Bikesrepublic

BM

Seorang lelaki yang membeli sebuah Honda Civic Type R terkejut apabila kereta itu merupakan keretanya sendiri yang telah dicuri beberapa bulan dahulu.

Itu dialami seorang jurutera perisian berusia 36 tahun dari Solihull, West Midlands, yang mengalami kejadian mengejutkan apabila kereta kesayangannya yang dilarikan pencuri, berjaya ditemukan dengan cara tidak disangka-sangka.

BBC melaporkan, Ewan Valentine kehilangan Honda Civic hitam miliknya selepas ia dilarikan dari halaman rumahnya pada Februari lalu.

Laporan polis dibuat dan Valentine dimaklumkan peluang untuk mendapatkan semula kenderaannya adalah sangat tipis.

Selepas syarikat insurans meluluskan tuntutannya, Valentine menggunakan wang pampasan untuk membeli sebuah kereta pengganti.

Dia menemukan sebuah lagi Honda Civic Type R hitam dan membelinya dengan harga GBP20,000 pound sterling (RM116,315.26).

Bagaimanapun, selepas diteliti, Valentine mendapati kereta yang dibelinya itu sebenarnya adalah keretanya yang hilang sebelum ini.

Menceritakan kesedihan selepas keretanya dicuri, Valentine memberitahu BBC bahawa dia berasa amat kecewa kejadian curi itu dan bertekad mendapatkan semula kereta model sama.

Ia kereta impian saya. Bukan mudah nak cari model begini, jadi saya sangat berazam untuk cari model sama sebagai pengganti. Saya jumpa satu kereta yang sama, memiliki warna yang sama, model tahun sama, malah sistem ekzosnya pun seperti kereta saya dulu,” katanya.

Valentine mula mengesyaki sesuatu apabila menemukan beberapa barang di dalam kereta berkenaan seperti sebatang pasak khemah, cebisan pokok Krismas dan pembalut coklat.

Semuanya sangat serupa dengan apa yang ada dalam kereta saya yang hilang dahulu,” katanya.

Walaupun kereta itu mempunyai nombor plat baharu dan catatan perbatuan lebih rendah, keraguannya disahkan apabila Valentine menemukan alamat rumahnya dan ibu bapanya dalam sejarah sistem navigasi terbina di dalam kenderaan itu.

Saya rasa seperti mendapat kemenangan sekejap, macam rasa hebat sebab dapat semula kereta. Tetapi lepas fikir balik, sebenarnya saya dah buat sesuatu yang agak bodoh,” katanya.

Dia kemudian membawa kenderaan itu ke garaj Honda di Solihull, sebelum membuat laporan polis.

Sumber: BBC

KTM sekali lagi menghentikan produksi.

Pusingan terbaru penghentian ini berlaku hanya beberapa minggu selepas produksi bermula semula, setelah pelan pembayaran semula hutang diluluskan oleh pemiutang pada Febuari lalu. KTM menyatakan ia disebabkan oleh kekurangan bekalan komponen. Lebih membimbangkan, produksi penuh mungkin tidak dapat disambung semula sehingga akhir Julai 2025.

Menurut laporan media Jerman, 1000PS, KTM tidak dapat mendapatkan komponen kritikal untuk motosikal mereka. Ini adalah kesan daripada penghentian pengeluaran tahun lalu, di mana pesanan baharu tidak dapat dibuat selama kira-kira tiga bulan ketika syarikat menghadapi krisis kewangan.

KTM terpaksa menghentikan pengeluaran buat pertama kali apabila syarikat itu memasuki pentadbiran sendiri. Beratus-ratus pekerja diberhentikan, dan beberapa aktiviti perlumbaan diketepikan.

Berita mengenai KTM menghentikan pengeluaran buat kali kedua dilaporkan muncul semasa panggilan video pada pagi Khamis, apabila CEO KTM, Gottfried Neumeister, memberitahu pekerja:

“Masalah serius dalam rantaian bekalan menyebabkan pengeluaran tidak dapat diteruskan seperti dirancang. Stok hanya mencukupi untuk sekitar 4,200 motosikal, dan kini terdapat kekurangan komponen penting. Pengeluaran di Mattighofen akan digantung sehingga 27 Julai.”

Sebenarnya tidak menghairankan yang situasi ini akan berlaku kerana usaha KTM untuk memulakan semula pengeluaran disambut dengan berhati-hati oleh beberapa pembekal. Akibatnya, ada yang menghentikan bekalan atau pengeluaran untuk KTM sepenuhnya, walaupun KTM yakin dapat mencari penyelesaian dan pengeluaran di Mattighofen boleh beroperasi sepenuhnya tidak lama lagi.

Syarikat induk KTM, Pierer Mobility, menghadapi jurang pembiayaan sekitar €600 juta (kira-kira RM3.06 bilion), yang perlu ditampung sebelum 23 Mei sebagai sebahagian perjanjian dengan pemiutang.

Polis menumpaskan kumpulan yang giat mencuri motosikal Yamaha di kawasan Iskandar Puteri dan Tanjung Kupang dengan menahan empat lelaki dalam Op Lejang Khas. Tiga daripada mereka sudah dituduh di mahkamah, semalam.

Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Asisten Komisioner M. Kumarasan berkata polis turut merampas enam motosikal yang dipercayai dicuri kumpulan terbabit dalam operasi yang dijalankan 18 hingga 19 April lalu.

Kita menjalankan Op Lejang Khas bersabit kes curi motosikal di sekitar kawasan Iskandar Puteri dan Tanjung Kupang.

“Hasil serbuan, empat lelaki berusia 26 hingga 31 tahun ditahan. Kita turut merampas tiga topi keledar dan pelbagai alatan membuka alat ganti motosikal,” katanya.

Menurutnya, kumpulan terbabit aktif sejak Oktober tahun lalu dan dengan tangkapan dilakukan, polis berjaya menyelesaikan tujuh kes curi motosikal yang berlaku di kawasan Iskandar Puteri dan Tanjung Kupang.

Katanya, semakan mendapati semua lelaki itu mempunyai rekod lampau jenayah dan dadah.

“Ujian saringan awal air kencing mendapati dua daripada mereka positif methamphetamine (syabu),” katanya.

Beliau berkata tiga daripada mereka masing-masing dituduh membabitkan enam kes secara berasingan di Mahkamah Majistret di Iskandar Puteri, Johor.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 379A Kanun Keseksaan kerana mencuri kenderaan motor atau mana-mana bahagian komponen sebuah kenderaan motor serta Seksyen 411 kanun sama kerana menerima harta curi secara tidak jujur.

Mereka dijatuhkan hukuman enam bulan hingga 12 bulan penjara selepas mengaku bersalah mengikut pertuduhan kes masing-masing,” katanya.

 

Bintang semasa lawatan kami ke SYM di Taiwan sudah tentu adalah SYM ADXTG 400, tetapi kami juga berpeluang menguji model SYM TTLBT 508.

Memang benar, skuter GT (‘Grand Touring‘) tidak begitu banyak dilihat di Malaysia, mungkin kerana harganya, tetapi permintaan untuknya tetap ada. Skuter jenis ini berada di tengah-tengah antara skuter automatik dan motosikal jelajah bersaiz penuh, sekaligus menawarkan yang terbaik dari kedua-dua dunia.

Apakah SYM TTLBT 508?

Ini adalah skuter ‘maxi grand touring,’ yang pendahulunya adalah SYM MAXSYM 500. ‘Grand touring‘ bermaksud kemewahan, dan TTLBT ini memiliki semuanya.

Sebagai info, “BT” adalah kod kilang untuk siri jelajah baharu “Bestia” (dalam bahasa Itali bermaksud “Beast” atau “Haiwan Buas”), manakala “TTL” bermaksud ‘Tartaruga’ dalam bahasa Itali, atau “Kura-kura.” Namun, ini tidak bermaksud motosikal ini perlahan—sebaliknya, kura-kura memegang makna penting dalam budaya Cina, melambangkan umur panjang, kekuatan, dan ketabahan, serta sering dikaitkan dengan tuah dan kemakmuran.

Ciri-ciri utama:
  • Enjin 508cc, DOHC, 8-injap, disejukan cecair, dwi-silinder sebaris yang hasilkan 44.9 HP (33.5 kW) pada 6,750 RPM dan 49.9 Nm pada 5,250 RPM.
  • Perhatikan bahawa tork lebih tinggi daripada kuasa maksimum. Ini menunjukkan bahawa motosikal ini sesuai untuk membawa penumpang dan mengangkut barang, iaitu satu ciri yang baik untuk sebuah skuter jelajah.

  • Sistem suspensi depan menggunakan fork terbalik manakala bahagian belakang dilengkapi monoshock sisi dengan multi-link.
  • Untuk sistem brek, roda depan menggunakan dua cakera 275mm dengan kaliper empat piston, manakala roda belakang juga mempunyai cakera bersaiz sama iaitu 275mm.

  • Breknya dilengkapi ABS dwi-saluran untuk kawalan membrek lebih selamat
  • Sistem pendikit menggunakan teknologi ride-by-wire, yang membolehkan pelbagai mod menunggang (ride modes) disesuaikan dengan sistem kawalan cengkaman tayar (TCS).

