Bikesrepublic

Luar Negara

Seperti kebanyakan model Honda untuk tahun depan, Honda XL750 Transalp (2025) turut akan menerima banyak semakan dan ciri baharu. Transalp 750 adalah penting bagi Honda untuk mengisi jurang pertengahan dalam barisan model dual-sport mereka.

2025 Honda XL750 Transalp

Ciri-ciri:
  • Bahagian hadapan yang direkabentuk semula yang membawanya lebih dekat dengan Africa Twin, dan tidak lagi menggunakan lampu depan seperti CBX500. Honda XL750 Transalp (2025) juga mempunyai LED yang lebih terang.
  • Fairing atas disemak dengan saluran tengah untuk meningkatkan aliran udara di sekeliling topi keledar penunggang.

2025 Honda XL750 Transalp

  • Skrin Durabio baharu mempunyai profil baharu untuk membantu aliran udara di sekeliling badan penunggang.
  • Suspensi juga telah disemak, dengan mampatan yang lebih lembut dan redaman lantunan pada fork terbalik Showa 43mm. Jarak gerakan suspensi kekal pada 200mm.

  • Sebaliknya, monoshock Showa belakang lebih kukuh untuk kawalan yang lebih baik di atas tanah yang tidak rata, serta untuk membawa pembonceng dan bagasi. Jarak gerakan suspensi kekal pada 190mm.
  • Saiz roda ialah 21 inci di depan dan 18 inci di belakang.

  • Skrin TFT berwarna 5-inci ‘optically bonded‘ baharu, yang termasuk sambungan telefon pintar iOS/Android.
  • Honda tidak mengusik enjin 755cc, engkol 270º, enjin berkembar selari itu. Ia menghasilkan 90.5hp pada 9,500 RPM dan 72Nm pada 7,250 RPM.

  • Honda XL750 Transalp (2025) mempunyai dua warna baharu dipanggil Graphite Black, dan Pearl Deep Mud Grey, disamping pilihan Ross White yang sedia ada.
  • Honda belum mengumumkan harga motosikal tersebut.

Nampaknya segmen sportbike 400cc hingga bawah 500cc semakin hangat. Pada masa ini hanya terdapat satu pengeluar utama dalam kategori itu, iaitu Kawasaki dengan Ninja ZX-4RR mereka dan ia akan bersaing dengan sportbike China tidak lama lagi. Yang terbaru ialah Kove RR500.

Tetapi sebelum itu, siapa Kove? Kove ialah jenama mewah di bawah naungan Loncin. Loncin telah membuat enjin untuk siri motosikal BMW C- dan F- sejak 2005.

Kove telah agresif dalam mengejar segmen off-road dengan menyertai Rali Dakar. Pelaburan mereka telah berjaya setakat ini, kerana ketiga-tiga motosikal Kove yang mengambil bahagian pada tahun lepas sempat menamatkan perlumbaan. Oleh itu, Kove menjadi pengeluar China pertama yang mempunyai semua motosikal mereka melengkapkan rali pada percubaan pertama mereka. Maklumlah, Rali Dakar 2023 dianggap paling sukar dalam sejarah. Sejak itu Kove telah membina pengedar di seluruh Eropah.

Kembali ke Kove RR500, Voge mendedahkan motosikal empat silinder RR660S mereka pada bulan September, tetapi nampaknya, mereka turut mempunyai satu lagi enjin empat silinder sebaris 475cc yang yang baru sahaja diluluskan untuk pengeluaran. Motosikal itu, diberi nama kod LX500GS-2 mengikut dokumen kelulusan jenis, akan dipasarkan sebagai RR500. Kuasa enjin didedahkan sebagai 76hp, sepadan dengan Kawasaki ZX-4RR. Kelajuan tertinggi yang didakwa ialah 220km/j.

Butiran lain termasuk berat basah 192kg dengan tangki minyak yang penuh. Kerangkanya adalah keluli dengan lengan ayun aluminium. Fork mempunyai jenama Voge. Bagi brek hadapan, dua gambar itu menunjukkan dua kaliper brek berbeza: Motosikal yang berwarna oren memakai kaliper empat piston daripada Nissin, manakala motosikal kuning/biru mempunyai kaliper yang mirip jenis Sumitomo yang dipasang pada Yamaha R1.

