Bikesrepublic

BM

Honda XR150L sememangnya antara model popular yang cukup popular terutamanya di pasaran Asia. Model tersebut juga dipasarkan di Australia dan New Zealand sebagai motosikal kegunaan sektor pertanian.

Ini kerana sebagai motosikal ‘dual-purpose’ XR150L terkenal dengan ciri lasak dan mempunyai daya ketahanan tinggi untuk kegunaan ‘off-road’. 

Atas faktor tersebut, Honda XR150L akan mula dipasarkan di pasaran Amerika Syarikat tidak lama lagi berdasarkan data VIN (vehicle identification number) yang telah difailkan di negara itu. 

Untuk rekod, Honda XR150L dikuasakan enjin satu silinder 149cc SOCH dengan sistem penyejukan udara dan karburator yang berupaya menghasilkan 12.5hp pada 7,750rpm dan 12.1Nm. Kuasa enjin pula disalurkna kepada tayar belakang menerusi transmisi 5-kelajuan. 

Menurut laporan, enjin pada XR150L dibangunkan  sepenuhnya Sundiro Honda – usahasama antara Honda dan syarikat China, Sundiro – dan akan dikilangkan di Mexico. Kilang tersebut juga bertanggungjawab menghasilkan enjin bagi Honda Navi yang dipasarkan di AS ketika ini. 

Antara ciri lain ditawarkan termasuk:

  • ‘electric starter’ dan ‘kick-starter’
  • fork teleskopik depan 
  • kaliper brek depan dua piston dan drum brek belakang

Apa yang mengagumkan, Honda XR150L in didatangkan dengan tangki berkapasiti 12L sekaligus menawarkan penjimatan dan perbatuan yang baik. 

Bagi pasaran Filipina, Honda XR150L ini dijual pada harga PHP96,900 (RM7.5k).

Pemilik sebuah kedai aksesori kereta terletak di Dataran Mentari, Bandar Sunway kini berdepan tindakan undang-undang gara-gara membuat laporan polis palsu.

Perkara itu disahkan Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid.

Memetik laporan Berita Harian, pihak polis menerima laporan daripada pemilik berusia 39 tahun itu pada jam 1.09 tengah hari (Sabtu) mendakwa kedainya telah dipecah masuk dan mengalami kerugian sekitar RM600,000. 

Mohamad Fakhrudin kemudan mengarahkan anggotanya untuk melakukan siasatan di tapak kejadian bersama pasukan forensik Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor. 

Bagaimanapun, semakan kamera litar tertutup (CCTV) di tempat kejadian mendapati tiada sebarang pecah masuk direkodkan. 

“Hasil soal siasat, pengadu mengaku kejadian pecah kedai tidak berlaku dan tujuan laporan polis dibuat adalah untuk tuntutan insurans,” jelas Fakhrudin. 

Dalam pada itu, pemilik kedai aksesori kereta itu kini berdepan tindakan susulan ekoran membuat laporan palsu. 

Tambah Fakhrudin, kes tersebut kin disiasat mengikut Sekseyn 182 Kanun Keseksaan dan telah dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya untuk tindakan selanjutnya. – Berita Harian

SHOEI merupakan antara jenama helmet motosikal terkemuka dunia seangkatan pesaing lain antaranya Arai dan AGV. 

Maka tidak hairanlah, SHOEI turut menjadi pilihan beberapa pelumba motosikal berstatus juara dunia seperti Marc Marquez.  Sehingga kini, Marquez beraksi di Kejuaraan Dunia MotoGP dengan menyarung helmet SHOEI. 

Musim lalu, Marquez turut memakai helmet SHOEI X-SPR Pro yang merupakan helmet serba baharu menggantikan X-Spirit III. 

Bagaimanapun, bagi tahun 2023, SHOEI memperkembangkan lagi kerjasama dengan Marquez dengan memperkenalkan SHOEI Neotec II edisi MM93. 

SHOEI Neotec II merupakan helmet jenis ‘sport-touring’ premium yang ditawarkan jenama itu dan diminat oleh semua penunggang motosikal kerana menawarkan ciri praktikal. 

Selain kekal menawarkan fungsi yang versatil, SHOEI Neotec II siri MM93 ini juga tampil dengan pilihan warna yang lebih garang dengan gabungan warna kelabu dan perak serta kemasan hitam. 