  • Motosikal ini menawarkan tiga mod menunggang:
    1. “Normal dengan TCS” – Untuk prestasi seimbang dengan kawalan cengkaman aktif.
    2. “Normal tanpa TCS” – Membolehkan pemanduan lebih agresif bagi penunggang berpengalaman.
    3. “Rain dengan TCS” – Sesuai untuk permukaan basah dengan kawalan gelongsoran tayar yang lebih sensitif.
  • Sistem kawalan cengkaman (TCS) menggunakan data dari unit pengukuran inersia (IMU) untuk mengesan sudut kecondongan dan pecutan, seterusnya memberikan kawalan yang paling sesuai—terutama ketika mengambil selekoh.

  • Motosikal ini dilengkapi paparan TFT 7-inci dengan sokongan Apple CarPlay, yang membolehkan penunggang mengakses navigasi, muzik dan panggilan dengan sambungan tanpa wayar dengan peranti Apple.
  • Selain itu, ia turut menawarkan kawalan jelajah (cruise control) yang boleh diaktifkan pada kelajuan melebihi 50 km/j, untuk memudahkan pemanduan jarak jauh.

  • Skrin penghalang angin yang boleh diubah.
  • Ruang simpanan barang 37 liter di bawah pelana, bersama sepasang kotak simpanan barang sisi yang masing-masing berkapasiti 14.4 liter dan 13.6 liter.

  • Pemanas pemegang tangan dengan 4 tahap.
  • Ketinggian pelana 780mm.

  • Tangki bahanapi 16 liter.
  • Sistem kunci Advanced Smart Key System.

Spesifikasi ini mungkin biasa kita lihat pada motosikal kelas mewah, tapi ingat: ini sebenarnya sebuah skuter.

Menunggang uji SYM TTLBT 508

Seperti ujian kami pada SYM ADXTG 400, kami juga menguji TTLBT 508 di litar ujian yang sama, yang dibahagikan kepada dua zon:

  1. Zon Lurus – Untuk menguji pecutan dan kelajuan maksimum
  2. Zon Liku-liku – Untuk menilai kehandalan pengendalian dan kestabilan
Pra-tunggangan

Kesan visual pertama? TTLBT 508 kelihatan besar dan gagah dari setiap sudut:

  • Depan: Lebar dan tinggi dengan reka bentuk yang menggerunkan.
  • Badan: Panjang dengan profil yang dominan.
  • Tempat duduk: Lebar dan tebal, menegaskan ciri-ciri “Grand Touring”.

Sebagai penulis dengan ketinggian 167cm dan kaki yang pendek, saya sedikit tergentar dengan saiznya. Masalah bagi saya apabila menunggang skuter besar ialah tapak kaki tidak rata ketika berhenti dan terpaksa menggunakan hujung kaki.

Walaubagaimanapun, TTLBT 508 ini membuktikan bahawa pepatah “jangan menilai buku dari kulitnya” adalah benar.

  • Mengayunkan kaki ke atas motosikal adalah mudah tanpa tapak kasut menyentuh pelana belakang dan bahagian atas kotak sisi.
  • Mengangkat motor daripada topang sisi adalah mudah, bermakna beratnya diagihkan dengan baik.
  • Selain itu, meletakkan satu tapak kaki di atas jalan juga mudah, tanpa perlu kami memerengkan badan dari tempat duduk, tidak seperti skuter maxi lain.
  • Menolak motor ini sambil duduk juga semudah ADXTG yang lebih kecil.

Kami melupakan semua tentang kebimbangan ini serta-merta, dan mula bermain dengan er… menilai aspek lain motosikal ini.

Kami pasti menyukai skrin TFT gergasi itu.

  • Susun aturnya sangat masuk akal dan meter kelajuan dipaparkan dengan jelas bersama-sama bar RPM enjin.
  • Fungsi lain diletakkan di sebelah kanan skrin dan mata tua penulis ini boleh memahaminya dengan sekali pandang.
  • Paparan pada skrin juga jelas tanpa tepi kabur di sekeliling ikon dan nombor.

Bermain-main dengan fungsi Apple Carplay memerlukan sedikit latihan tetapi ia tidak memerlukan tangan gamer Gen-Alpha yang lincah. Ia hampir tidak mengambil masa untuk berpasangan dengan iPhone kami (Apple lagipun), tetapi juga untuk ahem… yang bukan iPhone. Ia juga mudah untuk menyambung set Bluetooth Midland kami.

Menunggang TTLBT 508

Baiklah, cukup dengan ciri-ciri motosikal ini dan mulakan tunggang uji yang sebenar.

Kami menekan butang mula dan enjin dihidupkan dengan bunyi vroom yang merdu. Bunyi enjin ini kedengaran seakan bunyi enjin Boxer yang berderum, bukannya “pop-pop-pop” daripada enjin kembar selari. Malangnya, kami terlupa untuk bertanya kepada SYM sama ada enjin itu mempunyai:

  • Engkol 360°  di mana kedua-dua omboh naik dan turun serentak dengan itu bunyi seperti Boxer;
  • Atau engkol 270º yang meniru enjin V-Twin 90º;
  • Atau engkol 180° biasa iaitu satu piston mencecah TDC, manakala satu lagi mencecah BDC.

Ujian jalan lurus

Motosikal ini bergerak ke hadapan dengan mudah dengan apabila pendikit pendikit tanpa luruan secara tiba-tiba atau rasa gelincir klac pada kebanyakan skuter.

Dan ia adalah mudah untuk mengendalikan ke pusingan-u walaupun ia mempunyai jarak roda yang panjang.

Jadi, pada penghujung laluan lurus, kami membuka pendikit penuh untuk ujian pecutan dan sudah tentu, enjin bertindak balas serta-merta. Bukan tendangan yang kuat, tetapi pecutan yang lancar dan pantas.

Terdapat juga kekurangan lendutan yang ketara pada bahagian belakang semasa memecut kuat, yang disebabkan oleh jarak roda yang panjang serta suspensi berbilang pautan.

Kami membrek dari sekitar 140 km/j sekitar tanda 50m dan TTLBT 508 ini perlahan serta-merta, menunjukkan betapa berkesannya brek itu. Tiada drama.

Kami melakukan ujian jalan lurus yang sama berulang kali dan menghasilkan keputusan yang sama, dan tanpa rasa takut untuk membakar klac tidak seperti pada motosikal biasa.

Ujian ketangkasan

Pada masa ini, kami telah melupakan sama sekali tentang saiz SYM TTLBT 508.

Jadi, apabila tiba di pusingan “roundabout“, dinamik motit ini mula terasa seperti motosikal biasa, bukannya skuter. Skuter tertentu akan mengingatkan anda bahawa ia adalah skuter dan perlu dikendalikan dengan cara yang unik untuk jenis skuter, tetapi bukan TTLBT. Malah, ia lebih cenderung untuk mengemudi lebih jauh ke sudut, ihsan roda 15 inci tersebut.

Daripada pengalaman kami, casis kebanyakan skuter tidak dapat menyalurkan ‘maklumat’ daripada tayar kepada penunggang seperti motosikal biasa. Oleh itu, kami pernah mengalami kemalangan di mana skuter itu pun telah menggelongsor di atas jalan pada masa kami masih bertanya “Eh eh! Saya terjatuh ke?”

Tetapi casis TTLBT ini tidak sebegitu dan memberikan tindakbalas yang meningkatkan keyakinan penunggang. Jadi kami dapat menunggang dengan lebih laju walaupun jalan berpasir.

Malah, ada seorang penguji yang menunggang lebih laju di sekitar kawasan ujian dan dia tidak mengurangkan rentaknya walaupun hujan mula turun!

Penutup

Sudah tentu, kami memerlukan ujian yang lebih mendalam untuk SYM TTLBT 508 dan SYM ADXTG 400, tetapi kami tetap kagum. Kami cuba mencari sesuatu kekurangan motosikal ini untuk ulasan yang lebih menyeluruh tetapi tidak dapat mencari walaupun satu. Sekali lagi, ia adalah bukti berapa banyak masa yang SYM sanggup luangkan bagi produk mereka tanpa bertunduk kepada tekanan daripada persaingan menghasilkan model baharu hampir sesuka hati.

Kami tidak sabar lagi hendak menunggu ketibaan model ini di Malaysia.

Ah, skuter ‘adventure‘ (kembara). Skuter jenis ini sedang menjadi kegemaran di beberapa pasaran motosikal global, termasuk di Malaysia. Kami gembira kerana kami berada di tengah-tengah revolusi ini, setelah mencuba hampir kesemuanya, termasuk pesaing baru ini, SYM ADXTG 400.

Skuter kembara menambahkan dimensi baharu kepada skuter automatik. Skuter, dalam erti kata tradisional, adalah kenderaan harian yang sesuai untuk rutin daripada rumah ke pejabat dan kembali, sambil menawarkan lebih kemudahan berbanding kapcai. Namun, skuter pada dasarnya tidak banyak berubah sejak kemunculan pertama selepas Perang Dunia II, menjadikannya mula terasa “biasa.”

Kemunculan skuter adventure mengubah aspek ini, dan tiba-tiba, ia menjadi varian paling popular di banyak negara di seluruh dunia. Populariti ini tidak kelihatan seperti fenomena sementara, kerana jualan skuter jenis ini telah stabil selama bertahun-tahun dan tidak menunjukkan tanda-tanda perlahan.

Walaupun pengeluar menjanjikan kemampuan off-road, tapi 99.9% daripadanya tidak akan melalui jalan tanah, kecuali mungkin bahu jalan. Namun, skuter adventure kelihatan lebih menarik berbanding skuter bandar biasa.

Apakah SYM ADXTG 400?