Jenama Kove tidak berada di Malaysia buat masa ini mungkin disebabkan oleh barisan model yang lebih menekankan model-model off-road, tetapi siapa tahu apa yang akan datang pada masa hadapan kan?

Kami bercakap dengan jujur: Kami sudah biasa melihat penunggang Freestyle Motocross (FMX) melakukan aksi ‘backflip’ (pusingan 360º) sehingga ia telah menjadi sesuatu yang tidak luarbiasa lagi. Tetapi ia adalah sesuatu yang luarbiasa apabila ia mula-mula berjaya dicuba oleh Jose Yanez pada tahun 1991. Tidak lama kemudian, ia menjadi backflip dua kali, kemudian backflip tiga kali. Walaubagaimanapun, semuanya dilakukan pada motosikal motocross yang ringan. Sekarang, lelaki INI pula, membuat backflip dengan Yamaha Ténéré 700.

Pelumba itu ialah Jérémy Rouanet, 44, yang merupakan bekas pelumba profesional FMX. Dia menyempurnakan backflip pada motosikal ini selepas berlatih untuk hanya beberapa minggu.

Ya ya, kami mendengar anda. Seorang lagi penunggang FMX, Sebastian Westberg telah pernah membuat backflip dengan Honda Africa Twin yang lebih besar dan berat dua tahun lalu, tetapi dia mendarat dalam keadaan selamat dalam sebuah ‘besen’ yang dipenuhi dengan busa (foam bin). Rouanet, sebaliknya, mendarat di atas tanah yang kukuh.

Apapun, Ténéré 700 ini telah diubah suai secara ringan, kebanyakannya menggunakan komponen daripada cawangan perlumbaan rasmi Yamaha, GYTR. Motosikal tersebut bermula sebagai Yamaha Ténéré 700 Rally Edition dan telah disediakan oleh Yamaha Ténéré Rally Team. Alat ganti pasaran selepas jualan termasuk rim Takasago Excel dan monoshok TracTive. Ketebalan tempat duduk telah dipotong sebanyak 1.5cm.

Beberapa komponen telah ditanggalkan untuk mengurangkan berat termasuk cermin, penunjuk isyarat, pemegang plat nombor, pelindung tangan, pemijak kaki penumpang, topang tepi dan pemutus litarnya, dan unit kawalan ABS. Bateri litium-ion juga dipasang sebagai pengganti bateri yang asal.

Jadi? Adakah akan berlaku backflip dua kali ganda dan tiga kali ganda selepas ini? Dan motosikal apa yang seterusnya? BMW R 1300 GS?

Skuter Yamaha NMax masih popular, jika tidak di Malaysia maka di luar negara, terutamanya di pasaran UK dan EU. Bagaimanapun, teknologinya kelihatan agak ketinggalan berbanding dengan ‘adik-beradiknya,’ oleh itu Yamaha NMax 125 (2025) akan menerima ciri Tech Max.

Motosikal ini juga menerima lampu depan projektor LED baharu, ruang simpanan barang bawah tempat duduk 25 liter, penghidupan tanpa kunci, port pengecas USB-C (menggantikan jenis pencucuh rokok), dan ergonomik yang dipertingkatkan.

Enjin 125cc, satu silindernya kekal tidak berubah dan menghasilkan 12hp, kecuali ia mematuhi Euro5+ sekarang, mungkin dengan pemangkin dan sistem ekzos baharu. Bersama-sama dengan fungsi henti mula, Yamaha mendakwa jarak maksimum skuter ini ialah 298km daripada tangki bahan api 7.1 liter. Kapasiti tangki bahan api adalah sama dengan model semasa, jadi ini mungkin bermakna skuter baharu ini mengekalkan rangka dan casis basikal semasa.

Bercakap mengenai casis, ia masih merupakan ciri-ciri skuter standard, dengan NMax 125 ini menggunakan roda 13-inci, menawarkan fork tidak boleh laras dan penyerap hentakan berkembar di bahagian belakang. Brek dikendalikan oleh cakera 230mm di depan dan belakang, dengan ABS sebagai standard (mungkin tidak tersedia di sini). Kawalan traksi juga adalah standard.