Logo MM93 juga termpampang dibahagian belakang helmet dengan warna merah. 

Selain itu, SHOEI Neotec II Edisi MM93 ini masih lagi mengekalkan ciri sama seperti model Neotec II lain antaranya ‘padding’ boleh ditanggalkan, sunvisor dan mekanisme modular yang boleh dibuka dan tutup dengan hanya sebelah tangan. 

Untuk rekod, SHOEI Neotec II ini juga mudah dipadankan bersama sistem komunikasi motosikal seperti Cardo dan Sena.

Menurut laporan di Jepun, SHOEI Neotec II Edisi MM93 ini akan dipasarkan pada harga JPY82,500 (RM2.6k). 

Beberapa minggu lalu, Aveta telah pun melancarkan model kelapan untuk pasaran tempatan menerusi VZR250. 

Aveta VZR250 merupakan motosikal segmen sportsbike 250cc sulung diperkenalkan jenama itu. 

Dalam pada itu, Aveta turut mengorak langkah dengan mengemas kini model kapcai V13R bagi tahun 2023.

Meskipun baru setahun lebih berada dalam pasaran namun Aveta telah menaik taraf model 124cc itu dengan rekaan lampu depan yang lebih moden. 

Menariknya, reka bentuk lampu depan itu tampak mirip dengan Yamaha Y15ZR. 

Bagaimanapun, pengesahan daripada pihak Aveta sendiri memaklumkan bahawa spesifikasi V13R 2023 kekal sama seperti model 2021. 

Hasilnya, enjin satu silinder 124cc dengan sistem karburator itu terus menawarkan 7.8hp pada 7,500rpm dan 8.5Nm pada 5,500rpm. Kuasa enjin pula disalurkan menerusi transmisi 4-kelajuan. 

Antara ciri lain ditawarkan termasuk:

  • tangki 4.5L
  • lampu depan LED dengan DRL
  • cakera brek (depan)
  • port pengecas USB

Menurut Aveta, V13R 2023 ini ditawarkan pada harga (baharu) RM7,259

Dani Pedrosa akan kembali ke kejuaraan dunia MotoGP menerusi entri ‘wild-card’ bagi pusingan GP Sepanyol di Jerez, tahun ini, 

Berita tersebut disampaikan pengurus pasukan Red Bull KTM, Francesco Guidotti pada Khamis. 

“Saya telah pun dimaklumkan bahawa Dani (Pedrosa) akan beraksi di Jerez. Ini sudah cukup membuktikan betapa pentingnya dia pada kami.

“Sumbangannya cukup besar jadi kami berinya peluang untuk menunjukkan potensinya sewaktu ujian dan seterusnya sebagai entri ‘wild-card’, ujar Guidotti kepada media antarabangsa, Crash.net.

Untuk rekod, Pedrosa mencatatkan 31 kemenagan Grand Prix antara 2006 hingga 2008 lantas menjadikannya pelumba kelas premier paling berjaya yang tidak pernah merangkul kejuaraan dunia. 

Sebaik bersara, Pedrosa berkhidmat sebagai pelumba uji KTM dan didakwa menjadi tunjang utama pembangunan jentera RC16. 

Dalam pada itu, selain Pedrosa, Guidotti juga mendedahkan bahawa bekas pelumba MotoGP, Jonas Folger akan terlibat dengan sesi ujian KTM di Litar Antarabangsa Sepang (SIC) bulan depan. 

Suzuki merupakan antara pengeluar motosikal dunia yang komited dalam pembangunan teknologi hijau apabila sanggup menghentikan projek permotoran di Kejuaraan Dunia MotoGP dan EWC. 

Penarikan diri daripada sebarang kejuaraan dunia permotoran itu adalah bagi mengalihkan perbelanjaan kepada pembangunan karbon neutral termasuk penghasilan jentera elektrik.

Suzuki sebelum ini telah pun mendedahkan perancangan untuk memperkenalan lapan motosikal elektrik menjelang tahun 2030. 

Dalam perkembangan terbaru, kilang Hamamatsu itu mengesahkan akan memperkenalkan motosikal elektrik sulung pada 2024.