SYM ADXTG 400 adalah skuter kembara segmen pertengahan. Ya, pertengahan kerana skuter terbesar biasanya berada dalam lingkungan 500cc. Sangyang Motor, atau SYM, menggelarnya sebagai “skuter off-road sebenar”, dengan posisi menunggang depan yang tinggi sebagai buktinya.

Ciri-ciri termasuk:
  • Enjin 399cc, satu silinder, penyejuk cecair, SOHC, 4 injap dengan Hyper VVS, yang menghasilkan 34.5 HP (27.5 kW) pada 7,000 RPM, dan 37.0 Nm pada 5,500 RPM.
  • Sistem Hyper VVS (variable valve system/sistem injap berubah) memastikan tork optimum pada kedua-dua RPM rendah dan tinggi.

  • Enjin ini dilengkapi dengan sepasang syaf pengimbang (‘counterbalancer‘) di bahagian bawah kedua-dua sisi blok silinder untuk mengurangkan getaran enjin.
  • Rangka baharu yang dibangunkan daripada skuter jelajah MAXSYM TL bukan sahaja memberikan prestasi kendalian yang mantap, malah turut menawarkan ruang penyimpanan yang luas untuk barang-barang.

  • Fork terbalik 41mm di depan dengan monoshok yang pasang pada posisi tengah di belakang.
  • Monoshok tersebut pula dipasang kepada penyambung (‘linkage‘) dan kemudiannya disambung kepada lengan ayun aluminium yang digilapkan.

  • Brek depan merupakan cakera 275mm tunggal yang digenggam oleh sebuah kaliper empat piston, manakala brek belakang terdiri daripada cakera 233mm tunggal.
  • Ciri TCS (‘traction control system‘/sistem kawalan cengkaman) and ABS yang dibuat oleh Bosch adalah standard. TCS and fungsi ABS roda belakang boleh ditutup untuk kegunaan off-road.

  • Roda depan berukuran 15 inci, manakala roda belakang 14 inci. Rekaannya diperbuat daripada tuangan yang cantik dengan dinding nipis bagi menjimatkan berat.
  • Antara ciri lain termasuk panel LCD berwarna yang terang dan tajam, setanding dengan paparan TFT.

  • Pemegang handel yang boleh ditukar posisi  membolehkan anda menyesuaikan jarak pemegangan mengikut keselesaan.
  • Sistem kunci pintar.

  • Ruang penyimpanan bawah tempat duduk 32 liter – cukup untuk muat satu helmet muka penuh saiz XXL.
  • Mekanisme membuka pelana berada di depan dan pelana terangkat ke belakang untuk akses lebih mudah.

  • Skrin angin boleh laras 92mm dalam dua kedudukan berbeza.
  • Pelinung tangan dan plat perlindungan bawah enjin – untuk keselamatan dan ketahanan.
Rekabentuk motosikal

Dalam dunia automotif ada pepatah, “yang nampak lawa, mesti laju.” SYM ADXTG 400 ini sememangnya tampil menawan. Siapa yang nak beli motosikal hodoh, kan?

SYM mendakwa mereka mengambil inspirasi daripada taring harimau sabertooth purba untuk rekaan depan motosikal ini, yang jelas kelihatan pada dua alur lampu siang (DRL) yang menirus ke bawah fairing. Dari sisi, panel badan motosikal ini menggambarkan bentuk tubuh harimau cheetah ketika berlari laju.

Tetapi kalau hendak menerangkan secara umum, motor ini nampak mantap tanpa rekabentuk yang terlalu mengada-ngada. Kalau rekabentuk Honda ADV350 itu ringkas, Zontes 368G pula macam robot futuristik, ADXTG 400 ini berada di tengah-tengah. Lagipun, rekabentuknya dia ada identiti sendiri – jangan sesekali nak kata ‘ciplak’ lah!”

Menunggang uji SYM ADXTG 400

Motosikal ini kelihatan agak besar pada mulanya, tetapi untuk menaikinya sangatlah mudah kerana bahagian sisi pelana penunggang menirus dengan ketara.

Kebanyakan skuter bersaiz ini mungkin menyukarkan penunggang untuk meletakkan kaki di tanah, apatah lagi kedua-duanya, kerana tempat duduknya biasanya terlalu lebar. Namun, ini kali pertama kami benar-benar merasai ketinggian tempat duduk yang hampir tepat dengan spesifikasi 790mm yang dinyatakan.

Jarak ke handel pula sempurna, terus membuatkan kami selesa. Sebentar memandang penguji motosikal itu, kami pun tersedar: Ketinggiannya hampir sama dengan penulis ini!

Untuk menghidupkan enjin, anda perlu tekan butang utama untuk hidupkan sistem elektrik, tarik tuil brek belakang (seperti skuter automatik lain), dan tekan butang ‘starter.’

Enjin hidup dengan bunyi “vroom!” yang lancar, tanpa getaran tinggi tipikal enjin satu silinder. Pusing pendikit dan ADXTG 400 bergerak lancar tanpa terasa kasar atau terlalu agresif.

Kawasan ujian SYM terbahagi kepada dua bahagian iaitu zon ujian jalan lurus (untuk ujian pecutan/top speed) dan zon ujian ketangkasan.

Kami memulakan dengan ujian lurus terlebih dahulu.

Ujian jalan lurus

Kami membawa motosikal ke hujung landasan lurus sepanjang 200m itu dan membuka pendikit sepenuhnya. Sudah tentu, ADXTG meluru dengan pantas, tetapi tanpa tendangan kuat yang mengejut. Sebaliknya, ia meluncur laju dan lancar di landasan lurus tanpa enjin terdengar stres atau “menjerit minta tolong”.

Kami berpusing dan melakukan satu lagi ujian, kali ini ketika motosikal masih bergerak. Sekali lagi, enjin berpusing dengan lancar selaju kelajuan meningkat. Di hujung landasan, jarum meter hampir mencecah 130 km/j.

Enjin ADXTG 400 ini punya tenaga yang cukup banyak, tapi disalurkan dengan lancar dan progresif – bukannya jenis yang menendang secara kasar dan mendadak. Ini memang sesuai dengan konsepnya sebagai “skuter kembara sebenar” (seperti didakwa SYM), di mana kawalan yang halus lebih penting daripada pecutan agresif, terutama ketika menghadapi jalan off-road.

Apa yang kami temui di dalam sesi ini:

  1. Sistem ‘Dual Counterbalancer’ yang berkesan
    Pasangan pengimbang pada ADXTG 400 benar-benar berjaya mengurangkan getaran kasar yang biasa dialami motosikal satu silinder – yang biasanya sampai membuatkan tangan kebas. Bagi penulis yang mula mengalami artritis ini (serius), enjin yang lancar ini ibarat anugerah.

  2. Kuasa lancar untuk kegunaan harian
    Dengan julat kuasa yang sehalus ini, ADXTG jelas bukan skuter sport – tapi lebih kepada motosikal yang selesa untuk harian dan tahan lama. Hyper VVS memang menyumbang kepada kelicinan ini, walaupun ada sedikit ‘bump’ tork ketika RPM tinggi.”

  3. Ujian brek kecemasan
    Ketika ujian pecutan, kami terpaksa berhenti mendadak dengan cuma 30m sebelum tembok pemisah yang mencegah ‘melawat’ kawasan luar bandar Taiwan! Nasib baik sistem breknya cukup power – cukup dengan tarikan dua jari pada kedua-dua tuas brek.

Ujian ketangkasan

Ramai pembeli motosikal di Malaysia sering terlupa menilai ciri pengendalian sesebuah motosikal. Tidak kisah lah moto tu boleh membelok dengan tangkas atau membrek dengan efektif, yang penting selalu tanya: “Top speed berapa?”… Sedih betul…

Seperti yang kami sebutkan tadi, kawasan kedua di gelanggang ujian SYM ini khusus untuk menilai ketangkasan motosikal – termasuk simulasi pusingan bulatan untuk ujian ketangkasan.

Permukaan jalan di kawasan ujian ini tidak rata, tetapi berdebu dengan tompokan tanah dan kerikil longgar yang bertar. Tapi kami tidak mengeluh, kerana keadaan ini justeru meniru situasi jalan sebenar yang mungkin kita hadapi sehari-hari.

Rumusan sesi ujian ini:

  1. SYM ADXTG 400 ini senang untuk dimulakan pembelokannya.
  2. Tetapi terdapat perasaan handel melawan balik pada kelajuan rendah, bermaksud motosikal ini lebih suka dibelokkan dengan lebih laju.
  3. Ia mula terasa lebih senang ditunggang apabila kelajuan mula lebih tinggi.
  4. Tayar-tayar tidak menggelongsor walaupun sedikit.
Konklusi

Hakikatnya, kami berharap boleh menjalani ujian jalan penuh di luar kawasan kilang, tetapi mungkin itu bukan perkara mudah untuk diatur di Taiwan. Kami benar-benar berharap MForce Bike Holdings akan meminjamkan sebuah unit untuk ujian lebih menyeluruh (dan gambar-gambar yang lebih cantik) sebaik ia dilancarkan di Malaysia sekitar Mei 2025 nanti.

Namun begitu, SYM ADXTG 400 telah membuktikan dirinya sebagai sebuah skuter berkualiti tinggi walaupun melalui ujian yang singkat. Perlu diingat, SYM menguji prototaip mereka sekurang-kurangnya dua tahun sebelum dilancarkan, jadi produk yang sampai ke pasaran sudah benar-benar ‘matang’. Memilih skuter SYM sememangnya pilihan yang tidak akan mengecewakan.