Bagi ciri Tech Max, terdapat pemuka TFT warna penuh 4.2-inci baharu dengan sambungan telefon dan navigasi Garmin. Tempat duduk ada jahitan emas.

Sumber di UK mengatakan bahawa Yamaha NMax 125 (2025) akan tersedia mulai Mei tahun depan. Ia berharga £3,900 (RM21,991.12), iaitu £178 (RM1,003.82) lebih murah.

Persoalannya ialah bilakah NMax 160 yang dikemaskini boleh didapati di Malaysia.

Ducati Multistrada V2 (2025) telah dilancarkan dan menggunakan V-Twin 890cc yang sama dengan Ducati Panigale V2 (2025) dan Ducati Streetfighter V2 (2025).

Ducati mendakwa model baharu ini 18kg lebih ringan berbanding Multistrada V2 sebelum ini yang menggunakan enjin Testastretta V-Twin 937cc. Varian “S” 2025 mempunyai berat basah 202kg, dengan tangki bahan api kosong, manakala model standard mempunyai berat basah 199kg, juga dengan tangki kosong.

Ciri-ciri utama:
  • Enjin baharu ini lebih berkuasa, dan menghasilkan 113.4hp pada 10,750 RPM dan 92Nm tork pada 8,250 RPM.
  • Versi enjin ini juga termasuk pemasaan injap masukan berubah-ubah yang memberikan 70% tork puncak daripada 3,500 RPM, dan tidak turun di bawah 75% dari titik ini sehingga 11,000 RPM.
  • Bagaimanapun, enjin ini memerlukan pemeriksaan pelepasan injap pada setiap 30,000km.
  • Terdapat aci engkol yang lebih berat untuk penunggangan yang lebih lancar, dan penjana yang lebih berkuasa untuk membolehkan lebih banyak peralatan elektrik.

  • Nisbah kotak gear telah disemak dengan gear pertama dan kedua yang lebih pendek. Quickshifter adalah standard.
  • Kerangka aluminium monocoque baharu memegang enjin, dengan lengan ayun dua sisi aluminium tuang.
  • Roda adalah 19-inci di depan dan 17-inci di belakang, seperti sebelum ini.
  • Gaya motosikal baharu ini lebih mirip Multistrada V4 berbanding 1260 Multistrada lama.

  • Ciri-ciri aerodinamik telah direkabentuk semula untuk keselesaan penunggang, termasuk skrin baharu dan bahagian sisi badan untuk menyalurkan udara segar ke kaki penunggang untuk mengurangkan haba enjin.
  • Ketinggian tempat duduk boleh laras antara 830mm dan 850mm. Terdapat pilihan tempat duduk aksesori 870mm atau lebih rendah 810mm.
  • Ducati Multistrada V2 S (2025) menerima Suspensi Ducati Skyhook (DSS) separa aktif elektronik.
  • Sebaliknya, Multistrada V2 standard mendapat fork Marzocchi boleh laras penuh jenis terbalik 45mm, dan monoshok belakang Sachs boleh laras sepenuhnya.

  • Kedua-dua varian ini dilengkapi dengan tayar Pirelli Scorpion Trail II dan menawarkan jarak gerakan suspensi 170mm yang berfokuskan kegunaan di atas jalan.
  • Terdapat set lengkap alat bantuan elektronik, dikawal melalui sengkang TFT warna 5 inci baharu.
  • Terdapat lima mod tunggangan, dengan tetapan boleh dikonfigurasikan untuk kuasa, kawalan cengkaman, anti-wheelie dan brek enjin.
  • Kawalan jelajah (cruise control) adalah standard juga, serta pilihan untuk navigasi belokan demi belokan.
  • Fungsi ‘Coming Home’ yang memastikan rasuk rendah dihidupkan seketika selepas pencucuhan dimatikan, untuk memudahkan urusan dalam gelap.

Harga belum diumumkan tetapi Ducati Multistrada V2 (2025) ini akan tersedia di pasaran tertentu mulai Januari 2025.

Adakah Honda CB500RS sedang dibangunkan mengikut jejak langkah CB350RS yang menarik?

