Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menumpaskan sindiket penyeludupan tayar menerusi serbuan di 23 lokasi berasingan di Lembah Klang, Pulau Pinang dan Johor, melalui Ops Grip, semalam.
SPRM turut membekukan sejumlah akaun persendirian serta syarikat bernilai RM70 juta yang turut disyaki terbabit kegiatan kegiatan pemalsuan dokumen import dan eksport mengakibatkan kerugian cukai mencecah RM350 juta kepada negara sejak tahun 2020.
“Serbuan dijalankan menerusi operasi bersepadu Ops Grip diketuai Bahagian Operasi Khas (BOK) dengan kerjasama Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), Bank Negara Malaysia (BNM) dan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM).
“Operasi membabitkan 23 lokasi sekitar Lembah Klang, Pulau Pinang dan Johor membabitkan syarikat yang menjalankan perniagaan mengimport tayar, gudang dan kontena penyimpanan tayar,” katanya hari ini.
Sumber berkata, siasatan turut ditumpukan kepada usaha mengesan dan menyita aset lain yang diperoleh menerusi aktiviti penggubahan wang haram membabitkan sindiket terbabit.
Katanya, siasatan membabitkan syarikat pengimport tayar berkenaan dan pegawai JKDM sendiri yang disyaki terbabit.
Difahamkan, rampasan turut membabitkan tayar terpakai yang tidak menepati piawaian dikhuatiri boleh menjejaskan keselamatan pengguna dan hanya menunggu masa berlalu kecelakaan ibarat ‘bom jangka’.
Sementara itu, Pengarah Kanan Bahagian Operasi Khas SPRM, Datuk Mohamad Zamri Zainul Abidin mengesahkan serbuan itu.
“Siasatan dijalankan di bawah Seksyen 18 Akta SPRM 2009 serta Seksyen 4(1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA 2001).
“SPRM tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang cuba mengaut keuntungan melalui rasuah, pengubahan wang haram dan penyeludupan yang merugikan negara,” katanya.