BMW F 900 GS Adventure (2025) (lebih dikenali sebagai ‘F 900 GSA’) juga telah tiba di Malaysia, menawarkan pilihan terbaik buat penunggang yang menginginkan motosikal advetensi pertengahan dari jenama Jerman ini. Sudah tentu, versi ‘Adventure’ ini dilengkapi spesifikasi yang lebih tinggi berbanding model standardnya.

BMW F 900 GS Adventure (2025)

BMW F 900 GS Adventure (2025) direka untuk penunggang yang menginginkan gabungan sempurna antara eksplorasi lasak dan pelancongan jarak jauh. Dengan kepelbagaian dan keupayaan luar biasa, motosikal ini mampu mengharungi laluan mencabar mahupun perjalanan jauh dengan mudah.

  • Terasnya merupakan enjin 895-cc, 2-silinder, 4-lejang sebaris yang menghasilkan 77 kW (105 hp) pada 8,500 rpm dan tork 93 Nm pada 6,750 rpm.
  • Ini membolehkannya memecut dari 0 ke 100 km/j dalam hanya 3.7 saat dengan kelajuan maksimum melebihi 200 km/j.

Sebagai peralatan standard, motosikal ini dilengkapi:

  • Fork terbalik yang boleh laras sepenuhnya (pra-tekanan spring, mampatan dan rebound) dengan jarak pergerakan spring 230 mm. Sistem suspensi ini membolehkan pelarasan tepat tanpa memerlukan alat.
  • Pegangan pemanas untuk keselesaan pemanduan.
  • Pelindung tangan plastik tahan lasak untuk perlindungan optimum.
  • Plat aluminium pelindung enjin sebagai perlindungan bawah standard.

  • Tuas gear aluminium boleh laras menambah baik ergonomi pemanduan.

Sebagai kelengkapan standard,Ride Pro Package meningkatkan keupayaan BMW F 900 GS Adventure baharu dalam beberapa aspek:

  • Stand utama untuk kemudahan penyelenggaraan.
  • Rak bagasi dengan pemegang kes aluminium.
  • Rantai M Endurance untuk ketahanan tinggi.
  • Lampu hadapan LED dengan daytime running lights.
  • Lampu bantu tambahan memastikan penglihatan optimum di semua jenis permukaan.
  • Kawalan pencahayaan kegunaan off-road mengoptimumkan prestasi lampu untuk pelbagai persekitaran.

  • Shift Assistant Pro, Dynamic ESA and Prep. Navigation juga merupakan ciri-ciri standard.
  • Riding Modes Pro juga ciri standard, yang memaparkan mod Rain, Road, Dynamic, Enduro, dan Enduro Pro.

Pilihan warna

BMW F 900 GS Adventure (2025) tersedia dalam White-Aluminium Matt, kemasan menarik yang meningkatkan kehadirannya di mana-mana rupa bumi. Ia menampilkan panel sisi logo GS baharu, tempat duduk selesa dalam warna hitam dan kelabu, penutup radiator aluminium putih dengan perincian pita baharu, dan penutup tangki warna badan dalam aluminium putih, meningkatkan lagi rekabentuknya yang berani dan lasak.

Perkhidmatan Kewangan

Dengan Pelan Pembiayaan Garis Lurus daripada BMW Group Financial Services Malaysia (berdasarkan anggaran pinjaman 90% untuk tempoh 7 tahun), bagi BMW F 900 GS Adventure, pemilikan bermula dari RM 1,338 sebulan. Pemilik juga boleh menikmati faedah tambahan dengan Program Inklusif Minyak Enjin Premium Peneraju Industri, Termasuk Perkhidmatan dan Program Pelanjutan Waranti oleh BMW Motorrad Malaysia.

Harga runcit yang disyorkan (di atas jalan, dengan Waranti 3 Tahun BMW Motorrad Malaysia dan Program Bantuan Tepi Jalan 3 Tahun, tanpa insurans) untuk BMW F 900 GS Adventure (2025) ialah:

The BMW F 900 GS Adventure (2025): RM95,500.00

Untuk maklumat lanjut mengenai BMW S 1000 RR serba baharu dan BMW F 900 GS Adventure, layari laman web BMW Motorrad Malaysia di https://www.bmw-motorrad.com.my.

Galeri foto

BMW S 1000 RR (2025) yang dinanti-nantikan telah tiba di Malaysia – sudah tentu berita gembira buat peminat superbike Malaysia.

BMW S 1000 RR (2025)

BMW S 1000 RR 2025 mempertahankan legasi model sebelumnya dengan penambahbaikan dari segi dinamik pemanduan, teknologi canggih, dan reka bentuk yang lebih agresif. Dibina untuk prestasi puncak, BMW S 1000 RR 2025 kini menawarkan:

  • Pendikit M baharu yang memberikan respons lebih pantas terhadap setiap akselerasi.
  • Winglet baharu untuk meningkatkan daya tekan ke bawah.

  • Penutup roda hadapan dengan saluran brek bersepadu meningkatkan penyejukan brek, manakala panel fairing sisi memberikan reka bentuk yang lebih menarik.
  • Nadi motosikal ini merupakan enjin 4-silinder sebaris, 4-lejang, 999cc, penyejukan cecair/minyak, yang menghasilkan kuasa 154 kW (210 hp) pada 13,750 rpm dan tork 113 Nm pada 11,000 rpm.

  • Enjin berprestasi tinggi ini, digabungkan dengan rekabentuk aerodinamik dan kotak gear 6-kelajuan, membolehkan BMW S 1000 RR 2025 memecut dari 0-100 km/j dalam hanya 3.3 saat dengan kelajuan maksimum melebihi 300 km/j.
Pakej Standard

Sebagai standard, BMW S 1000 RR 2025 dilengkapi dengan Race Package, termasuk:

  • Rantai M Endurance untuk ketahanan luar biasa.
  • Ekzos ‘slip-on’ yang meningkatkan prestasi dan menghasilkan bunyi yang lebih berkarakter.

  • Dynamic Damping Control (DDC) yang menyesuaikan tetapan suspensi secara masa benar untuk pengendalian optimum dalam semua keadaan.
  • Pemanas penggenggam dan kawalan jelajah memastikan keselesaan dan kawalan mudah dalam perjalanan jauh.

  • Kit Penumpang Standard termasuk penutup tempat duduk pillion, membolehkan peralihan lancar antara pemanduan solo dan berdua.
  • Tyre Pressure Control (TPC) dipasang sebagai standard untuk pemantauan tekanan tayar secara real-time bagi keselamatan dan ketenangan minda.

  • Riding Mode Pro membolehkan pemilihan mod RAIN, ROAD, DYNAMIC, RACE, dan tiga mod RACE PRO tambahan.

M Package

Pakej M menawarkan gabungan teknologi diinspirasi daripada litar dan reka bentuk menarik, termasuk:

  • Roda karbon M dengan jalur warna M.

  • Pemijak kaki M.
  • Pilihan pelana M Endurance atau M Sport.

  • Penutup tangki berwarna hitam.

Pilihan warna

BMW S 1000 RR 2025 ditawarkan dalam warna Blue Stone Metallic dengan empat jalur khas pada panel sisi dan dua jalur pada winglet. Bagi model dengan Pakej M, warna Light White Solid/M Motorsport disertakan, dilengkapi empat jalur pada panel sisi dan dua jalur pada winglet.

Perkhidmatan Kewangan

Dengan Pelan Pembiayaan Straight Line dari BMW Group Financial Services Malaysia (berdasarkan anggaran pinjaman 90% selama 7 tahun), pemilikan BMW S 1000 RR 2025 bermula dari RM1,948 sebulan, manakala versi dengan Pakej M bermula dari RM2,228 sebulan.

Pemilik juga boleh menikmati faedah tambahan seperti Program Minyak Enjin Premium, Servis Inklusif, dan Program Lanjutan Waranti oleh BMW Motorrad Malaysia.

Harga Runcit Disyorkan

Termasuk Waranti 3 Tahun dan Program Bantuan Jalan Raya 3 Tahun BMW Motorrad Malaysia, tanpa insurans:

The BMW S 1000 RR (2025): RM139,500.00

The BMW S 1000 RR with M Package (2025): RM 159,500.00

Galeri foto

Suzuki SV650 2025 kembali dengan gemilang ke pasaran Malaysia.

SV650 merupakan model yang telah lama wujud, dilengkapi dengan enjin V-Twin 90°, 645cc yang legenda dan telah digunakan sejak tahun 1999. Sebab-sebab jangka hayatnya yang panjang mudah difahami: Ia bebas masalah sejak awal lagi, mempunyai tork yang lancar dan julat kuasa yang berguna, serta dipasang pada casis yang sangat lincah.

Ia juga merupakan motosikal yang praktikal dan mudah diakses, menjanjikan banyak keseronokan untuk penunggang baru dan yang berpengalaman.

Malangnya, ini adalah SV650 edisi terakhir, kerana enjin V-Twin akan digantikan bakal sepenuhnya dengan enjin parallel-twin yang lebih baharu.

Daripada Siaran Akhbar

Kuala Lumpur, Malaysia – 19 April 2025 (Sabtu) – Suzuki Malaysia dengan bangga mengumumkan ketibaan salah satu motosikal ikoniknya – Suzuki SV650. Lebih daripada sekadar kemunculan semula, edisi terakhir roadster legenda berenjin V-Twin ini melambangkan semangat Samurai – halus, berkuasa, dan berani.