Versi 350cc kini tidak dijual di AS, dan ini mungkin mendorong Honda Motors Corporation untuk membangunkan model 500c. Khabar angin itu mengikuti permohonan tanda dagangan yang difailkan di negara itu untuk GB500. CB350RS dijual di bawah nama yang berbeza seperti GB350S di beberapa pasaran, termasuk Jepun.

Walaubagaimanapun, varian 500 kelihatan berbeza di Jepun, seperti yang dibongkarkan oleh majalah Jepun, Young Machine. Gambar menunjukkan rekabentuk yang benar-benar retro, berbanding rekabentuk roadster/cafe racer CB350RS.

Majalah itu juga menyebut bahawa enjin mungkin jenis 525cc, dua injap, satu silinder, dengan penyejuk udara.

Sekiranya ia mengikut perancangan, rangkaian Honda 500cc kini akan mempunyai tambahan baharu kepada Rebel 500, CBR500R dan NX500 semasa.

Mana-mana motosikal BMW dengan nama “GS” bermakna ia adalah motosikal pengembaraan. Nama GS, dalam bentuk asalnya ialah G/S yang bermaksud Gelände/Straße bermaksud Off-Road/Road. Namun, itu tidak bermakna BMW R 1300 GS dan model-model sebelumnya tidak boleh ditunggang secara agresif di atas jalan raya! Jadi, daripada pakar selepas pasaran Puig, inilah Kit Puig Pista yang radikal yang menjadikan BMW R 1300 GS anda sebuah motosikal lumba.

GS yang dipamerkan telah ditunjukkan di EICMA. Pista bermaksud trek dan motosikal yang terhasil menjadi supermoto berkapasiti besar seperti KTM 890 SMT. BMW memang mempunyai model Boxer yang ber-fairing penuh, yang dipanggil R 1250 RS (model 1300 sedang dibangunkan) tetapi ia adalah sebuah sport-tourer.

Prototaip Puig ini dipasang dengan roda gentian karbon Rotobox 17-inci yang disarungkan dengan tayar Pirelli Diablo Supercorsa, cakera brek Galfer 320mm dan sistem ekzos Arrow.

Ciri paling menarik bagi kit ini ialah bahagian hadapan motosikal yang disemak semula, dengan sayap di bahagian tepi. Cermin depan juga milik Puig (sudah tentu), yang menurut pembuatnya mengurangkan pergolakan angin. Terdapat juga pemesong angin yang dipasang di sisi yang boleh dibuka atau ditutup untuk menambah atau mengurangkan aliran udara ke kaki penunggang.

Selain itu, kit ini termasuk madgad yang disemak semula (untuk menampung roda hadapan dan tayar yang lebih kecil), penutup tangki, penutup belakang, penutup tempat duduk pembonceng, pelindung enjin, dan spoiler bawah.

Terdapat juga saluran penyejukan brek untuk menyalurkan udara sejuk ke kaliper brek hadapan, dicat dengan warna kuning menyerlah.

Kit itu kekal sebagai konsep tetapi siapa tahu Puig mungkin menghasilkannya jika terdapat permintaan yang mencukupi untuk menghasilkannya.

Semua gambar daripada Puig.

Scrambler retro Fantic Caballero 500 (2025) akan menerima enjin buatan Itali.

Keluarga Caballero 500 telah menggunakan enjin satu silinder 449cc yang dibina oleh Zongshen di China sehingga baru-baru ini, tetapi akan bertukar kepada enjin baharu yang dipanggil MM460. Enjin MM460 telah direka, dibangunkan, dan akan dihasilkan oleh Motori Minarelli, yang berpangkalan di Bologna, Itali.

Ia adalah enjin dengan suntikan bahan api, DOHC, silinder tunggal, 463cc, yang menghasilkan 44.4hp pada 8,000 RPM dan 42.4Nm tork pada 7,000 RPM. Itu adalah angka tork yang baik, walaupun memuncak agak tinggi dalam julat RPM.

Enjin itu akan dipasang dalam rangka keluli tiub yang sama merentasi ketiga-tiga varian Caballero 500, iaitu Scrambler, Rally dan Deluxe.

Melengkapkan motor baharu ialah sistem pengambilan dan ekzos yang direka semula oleh Arrow (juga dari Itali), peta enjin baharu dan pendikit tunggangan ‘ride-by-wire’ untuk membolehkan berbilang mod tunggangan.