Pendedahan itu dibuat dalam pelan strategi pembangunan bagi tahun kewangan 2030 yang diterbitkan baru-baru ini. 

Pelan tersebut memaklumkan bahawa pengeluar motosikal Jepun itu akan memperkenalkan motosikal elektrik (kelas kecil sehingga pertengahan) pada tahun 2024. 

Bagaimanapun, Suzuki dalam kenyataan menjelaskan bahawa pembangunan motosikal elektrik hanyalah melibatkan model kegunaan harian manakala motosikal berkapasiti tinggi akan mengguna pakai teknologi bahan api karbon neutral. 

Ini bermakna, barisan model sedia ada terutamanya motosikal berprestasi tinggi akan terus hidup dalam portfolio Suzuki. 

Untuk rekod, Suzuki telah pun meningkatkan kapasiti penjana kuasa solar di kilang Hamamatsu dalam usaha mencapai karbon neutral pada 2027. Pelan tersebut juga mendedahkan Suzuki merancang membelanjakan RM129 billion dalam projek elektrik dan seangkatan dengannya. 

Benda merupakan antara pengeluar motosikal China yang mempunyai visi yang besar dalam memasarkan jenama itu di pasaran global.

Tahun lalu, Benda mencuri tumpuan dengan pelancaran beberapa model terutamanya berkonsepkan cruiser seperti LFC700, LFS700 dan VTC300. 

Bagaimanapun, Benda mempunyai perancangan untuk memperkenalkan model ‘sportsbike’ apabila memfailkan paten nama VTR300 Turbo, tahun lalu. 

Ketika LFS700 dan VTC300 dilancarkan penghujung tahun lalu, VTR300 Turbo masih belum kelihatan. 

Projek VTR300 Turbo itu sememangnya mencuri tumpuan kerana perkataan ‘Turbo’ itu sendiri. 

Namun, perkembangan terbaru berdasarkan paten terkini difailkan mendedahkan enjin V-Twin 300cc itu tidak akan menampilkan teknologi turbo seperti namanya sebaliknya akan menerapkan sistem ‘supercharger’ yang digerakkan secara mekanikal.

Menurut laporan, sebuah enjin V-Twin 300cc mampu menghasilkan sekitar 30hp namun dengan kehadiran ‘supercharger’ enjin terbabit dengan mudah boleh mengeluarkan 50hp. 

Berdasarkan paten yang dikongikan, jelas sistem ‘supercharger’ Benda bukanlah konvensional, kerana kuasa bukanlah terhasil di crankshaft sebaliknya sistem ‘blower’ dipasang pada satu daripada ‘cylinder head’ dan menyalurkan pergerakan pada ‘camshaft’. 

Rekaan sistem ‘supercharger’ dihasilkan Benda juga berbentuk ‘centrifugal’ sama seperti sistem ‘supercharger’ pada Kawasaki H2. 

Bagaimanapun berbanding Kawasaki, sistem pemanduan rekaan Benda ini tampil lebih kompak kerana perlu berpaut pada ‘camshaft’ enjin berbanding ‘crankshaft’. Pada masa sama, mengambil kira ‘camshaft’ berpusing pada separuh kelajuan ‘crankshaft’ bermakna sistem ‘supercharger’ itu perlu ditala lebih tinggi untuk mencapai kelajuan putaran yang lebih baik. 

Walaupun perkembangan enjin ini cukup menarik perhatian namun Benda belum lagi membuat sebarang pengumuman rasmi. 

Ini bermakna, kita mungkin hanya akan berpeluang menyaksikan model VTR 300 Turbo dalam beberapa tahun lagi. Apa yang pasti, tiada khabar angin sama ada model Benda akan dipasarkan di Malaysia. 

Seorang penunggang motosikal tergamak meninggalkan tunangnya di tepi jalan gara-gara terkejut melihat sekatan jalan raya yang diadakan pihak Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) di Plaza Tol Jambatan Pulau Pinang, malam tadi. 

Difahamkan, pemuda tersebut terperanjat lalu membrek secara mengejut sehingga menyebabkan tunangnya terjatuh daripada motosikal.

Bagaimanapun, lelaki tersebut terus memecut meninggalkan tunangnya terkapai-kapai. 