Pelancaran semula SV650 diumumkan sempena acara tahunan AMI-Suzuki Syoknya Raya! 2025, yang diadakan di Dewan Pameran MATRADE, Kuala Lumpur.

 

Majlis ini bukan sahaja merupakan acara pelancaran, malah ia juga menjadi sambutan perayaan bagi Suzuki Familia – menghimpunkan pemilik motosikal Suzuki yang berbangga dari seluruh negara untuk berkumpul dalam majlis tahunan Hari Raya yang penuh kegembiraan.

SV650: Hayati Semangat Pahlawan Samurai

Warisan penuh Suzuki SV650 berdiri megah sebagai ikon dua roda – menggabungkan karakter dan prestasi dengan cara yang sukar ditandingi. Dilengkapi enjin V-Twin 645cc yang berkuasa, rangka yang lincah, serta reka bentuk retro-modern, ia menawarkan pengalaman menunggang yang mengujakan baik untuk penunggang baru mahupun yang berpengalaman. Motosikal ini benar-benar mencerminkan semangat kukuh Suzuki, di mana kejuruteraan tepat bertemu dengan jiwa pahlawan. Edisi terakhir ini menandakan sambutan bagi satu babak ikonik, menghargai legasi yang telah menyatukan komuniti penunggang bersemangat di seluruh dunia selama lebih dua dekad.

Suzuki SV650 menyalurkan semangat samurai zaman moden — halus, responsif dan sentiasa terkawal. Di tengah-tengah basikal itu terletak Lattice Trellis Frame ikoniknya yang dipasangkan dengan enjin V-Twin 645cc padat — gabungan yang tepat dan seimbang seperti katana samurai di tangan seorang pahlawan yang mahir. Gandingan yang ringan dan responsif ini memberikan keyakinan yang tidak berbelah bahagi dalam menunggang dunia sebenar, sama ada menelusuri lalu lintas bandar atau mengukir melalui sudut yang sempit.

Menggabungkan gaya klasik dengan kejuruteraan moden, SV650 menawarkan gaya yang tangkas dan tunggangan bersambung, bergema disiplin dan keharmonian seorang Samurai sejati. Ciri moden meningkatkan lagi pengalaman:

  • Bantuan RPM Rendah Suzuki membantu mengekalkan enjin melahu semasa berlepas dan gerakan kelajuan rendah — sesuai untuk penunggang baru yang ingin menguasai teknik mereka.
  • Sistem Permulaan Mudah Suzuki membolehkan pencucuhan satu sentuhan yang mudah dan cekap—pantas dan cekap seperti naluri pahlawan.
  • Badan yang ramping, ringan dan ketinggian tempat duduk yang rendah (785mm) menjadikannya mudah diakses, intuitif dan memberi inspirasi kepada penunggang dari semua peringkat.

Suzuki SV650 berharga RM29,900 (tidak termasuk pendaftaran, cukai jalan dan insurans), dan boleh didapati dalam pelbagai warna menarik – Pearl Vigor Blue / Metallic Mat Black No.2 (CGJ), Pearl Mat Shadow Green / Metallic Mat Black No.2 (C2L), dan Metallic Mat Black No.2 (YKV).

Ia kini boleh didapati di pengedar sah Suzuki Big Bike World dan Suzuki Station Plus di seluruh negara. Layari www.suzuki.com.my untuk mencari bilik pameran terdekat anda dan menghayati Spirit of The Samurai.

Kembalinya Suzuki ke dalam Perlumbaan Kompetitif – Jadilah Sebahagian daripada Legasi!

Pada acara yang sama, Suzuki Malaysia telah memperkenalkan pasukan perlumbaan AMI Suzuki Motorsport (ASM) dengan projek SV650 berfungsi sebagai asas untuk inisiatif baharu yang menarik ini yang menghubungkan pemilik secara langsung dengan perjalanan perlumbaan Suzuki. Pasukan itu akan bersaing dalam kedua-dua Kejohanan Superbike MAM Malaysia (MSBK) di bawah kategori MSBK1000 dan MotoMSF di bawah kategori MSF Superbike. ASM juga memperkenalkan motosikal super GSX-R1000R yang disediakan untuk perlumbaan, dibangunkan dengan peningkatan prestasi oleh Yoshimura Jepun. Jentera ini dengan bangganya dipamerkan semasa acara itu sebagai simbol kembalinya Suzuki ke perlumbaan kompetitif.

Untuk memastikan kehadiran yang kukuh dan kompetitif di grid, ZK Racing yang diketuai oleh bekas pelumba Moto3 Zulfahmi Khairudin dan krew berpengalamannya, telah diamanahkan oleh Suzuki Malaysia untuk menguruskan penyediaan teknikal motosikal perlumbaan serta operasi pasukan perlumbaan keseluruhan sepanjang musim. Kempen ASM menampilkan dua pasukan yang disokong kilang dengan AMI-Suzuki Motorsport (ASM) diketuai bakat WSBK negara Adam Norrodin, dan Mobilub Suzuki Racing Team (MSRT), yang menurunkan lima pelumba termasuk tiga bakat antarabangsa. Bersama-sama, mereka menjanjikan musim yang penuh aksi di hadapan.

Galeri foto

Royal Enfield juga telah memulakan projek motosikal elektrik mereka, dengan jenama yang diberi nama Flying Flea. Sebagai permulaan, jenama ini bekerjasama dengan pereka terkenal Mattia Biagi untuk mencipta sebuah motosikal seni yang unik dan satu-satunya, dipanggil Flying Flea ‘Mototem’. Tidak, ini BUKAN “seni” di mana pisang yang dilekatkan pada dinding dengan pita pelekat.

Nama Flying Flea sendiri mempunyai kepentingan sejarah yang besar, kerana ia dilancarkan pada tahun 1940 sebagai Royal Enfield Flying Flea – sebuah motosikal ringan yang dibina khas untuk dihantarkan ke medan perang dengan payung terjun. Kini, Royal Enfield merancang untuk melancarkan model produksi Flying Flea FF.C6 bergaya klasik dan Flying Flea FF.S6 bergaya scrambler pada tahun 2026.

Mototem ini berdasarkan platform FF.C6.

Daripada Siaran Media

Menggabungkan seni kraf, reka bentuk, dan automotif dengan lancar, Flying Flea, jenama baharu dari Royal Enfield, dan artis Mattia Biagi hari ini mendedahkan motosikal seni unik mereka di Salone Del Mobile, Milan. Karya seni yang diberi nama Motototem ini bukan sahaja menjadi mercu tanda dalam seni dan mobiliti, malah ia juga meraikan semangat kreativiti, inovasi, dan kelestarian yang mendalam dalam jenama Flying Flea.

Royal Enfield sinonim dengan ciri peribadi ‘custom‘ dan sentiasa menjadi ‘kanvas’ sempurna untuk memulakan karya seni. Setiap motosikal menceritakan kisah yang unik dan inspirasi, mempamerkan semangat estetika reka bentuk yang dihidupkan. Baru-baru ini, Royal Enfield melancarkan ‘Project Delta’, sebuah motosikal custom yang tidak ditelan zaman yang mengambil inspirasi daripada era motosikal 1940-an hingga 1950-an – sebuah motosikal moden dengan jiwa vintaj. Dengan ‘Motototem’ yang berasaskan Flying Flea C6, Royal Enfield melangkah lebih jauh daripada dunia custom, dan memasukki dunia seni. Dicipta bersama Mattia dan Flying Flea, ‘Motototem’ adalah interpretasi artis terhadap motosikal ini, dengan setiap bahan dipilih untuk mewakili tujuan yang melangkaui estetika semata-mata, menghubungkannya dengan alam dalam gabungan yang elegan.

Mengekalkan bentuk klasik FF.C6 dan diinspirasi daripada motosikal Flying Flea asal tahun 1940-an, butiran rumit pada Motototem memainkan peranan dalam ceritanya. Bermula di bahagian depan, pemegang stereng asal digantikan dengan kepingan gangsa unik yang menggambarkan cap jari artis – elemen ini turut dipindahkan ke footpegs, meningkatkan sensasi sentuhan yang sedia ada pada FF.C6. Patung kaca tiup tangan yang rumit menggantikan lampu LED depan dan belakang, melambangkan keindahan dalam mengharungi cabaran. Bahagian utama seni ini, tangki, yang terletak dalam bingkai aluminium tempa, sepenuhnya buatan tangan dan diperbuat daripada batu travertine, meniru bentuk payung terjun sebagai penghormatan kepada motosikal Flying Flea yang ringan dan lincah.

Madgad depan dan belakang motosikal ini turut menghubungkannya dengan alam melalui daun-daun yang dibentuk dalam resin lutsinar, melambangkan kehidupan baharu, pertumbuhan, dan pembaharuan. Seperti bahagian depan yang menyatu dengan sistem suspensi fork girder unik FF.C6, bahagian belakang menggabungkan tempat duduk daripada kayu walnut pepejal, menggantikan reka bentuk asal dengan bahan semula jadi premium yang menambah kehangatan dan tekstur organik. Fork jenis girder itu juga menampung kepingan tanah liat buatan tangan, menghormati fork guard yang terdapat pada scrambler. Di bahagian belakang, bentuk dan warna organik bertindak sebagai pelindung tali, melambangkan percambahan idea baharu seperti bunga.