ABS sensitif sudut mereng juga tersedia bersama kawalan cengkaman, dengan pencahayaan LED di sekelilingnya.

Ketiga-tiga varian berkongsi tangki bahan api 12 liter yang sama dan didakwa mempunyai berat kering 150kg. Kedua-dua Scrambler dan Deluxe juga mendapat manfaat daripada ketinggian tempat duduk 820mm yang rendah sebagai standard (840mm pilihan), dengan versi Rally yang lebih lasak duduk lebih tinggi pada 860mm.

Rally juga mempunyai roda hadapan 21-inci dan belakang 17-inci untuk kelebihan tunggangan off-road, manakala varian lain dipasang dengan hadapan 19-inci dan belakang 17-inci.

Berpegang pada varian off-road, fork terbaliknya adalah 2mm lebih tebal pada 43mm, dengan pelarasan penuh di hadapan dan belakang, dengan jarak gerakan 200mm di kedua-dua hujungnya. Scrambler dan Deluxe hanya mendapat pelarasan lantunan di belakang, dengan jarak gerakan 150mm.

Harga dan ketersediaan masih belum disahkan untuk Fantic Caballero 500 (2025).

Royal Enfield sudahpun mempunyai lima model yang berdasarkan platform Super Meteor 650 iaitu Interceptor 650, Continental GT 650, Shotgun 650, Bear 650, dan Super Meteor yang disebut tadi. Tambahan baharu kepada keluarga ini ialah Royal Enfield Classic 650 (2025).

Classic 650 melahirkan semula penggayaan retro British (apa lagi?) selepas perang seperti Classic 350 untuk memuaskan hati peminat-peminat gaya British. Jadi, geng Old Money bolehlah hadir.

Walaupun kebanyakan barisan RE adalah retro, rangkaian Classic menawarkan rupa vintaj sebenar. Lihat sahaja tangki bentuk ‘teardrop‘ (titisan air mata), lampu bulat dengan visor, madgad melengkung, krom di mana-mana.

Model Classic membuatkan kami sentiasa mengingati berakar umbi dan berpegang teguh kepada falsafah kami untuk motosikal yang tulen,” kata B. Govindarajan, Ketua Pegawai Eksekutif Royal Enfield. “Classic 650 baharu bukan sahaja menjunjung dan menjiwai semangat ini, ia menyediakannya dengan dua langkah pada platform 650 Twin bertaraf dunia kami.

Enjinnya dibawa terus dari Super Meteor. Ia merupakan jenis 648cc, berkembar selari dengan engkol 270º, menghasilkan 46.4hp pada 7,250 RPM dan 52.3Nm tork, ditempatkan dalam rangka tiub keluli yang dikongsi bersama – apa lagi – Super Meteor 650. Pengilang mendakwa bahawa berat sedia bergerak dengan tangki penuh 90% ialah 265.8kg, menjadikannya model RE yang paling berat. Tangki bahan api mengisi sehingga 14.7 liter.

Kedua-dua roda adalah berjejari wayar, dengan yang depan berukuran 19-inci dan belakang adalah 18-inci. Terdapat satu cakera 320mm yang dicengkam oleh kaliper terapung 2-piston di di depan, manakala bahagian belakang mempunyai cakera 300mm dengan satu lagi kaliper terapung 2-omboh. Suspensi ialah Showa di sekelilingnya, tetapi fork dan penyerap hentakan belakang berkembar tidak boleh dilaraskan.

Di bawah rupa vintaj itu terdapat beberapa ciri moden termasuk ABS, lampu LED, skrin LCD yang diletakkan dalam meter analog, port pengecasan USB-C.

Harga jualan untuk Royal Enfield Classic 650 (2025) di UK ialah £6,499 (RM36,825.24). Harga akan lebih tinggi apabila ia sampai ke Malaysia, sudah tentu. Ia ditawarkan dalam empat warna yang digelar Vallam Red, Bruntingthorpe Blue, Teal, atau Black Chrome.