@amirulainul4788

♬ Just A Kiss (Muah) – Enisa

Menurut Pengarah JPJ negeri, Adenan Md Isa berkata, pemuda itu yang menunggang motosikal jenis Yamaha 135LC berkemungkinan tidak mempunyai dokumen lengkap. 

“Lelaki itu mungkin terkejut dan ketika dia membrek, pemboncengnya yang juga wanita terjatuh dan mengalami kecederaan ringan di tapak tangan.

“Ketika kami mengarahkannya membuat lencongan untuk pemeriksaan lanjut, lelaki itu terus membuat pusingan U dan memecut dengan meninggalkan wanita itu.

“Wanita itu mengakui lelaki berkenaan tunangnya dan mereka dalam perjalanan dari Seberang Perai ke pusat bandar,” katanya pada Op Khas Motosikal sempena Tahun Baharu Cina.

Wanita berusia 20-an itu tidak ditahan kerana tidak melakukan sebarang kesalahan. 

Beberapa tahun lalu, Ketua Pegawai Eksekutif KTM, Stefan Pierer mengakui pihaknya sedang membangunkan barisan model baharu yang akan dikuasakan platform parallel-twin 490cc bagi menggantikan model satu silinder 390cc. 

Beberapa model 490 turut disebut sewaktu sesi pembentangan kepada pelabur. Bagaimanapun, sejak dari itu, perkembangan model 490 tersebut terus terdiam sehingga kini. 

Dalam perkembangan terbaru, Pierer mengesahkan bahawa KTM telah membuat keputusan untuk menghentikan projek 490 itu serta-merta. Pierer turut mendedahkan faktor disebalik keputusan mengejut itu secara terperinci. 

CEO KTM, Stefan Pierer

Pertamanya, projek 490 dihentikan ekoran faktor kos yang terlalu tinggi dalam membangunkan enjin parallel-twin berkapasiti kecil. 

Menurut KTM, kos rekaan dan pembangunan serta ujian sahaja menelan belanja besar dan jenama motosikal Austria itu berasakan usaha besar itu tidak berbaloi bagi segmen pasaran 490cc. 

Sebaliknya, KTM membuat keputusan untuk membangunkan platform parallel-twin 690 daripada enjin 790cc sedia ada dengan bantuan rakan kongsi  dari China, CFMoto. 

Lebih menarik, Pierer memaklumkan bahawa unit 690 itu akan menawarkan lebih 70hp sekaligus bakal menandingi Yamaha MT-07, YZF-R7 dan Triumph Trident 660. 

Keputusan KTM untuk bangunkan jentera segmen 700cc sememangnya relevan apatah lagi terdapat permintaan tinggi dikalangan bukan sahaja penunggang berpengalaman malah mereka yang baru mula berjinak dengan jentera berkuasa tinggi. 

Enjin LC8c

Pada masa sama, mengambil kira permintaan terhadap motosikal berenjin satu silinder 690 agak kecil maka beralih kepada platform parallel-twin lebih masuk akal. 

Jelas Pierer lagi, model baharu dengan enjin parallel-twin 690cc itu akan  diperkenalkan pada tahun 2024 dan akan dihasilkan CFMoto. Senario itu memberi bayangan bahawa model serba baharu itu akan datang dengan tanda harga yang lebih kompetitif. 

Majlis Pengurangan Kecurian Kenderaan Malaysia Berhad (VTREC) telah pun berkongsi statistik terbaru babitkan kecurian kenderaan di Malaysia bagi tahun 2021. 

Memetik laporan The Star, motosikal kapcai jenis Yamaha 135LC kekal model paling panas di Malaysia apabila secara purata sekurang-kurangnya sebuah unit dicuri setiap hari. 

Dalam pada itu, Yamaha Y15ZR atau lebih popular dengan jolokan ‘YSuku’ menjadi sasaran kedua apabila sebanyak 186 kes kecurian dilaporkan pada tahun 2021. 

Honda C100 juga tidak terlepas apabila menjadi model ketiga tertinggi yang sering dilarikan dengan 151 kes dilaporkan. 

Menurut koordinator VTREC, Mas Tina Abdul Hamid, motosikal yang dicuri lazimnya akan dileraikan dan akan dijual sebagai alat ganti. 

Meskipun begitu, sindiket curi motosikal ini juga akan jual model pada harga rendah. 