Kotak bateri magnesium FF.C6, yang sendiri merupakan contoh reka bentuk organik, mempunyai sirip yang melambangkan pertemuan masa lalu dan masa depan, serta kepingan batu hitam yang mencerminkan prinsip reka bentuk menggunakan bahan mentah bersama bingkai aluminium tempa. Menyempurnakan perjalanan ini adalah tayar yang dihiasi dengan burung layang-layang kulit buatan tangan, melambangkan kepulangan, kesetiaan, dan semangat pengembaraan. Penggunaan tayar off-road bukanlah kebetulan, tetapi melambangkan perjalanan berani ke laluan yang belum diterokai.

Mario Alvisi, Ketua Pegawai Pertumbuhan, Kenderaan Elektrik, Royal Enfield, menambah, “Motototem menangkap semangat Flying Flea dengan cara yang terasa naluri dan tidak dijangka. Ia mencerminkan falsafah jenama yang penuh pertimbangan, reka bentuk pintar, dan keanggunan dalam gerakan – melalui bahasa yang penuh emosi dan sangat skulptural. Royal Enfield menganggap motosikalnya sebagai ruang untuk ekspresi kreatif, dan Flying Flea secara semula jadi memperluaskan idea itu ke alam baharu yang menarik. Motototem bukan sekadar interpretasi motosikal, ia adalah pantulan bagaimana reka bentuk, budaya, dan mobiliti boleh bersatu untuk mencipta sesuatu yang benar-benar inspiratif.”

Salone del Mobile, di Milan Design Week, menyediakan platform ideal untuk pelancaran global Motototem, menghimpunkan pereka dan minda kreatif paling inovatif di dunia. Pendedahan Motototem di Milan hanyalah permulaan perjalanannya. Selepas acara ini, Flying Flea dan Mattia Biagi merancang untuk mempamerkan konsep ini di acara dan lokasi yang akan diumumkan sepanjang tahun 2025.

Untuk maklumat dan kemas kini lanjut tentang Motototem, anda boleh melanggan: http://flyingflea.royalenfield.com/, atau ikuti kemas kini masa nyata di halaman Instagram Flying Flea.

Galeri foto

“Motor sportbike dah mati,” kita sering mendengar ungkapan itu berulang kali, diikuti dengan, “Rider sekarang lebih minat motor naked dan adventure.” Jika benar, mengapa kita masih melihat Honda CBR250RR dan adiknya CBR150RR, serta model dari jenama lain di mana-mana?

Hakikatnya, masih ramai peminat sportbike, tetapi harga sportbike kapasiti pertengahan dan superbike terlalu mahal bagi kebanyakan orang—termasuk penulis ini. Itulah sebabnya sportbike berkapasiti kecil dan satu-perempat liter (250cc) masih laris dijual. Selain Honda, ada juga Kawasaki Ninja 250R, Ninja ZX-25R, Yamaha YZF-R25, Suzuki Gixxer SF250, dan KTM RC250—semua bersaing dalam segmen popular ini.

Motosikal kelas ini juga merupakan langkah yang bagus untuk penunggang baharu menimba pengalaman menunggang sportbike sebelum beralih ke model berkapasiti lebih besar. Ia jauh lebih selamat bermula dengan motosikal kecil sebelum menunggang yang lebih besar.

Walaubagaimanapun, ciri-ciri teknologi dalam segmen ini agak terhad berbanding model berkapasiti lebih tinggi, demi mengekalkan harga yang berpatutan untuk pembeli.

Namun, Honda CBR250RR (2025) berusaha untuk melangkah lebih ke hadapan.

What is it?
Apa itu Honda CBR250RR?

Seperti yang disebutkan, ia adalah sportbike suku-liter yang ringan. Honda telah membuat banyak pembaharuan pada model ini, yang sebenarnya dilancarkan pada pertengahan 2024. Dari segi rekabentuk luaran, ia kelihatan lebih agresif walaupun mengekalkan bentuk asas model sebelumnya.

  • Enjin kekal 249.7cc, DOHC, 8-valve, parallel-twin, tetapi dengan beberapa peningkatan:
  • Nisbah mampatan dinaikkan daripada 12.1:1 kepada 12.5:1 dengan mengurangkan isipadu ruang pembakaran.
  • Diameter liang kemasukan diperbesar daripada 21.4 mm kepada 21.6 mm.

  • Pemasaan dan angkatan injap dikemas kini.
  • Geseran dikurangkan dengan mengemas kini piston dan ketegangan gegelang minyak.
  • Hasilnya, kuasa maksimum meningkat 1 kW (1.34 hp), menjadikan jumlah kuasa 31 kW (41.6 hp) pada 13,000 RPM dan tork 25 Nm pada 11,000 RPM.

  • Klac dengan ciri Assist & Slipper dikekalkan, tetapi kini dilengkapi dengan quickshifter.
  • Suspensi depan dinaik taraf kepada fork Showa SFF-BP 37mm jenis terbalik.

  • Sistem pendikit ride-by-wire menawarkan tiga mod pemanduan: SPORT+, SPORT, dan COMFORT.
  • Rekabentuk badan diperbaharui untuk mengurangkan rintangan angin sebanyak 6%.
  • Berat kering: 169 kg.

Perbandingan dengan Pesaing

Enjin CBR250RR baru ini adalah paling berkuasa dalam segmennya, kecuali Ninja ZX-25R (yang menggunakan enjin 4-silinder). Namun, Ninja mencapai tork puncak pada 14,500 RPM, manakala Honda hanya pada 11,000 RPM—membuatkan enjin Honda ini lebih sesuai untuk tunggangan harian.

Pengalaman Menunggang CBR250RR 2025

Sebagai peminat sportbike, sensasi menunggang motosikal ringan seperti ini memang mengujakan: depan rendah, belakang tinggi, dan posisi sporty yang memaksa badan membongkok. Pastikan sokongan berat badan datang daripada otot teras (perut dan belakang), bukan lengan dan bahu.

Enjinnya menyala dengan bunyi yang lebih garau kali ini. Bunyinya lebih… ‘Eropah’, kalau nak cari perkataan yang sesuai, berbanding enjin Jepun yang biasanya lebih senyap. Pulas sedikit pendikit dan RPM melonjak serta-merta, hampir sepantas enjin dua lejang. Menarik.

Seperti yang disebutkan tadi, kini terdapat tiga mod kuasa, tetapi motosikal ini akan sentiasa bermula dalam mod SPORT tidak kira sama ada anda menetapkannya ke COMFORT atau SPORT+ sebelum mematikan enjin.

Oleh kerana kami baharu sahaja memulangkan CB650R, kami ingatkan kami perlukan lebih kuasa jadi kami beralih ke mod SPORT+ tanpa berfikir panjang. Kami pun memulas pendikit dengan agak banyak – maksud kami, SANGAT banyak. Enjin terus mengaum dan motosikal serta penunggang memecut laju di jalan depan Pusat Servis Boon Siew Honda di Kepong. WOI! Tenang sikit! Dan yang menarik: Ia langsung tak mencapai had RPM (rev limiter) walaupun dalam gear pertama!

Nasib baik brek Nissin cukup mantap (walaupun cakera depan tunggal) dan berjaya mengawal kelajuan dengan baik.

Jadi, saya tukar kembali mod kuasa ke SPORT. Bunyi enjin jadi lebih tenang dan respons throttle terasa lebih halus dan terkawal.

Beberapa kilometer kemudian…

“Baiklah, tiba masanya untuk ‘GP lampu isyarat’. Bukan kami yang mulakan, tapi budak di sebelah kami yang menunggang er… motor dengan panggilan “Suku” dengan ‘ekzos buluh’ sengaja rem-rem enjinnya – BROOOAR BROOOOAR! Bunyinya jelas enjin telah di-‘modi,’ dengan bunyi piston yang kasar.

Baiklah, kita pilih mod SPORT+, masuk gear pertama, tunggu lampu hijau… RPM naik sikit… Lepas tu, bagi pendikit penuh sambil clutch dilepaskan. RPM enjin CBR250RR terus melonjak sambil kami meluru dari garisan hampir sepantas CB650R dan CBR650R yang kami uji sebelum ini. Percaya atau tidak, pecutan CBR250RR ni memang kuat – sampai kami terfikir kalau Honda ni terselitkan enjin 400cc! Tukar ke gear kedua guna quickshifter… Lembuuut, terus gear ketiga, keempat, kelima, keenam. Tengok cermin sisi… Kosong! Bye-bye!

Di dalam kesesakan trafik…

Motosikal ini tidak menunjukkan sikap berat ke depan walaupun dengan posisi menunggang yang membongkok, berbeza dengan sportbike berat lain ketika menunggang pada pada kelajuan rendah. Sebaliknya, ia bergerak lincah dengan hanya sedikit tekanan countersteering. Ingat apa kami katakan tentang keseronokan menunggang sportbike ringan? Inilah salah satunya.

Tork enjinnya begitu baik sehingga kami boleh kekal dalam gear ketiga dan keempat semasa mencilok di Jalan Tuanku Halim. Torknya mencukupi untuk membolehkan kami bermain dengan pendikit tanpa perlu sentuh clutch, tanpa risau enjin akan mati. Cuma perlu buka pendikit sahaja jika nak memecut dengan pantas.

Dalam hujan…

Untuk situasi inilah kegunaan mod COMFORT. Hujan lebat tiba-tiba datang mencurah-curah, dan memandangkan mod SPORT+ terlalu agresif, kami bertukar ke COMFORT. Respons pendikit jadi jauh lebih lembut, dengan sedikit jeda sebelum kuasa penuh muncul berbanding dua mod lain.