Walaupun Honda ADV160 ialah skuter berkapasiti kecil yang paling popular di Malaysia, Honda ADV350 adalah antara yang paling laris Honda di seluruh dunia. Sudah tentu, sebagai model pertengahan, ADV350 lebih besar daripada ADV160 dan menawarkan lebih banyak ruang penyimpanan dan enjin yang lebih berkuasa, tetapi ia tidak seberat dan semahal X-ADV (750).

Jadi, wajarlah Honda menyemak semula ADV350 untuk 2025.

Ciri-ciri utama:
  • Enjin 330cc SOHC dengan ciri eSP+ (Enhanced Smart Power Plus) Honda kekal tidak berubah, dan menghasilkan 28.8hp dan 31.5Nm tork.
  • Kuasa dan tork daripada enjin dikawal melalui sistem kawalan cengkaman yang dipanggil Honda Selectable Torque Control (HSTC).

  • Kapasiti tangki bahan api ialah 11.7 liter, dan Honda mendakwa penggunaan bahan api enjin adalah sejimat 3.4 liter/100km, yang memberikan jarak maksimum hampir 340km.
  • Ruang simpanan bawah tempat duduk diterangi untuk membantu penunggang dalam keadaan cahaya malap.

  • Ruangnya cukup besar untuk dua topi keledar muka penuh.
  • Terdapat kompartmen berasingan yang dilengkapi dengan port pengecasan USB-C.

  • Suspensi telah dikemaskini. Walaupun bahagian hadapan menggunakan fork terbalik 37mm yang sama, penyerap hentak berkembar belakang mempunyai takungan dan boleh laras untuk prabeban.
  • Penggayaan Honda ADV350 (2025) kelihatan lebih hampir kepada X-AD, termasuk lampu depan kembar dan tayar pengembaraan.

  • Cermin depannya boleh laras.
  • Terdapat skrin warna TFT 5-inci baharu yang menggantikan unit LCD lama. Skrin kekal jelas di bawah cahaya matahari yang terang kerana teknologi Optical Bonding.

  • Skrin ini menampilkan pakej sambungan Honda RoadSync yang bersambung ke telefon iOS dan Android untuk navigasi, telefon, muzik.
  • Terdapat empat warna: Pearl Nightstar Black, Mat Ruthenium Silver Metallic, Hyper Red dan Mat Coal Black Metallic.

Honda ADV350 2025 dijual pada harga £5,899 (RM33,372.42). Harganya akan berbeza apabila ia sampai di sini.

Kita sudah tahu ia bakal muncul berikutan pelancaran Ducati Panigale V4 (2025) baru-baru ini. Berikut ialah Ducati Streetfighter V4 (2025) dengan enjin yang lebih berkuasa, casis yang disemak semula, aerodinamik yang dikemaskini, dan ciri-ciri elektronik yang lebih baik.

Kali ini, Ducati melakukan sesuatu yang baharu dengan hanya menanggalkan fairing Panigale V4, dan memberikan Streetfighter V4 baharu ini hendal yang lebih tinggi, dan mengekalkan kuasa enjin yang hampir sama. Satu-satunya perbezaan untuk enjin Demosecidi Stradale 1103cc pada Streetfighter ialah liang kemasukan ke peti udara untuk menghasilkan penghantaran kuasa yang lebih kuat sepanjang julat RPM.

Selain itu, sesondol (‘cam‘) mempunyai profil angkatan yang lebih tinggi, alternator dan pam minyak dikongsi dengan Panigale V4 R, dan gendang gear daripada Superleggera V4. Enjin Streetfighter V4 juga mempunyai trompet masukan panjang berubah-ubah.

Casisnya hampir sama dengan Panigale V4 tetapi reka bentuk serba baharu, 1kg lebih ringan daripada motosikal sebelumnya. Sama seperti Panigale, kerangka dengan dan lengan ayun dua sisi menawarkan kekakuan sisi yang dikurangkan: 37% di hadapan dan 42% di belakang untuk cengkaman yang lebih baik apabila motosikal dimerengkan di dalam selekoh serta memberikan tindakbalas yang lebih baik.

Ducati Streetfighter V4 (2025) mempunyai sudut stereng 0.5º yang lebih besar, dan jejak 1mm lebih panjang untuk kestabilan garis lurus yang lebih baik. Fork depan ialah Showa Big Piston, dan monoshock belakang ialah unit Sachs untuk varian standard, manakala varian S mendapat suspensi Öhlins NIX/TTX elektronik.