“Mereka juga jual Yamaha 125Z pada harga RM1,500, Yamaha 135 LC pada harga RM500, serta Honda EX5 dan Honda Wave pada harga RM300 sebuah.

“Pelanggan yang bersetuju dengan harga ditawarkan akan membayar deposit ke dalam akaun milik sindiket sebelum kenderaan atau komponen yang dicuri itu dihantar kepada mereka menerusi servis parcel berdaftar,” jelasnya.

Dalam perkembangan sama, Proton Wira kekal jadi kereta paling banyak dicuri di Malaysia untuk tahun ke-11 berturut-turut. 

Setiap tahun, ada sahaja berita tentang motosikal keluaran lama yang dijual pada harga tidak masuk akal.

Kerap kali apabila berita sedemikian dimuat naik, rata-rata membabitkan motosikal Yamaha jenis RX-Z. 

Bagaimanapun, sebuah lagi model Yamaha mencuri tumpuan bagi permulaan kalendar tahun 2023 apabila pemiliknya turut meminta harga tinggi. 

Tinjauan di akaun Facebook Yamaha 125 Z/ZR mendapati seorang pemilik berazam untuk menjual sebuah Yamaha 125ZR berwarna merah yang telah dipulihkan (restore) keluaran 2006 pada harga RM38,888

Menurut info dikongsikan, motosikal terbabit dipulihkan semula dengan barangan ‘orimoto’ dan NOS (new old stock). 

Namun begitu, ruangan komen juga turut dibanjiri dengan persoalan terutamanya babitkan harga tinggi tersebut. 

Ini bukanlah kali pertama model tersebut dijual pada harga sedemikian kerana tahun lalu, seorang penjual mengiklankan Yamaha 125ZR versi Movistar dengan harga jualan RM90,000. 

Untuk rekod, Yamaha 125ZR diperkenalkan pada tahun 2003 sebelum pengeluaran model itu dihentikan sepenuhnya pada 2018. 

CFMoto merupakan antara jenama motosikal dari China yang cukup serius dalam membangunkan jentera berkualiti dan berprestasi tinggi. 

Kerjasama dengan KTM termasuk di Kejuaraan Dunia Moto3 menjadi bukti komitmen yang ditonjolkan CFMoto dalam mengukuhkan jenama itu di pentas antarabangsa. 

*CFMoto 800MT

Menariknya, beberapa model yang diperkenalkan antaranya 250SR, 700CL-X, 650MT, 800MT dan terbaru 450SR bingkas mencuri tumpuan di pasaran global.

Bagaimanapun, terdapat perkembangan menarik yang timbul mengenai CFMoto apabila jenama itu dilaporkan bakal memperkenalkan jentera ‘superbike’ dengan enjin 1000cc tidak lama lagi.

Perkara itu disahkan menerusi paten terbaru yang telah difailkan pada Jun tahun lalu. 

Paten tersebut mendedahkan  jentera ‘superbike’ itu akan bernadikan enjin 4-silinder dengan konfigurasi V4.  Lebih menarik, dokumen terbabit menyebut enjin V4 itu akan menawarkan 204hp. 

Laporan media antarabangsa mendakwa enjin tersebut dibangunkan daripada jentera prototaip KTM RC16 di MotoGP. 

*KTM RC16

In bukanlah kali pertama enjin dengan teknologi MotoGP diperkenalkan pada motosikal ‘production’ kerana Ducati turut mengguna pakai konsep sama bagi model Panigale V4 R yang menawarkan 240hp. 

Dalam pada itu, paten tersebut turut mendedahkan sebuah motosikal jenis ‘naked’ dengan enjin 1250cc akan diperkenalkan CFMoto. 

*CFMoto 800NK

Terhasil daripada kerjasama dengan KTM, model ‘naked’ itu dijangka dikenali sebagai 1250 NK dan dikuasakan enjin LC8 yang sama digunakan pada KTM RC8 pada 2010.

Paten tersebut turut memaparkan lakaran 1250 NK yang tampak sama dengan 800 NK yang akan dilancarkan tidak lama lagi. 

Kedua-dua model ini dijangka akan membuat penampilan sulung tahun ini. 

Arkib

Ikuti Kami di Facebook

Ikuti Kami di YouTube