Sebagai motosikal ringan, kami tidak terlalu risau ketika mengambil selekoh di jalan basah kerana tekanan pada tayar tidak terlalu tinggi. Tambahan pula dengan pendikit yang lebih lancar dalam mod ini, kami boleh membuka throttle lebih awal ketika keluar selekoh berbanding kebiasaan – sesuatu yang kami mungkin tidak berani lakukan di atas motosikal lain dalam keadaan ini.

Bermain selekoh…

Malangnya hujan tak berhenti-henti sepanjang beberapa hari kami menguji motosikal ini, jadi tidak ada peluang untuk mengujinya di Genting Highlands. Namun, masih banyak selekoh menarik di sekitar bandar – khususnya di Lebuhraya SUKE dan Lebuhraya DUKE dari arah Hospital Kuala Lumpur menuju Gombak.

Berbanding motosikal besar yang memerlukan lebih daya countersteering yang lebih kuat untuk membelok, CBR250RR ini mampu memasuki selekoh pada kelajuan yang cukup untuk membuatkan degupan jantung pun boleh terhenti! Keringanannya membolehkan anda mengekalkan kelajuan tinggi ketika masuk dan di tengah selekoh hanya dengan membiarkan motosikal meluncur masuk, tanpa perlu menurunkan gear untuk gunakan brek enjin. Apa yang perlu dibuat hanyalahtetapkan garisan, kendali – dan motosikal akan meluncur dengan sendirinya. Anda pun tak perlu mencondongkan badan secara melampau untuk mencapainya.

Satu lagi kelebihan motosikal ini ialah pelana yang rendah. Walaupun kelihatan agak tinggi dalam gambar, kami boleh menjejakkan kedua-dua belah kaki dengan selesa ketika berhenti. Pelana yang rendah ini memberikan pusat graviti yang lebih rendah, menjadikannya lebih sesuai untuk teknik masuk selekoh dengan lebih laju – pendekatan ‘turn and burn‘ – berbanding teknik ‘brake-turn-burn‘ yang biasa.

Sistem suspensinya juga menunjukkan peningkatan ketara daripada segi penyerapan hentakan dengan baik, tetapi yang paling mengagumkan adalah prestasi fork depan. Motosikal ini tetap stabil mengikut garisan pilihan kami walauapapun keadaan permukaan jalan.

Oh hampir terlupa, lengan ayunnya diperbuat daripada aluminium, bukan keluli seperti semua sportbike 250cc (kecuali KTM RC250).

Tayar standard cukup memuaskan, tapi kami terbayang betapa mantapnya motosikal ini jika dipasang dengan tayar yang lagi melekat.

Konklusi

Honda CBR250RR (2025) sememangnya amat bagus: Enjin yang sangat bertenaga, quickshifter yang lancar, mod kuasa berbeza, suspensi mantap, kawalan lincah, dan… eh, dah sebut pasal enjin kah tadi? Oh ya, benntuknya masih kekal sporty walaupun sudah bertahun di pasaran!

Satu-satunya keluhan kami ialah kawasan klac ‘menangkap’ yang berada terlalu di hujung pergerakan tuas. Namun, ini boleh disesuaikan dengan mudah dan tidak menjejaskan pengalaman menunggang secara keseluruhan.

Honda CBR250RR (2025) dijual pada harga RM27,999 (tidak termasuk insurans dan cukai jalan). Berbaloi untuk spesifikasi yang ditawarkan.

Galeri foto

Apabila Honda CB650R E-Clutch (2025) dilancarkan, terdapat ramai netizen di luar negara dan Malaysia yang membuat bising. “Rungutan” tersebut bukanlah tentang motosikal itu sendiri, tetapi tentang sistem Honda E-Clutch yang baharu.

Untuk mengimbas kembali, sistem E-Clutch menyediakan ciri-ciri automatik pada transmisi manual. Apabila mendengar perkataan “automatik,” kebanyakan netizen mungkin terus membuat andaian bahawa CB650R dan CBR650RR kini dilengkapi dengan CVT ataupun sistem seakan CVT (transmisi berubah-ubah berterusan) seperti skuter, kerana tiada sebutan tentang DCT (Transmisi Dwi-Klac).

Di sisi lain, golongan “otai” mempersoalkan mengapa perlu ada transmisi automatik pada motosikal berkapasiti besar.

Perdebatan ini benar-benar menunjukkan bagaimana kita sebagai manusia kadang-kadang boleh berkonflik. Di satu sisi, kita menyukai teknologi baru. Di sisi lain, kita takut untuk berubah daripada konvensional, walaupun dalam perkara yang paling biasa. Ia juga menunjukkan kelemahan media sosial kerana semua komen tentang sesuatu subjek—dalam kes ini, Honda E-Clutch—walaupun belum dilancarkan di Malaysia, jadi tiada siapa yang pernah menunggang motosikal ini untuk merasainya sendiri. Ish.

Baiklah, mari kita kembali kepada ulasan motosikal ini.

Apakah 2025 Honda CB650R E-Clutch ini?

Motosikal naked Honda CB650R dan sportbike CBR650R dilancarkan pada 2020, sebagai pengganti kepada CB650F dan CBR650R (yang dihasilkan dari 2014 hingga 2019). CB650F pula adalah pengganti kepada CB600F Hornet yang sangat popular dan lama dihasilkan. Jadi, sepanjang sejarahnya, model ini dikuasakan oleh enjin empat silinder sebaris (‘inline-four‘).

Kemudian, pada 2024, Honda melancarkan CB650R E-Clutch dan CBR650R E-Clutch terkini sebelum sampai ke negara kita tahun ini.

Selain klac, motosikal ini mempunyai beberapa kemas kini:
  • Lampu LED Daytime Running Light (DRL) berbentuk ladam di hadapan.
  • Saluran pengambilan udara yang dibentuk semula di kedua-dua belah tangki minyak (walaupun ini hanyalah hiasan).

  • Port pengecasan USB Type-C.
  • Skrin TFT baharu dengan multimedia dan navigasi, disambungkan melalui aplikasi telefon Honda RoadSync.

Ciri-ciri lain:
  • Enjin 649cc, DOHC, inline-four, menghasilkan 93.8 HP (70 kW) pada 12,000 RPM dan 63 Nm pada 9,500 RPM.
  • Kuasa enjin dihantar melalui klac manual pelbagai plat basah dengan ciri E-Clutch.

  • Suspensi hadapan terdiri daripada garpu Showa Separate Function Fork – Big Piston (SFF-BP) USD 41mm.
  • Suspensi belakang terdiri daripada monoshock dengan laras prapengetatan 10 peringkat.

  • Brek hadapan menggunakan dua rotor 310mm dengan kaliper empat piston Nissin dipasang secara radial, manakala brek belakang menggunakan cakera tunggal 240mm.
  • ABS dwi-saluran adalah standard.

Bagaimana E-Clutch Berfungsi?

Kami tidak akan membincangkan butiran teknikal yang mendalam di sini, sebaliknya kami akan bercakap tentang bagaimana Honda E-Clutch berfungsi untuk kita sebagai para penunggang. Mari kita mulakan dengan beberapa perbandingan.

Pada kapcai tanpa klac manual:
  • Kita hanya perlu menekan tuas gear untuk masuk gear dan membuka pendikit untuk bergerak.
  • Kita menekan tuas gear lagi apabila ingin menukar gear, naik atau turun.
  • Kita tidak perlu menukar ke neutral (‘N’) apabila berhenti.
  • Enjin tidak terhenti apabila kita berhenti dalam mana-mana gear.
On a motorcycle with a clutch lever:

Pada motosikal dengan tuas klac:

  • Kita perlu menarik klac, menekan tuas gear untuk memilih gear, kemudian melepaskan klac untuk bergerak.
  • Semasa bergerak, setiap pertukaran gear perlu dilakukan dengan menarik tuas klac dan melepaskannya.
  • Jika dipasang quickshifter, kita boleh menukar gear tanpa menggunakan klac semasa motosikal bergerak.

  • Apabila berhenti, kita perlu sama ada memasukkan transmisi ke ‘N’ atau memegang klac jika masih dalam gear. Melepaskan klac semasa motosikal berhenti dalam gear akan menyebabkan enjin terhenti.
Pada CB650R E-Clutch:

Kini, jurutera Honda berfikir untuk menggabungkan dua ciri ini ke dalam satu motosikal berkapasiti besar, dan hasilnya adalah E-Clutch. Ia pada dasarnya menjadikan motosikal ini seperti kapcai berenjin besar.

  • Hidupkan enjin.
  • JANGAN TARIK TUAS KLAC.
  • Tekan ke gear 1 (atau 2).
  • Tukar gear seperti biasa, seperti quickshifter dua hala.
  • JANGAN tarik tuas klac apabila berhenti, tidak kira dalam gear apa—N, 1, 2, 3, atau mana-mana gear.
  • Anda akan perasan bahawa tuas klac menjadi lembap seperti kabel longgar semasa idle dalam ‘N’.

Menunggang Honda CB650R E-Clutch 2025

Jika ada SATU ciri yang kami benar-benar sukai tentang motosikal ini, ia ialah tork enjinnya. Pada hampir semua motosikal empat silinder bawah 700cc yang pernah kami tunggang sebelum ini, enjin mereka kurang bertenaga di bawah 6,000 RPM. Mereka menjerit, tetapi hanya benar-benar laju pada rpm yang lebih tinggi.

