini, ia berdasarkan platform CB1000, yang kini telah berkembang kepada tiga varian, iaitu CB1000R (Neo Cafe roadster), CB1000/Hornet (naked), dan kini CB1000F.

Oleh itu, ketiga-tiga motosikal ini berkongsi beberapa ciri dan seni bina asas yang sama.

Ciri-ciri utama
  • Enjin 1000cc inline-empat, tetapi ditala semula untuk menghasilkan 122 hp pada 9,000 RPM dan 103 Nm pada 8,000 RPM, berbanding dengan 155 hp @ 11,000 RPM dan 107 Nm pada 9,000 RPM untuk dua varian lain.
  • Jelas di sini bahawa motosikal ini bertujuan untuk memberikan pengalaman menunggang harian yang lebih mudah didekati, berbanding untuk kelajuan maksimum di jalanan.
  • Honda menyatakan ia “dibangunkan di bawah sasaran konsep untuk mencipta ‘Roadster Terseimbang Terbaik’. CB1000F mengendali seperti motosikal kelas pertengahan tetapi dengan rasa motosikal besar. Dan, dengan era 80-an kini terbukti sebagai dekad yang sangat berpengaruh dalam pakaian, muzik, gaya dan lain-lain, CB1000F sememangnya sebuah motosikal yang sesuai untuk masa kini.”

  • Bagi mencapai matlamat ini, Honda mengubah suai sesondol, serta memanjangkan corong pengambilan udara daripada 50 mm kepada 140 mm, dengan diameter minimum 36 mm.
  • Sistem ekzos mempunyai susunan 4-2-1 yang sama tetapi gas keluar melalui peredam megafon tiga ruang.
  • Suspensi hadapan terdiri daripada fork Showa SFF-BP USD 41mm yang boleh dilaras untuk prabeban spring dan redaman semakan/mampatan. (Tidak boleh dilaras pada CB1000/Hornet).

  • Di bahagian belakang ialah ampaian Showa yang juga membenarkan pelarasan prabeban dan redaman semakan.
  • Kaliper brek radial depan Nissin empat omboh mencengkam cakera apung 310mm di hadapan, manakala di belakangnya ialah cakera 240mm yang dipadankan dengan kaliper Nissin satu omboh.
  • CB1000F mendapat roda tuangan aluminium dengan tayar hadapan dan belakang 120/70-ZR17 dan 180/55-ZR17.

  • CB1000F juga menerima kawalan wheelie dan ABS membelok, tiga mod menunggang yang termasuk Standard, Sport dan Rain, serta dua mod Pengguna yang boleh disesuaikan untuk penunggang pilih.
  • Paparan meter dilengkapi skrin TFT 5 inci, yang mempunyai sambungan telefon pintar melalui apl Honda RoadSmart.

Arkib

Ikuti Kami di Facebook

Ikuti Kami di YouTube