Sayap dua lapis menjana tujahan bawah (‘downforce‘) 17kg pada 270km/j. Ducati mendakwa bahawa Streetfighter V4 S mempunyai berat basah tanpa bahan api hanya 189kg, dan ini memberikannya nisbah kuasa-kepada-berat 1.13hp/kg, manakala varian standard mempunyai berat basah tanpa bahan api 191kg.

Dan sudah tentu, tiada Ducati yang lengkap tanpa ciri-cirit elektronik yang akan menyaingi kapal angkasa. Terdapat empat mod tunggangan (Race, Sport, Road, Wet), kawalan roda, Kawalan Traksi Menjuru, ABS Menjuru, kawalan slaid, kawalan pelancaran, penukar pantas, dan sebagainya.

Baharu ialah sistem Ducati Vehicle Observer (DVO) berasaskan algoritma ramalan yang disertakan untuk menganggarkan jumlah campur tangan elektronik yang diperlukan dengan tepat, begitu juga dengan eCBS Race lima peringkat – sistem brek gabungan yang boleh memodulasi tekanan brek belakang secara automatik tanpa input penunggang.

Ciri elektronik semuanya dikawal melalui skrin TFT 6.9 inci baharu.

Tetapi sesuatu yang baik ialah Ducati tidak melupakan keselesaan penunggang. Kawasan pelana duduk bertemu tangki disemak semula untuk menawarkan lebih banyak ruang untuk penunggang yang lebih tinggi, serta memberikan pegangan yang lebih baik semasa membrek dan mengambil selekoh. Hendal dan pasak kaki diubah kedudukannya untuk memberikan keselesaan jarak jauh sambil tetap menawarkan cara pemanduan yang sporty.

Terdapat juga pengalih udara mengalihkan udara panas enjin daripada kaki penunggang.

Harga di UK ialah £21,295 (RM120,211.52) untuk varian standard, manakala Ducati Streetfighter V4 S 2025 ialah £26,195 (RM147,872.31). Harga dalam MYR adalah penukaran langsung, oleh itu harga sebenarnya mungkin (jauh) lebih tinggi apabila ia tiba di Malaysia.

Royal Enfield Scram 440 (2025) telah dilancarkan ketika perhimpunan motosikal tahunan terbesar pengeluar ini, Motoverse 2024, yang diadakan di Goa, India. Scram 440 ini dikemaskini daripada Scram 411 semasa.

Bermula dengan enjin, enjin 411cc, silinder tunggal, SOHC, penyejuk udara/minyak semasa yang diadu sebagai kurang kuasa dibesarkan kepada 443cc. Isipadu tambahan itu meningkatkan kuasa maksimum kepada 25.4hp pada 6,250 RPM dan tork kepada 34Nm pada 4,000 RPM. Ia adalah pertambahan daripada 24.3hp pada 6,500 RPM dan 32Nm pada 4,250 RPM. Tetapi entahlah kenapa RE tidak meningkatkan output enjin kepada sekitar 30hp.

Seterusnya ialah transmisi, dan RE menambahkan gear ke-6 untuk menangani masalah menunggang di atas lebuh raya. Selain itu, RE juga mendakwa tarikan klac lebih ringan.

Kerangka diperkukuh untuk menampung beban yang lebih berat dan kotak simpanan (top box), yang casisnya kekal sama. Rodanya berjejari wayar adalah 19-inci di hadapan dan belakang 17-inci belakang, jenis tiub. Pembeli boleh membeli roda aloi tanpa tiub sebagai pilihan.

Brek juga dinaiktaraf sebagai tindak balas kepada pemilik sekarang yang mendapati kuasa brek mereka tidak mencukupi. ABS dwi-saluran kini membenarkan penunggang mematikan ABS roda belakang untuk kegunaan off-road, sama seperti RE Himalaya.

Beberapa warna baharu telah ditambah untuk Royal Enfield Scram 440 (2025) dan akan dikeluarkan di India mulai Januari 2025.

Arkib

Ikuti Kami di Facebook

Ikuti Kami di YouTube