Namun, tidak bagi enjin CB/CBR650: Motosikal ini melonjak dari garisan dan terus memecut seperti enjin tiga silinder, disertai dengan bunyi garau. Perlukan kuasa untuk memotong di lebuh raya? Hanya buka pendikit dalam gear 6 dan motosikal ini akan meluru.

Kami pernah mengulas CB650R sebelumnya dan gembira melaporkan bahawa kelincahan dan kawalannya mesra penunggang masih dikekalkan. Motosikal ini mudah dibelokkan tanpa menjadi tidak stabil di jalan lurus.

Selekoh diatasi dengan mudah kerana motosikal ini boleh condong sebanyak yang kami mahukan, walaupun pada kelajuan sangat tinggi, dan tidak pernah kehabisan kelegaan membelok.

Posisi menunggang sangat selesa untuk kami. Jarak ke handel sedikit lebih jauh berbanding kebanyakan motosikal naked yang lain kerana platformnya dikongsi dengan sportbike CBR650R, tetapi ia meletakkan kami dalam posisi lebih sporty. Posisi ‘lebih sporty‘ ini membolehkan kami meletakkan lebih banyak berat pada tayar hadapan, justeru menghasilkan kawalan yang lebih baik dan mengatasi tiupan angin.

Bercakap tentang tiupan angin, kelajuan paling selesa untuk motosikal naked biasanya sekitar 130-140 km/j, tetapi kami boleh menunggang dengan selesa pada 150-160 km/j dalam posisi tegak. Semuanya berkat posisi menunggang itu—syabas, Honda!

Fork Showa SFF-BP memainkan peranan besar di sini kerana ia menyerap ketidaksempurnaan jalan dengan baik, sehingga anda tidak merasa seperti melintasi Jurang Mariana atau Gunung Everest setiap kali melalui lubang atau melanggar bonggol.

Monoshock belakang juga nampaknya diperbaikki. Ia kini lebih keras dan mempunyai 10 peringkat larasan pra-beban, dan kami hanya perlu menambahnya 3 tingkat untuk menampung berat kami. Sebagai perbandingan, kami pernah mengadu bahawa monoshock model sebelumnya terlalu lembut, menyebabkan belakang turun dan mengalihkan keseimbangan motosikal ke belakang, akhirnya menyebabkan ketidakstabilan di depan. Kami mengatasinya dengan melaras prapengetatan ke maksimum untuk meletakkan lebih banyak berat pada tayar hadapan, tetapi ia mengakibatkan bahagian belakang motosikal terasa kasar.

Brek juga sangat kuat! Daya cengkaman begitu hebat sehingga kami yakin pengguna jalan lain mungkin panik melihat kami brek begitu lewat.

Menguji Ciri Honda E-Clutch:

Kami akui bahawa menguji E-Clutch buat pertama kali agak… stres. Tetapi itu hanya kerana kami sedar terdapat ciri ini. Kami terpaksa ingatkan diri setiap kali: “JANGAN SENTUH KLAC!” sebelum memasukkan gear 1. Ia agak pelik kerana kami selalu ingat untuk menekan ke gear 1 pada kapcai tanpa klac tanpa takut enjin terhenti, tetapi di sini, kami berasa gementar pada motosikal besar.

Namun, ia menjadi sangat mudah selepas kami membiasakan diri, dengan mengabaikan terus tuas klac dan berlakon seperti ia tidak wujud, seperti motosikal berteknologi DCT.

Semasa bergerak, menukar gear menjadi pengalaman yang menyeronokkan, seperti menggunakan quickshifter.

Sudah tentu, kami sekali-sekala menarik klac, terutamanya ketika merentasi bonggol yang menyebabkan E-Clutch beralih ke mod manual. Tetapi sistem akan kembali automatik selepas beberapa ketika dan menukar gear tanpa klac.

Sistem ini juga membolehkan penunggang menyesuaikan tekanan kaki yang diperlukan untuk menukar gear, sama ada naik atau turun. Terdapat tiga tahap: SOFT (LEMBUT), MEDIUM (SEDERHANA), HARD (KERAS). Ia bermula pada MEDIUM, tetapi saya lebih suka menetapkan kedua-duanya kepada SOFT.

Ciri ini menjadikan menunggang dalam kesesakan sangat mudah. Anda hanya perlu mengawal pendikit, dan sistem akan melakukan selebihnya. Kami juga mencuba menunggang dalam gear lebih tinggi dalam kesesakan (iaitu gear 5 dan 6) tetapi sistem ini ditambah dengan tork enjin, menghalang enjin daripada terhenti.

Sebagai perbanding, transmisi automatik mempunyai kelewatan untuk untuk memecut apabila anda menekan pendikit, bukan? Tidak begitu dengan E-Clutch. Motosikal ini meluru seolah-olah mempunyai Launch Control, dengan cengkaman klac pada tahap optimum untuk pecutan tanpa membiarkan roda hadapan terangkat.

Mengagumkan. Sangat mengagumkan.

Kami mendengar apa yang dikatakan netizen, “Tapi, tapi, tapi bagaimana jika E-Clutch rosak? Adakah itu bermakna saya tidak boleh menukar gear atau motosikal tidak boleh bergerak?”

Jawapannya ialah Honda E-Clutch akan kembali ke mod manual sepenuhnya jika itu berlaku, jadi anda masih boleh ke bengkel terdekat atau pulang ke rumah.

Kesimpulan

Honda CB650R E-Clutch 2025 sangat menyeronokkan untuk ditunggang, lebih-lebih lagi dengan ciri baharu ini. Kami sendiri pernah mempersoalkan sama ada sistem ini diperlukan sebelum menunggangnya, tetapi akhirnya kagum.

Secara jujur, motosikal ini tidak benar-benar memerlukan E-Clutch kerana ia sudah merupakan sebuah motosikal yang hebat, tetapi kehadirannya membuka dimensi baharu dalam menunggang, menjadikan perjalanan harian—malah sebarang perjalanan—lebih mudah.

Dari segi produk, ciri E-Clutch membezakan siri CB/CBR650 daripada pesaing. Honda adalah yang pertama membangunkan dan memperkenalkan sistem ini dengan jayanya sebelum pesaing mereka berbuat demikian.

Motosikal ini dijual pada harga RM47,999 (belum termasuk insurans dan cukai jalan). Lihatlah di showroom Honda Big Wing terdekat.

Galeri foto
Dari Siaran Media

Motosikal dan Enjin Nasional Sdn. Bhd. (MODENAS), anak syarikat DRB-HICOM Berhad, telah melancarkan MODENAS Elegan EX yang dipertingkatkan dan menawarkan pengalaman menunggang lebih baik dengan peningkatan estetika dan ciri-ciri moden. Berharga RM17,780, model terkini ini kini boleh didapati di semua bilik pameran pengedar sah MODENAS.

MODENAS Elegan EX menawarkan dua pilihan warna premium baharu: Deep Blue dan Plain Grey.

Gaya & Ciri-ciri Terkini

Versi terbaharu Elegan EX menampilkan beberapa penambahbaikan untuk penampilan lebih premium dan fungsi yang lebih baik:

  • Skrin lebih sporty meningkatkan aerodinamik dan estetika.

  • Isyarat Hadapan LED – Meningkatkan keterlihatan serta menjimatkan tenaga.

  • Warna Premium Baharu – Memberikan kehadiran lebih mantap di jalan raya.

  • Logo MODENAS Diperbaharui – Branding baharu pada komponen utama termasuk windscreen, penutup pemegang, fender belakang, speedometer, dan kunci penghidup.

Kuasa & Kecekapan

Dikuasakan oleh enjin 249cc, penyejukan cecair, SOHC, Elegan EX menghasilkan 22.4hp pada 7,000rpm dan tork 22.4Nm pada 6,500rpm, memastikan perjalanan lancar dan responsif.

Transmisi CVT memberikan pecutan licin, menjadikannya pilihan serba boleh untuk perjalanan bandar mahupun lebuh raya. Tambahan pula, tangki bahan api 14 liter menawarkan jarak perjalanan cemerlang, sesuai untuk perjalanan jarak jauh.

Elegan EX dilengkapi dengan brek cakera depan dan belakang berserta ABS, memberikan prestasi brek yang unggul dan keselamatan penunggang yang lebih baik. Sistem suspensi depan teleskopik dan penyerap hentakan kembar belakang turut meningkatkan kestabilan dan keselesaan di jalan raya.

Elegan EX terus memenuhi keperluan penunggang yang menginginkan gabungan sempurna antara keselesaan, prestasi, dan gaya moden, menjadikannya pilihan terbaik untuk perjalanan harian mahupun jarak jauh.

Roslan Roskan, CEO MODENAS berkata, “Elegan EX telah lama menjadi pilihan dipercayai para penunggang kerana keselesaan, kepraktisan, dan prestasinya. Versi terbaharu ini meningkatkan daya tarikannya melalui elemen reka bentuk kontemporari dan ciri-ciri terkini, memastikan pelanggan kami terus menikmati pengalaman menunggang premium.”

Untuk maklumat lanjut, layari laman web rasmi MODENAS di www.modenas.my atau hubungi MODENAS Customer Careline di 1-800-880-181, atau melalui WhatsApp di 019-570 8135.

Galeri Foto

Arkib

Ikuti Kami di Facebook

Ikuti Kami di YouTube